Label

Ahad, 19 Mac 2017

NOVEL Terbaik Untukmu Bab42

Juita baru sahaja selesai solat maghrib. Perlahan‐lahan dia membuka kain telekung lalu melipatnya. Kain serba putih itu kemudiannya diletakkan dekat dengan sejadah. Juita melangkah ke almari solek. Dia merenung wajahnya di cermin. Dia akur wajahnya ada mirip Bakri dan Kak Jah. Bukankah dia lahir dari cantuman cinta kedua‐dua manusia itu? Dia tidak boleh menidakkan kewujudan Bakri dalam hidupnya. Kerana lelaki itulah dia lahir ke dunia. Tiba‐tiba dia rasa berdosa kerana menyimpan perasaan benci terhadap lelaki itu.

Dia benci kerana Bakri berkahwin lain. Dia benci kerana Bakri meragut kebahagiaan keluarga mereka. Dia juga kesal kerana Bakri tergamak meninggalkan Kak Jah bersendirian membesarkan anak‐anak sedangkan ketika itu anak‐anak memerlukan kasih sayang seorang ayah. Bakri lebih banyak meluangkan masa bersama Munah sedangkan mereka tidak mempunyai anak.

Arrgghh.. Walau bagaimana benci pun dia terhadap lelaki itu, dia tetap penting dalam hidupnya. Namanya berbintikan lelaki itu dan lelaki itu jugalah yang akan menjadi wali di hari pernikahannya nanti. Sebagai anak berdosa dia menyimpan perasaan benci terhadap bapanya sendiri.

Hajat Juita untuk menyampaikan hasrat murni Kebeng kepada emaknya terbantut. Semuanya kerana kehadiran Bakri yang tidak langsung diharapkan. Dia mahu berkongsi cerita hanya dengan Kak Jah. Oleh itu, Juita terpaksa bersabar menunggu sehingga esok.



“Kak!” Hasrul memanggil dari luar bilik. Daun pintu diketuk serentak.

“Masuklah,” Juita melangkah ke katil. Dia duduk sambil tangan mencapai majalah wanita yang dibelinya kelmarin. Wajah artis kegemarannya yang menghiasi kulit muka majalah itu ditatap.

“Kak, mak dengan ayah panggil makan.” Hasrul duduk di sebelah Juita.

“Rasa macam malas pulak nak makan malam ni.” Helaian kertas majalah diselak satu demi satu.

“Alah, adik tau kenapa akak tak nak makan.”

“Jangan nak memandai aje nak serkap jarang.”

“Sebab ayah adakan? Kan?”

“Tak adalah.”

“Adik taulah. Akak malas nak makan sebab tak nak duduk makan dengan ayah. Tak baik tau kak. Sesekali ayah balik tu tunjuklah perangai elok sikit,” bebel Hasrul.

“Amboiii..” Semerta satu cubitan singgah di pipi Hasrul.

“Adoi!” jerit Hasrol sambil mengusap pipi. “Sakitlah!” Berkerut‐kerut muka Hasrul.

“Mulut macam mak nenek. Membebel aje.”

“Adik mengingatkan aje. Kesian kat ayah tu. Mungkin dia balik nak mesra‐mesra dengan kita. Jomlah kak!” Hasrul menarik tangan Juita.

Sengaja Juita memberatkan tubuhnya. Hasrul mengambil majalah dari tangan Juita lalu dicampakkannya ke atas katil. Kemudian, Hasrul menarik kedua‐dua belah tangan kakaknya sekuat tenaga. Akhirnya Juita kalah dengan kekuatan Hasrul. Walaupun dia berpangkat adik tetapi kudrat tenaganya sebagai seorang lelaki tidak dapat ditandingi. Juita terpaksa mengalah. Dengan berat hati dia melangkah mengekor Hasrul dari belakang menuju ke dapur.

Bakri sedang duduk di meja makan sambil memerhati Kak Jah menyenduk nasi ke pinggan kosong. Tatkala mendengar suara Hasrul, Bakri dan Kak Jah menoleh serentak.

“Juita, mari duduk makan sama.” Bakri berbasa basi.

Kak Jah menghulurkan pinggan yang berisi nasi kepada Juita yang baru saja mengambil tempat duduk.

“Banyak tu. Juita nak sikit aje,” kata Juita.

“Makanlah banyak sikit. Badan awak tu kurus sangat ayah tengok. Orang kerja kuat kena makan banyak untuk tambah tenaga.” Bakri cuba memujuk. Sudah agak lama dia tidak bercakap lembut dengan Juita seperti itu. Padahal semasa Juita kecil, dia sangat memanjakannya.

“Juita kenyang makan roti petang tadi.” Juita mereka alasan. Seleranya terbantut. Selagi dia tidak meluahkan isi hatinya kepada Kak Jah, hatinya resahtidak menentu. Jantungnya sentiasa berdebar‐debar. Bimbang kalau‐kalau ada diantara ahli keluarga yang menentang perhubungan mereka.

“Alah! makan ajelah kak. Makan sikit tak ada jadi gemuk punyalah.” Hasrul mengusik. Dia meratah ayam goreng dengan pelahap sekali. Ayam goreng kunyit memang kegemarannya.

Juita mengerling tajam. Geram pula dia dengan Hasrul yang mahu bergurau di saat dia dalam keadaan serius begitu.

“Makan Juita. Lepas makan, pergilah berehat,” kata Kak Jah lembut. Kebetulan hari berikutnya mereka tidak berniaga.

Tidak sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Juita. Kata‐kata Kak Jah dituruti tanpa
membantah. Perlahan‐lahan dia menyuapkan nasi ke mulut. Sesekali Bakri menoleh pandang ke wajah Juita yang jelas kelihatan kurang senang. Tipulah kalau dia tidak tersinggung dengan sikap Juita itu. Namun seboleh mungkin dia menyimpan kemas segala rasa yang berbaur di sudut hati. Dia perlu bersabar menangani karenah anak‐anak terhadapnya.

“Adik tak tambah nasi lagi?” Bakri menghulur mangkuk nasi tambah.

“Boleh jugak.” Hasrul menyambut mangkuk tersebut lalu menambah nasi. Kebetulan malam itu perutnya terasa sangat lapar. Sepanjang petang itu dia banyak menghabiskan tenaga di tengah padang. Tekak terasa dahaga dan perut pula terasa lapar.

“Kakak?” tanya Hasrul kepada Juita pula.

Juita menggeleng.

“Aik! Dah ke?”

“Dah.” Juita bangkit lalu ke singki.

Bakri dan Kak Jah memandang Juita dengan ekor mata. Kak Jah faham dengan perasaan anak daranya itu. Dia tidak mahu berkata apa. Padanya Juita tidak salah. Tapi tidak mengapa kerana Kak Jah yakin Juita ada sebab tersendiri mengapa dia bersikap dingin tatkala berhadapan dengan Bakri. Apabila selesai membasuh pinggannya sendiri, Juita melangkah pergi.

“Lambat Haris balik. Selalu ke dia balik lambat macam ni?” Bakri bertanya ketika menonton
televisyen di ruang tamu. Jam di dinding dikerling sekilas. Jam sudah menunjukkan ke pukul 11.30 malam.

“Sekejap lagi baliklah tu.” Kak Jah yang duduk di sisi menjawab.

“Saya tengok Juita tu macam tak suka aje dengan saya,” luah Bakri sambil mata tidak berkalih dari menatap skrin televisyen.

Kak Jah mengerling ke arah Bakri. “Tak adalah. Awak perasan aje. Dia memang macam tu,” ungkap Kak Jah menyimpan makna.

“Saya rasa dah terlalu jauh dengan anak‐anak. Sampaikan dia orang tu dah tak mau duduk dekat dengan saya. Apa lagi nak berbual dan bergurau senda macam dulu‐dulu tu.” Ada tona sedih dalam suara Bakri. “Hasrul pun macam tu jugak.” Wajah Bakri sugul.

Kak Jah memandang wajah Bakri dengan teliti. Dalam cahaya lampu kalimantang jelas kelihatan garis‐garis halus yang terlukis di wajah lelaki yang sudah hampir 23 tahun dikahwininya itu. Simpatinya terhadap lelaki itu tiba‐tiba menggunung. Tapi apakan daya, perasaan anak‐anak sudah lama terluka dengan sikap Bakri. Dia perlu bersabar untuk merebut semula kasih sayang anak‐anak terhadapnya. Anak‐anak bukan bersikap kurang ajar tetapi mereka sudah terbiasa hidup tanpa kehadiran seorang lelaki yang bernama ayah.

“Adik tu dah besar. Dia malu nak bermanja‐manja macam dulu.”

“Cepat betul masa berlalu, tak sangka semua anak‐anak dah meningkat dewasa.”

“Awak pun dah semakin tua.” Kak Jah ketawa dengan kata‐katanya sendiri.

Bakri merenung wajah Kak Jah. Kak Jah tidak berpaling. Pandangannya masih tertumpu ke skrin televisyen, tapi dia perasan Bakri memandang ke arahnya.

“Jah, saya minta maaf sebab selama ni saya abaikan awak dan anak‐anak.” Bakri berdehemdehem
membetulkan suaranya. Sikap egonya ditelan.

Kak Jah berkalih pandang. “Awak dah kenapa?”

“Saya nak minta maaf pada awak.” Bakri meraih tangan Kak Jah yang sudah lama tidak disentuh.

‘Apa kena pulak orang tua ni, dah buang tebiat ke?’ bisik hati Kak Jah. Dibiarkan tangannya berada dalam genggaman suaminya. Mahu ditarik tangannya tapi bimbang Bakri akan berkecil hati. “Saya dah lama maafkan awak. Tak ada apa yang awak nak minta maaf,” balas Kak Jah bersahaja. Seperti orang tidak ada perasaan saja lagaknya.

“Macam mana saya nak tebus kesalahan saya pada awak dan anak‐anak?” Tangan isterinya digenggam kemas.

“Bohonglah kalau saya kata saya tak tersinggung dengan perangai awak. Awak pun taukan, saya akan pendam dan diam selagi saya mampu. Saya bukan suka nak bertekak tak tentu fasal. Lagi pun saya tau dosa pahala.” Kak Jah menarik nafas dan menghamburnya deras lalu menyambung, “Awak jangan risaukan saya. Saya okey. Tapi anak‐anak.” Perlahan‐lahan Kak Jah menarik tangannya. Dia berasa kurang enak diperlakukan begitu. Malu nanti kalau dilihat oleh Hasrul atau Juita.

“Itulah yang membimbangkan saya.” Bakri meraup rambutnya ke belakang.

“Perlahan‐lahanlah. Nanti saya akan cakap dengan budak‐budak. Saya akan pujuk mereka. Tapi awak pun jangan harapkan saya aje. Awak pun kena berusaha untuk ambil hati mereka semula.”

“Awak memang isteri yang baik. Saya ni yang tak sedar dek untung,” kata Bakri dengan nada kesal. Kalau mati hidup semula pun, pasti dia akan memilih Kak Jah menjadi isterinya.

Jauh di sudut hati Kak Jah timbul rasa pelik. Berbagai persoalan yang bermain di benaknya. Apa sudah jadi dengan Bakri? Ke mana perginya panas baran yang selama ini bermaharajalela di dalam tubuh badannya? Dahulu bengisnya mengalahkan harimau jantan. Jangankan mahu meminta maaf, bercakap lembut pun dia tidak pernah. Ada saja kesalahan Kak Jah dan anak-anak yang dicarinya jika pulang ke rumah.

“Malam ni awak tidur sini, Munah tak marahke?” Sejak tadi lagi Kak Jah mahu mengajukan soalan itu tapi dia bimbang akan menjadi sebab untuk Bakri mengamuk pula nanti.

“Dia tak ada hak nak marah. Selama ni saya menurut kehendak dia saja. Sampai saya abaikan awak dan anak‐anak. Sepatutnya dari dulu lagi saya tidur bergilir hari.” Sejenak Bakri berdiam.

Dia duduk mengereng, menghadap Kak Jah. “Kenapa selama ni awak diamkan perangai saya yang tidak adil terhadap awak dan anak‐anak?” tanya Bakri. Mukanya merah menahan marah.

Dia marahkan dirinya sendiri.

“Eh eh awak ni. Perkara dah berlalu. Tak usahlah kita ungkit‐ungkit lagi dah.” Kak Jah bangkit.

Dia beralih tempat duduk.

Malas dia mahu membincangkan tentang perkara yang sudah pun berlalu. Bukan Bakri yang sepatutnya melenting dan marah‐marah. Orang yang selayaknya mengamuk tatkala itu adalah dirinya. Kalau ikutkan hati mahu saja dia naik hantu. Tapi apabila difikir‐fikirkan semula, tidak ada gunanya dia bersikap begitu. Marah bukan jalan penyelesaian yang terbaik. Untuk mengubah sikap dan perangai seseorang bukan dengan cara marah.

Dalam usia yang sudah semakin bertambah, Kak Jah mahukan ketenangan. Kak Jah tidak sanggup menjemput penyakit. Dia inginkan sisa‐sisa usia yang ada diluangkan dengan kebahagiaan dan kegembiraan. Dia bersyukur ke hadrat Illahi kerana mengurniakan kesihatan dan anak‐anak yang menurut kata.

“Assalamualaikum.” Perlahan suara Haris mengucap salam.

Kelibat Haris muncul di muka pintu. Dia perasan teksi Bakri yang terpakir di halaman rumah. Tatkala bertentang mata dengan Bakri, Haris seakan‐akan mahu mengelakkan diri untuk berada lebih lama di ruang yang sama. Sebaik saja daun pintu di kunci, tanpa berlengah dia melangkah pergi.

“Haris,” panggil Bakri.

Langkah Haris terhenti. Dia menoleh ke arah Bakri. “Ada apa ayah?” soalnya. Dia melarikan anak mata. Dia enggan bertentang mata dengan lelaki itu.

“Baru balik kerja?” soal Bakri, sengaja mencipta suasana.

Haris mengangguk laju. “Ya. Baru balik kerja.”

“Pergilah masuk mandi. Sebelum tidur makan dulu.” Bakri cuba bermesra.

Haris hanya mengangguk tanpa bersuara sebelum menghilangkan diri ke bilik tidurnya. Bakri dan Kak Jah saling berpandangan. Pandangan yang tersirat penuh makna. Dari air muka Bakri, Kak Jah dapat melihat kekesalan di wajah lelaki itu. Bakri masih belum terlambat. Dia mempunyai banyak peluang dan ruang untuk kembali bermesra dengan anak‐anak.

Berbekalkan kesabaran, Kak Jah yakin hubungan Bakri dengan anak‐anak akan kembali pulih. Kak Jah percaya anak‐anaknya mudah dipujuk kerana Bakri bukanlah orang lain tetapi ayah mereka juga. Tidak ada untungnya jika memendam sifat marah dan sakit hati. Saling bermaafan, itulah jalan terbaik untuk mengembalikan ikatan silaturrahim yang telah lama terabai.

Bakri perlu berbuat sesuatu untuk menebus semula kesilapan yang telah dilakukan sejak sekian lama. Terlalu banyak waktu yang terbuang begitu saja tanpa memberi perhatian dan tumpuan terhadap anak‐anak. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Mampukah dia meraih simpati anak‐anak agar mereka dapat memaafkan dirinya? Perlukah dia berterus terang kepada mereka mengapa dia terpaksa bernikah lain? Adakah ini hukum karma? Ahh..  kekesalan yang menghantui Bakri hanya ALLAH yang tahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan