Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab14

Pantheon, Wilayah Iremia

DI PANTHEON, Vasilias sedang bersemayam di atas takhta dalam satu ruangan besar. Kaki kanan dibengkokkan dan diletakkan di atas peha kiri sementara kedua‐dua tapak tangan bersentuhan dalam keadaan menegak. Matanya ditutup. Bibirnya bergerak‐gerak seperti melafazkan doa. Vasilias cuba sedaya upaya untuk membuang segala fikiran yang mengganggu mindanya saat ini.

‘Kuasa alam kegelapan... aku memuja. Biar saktimu menyaluti pandangan mataku. Bukalah...
singkaplah. Tujukan daku. Suluhkan diriku kepada rahsia yang kau telan!’

Bahu Vasilias tersentak. Dalam keadaan mata terpejam, tiba‐tiba dia terlihat satu cahaya putih. Tujuh warna terserak sehingga membentuk persekitaran yang nyata. Mata Vasilias tiba‐tiba terasa dipandu terlalu laju ke arah satu destinasi. Memecut laju ke hadapan sehingga suasana di tepinya membentuk garisan‐garisan memanjang.

Semakin lama, pergerakan matanya semakin diperlahankan. Arah jalannya dapat dilihat dengan jelas. Sehinggalah beberapa minit kemudian, dia memasuki satu kawasan perkampungan. Papan tanda bertulis ‘Perkampungan Filia’ yang buruk tergantung dalam keadaan senget di pintu masuk.



Vasilias melepasi kawasan pagar. Kini dia dibawa ke sebuah rumah yang besar dan panjang. Rumah itu ialah rumah ahli sihir Favlos. Kawasan belakang rumah ditinjau. Pandangannya kemudian berhenti lama pada tanah di hadapan pangkal sebatang pokok. Di sebalik rumput yang tumbuh meliar, kelihatan beberapa mata merah berjegil mengintainya.

Dia kemudian beredar lalu pandangannya terapung di hadapan pintu masuk rumah. Lorong lurus di hadapannya terlihat begitu suram dan gelap. Pandangannya kemudian bergerak melalui lorong itu perlahan‐lahan lalu berhenti pada sebuah bilik yang paling hujung. Apabila bilik itu terbuka, kelihatan sebuah keranda kayu yang besar berada di sudutnya.

Ketika dia dibawa menghampiri keranda itu, Vasilias terasa diperhatikan. Di sebalik kegelapan,
kelihatan sesuatu sedang merangkak keluar darinya. Apabila Vasilias memicingkan penglihatan, terlihat seekor anjing hitam berkepala dua keluar dari bayangan kegelapan.

Anjing hitam itu menderam marah. Giginya yang tajam dinampakkan sambil matanya merenung Vasilias seperti berdendam. Air liur hitamnya meleleh lalu menitis mengenai lantai.

Lopak hitam berminyak terhasil di bawahnya. Dekat dengan kaki hadapan.

Cuping telinga anjing itu terangkat. Dengan tidak semena‐mena, anjing berkepala dua melompat ke arah Vasilias. Menerkamnya. Apabila hampir sahaja kepalanya dari pandangan mata Vasilias, Vasilias langsung terjaga.

“Tak guna!” Dia menghamburkan kata sumpah. Alas tangan pada singgahsana itu ditumbuk geram. Dadanya turun naik menahan kepenatan yang amat. Sihir Memindahkan Jiwa memang banyak memakan kudratnya sehingga dia terlelah.

Vasilias geram kerana diancam maut. Anjing hitam dari golongan makhluk bayangan itu menyerang ketika dia tidak berjasad. Umpama menyerang hendap. Tindakan yang dianggap sungguh tidak beradab sehingga menyeruakkan darahnya.

Beberapa minit kemudian, pintu bilik itu dikuak. Damian berjalan masuk dan menginjak permaidani merah yang terbentang menghala ke singgahsana. Sampai beberapa tapak di hadapan Vasilias, dia berjeda.

“Kau pergi ke mana tadi?” soal Damian. Sengihnya melebar di bawah hud.

“Kau tahu?”

“Tentu sahaja aku tahu. Bukan kau seorang yang handal dalam bermain sihir, Vasilias. Aku juga
sama,” tutur Damian. Dadanya membusung dengan rasa bangga yang menyarungi jasad.

Vasilias pula tergelak kuat.

“Aku baru sahaja memindahkan diri aku. Melawati rumah ahli sihir Favlos. Ternyata aura yang
membentengi Permata Berdarah itu begitu ampuh,” keluh Vasilias.

“Tapi tak apa. Nanti, aku akan keluar untuk cari kitab sihir dan Permata Berdarah di rumah Favlos. Dalam kitab sihir itu, Zalanbuur ada beritahu aku tentang tiga syarat yang tertulis dalam kitab sihir Favlos. Kalau aku berjaya lengkapkan tiga syarat, aku akan dapat kuasai Permata Berdarah! Semua makhluk bayangan dari alam kegelapan akan tunduk pada aku!”

Lonjakan suaranya bergema di seluruh kamar bertutup. Namun, Damian kalis daripada tempias
kegembiraan yang terzahir pada wajah Vasilias.

“Vasilias, cuba kau jangan berdegil?” marah Damian setelah beberapa minit berdiam diri. “Kita tahu Favlos ada memelihara makhluk bayangan. Biar aku ikut kau ke sana. Kalau ada aku, gabungan kuasa kita berdua tentu akan dapat mengalahkan keganasan semua makhluk peliharaan Favlos!” sambung Damian dengan kata‐kata penuh yakin.

“Kau tak boleh ikut aku ke sana, Damian. Ini keputusan muktamad aku!” Vasilias tetap berkeras
dengan keputusan asalnya.

Damian masih tidak mahu kalah. Sebelah kaki diletakkan di atas anak tangga sambil memandang ke arah Vasilias yang semakin membengis.

“Terlalu bahaya kalau kau pergi ke sana seorang diri. Kau abang aku dan satu‐satunya keluarga aku. Aku tak boleh biarkan kau terjun dalam lembah bahaya. Jangan buat keputusan terburu-buru,
Vasilias! Nyawa kau bukan taruhan!”

Kata‐kata Damian menyentuh hati Vasilias. Memang Damian teramat jarang membahasakan dia sebagai ‘abang’ semenjak usaha rampasan kuasa ini. Dia faham Damian, adiknya yang dalam kebengisan tetapi turut terselit sifat kasih yang tinggi dalam takungan jiwa.

“Disebabkan aku abang kaulah, kau kena hormat keputusan aku. Jangan persoalkan, faham?”
Vasilias memutarbelitkan situasi.

“Aku akan menguatkan kuasa sihir aku sebelum pergi ke kediamannya. Jadi, kau jangan risau. Sebaik sahaja aku sampai ke sana, kuasaku telah benar‐benar cukup untuk melawan makhluk kejahatan yang berani melawan!” sambungnya lagi.

Vasilias terpaksa memberitahu perancangan sebenarnya demi memuaskan hati Damian.
Bagaimanapun, rengusan Damian menandakan jawapan tadi belum dapat menghentikan
kerisauannya.

Reaksi Damian tidak dihiraukan. Tubuhnya ditolak lalu Vasilias terus berjalan menuruni anak tangga. Dia keluar dari bilik. Meninggalkan Damian yang berdiri terpacak di belakang. Pintu yang dikuak menghasilkan bunyi sebelum akhirnya terkatup rapat. Damian ditinggalkan dengan pelbagai fikiran yang berlegar di mindanya.

SELEPAS beberapa tapak sahaja Damian beredar dari anak tangga, bunyi sesuatu singgah pada
telinga. Apabila dia menoleh, kelihatan Zalanbuur dengan muka bergerutu dan berbintil nanah
merenungnya tajam.

Berlainan dengan Vasilias, reaksi Damian tampak terlalu bersahaja. Wajah yang buruk itu tidak
langsung menjentik kegerunannya. Malah, Damian mampu mengukirkan senyuman dan membalas pandangan di sebalik hud hitam. Sebenarnya, Zalanbuur terlebih dahulu menampakkan dirinya dalam wujud manusia kepada Damian berbanding Vasilias. Kekerapan Zalanbuur bertandang membuatkan Damian terbiasa dengan wajahnya.

“Aku mengesan keraguan dalam hatimu, Damian.” Mulut Zalanbuur yang berdarah terbuka dan tertutup sehingga mengeluarkan kata‐kata yang bernada garau.

Damian tergelak lalu mengalihkan badannya membelakangi Zalanbuur. Dia tidak berminat untuk melayan Zalanbuur. Dia maklum yang Zalanbuur ini sentiasa penuh dengan muslihat. Kadang‐kadang, sengaja mencurahkan minyak pada api kemarahannya. Belum sempat kakinya melangkah pergi, Zalanbuur bersuara lagi.

Kali ini, Damian sendiri tidak dapat menahan dirinya dari berhenti.

“Kau tahu? Naluri aku ini sangat tepat dan berkuasa. Aku dapat membaca isi hati orang lain, juga konflik yang mengganggu hatinya. Dan, menurut naluri aku juga, aku dapat tahu tentang Vasilias. Dia tidak jujur pada kau, Damian. Dia mahu membolot semua kekuasaan seorang diri!” dakwa Zalanbuur.

Darah menyirap sehingga wajah Damian menjadi merah. Dia memang pantang sekiranya ada yang mahu menuduh Vasilias yang bukan‐bukan.

“Jangan kau fitnah Vasilias! Atau aku sendiri akan pastikan kau terhapus di dunia ini! Kau tak kenal dia. Kau tak berhak berkata begitu!” bentak Damian. Peluh dingin merenik pada dahinya.

Kemarahan yang ditampung di dada menanti untuk meletus.

Zalanbuur tersengih kepadanya. Dia menyeringai menampakkan siung tajam. Cincin merah pada matanya bernyala‐nyala. Umpama lava gunung berapi yang mampu membunuh.

“Sedarkah kau? Sihir yang dikuasai dalam badan kau itu datangnya daripada aku! Berani pula kau mahu mengugut aku. Kau tiada tandingnya dengan aku, Damian. Ingat asal usul kau!”

Tempikan Zalanbuur bergema seperti guruh.

Kata‐kata itu membuatkan Damian mendengus lalu mengalihkan wajah.

Kemarahan Zalanbur dilihat beransur‐ansur mereda. Dia berjalan lalu berdiri di hadapan Damian. Hud yang melindungi kepalanya diangkat lalu wajah Damian ditatap. Kemudian, belakang tapak tangannya mengelus wajah Damian. Kukunya yang panjang dan tajam itu diangkat agar tidak mencalarkan wajahnya.

“Kau memang istimewa, Damian. Walaupun hati kau sudah dipenuhi karat kegelapan, tetapi masih ada ruang untuk kasih sayang yang tinggi untuk Vasilias. Tak mengalah meskipun sayang tidak berbalas. Keunikan itu yang membuatkan aku tertarik pada kau... berbanding Vasilias.”

Ketika dia berbicara, Damian memejamkan matanya. Dia menghayati kasih sayang yang ditagih daripada Zalanbuur. Dari kecil dia sudah ditinggalkan ibu bapa. Dan Zalanbuur yang sentiasa menziarahi menjadi tempat dia meluah perasaan sehingga dia dewasa. Zalanbuur dianggap sebagai ayahnya sehingga kini.

Meskipun begitu, dia sendiri keliru tentang hubungannya dengan Zalanbuur. Kadang‐kadang, rasa kasih yang diperoleh daripada Zalanbuur ditafsir kepada benci dalam benaknya. Mungkin kerana sikap Zalanbuur sendiri yang suka mencabar amarahnya dalam beberapa pertemuan.

“Tetapi kau kena ingat. Kebaikan itu mampu membinasakan diri kau!” Pipi Damian ditampar tiba‐tiba sehingga terteleng.

Damian mengusap pipinya yang panas. Apabila dia mengangkat wajah, Zalanbuur sudah hilang dari penglihatan. Terngiang‐ngiang dalam mindanya akan tuduhan Zalanbuur tadi. Dia cuba menimbang sejauh mana kebenaran di sebalik kata‐katanya. Sedikit sebanyak, keraguan terhadap niat sebenar Vasilias turut membukit.

Kem Epizon, Wilayah Perickles

IGETIS sedang berehat di atas kerusi panjang di rumahnya. Armen telah berjanji untuk menemuinya pada petang ini. Segelas air dingin yang ditadah dari sungai di pinggir Kota Perickles diteguknya. Air tertumpah, membasahi janggut putihnya yang tumbuh tebal. Sebaik sahaja gelas diletakkan di atas meja, wajah Armen tersembul di hadapan pintu rumah.

“Masuklah. Duduk di sini,” pelawa Igetis selepas menjawab salam kesejahteraan dari Armen.

Dia menepuk‐nepuk peha Armen yang mengambil tempat duduk di sebelahnya.

“Kau nampak penat sahaja? Banyak tugasan di Pantheon?” Igetis berbasa‐basi.

“Kebelakangan ini aku tak banyak diperlukan di Pantheon. Sebab itu aku ada masa untuk ke sini. Nampaknya Vasilias semakin banyak bersendiri,” jawab Armen sambil tersenyum.

“Oh, ya. Bagaimana pula dengan keadaan para Asfalis? Aku dengar, mereka sudah sampai ke sini.” Armen mengangkat dua keningnya sambil memandang Igetis di sebelah.

“Semua urusan kebajikan Asfalis telah diuruskan. Lelaki Asfalis juga ada yang menawarkan diri
untuk menyertai Stratos. Menyiapkan fizikal agar siap untuk gerak gempur kita yang akan
datang. Semangat mereka untuk mempertahankan Nicanor dari kerakusan Vasilias dan
Damian, aku lihat sangat tinggi,” Igetis bercerita panjang.
Tidak semena‐mena, Igetis terbatuk‐batuk. Semakin lama semakin kuat sehingga deru
nafasnya dilepaskan kasar. Tersekat di kerongkong. Lantas, Armen mengusap belakang Igetis
perlahan sehingga batuknya beransur‐ansur reda.
“Igetis nampak pucat. Tak sihatkah?” soal Armen, prihatin.
Kesan darah pada bibir kering Igetis dilap dengan belakang tangan. Kelihatan tompokan kecil
darah melekat pada janggut di bahagian atas. Bahunya turun naik sambil tangannya menekan
pada meja. Dadanya terasa membahang akibat batuk tadi. Tubuhnya disandarkan pada
dinding. Berehat seketika sehingga nafasnya teratur.
“Semenjak rawatan yang terlambat di Air Terjun Agios, tubuh aku tidak pulih sepenuhnya.
Alhamdulillah, aku bersyukur kerana tidak lumpuh. Namun sehari dua ini, memang tubuh ni
terasa lemah sahaja. Tidur malam tak lena kerana batuk yang berpanjangan. Rasanya... bisa
sihir Vasilias kembali menyengat,” Igetis menerka.
“Itulah sebenarnya maksud kedatangan aku ke sini. Ada berita buruk,” beritahu Armen.
“Teruskan.”
“Vasilias sedang memulakan fasa pertama untuk ritual pemujaan. Dia mahu menyeru kekuatan
dari alam ghaib agar dirinya lebih berkuasa. Sedikit masa lagi, dia akan mencari kitab sihir
Favlos,” maklum Armen lagi.
“Mujur Permata Berdarah sudah berada dalam simpanan Musyrif. Aku harap, mereka dapat
menjaga permata itu dengan selamat sebelum dihapuskan di Air Terjun Agios. Semoga Vasilias
juga tidak dapat mendahului mereka.” Kata yang terungkap dari bibir Igetis adalah satu
tembakan doa buat Musyrif dan rakan‐rakan.
Armen kelihatan termenung jauh. Dia mengetap gigi lalu rahangnya bergerak‐gerak.
“Aku harap mereka lekas bergerak, Igetis. Vasilias itu tidak terduga. Hati aku tak sedap setiap
kali mengintai perbuatannya memuja dan meratib. Selagi Permata Berdarah belum
dihapuskan, apa‐apa pun boleh terjadi. Mereka mesti sentiasa berjaga‐jaga.”
Pantheon, Wilayah Iremia
MALAM itu adalah malam Jumaat. Malam di mana tenaga dari alam kegelapan berada di
tahap tertinggi. Pemujaan sihir adalah paling berkesan pada malam ini. Ditambah pula dengan
aura dari bulan mengambang penuh di Planet Nicanor. Memudahkan lagi seruan kuasa untuk
menyusup masuk ke dalam liang roma.
Vasilias duduk bersila di atas lantai. Dari siang tadi dia duduk bertapa dalam bilik itu. Tirai telah
disingkap dan jendela dibuka luas. Tahi besi dibakar di atas dulang kecil berkaki satu. Api yang
berwarna oren itu ditepuk. Dengan kuasa sihir, api itu mengecil. Terserap dalam butiran tahi
besi sehingga menjadi bara.
Vasilias melihat ke arah korban yang berada di hadapannya. Korban itu baru mati disembelih.
Minotaur yang diarahkan membawa tangkapan daripada golongan Asfalis.
Semasa berlaku serangan oleh Musyrif secara besar‐besaran di Penjara Agonia, golongan
Asfalis yang membina kota telah dikumpulkan di Teater Sabratha oleh beberapa Minotaur
yang tinggal di Kota Perickles. Kini merekalah yang menghuni Penjara Agonia setelah
penghuni lama lepas bebas.
Darah pada nadi di tengkuk mayat lelaki itu disapu dengan tangan. Pisau yang dipegang pada
tangan kiri kemudian ditekan pada kulit Vasilias yang dikotori darah. Pisau ditarik sambil
bilahnya menghiris isi tangan sendiri. Darah keluar dari garisan memanjang. Matanya pula
terpejam sambil keningnya berkerut menahan kesakitan.
Tapak tangannya yang bercampur dengan darah korban dan darah sendiri diramas‐ramas
dengan tahi besi dalam genggaman. Darah menitis mengenai bara api, menghasilkan bunyi desis. Kemudian kelopak matanya tertutup agak lama. Bibirnya bergerak‐gerak mengucapkan
mantera sihir yang dihafal.
Sihir kali ini akan lebih banyak memakan tenaganya pada permulaan upacara. Namun
mengikut pesanan gurunya, hasilnya nanti jauh lebih berbaloi. Si pelaku akan memperoleh
kekuatan dan sihir yang lebih sakti.
“Duhai semangat malam. Datangilah aku dengan kesaktianmu. Duhai cahaya alam. Sinarkanlah
kekuasaan menyelimuti tubuhku. Aku memujamu dengan lafaz dari kegelapan. Datanglah
merangkak membawa kekuatan!”
Angin malam tiba‐tiba bertiup kencang semacam akan berlaku ribut. Lampu yang tergantung
pada bumbung terbuai‐buai. Pintu jendela juga terbuka dan tertutup akibat hambatan dari
angin. Apabila Vasilias membuka mata, terlihat sesuatu asap hitam berkepul di hadapannya.
Terbang masuk melalui jendela yang terbuka.
Asap itu membentuk wajah manusia bertanduk. Lidahnya bercabang seperti ular. Mulut yang
terbentuk dari asap ternganga terbang dan menelan Vasilias sehingga dia jatuh tersungkur.
Asap hitam menyerap masuk ke dalam tubuhnya. Menyebabkan Vasilias menggelupur seperti
diazab sebelum akhirnya pengsan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan