Label

Isnin, 21 November 2016

NOVEL Di Sebalik Talian Bab2

Saya menggeliat sambil membuat sedikit senaman kecil. Dalam hati rasa lega kerana syif telah
pun habis. Yang paling menggembirakan ialah esok saya cuti rehat. Saya bertekad saya mahu
tidur puas‐puas. Saya tersenyum kecil sambil menggeleng kepala. Apalah saya ini. Sepatutnya
kalau ada cuti rehat saya patut keluar jalan‐jalan, enjoy berhabis‐habisan. Ini tidak. Tidur pula
rancangan saya. Memang tiada kehidupan langsung! Nasib baik saya bukan doktor atau
jururawat.

Perut saya mula berkeroncong. Macam tahu‐tahu sahaja perut saya ini yang saya sudah habis
syif. Mulalah dia meragam minta makanan. Saya menepuk perut saya dan berbisik sendirian,

“Okay, sabar wahai perut. Jom kita pergibreakfast.”

Setelah saya ucap selamat tinggal pada mereka yang kerja syif pagi, saya terus melangkah
panjang ke kantin. Apa boleh buatlah, kalau dah memang kelaparan yang teramat sangat,
mana ingat mahu control jalan tu. Mata saya dah tersangkut pada nasi lemak yang dipamerkan
itu. Berliur‐liur saya rasa. Saya terus melangkah dengan lebih laju lagi, rasa takut pula habis
nasi lemak itu, tidak pasal‐pasal kempunan di awal pagi ini.

Beberapa langkah lagi saya akan sampai ke destinasi saya, tiba‐tiba saya dilanggari oleh
seorang insan yang tidak diketahui. Kebetulan pula dia tengah membawa tray yang berisikan
mi kari dan minuman kopi hitam yang panas pula tu. Habis basah baju saya yang kebetulan
pula berwarna putih. Saya rasa panas membara secara fizikal dengan emosi juga. Yelah, panas
bah itu kopi, terkena badan saya. Rasa malu pun ada juga. Saya tengok keadaan baju saya
yang bercampur‐aduk warnanya, tambah berang saya rasa. Saya terus menjeling ke arah si
pelaku itu. Seorang lelaki dengan sedikit stubble di muka, dengan muka yang sangat rasa
bersalah itu, terus mencapai tisu di kaunter dan terus berusaha lap baju saya yang memang
tidak dapat diselamatkan. Muka saya bertambah panas. Dahlah dia kotorkan baju saya, dia
berani pula sentuh badan saya tanpa kebenaran saya! Niat baik atau tidak itu belakang kira.
Maruah ini mana nak letak?

Saya memegang erat tangan dia untuk menghentikan tindakan yang memalukan itu. “Eh,
sudahlah. Jangan sentuh lagi badan saya,” saya tengking pada dia dengan suara yang tidak
berapa kuat. Saya tidak mahu mengambil banyak lagi perhatian. Sudah begitu ramai orang
yang tengok kami ini.



Seperti baru sedar apa yang dia buat, dia terus tarik tangan yang saya pegang itu dan
masukkannya ke dalam poket seluarnya. Muka dia nampak sangat merah. Kesian pula saya
tengok dia, tapi saya buang jauh‐jauh rasa kesian itu. Buat apa saya mahu simpati pada orang
yang mengotorkan baju saya?

“Sorry, sorry, cik adik, sorry sangat. Sa......saya tidak sengaja.....erm....” dia tergagap, nampak
termengah‐mengah pun ada juga.

Dalam pada itu, sempat saya tergamam. Cik adik? Kenapa saya rasa saya pernah dengar saja
ayat itu?

“Nanti saya ganti balik baju itu. Saya tidak sengaja. Saya rushing dan tidak nampak kamu,” dia
berkata lagi, sambil menundukkan kepalanya. Dari situ saya ternampak name tag dia. DR.
STEPHEN MARCUS.

Saya tergamam. Rasa tidak percaya pun ada. Saya tengok semula rupa dia dengan teliti. Dia
agak‐agaknya tinggi seratus enam puluh lima sentimeter. Rambut pendek terpacak di
hadapan. Mempunyai lesung pipit di sebelah kanan. Badan macam seorang perenang. Warna
kulit ada sedikittan. Saya juga nampak urat tangannya yang menyerlah. Mata saya kembali
kepada muka dia. Dia pandang saya kembali, muka masih merah dan bibirnya terketar‐ketar.
Saya menelan air liur dan menarik nafas sedalam mungkin.

Inilah doktor yang sering kali berada dalam fikiran dan lamunan saya! Dr. Stephen Marcus,
doktor bersuara garau yang ambil berat sama saya, berdiri di depan saya. Betul‐betul di depan
saya! Dia juga memanggil saya “cik adik”. Adakah dia tahu siapa saya?

“Boleh kamu maafkan saya? Saya betul‐betul tidak sengaja,” kata Dr. Stephen. Dia nampak
seperti tidak mengecam saya. Saya tahu kenapa. Suara saya di talian dengan di realiti tidak
sama. Ramai yang beritahu saya begitu. Mungkin sebab itu dia tidak tahu saya adalah “cik
adik” yang sama.

Hati saya sudah sejuk. Saya sudah tidak sedar lagi orang di sekeliling saya. Yang saya tahu
sekarang hanya wujud saya dengan dia. Saya sudah tidak kisah dengan semua itu. Saya rasa
bertuah pula kerana insiden ini telah menemukan saya dengan Dr. Stephen. Dia tidak juga
rupa macam Prince Charming, tetapi ada sesuatu tentang dia yang buat saya tertarik hati.
Tertarik hati? Sejak bila saya ada hati pada Dr. Stephen?

“Cik adik....”.Arrghhh, sudah‐sudahlah dengan “cik adik” itu! Saya marah dalam hati. Tetapi saya
cuba untuk senyum padanya untuk menenangkan dia.

“Tak apa, doktor, malang tidak berbau. Salah saya juga, mata saya tidak nampak kamu tadi.”

“Tapi baju kamu.....?”

“Tak apa. Banyak lagi baju saya di rumah. Satu baju rosak bukan beerti dunia berakhir pun.”

Saya tipu dia. Di rumah saya hanya ada empat helai baju lagi. Nampaknya besok saya terpaksa
keluar pergi shopping mall. Saya paling malas mahu shopping.

Dia menggaru kepala dia. Akhirnya dia mengalah. “At least biar saya belanja kamu makan. Bagi
lega hati saya sikit. Boleh?”

Saya mengganguk tanda setuju. Yelah, dah memang salah dia pun, dia memang patut belanja
saya. Dia senyum pada saya menampakkan sebaris gigi dia yang putih itu. Alamak, cair saya
nampak senyuman dia itu.

“Kamu mahu nasi lemak kan? Bang, saya mahu nasi lemak tiga bungkus.”

Mata saya terbeliak. “Erm, doktor. Buat apa tiga bungkus? Saya cukup saja satu bungkus‐”

“Aiya cik adik, saya tetap mahu beli tiga bungkus untuk kamu. Kalau kamu tidak mampu
habiskan, bagi pada keluarga kamu yang lain saja,please?”

Dia punya mata itu memang buat saya susah mahu resist permintaan dia. Saya akhirnya
mengalah juga. Selepas dia siap bayar nasi lemak itu, dia bagi saya plastik itu. Sempat pula jari
kami bersentuhan. Dia nampak macam tiada reaksi saja, manakala saya pula bagai jantung nak
tercabut.

“Terima kasih doktor,” saya berkata dengan senyuman sipu. Mata saya tiba‐tiba sahaja fokus
kepada corak lantai, tidak berani lagi mahu bertentang mata dengan dia. Takut pula saya buat
perkara yang tidak senonoh kalau saya renung lama‐lama. Dia menggangguk dan menunduk
pada saya.

“Kamu mesti makan okey? Lepas itu tidur cukup‐cukup,” nasihat dia. Saya tersentak sekejap.
Dia tahukah siapa saya sebenarnya? Muka dia masih macam itu juga, tiada tanda‐tanda yang
dia cam saya. Mungkin imaginasi saya kot.

Saya tidak mampu berkata apa‐apa. Saya hanya mengangguk dan melangkah pergi ke tempat
parkir kereta. Selepas sahaja saya duduk di dalam kereta dan menguncinya, saya terus teriak
dan tepuk kedua‐dua belah pipi saya. Saya masih rasa di awang‐awangan yang saya akhirnya
bersemuka dengan Dr. Stephen. Di saat itulah saya mengakui pada diri sendiri yang saya sudah
jatuh cinta pada insan yang bernama Dr. Stephen Marcus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan