Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab7

“BOLEH tak, awak tolong suapkan saya makan? Tangan saya sakit. Takkan saya nak makan dengan tangan kiri. Tak baikkan.” Tanya Ridduan sambil berjalan beriringan bersama Hana.

Matanya masih tidak lepaskan Hana.

Langkahnya lebih laju daripada Ridduan, mengerling tajam. ‘Gila aku nak suapkan dia ni. Tangan luka sikit aje bukannya patah’ Bebel Hana dalam hati. Geramnya semakin menebal. Ridduan suka‐suka buat permintaan yang tak masuk dek akal. Dia masih lagi menahan sabar.

“Guna sudu pun boleh. Lagi pun saya pasti, orang jenis macam awak ni mesti makan guna sudu. Bukannya tangan.” Balas Hana.

Langkah Hana terhenti tiba‐tiba. Melihat perkarangan terhias cantik di depannya. Sebaris lilin
disusun di sepanjang laluan ke arah meja makan di tepi pantai.

Ridduan meredah laluan terlebih dahulu. “Jom...”

Mata Hana membulat. Memandang ke kiri dan kanan. Kakinya melangkah semula mengikut rentak langkah Ridduan. Hana merentasi laluan lilin nan indah. Semakin lama semakin dekat kedengaran deruan alunan ombak memecah pantai. Di penghujungnya, lilin disusun mengikut bentuk hati dan tengah‐tengahnya tersedia meja makan yang dihias serba putih untuk dua orang. Terdapat juga lampu tanglung di sekeliling mereka menerangi meja. ‘So romantik...’ detik hati Hana.



Dia rapat ke meja. Jambangan bunga ros putih campuran pink menjadi perhiasan bersama cawan berkaki berisi lilin. Kelopak ros turut sengaja disepahkan atas meja. Beberapa jenis makanan laut terhidang. Lobster chess! Ini pertama kali dia melihat udang gergasi itu. Pernah makan, jauh sekali. Dalam tidak sedar dia menelan cecair dalam mulutnya. Pandangannya beralih pada gelas berkaki tinggi yang berisi air berwarna perang. Hana harap air itu ialah air jus apple merah bukannya champange.

Kerusi sebelah Hana ditarik Ridduan. Matanya mengerling arah kerusi. Meminta Hana duduk. Hana teragak‐agak, akhirnya melabuhkan punggung. Tidak pernah pula dia dilayan begitu rupa. Mat Salleh sangat.

Ridduan duduk menghadapnya. Hana melarikan pandangan ke arah lain supaya tidak bertentang mata dengan Ridduan. Tubuhnya terasa dingin. Bertambah dingin bila angin malam mencucuk tubuh. Lengannya digosok sesama sendiri. Canggung rasanya bila berdepan orang yang tidak pernah dikenalinya. Dia tidak menjangka pula akan dibawa makan ke tempat sebegini. Tempat seromantis begini selalunya datang bersama kekasih hati. ‘Aku ni pula siapa? Kenal pun tak, jauh sekali kekasih hatinya. Kalau tahu begini, sumpah aku tak akan datang’ Hana mengomel lagi.

“Silakan Hana, jangan malu‐malu... anggap saja macam kawan awak belanja awak makan. Okey.” Ridduan bersuara lembut. Cuba bermesra bila Hana tidak bersuara sepatah kata.

‘Kawan? Mana mungkin kawan. Nama lelaki di depannya pun dia tidak tahu. Dan dia malas nak
bertanya. Malas nak tunjuk minat sangat. Sememangnya dia tidak berminat’ tambah Hana lagi. Ingin saja dia berkata begitu. Tapi tidak sampai hati pula.

Lobster digunting kepada bahagian‐bahagian yang lebih kecil. Seketul diletakkan ke dalam pinggan Hana. Ketam pula diambil. Isinya disumbat pada kulit, dikorek dan diletakkan ke dalam pinggan Hana lagi. Dikorek lagi isi yang melekat menggunakan sudu yang lebih kecil dan dihulur ke mulut Hana.

Hana merenung tajam. Perbuatan Ridduan diperhatikan sejak tadi mengusik hatinya. Cara Ridduan melayannya seperti mereka telah kenal lama. Seperti dia sangat istimewa buat Ridduan. Dia suka dilayan begitu.

“Makan la...” Sudu mara lagi ke depan mulut Hana.

Masih tiada tanda mulutnya akan terbuka. Malah terkunci rapat. Dia suka dengan layanan baik
Ridduan, tapi dia tetap tidak selesa. Dia tidak pernah dilayan sebegitu rupa ketika bersama Aman. Makan ke tempat sebegini pun tidak pernah. Apakan pula adegan suap‐menyuap.

Never... Bila fikirkan Aman, Hana jadi sedih tiba‐tiba. Sayu hatinya bila teringatkan dia juga pernah harapkan Aman melayannya begini. Tetapi orang yang tidak dikenali pula mengambil tempat Aman dan melayannya seperti kekasih sendiri.

Ridduan menarik semula sudu yang dihulur tidak disambut, lalu disuapkan ke dalam mulutnya
sendiri.

“Emmm... sedap.” Ridduan bereaksi selamba. Dia menarik semula sudu apabila wajah Hana berubah sedih tiba‐tiba. Hatinya panik. ‘Apa salah aku? Takkan dia seorang yang sangat sensitif sampai aku nak suapkan makan pun, dia nak menangis’ tanya sendiri.

Hana masih terdiam kaku. Ridduan bingkas bangun dan mengambil sudu di tepi pinggannya lalu diberi pada tangan Hana. Tetap tiada pergerakan. Sudu di selit ke tangan Hana. Bila sudu banar‐benar dipegang Hana, baru Ridduan duduk kembali.

“Hana makan la. Jangan risau. Makanan ini tak ada racun. Saya baru makan dan masih lagi hidup. Lagi pun saya makan makanan dari pinggan yang sama seperti awak. Semua makan ni, saya gerenti sedap dan berkualiti. Lagi pun, tak baik biarkan rezeki depan mata tak dijamah.” pujuk Ridduan sambil cuba berjenaka.

Pujukan Ridduan tidak dimakan Hana. Dia masih mendiamkan diri. Merenung pinggan makanan di depan.

“Hana... kalau awak tak makan juga, saya yang makan awak. Tempat gelap‐gelap ni, macam-macam
saya boleh buat. Lagi pun saya dah pesan pada Chef, tiada sesiapa dibenarkan lalu di sini...” Ridduan mengugut untuk memaksa Hana makan.

Perlahan‐lahan makanan disuapkan ke dalam mulut. Dia tidak dapat tangkap rasa makanan. Deria rasa telah hilang. Tekaknya perit dipaksa menelan makanan.

Ridduan hanya mengikut retak Hana. Makan malam itu langsung tidak kedengaran bicara manis, ayat‐ayat cinta malah ilai tawa. Masing‐masing tenggelam melayan perasaan sendiri. Walaupun suasana malam itu sunyi tanpa suara tapi dalam hati Ridduan menyanyi‐nyanyi gembira.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan