Label

Sabtu, 26 November 2016

NOVEL Akhirnya Bab8

FIKIRAN Luqman Adzlie mula ligat memutarkan pengalamannya semasa berada di kelab malam Semarak Café malam minggu yang lalu. Ingatannya terus melayang jauh kepada gadis berambut perang yang dilihatnya malam itu.

“Termenung jauh nampak!” tegur Alia Sofia yang lalu di hadapan meja Luqman Adzlie.

“Teringat buah hatikah?” tambahnya lagi.

Luqman Adzlie tersentak. Terkejut apabila ditegur secara tiba‐tiba oleh Alia Sofia, teman
sepejabatnya itu. Sikap mudah mesra Alia Sofia memang disenangi oleh rakan‐rakan sepejabatnya. Sifatnya yang periang dan peramah juga satu kelebihan kepadanya.

“Ehh….tak ada masa aku nak fikirkan tentang dia pagi‐pagi ni. Banyak lagi tugasan aku yang
belum selesai,” balas Luqman Adzlie, cuba menyakin Alia Sofia.

“Bolehkah aku percaya?”

“Terpulanglah pada kau sama ada nak percaya atau tidak!”

“Err….semalam Fika datang cari kau tapi kau tak ada,” ujar Alia Sofia sambil ketawa kecil. Dia
memang suka mengusik Luqman Adzlie.

“Tak bolehkan dia datang ke sini? Kalau datang sini, mestikah nak jumpa aku? Mungkin dia ada
urusan lain agaknya…,” tukas Luqman Adzlie seperti mahu lari daripada persoalan yang
ditimbulkan oleh Alia Sofia kepadanya.

“Iyalah…..banyaklah urusan dia dekat sini! Jangan tipu aku Man…..dia ada jumpa aku tanyakan
pasal kau,”



“Mungkin secara kebetulan saja dia ke sini,” jawab Luqman Adzlie seperti mahu mengelak.

Luqman Adzlie menahan sabar atas usikan Alia Sofia. Dia faham benar dengan perangai Alia
Sofia yang suka mengusiknya. Hubungan antara Luqman Adzlie dan Syafika Aziera sebagai
pasangan yang sedang di alam pertunangan itu bukanlah menjadi satu rahsia di kalangan sahabat‐sahabatnya. Sebelum bertunang, Syafika Aziera juga pernah bertugas di syarikat itu.

Dia bertugas di Jabatan Pengiklanan mana Luqman Adzlie sebagai wartawan. Setelah hampir
dua tahun mengenali hati budi masing‐masing, Luqman dan Syafika Aziera mengambil kata
sepakat untuk mengikat janji melalui majlis pertunangan. Sudah hampir lapan bulan ikatan
pertunangan itu berlangsung. Kini mereka hanya menantikan hari yang sesuai untuk disatukan
bagi melayari hari bahagia mereka.

“Kita orang dah tak sabar nak makan nasi minyak kau orang berdua. Cepat‐cepatlah edar kad
jemputan pada kami semua, okey!” usik Alia Sofia lagi sambil ketawa memanjang.

“Sudahlah….pergilah buat kerja tu. Kalau kau dah tak sabar nak makan nasi minyak, tengahari
nanti aku belanja kau makan di warung mamak hujung jalan sana tu!” balas Luqman Adzlie
menyindir Alia Sofia.

“Kalau nasi minyak mamak tu…..tak payah. Aku sendiri dah muak nak makan!” jawab Alia Sofia
sambil berlalu meninggalkan Luqman Adzlie yang masih tergelak kecil ketawa.

“Ehh….nak pergi mana pulak tu?” usik Luqman Adzlie lagi.

“Malas nak layan kau…..mulalah merepek!”

Luqman Adzlie hanya mampu mengelengkan kepalanya. Dia faham benar dengan perangai Alia Sofia. Dia kuat mengusik tapi tidak pernah ambil hati apabila bergurau dengan teman-teman
sepejabat. Teman‐teman sepejabat yang melihat gelagat mereka berdua turut tersenyum. Bagi mereka skesta sebegitu turut menceriakan hati dan perasaan mereka semua yang terpaksa bekerja dalam keadaan yang tertekan. Suasana begitu akan meredakan perasaan yang tegang.

Sejak akhir‐akhir ini Syafika Aziera kerap berjumpa dengan Luqman Adzlie. Jika tidak, tunangannya itu akan menelefonnya di pejabat. Bila teringatkan Syafika Aziera, hatinya semakin resah. Saat itu wajah Syafika Aziera mula menerawang di ruang fikirannya. Ada sesuatu yang mula membuatkan perasaannya tidak tenang sejak akhir‐akhir ini. Kesibukannya sebagai wartawan banyak mencuri tumpuannya terhadap kerjaya yang diminati sejak bersekolah menengah lagi. Faktor hambatan masa semakin menjarakkan hubungannya dengan Syafika Aziera. Dia serba salah. Antara tugas dan hati perasaan tunangnya itu, mana satu yang harus didahulukan. Dia teringat saat pertemuannya dengan Syafika Aziera tiga minggu lalu. Sedikit pertengkaran kecil dan salah faham berlaku antara mereka berdua.

“Man…..you dah buat keputusan ke?”

Luqman Adzlie terdiam. Matanya tepat melihat Syafika Aziera yang nampak tenang ketika menyedut minuman di hadapannya. Dia nampak resah apabila diajukan persoalan begitu. Dia serba salah. Dia seperti belum bersedia untuk menjawab soalan tunangannya itu. Hatinya terus bungkam. Syafika Aziera kembali memandang tepat ke wajah Luqman Adzlie. Perasaan bimbang mula merajai hati perempuan itu.

“Kenapa dengan you ni? I risaulah…you tahu tak? Family pun selalu tanya tapi apa yang I boleh
jawab sebab keputusannya di tangan you…,” keluh Syafika Aziera lagi.

Luqman Adzlie mengetap bibir. Terdengar keluhan kecil dilepaskan. Syafika Aziera masih lagi
menanti jawapan dari kekasihnya itu. Luqman Adzlie masih lagi berdiam diri. Dia seperti kehilangan kata‐kata. Syafika Aziera mula sangsi. Di jiwanya mula tumbuh satu perasaan yang kurang senang terhadap Luqman Adzlie.

“Atau…..you sudah ada……,” tidak sempat Syafika Aziera menghabiskan kata‐kata itu. Luqman
Adzlie pantas mencelah.

“Fika….you jangan fikir yang bukan‐bukan. Bukan I tak mahu buat keputusan itu sekarang
tapi……,” Luqman terdiam seketika bagaikan kehilangan kata‐kata.

“Tapi apa? Tapi apa Man? Atau you dah ada perempuan lain!” tiba‐tiba Syafika Aziera bagaikan
hilang ingatan melepaskan geramnya.

Luqman Adzlie terkedu dengan tuduhan Syafika Aziera terhadapnya. Mungkin tunangannya itu
tidak memahami tugasannya yang banyak ketika itu.

“Fika……apa kena dengan you ni? Cuba bertenang sikit. Di dalam hati I ni tak ada perempuan
lain selain dari you. Cubalah faham sikit perasaan hati I ni!” tukas Luqman Adzlie setelah sekian
lama membisu. Nada suaranya agak keras tetapi tuturnya agak berhati‐hati.

“Kalau you sayangkan I kenapa susah sangat you nak buat keputusan? You buat macam I tak
ada perasaan,” balas Syafika Aziera seperti memulang paku buah keras kepada Luqman Adzlie.

Luqman Adzlie mendengus lagi. Pandangan tajamnya singgah di wajah Syafika Aziera. Dia tahu
hati perempuan di hadapannya itu mudah terguris. Ada manik‐manik putih mula bergenang di
kolam takungan mata gadis yang bernama Syafika Aziera itu. Luqman mula kendur.

“Macam inilah sayang……Man rasa hari ini tak sesuai untuk kita bincangkan hal ini. Nanti kita
bicara kemudian. Kesat air mata tu…..tak elok menangis di sini,” sela Luqman Adzlie sambil
mengeluarkan sapu tangannya untuk menyeka air mata di pipi tunangannya itu.

“Man harap Fika bersabar sikit…..kalau dah jodoh….pasti kita akan bersama akhirnya,” pujuk
Luqman Adzlie lagi.

Syafika Aziera diam seketika dan kembali tenang. Dia faham kini. Dia tertunduk memikirkan
pertemuan petang itu. Kadang‐kadang dia juga seperti ada rasa bersalah. Dia terlalu mendesak. Akibatnya Luqman Adzlie juga tertekan. Mungkin itu berpunca daripada perasaan perempuannya yang takut kehilangan Luqman Adzlie. Dia tahu lelaki itu ramai peminatnya.

Ramai gadis di luar sana yang tergila‐gilakan tunangannya itu. Atas sebab itulah dia memberi
alasan desakan keluarga supaya Luqman Adzlie boleh berfikir secara lebih serius tentang
perhubungan mereka.

“Hai Man……dah siap kerja tu?”

Terkejut Luqman Adzlie dengan teguran itu. Serta merta ingatannya terhadap Syafika Aziera
terpadam. Alia Sofia terkekeh‐kekeh ketawa. Dia yang lalu sekali lagi di hadapan meja Luqman
Adzlie terus mengusik lelaki itu.

“Wah…..ini dah kes berat. Sampai dua kali termenung!”

“Wahai Cik Alia……kalau tak ganggu saya, tak bolehkah?” gerutu Luqman Adzlie.

“Rilekslah Man……aku bukannya apa, kesian tengok si Fika tu,”

“Kalau kesian…..kau tolonglah dia,”

“Apa pulak aku. Kau tunangannya, kaulah sepatutnya kesiankan dia,”

“Aku sibuk ni….tak ada masa nak layan kau….,” balas Luqman Adzlie cuba mengubah topik
perbualan.

“Alah….aku tahulah Man. Buat apa kau nak layan aku…..nanti marah pulak abang aku yang seorang tu!”

Alia Sofia tidak mahu mengalah. Luqman Adzlie turut sama melayan. Suasana di meja itu semakin gamat. Beberapa orang staf wartawan yang berada di sekeliling mereka turut tersenyum. Ada yang menggeleng‐gelengkan kepala sambil menahan gelak. Mereka semua sudah faham dengan peangai Alia Sofia yang suka mengusik kawan‐kawannya. Mereka tahunya baik dan suka membantu kawan‐kawan di pejabat serta ringan tangan. Hanya orang yang tidak tahan dengan kerenahnya itu akn ambil hati. Namun bagi Luqman Adzlie dia sudah biasa dengan keadaan itu. Luqman Adzlie diam seketika.

“Kau marah aku Man?” soal Alia Sofia apabila mendapati Luqman Adzlie mula menumpukan
perhatiannya kepada skrin komputernya. “Patutlah Fika cemburu….makin marah makin macho!” usik Alia Sofia berterusan. Serta‐merta pandangan Luqman Adzlie tertumpu semula kepada Alia Sofia yang masih berdiri di hadapan mejanya.

“Bercakap dengan kau lama‐lama memang ada rasa nak marah……tapi aku lain pulak. Lamalama
aku jadi sayang pulak pada kau!” usik Luqman Adzlie pula kepada Alia Sofia.

Alia Sofia tersentak. Kini giliran Luqman Adzlie pula mengusiknya.

“Ehh…..ke situ pulak. Habis tu…..Fika kau nak letak mana?”

“Letaklah mana‐mana kau suka!”

“Tolonglah…..tak sanggup aku nak bermadu!”

Alia Sofia bertambah geram apabila dia pula menjadi bahan usikan Luqman Adzlie. Rakan-rakan
setugas di sekelilingnya pula mentertawakannya. Dia pula berasa amat malu tetapi cuba mengawal perasaannya. Mukanya nampak merah padam.

“Ohh…..nak kenakan kita pulak. Sudahlah….aku pergi buat kerja aku lagi bagus!” tukas Alia
Sofia sambil berlalu pergi.

“Ehh…..nanti dulu Alia…..ada lagi cerita aku nak beritahu pada kau,” tambah Luqman Adzlie
sambil ketawa memanjang.

“Simpan dulu cerita kau tu……aku pun banyak cerita nak buat. Petang nanti orang tua tu nak
jumpa aku,”

“Baguslah macam tu. Buat kerja tu baik‐baik naa.” Seloroh Luqman Adzlie lagi.

Dia terus tersenyum melihat Alia Sofia tergesa‐gesa meninggalkan mejanya. Luqman Adzlie kembali serius menukangi kerjanya. Ingatannya terhadap Syafika Aziera turut lenyap. Apa yang penting dia harus menyiapkan tugasannya. Serta merta ingatannya terhadap gadis berambut perang yang dilihat di Semarak Café kembali menerjah kotak fikirannya.

“Siapakah gerangannya gadis itu?” hatinya terus berdetik.

Jawapannya harus segera dicari. Dia amat yakin dan pasti, gadis berambut perang itu adalah salah seorang suspek yang boleh membantu misinya. Angannya terhadap gadis itu terus subur. Masih terimbas di mindanya, segaris senyuman yang manis di bibir gadis itu. Tiba‐tiba ada rasa berdebar memukul dadanya. Tanpa dipaksa, bibirnya juga menguntumkan sebuah senyuman. Sambil memejam mata, jiwanya berterusan melayang jauh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan