Label

Isnin, 21 November 2016

Darlingku Minah Angau Bab2

"PAPA tak pernah kisah tentang Isha, kan?"

Wajah Anggun Danisha kelihatan tegang. Matanya tepat memandang Badri yang kelihatan
tidak ambil peduli dengan bicaranya itu. Anggun Danisha mengeluh sendirian. Ternyata
papanya tidak pernah mempedulikan dirinya. Ah, dia tidak ubah seperti seorang anak yatim
piatu walaupun hakikatnya dia masih mempunyai seorang bapa.

"Apa yang kau mengarut ni, Isha?" tanya Badri.

Dia masih leka menatap komputer ribanya. Wajah Anggun Danisha yang tegang tidak
dipandangnya.

Anggun Danisha mengeluh sambil melangkah ke balkoni. Hatinya berkeladak dengan
perasaan marah dan geram. Namun dia cuba memujuk hati.

Dia berpaling membuang pandang pada dedaun kuning merah serta berwarna coklat kering
yang bertaburan di atas bukit yang di penuhi dengan pokok maple. Kemudian dia beri
perhatian pada fros di celah batu‐batu di tebing bukit berhadapan dengan ruang tamu
mereka.

Kemudian dia memandang ke langit pula. Ah, semua itu tidak menarik perhatiannya!
Kesejukan suhu hampir di bawah paras beku ketika petang yang pendek ini juga tidak dapat
meluntur kesabarannya. Hatinya semakin membeku dengan kasih yang tidak pernah digapai.

"Isha tak kira, Isha mahu cari Bunyamin," tekad Anggun Danisha. Dia bersandar di balkoni
sambil matanya tepat memandang Badri.

Badri memandang sekilas kepada Anggun Danisha sebelum matanya kembali tertumpu
kepada laptopnya. Anggun Danisha tahu bicaranya itu telah mengocak hati dan perasaan
papanya itu.



"Isha akan pulang ke Malaysia," kata Anggun Danisha lagi. Ya dia tahu keputusan yang
dibuatnya ini adalah satu keputusan yang tepat. Tidak mungkin dia hanya duduk membatu di
sini sedangkan cinta yang dipertaruhkannya selama ini sedang menuju kehancuran.

"Isha tak faham ke apa yang papa katakan dulu? Papa tak suka Isha berkawan dengan
Bunyamin!" marah Badri sambil matanya mencerlung memandang ke arah anak tunggalnya.
Laptop yang berada di hadapannya sudah ditutup rapat.

"Kenapa pula? Isha tengok Bunyamin baik aje! Tak ada cacat celanya," kata Anggun Danisha
sambil menjuihkan bibirnya.

Dia tahu punca kebenciaan papanya disebabkan tragedi masa lalu. Tragedi yang membawa
papanya merantau ke sini. Namun Anggun Danisha yakin jauh di sudut hati papanya lelaki itu
begitu rindukan Malaysia. Kalau tidak masakan Badri lebih suka mereka bertutur dalam Bahasa
Melayu walaupun mereka berada jauh di negara orang.

"Isha, dengar sini, kalau kau bertegas mahukan Bunyamin atau mana‐mana lelaki ber bin kan
Ikhwan maknanya kau bukan anak aku lagi!"

"Cik! Cik! Dah sampai!"

Anggun Danisha mengesat air matanya. Kenangan pahit itu cuba diusirnya jauh di dasar
hatinya. Dia tidak mahu kenangan itu mengocak ketenangannya di sini. Malah kalau boleh dia
mahu terus melupakan papanya yang sudah membuang dirinya.

Mata Anggun Danisha terus tertancap pada rumah teres satu tingkat yang sederhana
besarnya. Tidak seperti rumah papanya di Findland yang boleh dikatakan selesa juga. Ah,
papanya seorang terpelajar dan boleh dikatakan seorang lelaki yang berjaya di kota
metropolitan itu.

Anggun Danisha mengeluh lemah. Dia tidak faham mengapa papanya sanggup membuang
keluarganya hanya kerana dendam lama?

"Betul ke alamat yang pak cik berikan ini?" tanya Anggun Danisha.

Dia mahu memastikan alamat yang diberikan oleh papanya adalah tepat. Dia masih ingat lagi
betapa payahnya papanya mahu memberikan alamat rumah datuknya itu.

"Ingat Isha selepas kaki kau melangkah ke luar dari rumah ini kau bukan anak aku lagi! Aku tak
akan ambil tahu lagi pasal kau dan bagi aku kau sudah lama mati!"

Anggun Danisha menarik nafasnya dalam‐dalam. Sesekali kenangan pahit itu menjelma
membuatkan hati dan perasaannya terasa mahu menjerit sekuat‐kuatnya. Betapa kejamnya
papanya kerana sanggup membuang dirinya hanya kerana keputusan yang telah dibuatnya ini.

"Saya sangat pasti, cik," kata pemandu teksi itu.

Anggun Danisha mengangguk. Dia segera membayar tambang teksi sebelum kakinya
melangkah keluar dari perut teksi itu. Setelah mengeluarkan barang‐barang miliknya pemandu
teksi itu segera berlalu.

Anggun Danisha menarik nafasnya. Perasaannya kembali berdebar. Bagaimanakah penerimaan
datuknya apabila melihat dirinya berada di sini? Cucu yang tidak pernah diketahui
kewujudannya.

Setahunya sudah hampir 23 tahun papanya tidak pulang ke Malaysia kerana berjauh hati
dengan sikap datuknya yang lebih sayangkan anak angkatnya daripada anak kandungnya
sendiri. Hanya itu yang diketahui oleh Anggun Danisha tentang masa lalu papanya itu. Itu pun
setelah dicerita oleh arwah mamanya dulu.

Sekali lagi Anggun Danisha menarik nafasnya. Dia tahu keputusan yang dilakukan ini adalah
satu keputusan yang tepat. Sebenarnya dia sudah lelah hidup sebatang kara. Selepas kematian
mamanya hampir setahun yang lalu dia benar‐benar rasa sendirian. Papa yang sentiasa serius
tidak pernah mahu menunjukkan rasa kasihnya kepada Anggun Danisha.

"Isha masih ada keluarga di Malaysia. Kalau Isha ada peluang carilah mereka. Mama tak nak
Isha jadi seperti mama. Hidup sebatang kara di sini."

Nasihat mamanya masih tergiang‐giang lagi di fikirannya. Mamanya yang berasal dari
Indonesia tidak pernah mengenali keluarga asalnya di Indonesia. Malah dia hidup sebatang
kara setelah kedua‐dua ibu bapanya meninggal dunia di Finland.

Dengan debaran di dada, Anggun Danisha terus menekan loceng rumah. Dia tahu apa yang
dilakukan ini adalah satu keputusan yang terbaik untuk dirinya. Bukan sahaja dia dapat
mencari keluarga asalnya tetapi juga dia dapat meraih kembali cintanya terhadap Bunyamin.
Bibir Anggun Danisha tersenyum lebar. Sungguh dia berasa tidak sabar untuk bertemu semula
dengan Bunyamin. Satu‐satunya lelaki yang memiliki hatinya.

Senyuman Anggun Danisha mati apabila matanya tertancap pada seorang lelaki yang baru
sahaja keluar dari perut teksi. Matanya membuntang. Dadanya berdebar hebat. Malah mata
lelaki itu juga turut membuntang apabila melihat Anggun Danisha berada di situ. Ah, mesti
taktik lapuknya itu. Sengaja buat‐buat terkejut!

"You ikut I sampai sini? Apa yang you nak daripada I sebenarnya?" tanya Anggun Danisha.
Dia sudah gelabah. Rupanya lelaki itu tidak pernah mengalah dalam usahanya menawan hati
Anggun Danisha.

Harith Mishka mengeluh geram. Lagi geram apabila minah perasan ini sesedap hatinya sahaja
mahu menuduhnya sebegitu. Sepatutnya wanita itu cermin diri sendiri. Tidak mungkin wanita
sebegini yang menjadi citarasanya. Malah, dia bukan jenis lelaki yang percaya kepada cinta
pandang pertama!

"Oh, jadi betullah you sukakan I? Alamak apa yang perlu I lakukan," kata Anggun Danisha
sedikit mengelabah.

Dia tidak sangka sampai sejauh ini lelaki ini sanggup mengejarnya. Usaha yang dilakukan oleh
lelaki ini sepatutnya dihargainya.

"Hey, minah perasan! Boleh tak jangan terlalu perasan sangat! Kau ingat aku dah hilang akal ke
sampai aku boleh jatuh hati dengan perempuan macam kau ni? Kau cubalah cermin diri kau!
Kau ingat kau tu cantik sangat!﴾?﴿" kata Harith Mishka.

Buntang biji mata Anggun Danisha apabila mendengarkan bicara sinis Harith Mishka itu. Nafas
Anggun Danisha sudah tidak sekata dan barannya sudah naik sampai ke kepala. Lelaki yang
berada di hadapannya ini sudah dipandangnya kecil sahaja. Kalau diikutkan hatinya yang
sedang marah mahu sahaja dia menampar lelaki itu.

"Hey, you jaga sikit mulut you! You ingat I perempuan I tak boleh belasah you?" kata Anggun
Danisha.

Lengannya sudah disinsingkan. Kononnya sudah bersedia dengan pertempuran antara mereka.
Harith Mishka tersenyum sinis. Terasa ingin ketawa dengan tindakan Anggun Danisha. Namun
dia berlagak tenang. Tidak mahu minah perasan ini akan lebih perasan jikalau dia bersikap
mesra dengannya.

"Aku yang sepatutnya bertanya kenapa kau ada kat sini," kata Harith Mishka.

Anggun Danisha terkesima. Dia memandang rumah teres itu dan Harith Mishka silih berganti.
Kenapa lelaki itu berkata begitu? Eh, aku dah tersalah rumah ke? Fikir Anggun Danisha.

"You buat apa kat sini?" tanya Anggun Danisha dengan wajah terkebil‐kebil.

"Ini rumah aku! Dan kau pula buat apa kat depan rumah aku ni?" tanya Harith Mishka sambil
menjegilkan matanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan