Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab6

HANA keluar dari bilik mandi. Pelembap badan dicapai dan dipicit lalu disapu rata di seluruh tubuh. Kemudian, dicapai pula botol kaca wangian wild lily dan di sembur seluruh badan. Leggingdan singlet menjadi pilihan.Rambut yang basah dibiarkan saja tidak bersikat supaya lengkok‐lengkok terbentuk sendiri.

Dia duduk melunjurkan di atas katil. Bersandar pada bantal yang ditegakkan. Smartphone dicapai di sisi meja. Melihat jika ada panggilan atau mesej dari Aman. Tapi, tiada. “Sibuk la tu.”

Bicara Hana sendiri. Sejak dia duduk di pulau terpencil ini, baru sekali Hana berhubung dengan
Aman. Mungkin Aman terlalu sibuk dengan kerja seperti biasa.

Sejak dulu lagi Hana kecewa, sunyi bila disisihkan oleh tunang sendiri. Tapi bila difikirkan balik,
Aman sebenarnya sibuk berbakti pada negara. Membanteras jenayah untuk menegakkan bangsa. Tidak patut dia melarang Aman daripada fokus pada kerja. Sepatutnya dia menyokong dan memberi lebih semangat pada Aman.

Tapi, dia juga manusia biasa. Seperti perempuan lain yang mempunyai sifat ingin rasa disayangi, dikasihi dan dicintai oleh kekasih hati. Sudah terlalu lama dia tidak diberi perhatian oleh Aman. Hinggakan dia dah lali. Kini, Hana lebih tenang di sini.



Nama ‘Fiencẻe’, didail. Telefon dirapatkan pada telinga menunggu panggilan disambut. Pintu biliknya diketuk tiba‐tiba. Lantas panggilan dimatikan. Dia melompat dari katil. Dicapai kardigan labuh menutup pinggulnya. Sementara selesai menyarung, matanya meneropong pada lubang pintu. Kelihatan seperti bunga. Hana hairan... tanpa berfikir panjang, pintu dibuka.

Ridduan berdiri tegak di muka pintu. Senyuman yang paling kacak dihadiahkan pada Hana.

“Encik... encik buat apa datang bilik saya malam‐malam ni?” Hana terkejut bila lelaki pelik berada di depan biliknya kini. Waktu begini pula tu. Matanya ligat memandang sekitar kiri dan kanan. Takut jika ada staf yang nampak ada lelaki di depan biliknya. Mahu dijadikan fitnah.

‘Apa sebenarnya mamat pelik ni nak?’ tanya Hana sekadar dalam hati. Hana berlagak bersahaja
walaupun sebenar hatinya sedikit cemas.

Ridduan tersenyum lucu. Lucu bila Hana lagak bersahaja tapi dari getar suara ada rentak cemas. Sama seperti dirinya. Jantungnya berdegup kencang sepanjang perjalanan ke bilik Hana. Bertambah berdebar‐debar bila Hana muncul di depannya. Bagai nak luruh jantung ni.

Telah banyak kali dia menarik nafas dan menghembus‐hembus, tetap tidak lega lelah di dada ni. Malah makin menjadi‐jadi. Tidak tahu kenapa dia jadi begini.

“Kan malam ni awak nak teman saya makan...” terang Ridduan. Dia tahu Hana telah menolak
pelawaannya bila Hana pergi tanpa sepatah kata. Tapi, dia tetap ingin berjumpa Hana dan masih menggunakan alasan yang sama. Terpaksalah tebalkan muka.

“Tapi saya tak cakap apa‐apa.”

“Selalunya, bagi perempuan, senyap itukan tanda setuju.” Ridduan tidak tahu dari mana datangnya ayat itu. Tapi dia masih mencuba nasib, memujuk Hana.

“Encik... saya tak kenal encik dan saya tidak akan keluar makan dengan orang yang saya tidak
kenal!” jawab Hana tegas lalu menutup pintu dengan kuat. Malas nak melayan orang yang tidak faham bahasa. Lagi banyak cakap, lagi banyak alasan yang diberi.

Kedengaran jeritan Ridduan kesakitan. Hana segera membuka pintu semula. Kelihatan jari manis dan jari kecil Ridduan berdarah. Kukunya juga pecah dari hentakkan kuat pintu. Hana cemas, serta‐merta menyentuh dan membelek jari yang luka berdarah.

Ridduan pula tersentak disentuh Hana. Matanya berpusat pada wajah Hana yang cemas.

Terukir senyuman di bibir. Bahagia yang dirasai...

JAMBANGAN bunga ros merah di sisi Hana. Mereka duduk di atas kerusi hadapan bilik Hana. First aid terbuka. Hana membuka penutup pencuci luka lalu dititik pada kekapas. Dia menghembus nafas lega. Nasib baik kotak kecemasan ada tersedia di bilik. Jika tidak, mana nak cari ubat malam‐malam buta di tengah‐tengah Laut China Selatan.

“Nah... encik cuci luka tu.” Hana memberi kekapas pada Ridduan tanpa memandang. Rasa bersalah, rasa malu, rasa marah, semua ada.

“Boleh awak cucikan.” Ridduan bernada manja, cuba memujuk.

Lantas Hana mengerling. “Encik cuci...”

“Awak yang buat saya luka macam ni. Kerana awak, saya sakit tau. Hancur kuku saya ni. Awak kena bertanggungjawab.” Celah Ridduan yang tidak memberi peluang Hana bercakap.

“Tapi...” Hana berfikir‐fikir. Rasa bersalah lebih banyak dari rasa‐rasa lain. Dia akur. Permintaan
Ridduan diturutkan. Tapi, dalam hati ini, dia menyumpah‐nyumpah diri sendiri. Kerana terlalu gopoh nak tutup pintu, dia terperangkap dalam keadaan begini. Kekapas ditekapkan pada luka Ridduan.

“Auwww...” Ridduan menjerit sedikit.

Hana tersentak. “Sakit ke?”

“Tak la... sedap...” Ridduan tersenyum lucu. Seronok pula mengusik gadis di sebelahnya itu.

Sekali lagi Hana terkesima. Senyuman Ridduan buat dia tidak keruan. Tapi, di hatinya bertambah geram. Ridduan mempermainkan dirinya. Sudahlah dia cukup rasa bersalah dengan kejadian itu. Kali ini kekapas di tekap lebih kuat pada luka.

Sekali lagi Ridduan menjerit. Lebih kuat daripada tadi. Kali ini benar‐benar sakit.

“Sakit ke?” tanya Hana, menyindir.

Ridduan terdiam. Tiada senyuman lagi. Giliran Hana pula tersenyum lucu.

“Cantik senyuman awak. Kenapa awak tak selalu senyum begitu?”

Serta‐merta wajah Hana menjadi serius. Hilang senyuman. “Maafkan saya. Saya tak sengaja.”

Hana bersuara perlahan sambil merawat jari‐jemari Ridduan. Dia memberi sepenuh perhatian dan berhati‐hati supaya tidak bersentuhan.

“Tak apa... saya tahu, Hana memang tak sengaja,” Bisik Ridduan di telinga Hana.

Berdesing telinga Hana. Macam angin kencang menghembus ke dalam gegendang telinganya.
Jantungnya berdegup lebih laju. Dia semakin tidak keruan. Dia tahu, Ridduan sedang menatap
wajahnya dari tadi. Dia ingin menyelesaikan perkara itu dengan cepat dalam tidak sedar dia
terpegang tangan Ridduan ketika meletakkan pelekat luka.

Ridduan tersenyum gembira. Hilang rasa sakitnya. Walaupun rasanya tak berapa sakit pun. Hatinya sejuk. Bagai ditiup angin bayu. Ridduan terus‐menerus memandang Hana. Indah sungguh pemandangan di depannya itu.

“Okey... siap.” Hana terpandang mata Ridduan. Mata mereka bertaut.

“Oh... cepatnya.” Ridduan rasa masa terlalu pantas. Dia pandang plaster yang telah dibalut.

“Terima kasih.”

Hana tidak menjawab, tapi cepat‐cepat mengemas semua peti kecemasan yang telah digunakan. Dia ingin cepat‐cepat masuk ke bilik. Tidak ingin bersama Ridduan lama‐lama. Lagi pun, dia takut ada staf yang nampak mereka berdua‐duaan ketika itu. Sudahlah dia orang baru di situ. Baru bekerja, sudah menimbulkan gosip panas. ‘Ohhh... tidak. Tak nak... tak nak... tak nak..’ jerit hati Hana.

“Jadi... kita boleh pergi sekarang?” soal Ridduan bila melihat Hana mengemas laju.

“Pergi mana?” Hana hairan. ‘Apa lagi dia ni mahukan?’tanya dalam diri.

“Makan. Saya dah lapar ni..” Ridduan yang masih tidak mengalah. Dia buat‐buat tak tahu walaupun dia tahu Hana sememangnya tidak mahu makan malam bersamanya. Tapi, desakan hati, dia turutkan juga. Dia terpaksa pentingkan diri sendiri. Tetap ingin mencapai hasrat di hati.

“Encik... saya tahu saya dah cederakan jari encik tu. Saya betul‐betul minta maaf dan saya juga minta maaf tak dapat nak temankan encik makan malam seperti mana encik inginkan. Sekali lagi saya minta maaf menolak pelawaan encik yang bersungguh‐sungguh tu. Saya harap encik faham dan hormati pendirian saya. Bagi saya, rasa tak manis seorang staf makan bersama pelancong di sini. Walaupun encik ialah regular guest di sini. Saya betul‐betul tak nak pergi. Maafkan saya sekali lagi.” Hana bingkas bangun sambil menjinjing peti kecemasan. Dia melangkah masuk biliknya.

“Hana... awak dah cederakan jari saya. Bukan satu tapi dua batang jari. Bukan luka saja tapi hancur kuku saya. Jadi, jika awak nak saya maafkan awak, awak kena makan malam bersama saya. Lagi satu, prinsip saya, rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari. Jika awak menolak ajakkan saya, bermakna awak memusuhi saya sebagai guest di sini. Awak jangan main‐main. Saya boleh report pada pihak pengurusan. Jadi, saya harap awak menghormati saya sebagai guest dan saya nak nasihatkan satu pada awak, tak manis jika menolak rezeki yang datang bersungguh‐sungguh pada awak.” Ridduan membidas semula kata‐kata Hana dengan tegas.

Dia bingkas bangun dan menghadap Hana yang terdiam kaku membelakanginya. Perlahan‐lahan Hana berpusing menghadap Ridduan. Dia mengerling tajam. Cuba mencari kepastian dan kemahuan sebenar Ridduan. Hatinya membengkak menahan marah. Dadanya berombak. Dia cuba bersabar dan tenangkan diri.

“Saya hanya nak makan bersama awak. Jauh disundut hati saya nak buat awak marah atau memaksa awak. Saya juga tak ada niat buruk pada awak. Cuma saya kepingin awak temankan saya makan. Itu saja.” Pujuk Ridduan lagi. Dalam hatinya berdoa, biarlah kali ini Hana termakan dengan pujuk rayunya. Meja makan malam yang istimewa telah ditempah khas.

Sebenarnya, dia sendiri tidak faham dan masih tertanya‐tanya dalam diri, kenapa dia ingin buat semua ini? Jawapannya ialah hati. Kehendak hatinya. Ada satu rasa yang tidak pernah dia rasai selama ini.

“Baik. Untuk malam ini saja. Selepas ni, no more. Saya pergi ni pun untuk menebus kesalahan saya pada encik, bukan suka‐suka. Saya tak nak perkara ini diungkit lagi. Saya juga turutkan kehendak encik kerana saya tak nak memusuhi encik sebagai guest di sini dan saya harap selepas ini encik lebih menghormati keputusan saya...” balas Hana. Dia berat hati terpaksa akur dengan kesalahan yang telah dibuat. Dia tidak mahu kesalahan itu diungkit‐ungkit lagi di kemudian hari. Biarlah dia selesaikan permasalahan yang timbul malam ini juga.

Hana berpaling semula dan melangkah masuk ke biliknya untuk menyimpan peti kecemasan.

“Tunggu...” Ridduan bersuara lagi.

Hana mematikan langkah. Menarik nafas dalam. Masih cuba bersabar. ‘Ada apa lagi lelaki pelik ni. Sudahlah memaksa‐maksa. Bila dah bersetuju dipanggil‐panggil lagi’ Hana tidak puas hati.
Jambangan bunga muncul di depan Hana. Ridduan yang berada di belakangnya memanjangkan tangannya ke depan Hana untuk memberi jambangan bunga Ros merah. Hana yang malas bertegang urat mengambil jambangan bunga itu dan simpan di biliknya. Kad bilik disambar sebelum keluar kembali.

Rona kegembiraan jelas terpancar di wajah Ridduan. Akhirnya dia berjaya memujuk Hana makan malam bersama. Hatinya berbunga‐bunga. Ingin saja dia melompat kegirangan. Menjerit keseronokan. Ridduan yang sebenarnya sengaja membiarkan jari dikepit pintu supaya Hana rasa bersalah. Dengan alasan bersalah itu, Ridduan membuat Hana terperangkap dan tidak mampu menolak pelawaannya lagi. Akhirnya Hana terpaksa menurut kehendaknya seperti sekarang. Sakit dikepit pintu hanyalah sedikit tapi kegembiraan yang dirasai sangat luar biasa. Terasa hingga ke lubuk hati. Malam yang gelap bagai diterangi cahaya indah bila Hana berjalan beriringan bersamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan