Label

Selasa, 29 November 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab9

‐Tahun 1997‐

Hampir setengah jam permainan berlangsung, namun Fikri masih tidak dapat menentukan siapakah pemenangnya. Kedua‐dua remaja perempuan di hadapannya ini masih gigih berusaha untuk mengikat bayangan kemenangan utuh berpihak kepada diri masing‐masing. Fikri sendiri tidak tahu untuk berpihak kepada siapa. Masing‐masing mempunyai tempat istimewa di hatinya. Tetapi ternyata matanya lebih enak melirik kepada pihak lawan adik kandungnya sendiri. Di saat orang luar itu hampir tidak dapat menyambut bulu tangkis yang di tampar kuat oleh raket adiknya, kegelisahan menguasai hatinya. Takut insan itu kecundang. Namun, di saat adiknya sendiri tersungkur akibat pukulan smash daripada orang luar itu senyuman cepat sahaja terukir di bibirnya. Layakkah dirinya untuk mengakui sayang dan kasih kepada adiknya lagi?

“Jahatlah abang ni!”

Tersentak Fikri. Serta merta ketakutan menguasai dirinya. Dia takut andai adiknya sedar akan reaksi yang diberikannya sebentar tadi.

“Apa?… Apa yang abang dah buat?”

Fikri berpura‐pura tidak mengerti. Orang luar itu pula sudah tersenyum geli hati melihat
kekalutannya.

“Eleh! Abang ingat adik tak nampak abang gelakkan adik!”

“Mana ada abang gelak. Abang senyum jelah.”

Jujur Fikri akhirnya memakan diri.

“Samalah tu! Gelak ke! Senyum ke! Sama je. Abang memang sukakan tengok adik jatuh. Kalah
dengan Balkis!”



Raket di tangan dicampak kuat. Sejujurnya Fikri hanyalah pemangkin kemarahannya sahaja, tetapi penyebab utama ternyalanya api di hati Mashitah saat ini adalah kerana dirinya sedang diejek oleh kekalahan. Ya! Masuk kali ini sudah lima kali dia kalah dalam perlawanan yang diaturnya sendiri. Balkis, sahabatnya itu memang handal bermain. Ratu badminton! Itulah gelaran yang diberikan oleh Mashitah kepada Balkis. Walaupun dia tahu kemenangan tidak akan berpihak kepada dirinya, tetapi kepala batunya tetap jua mahu mencabar sahabatnya itu dan apabila dirinya kecundang pasti sahaja hatinya merana lagi. Namun tidaklah sehingga mencalarkan persahabatan yang terjalin antara mereka.

“Nak pergi mana tu?”

Aku pantas mengekori Mashitah yang sudah melangkah laju. Aku tahu hatinya masih sakit dengan kekalahan yang baru diterima, tambahan pula Abang Fikri sendiri tidak memberikan sokongan sepenuhnya kepada sahabatku itu.

“Tak payah layan Mashitah tu. Nanti dah sejuk pandailah dia cari kita.”

“Alah! Abang tu memang, jahat! Adik beritahu mama yang abang tak sokong adik. Tengoklah nanti kat rumah, adik nak buat apa!”

Ugut Mashitah. Tidakku sangka kata‐kata lelaki yang sudah menahan langkahku ini didengari oleh Mashitah yang agak jauh jaraknya dengan kami. Mungkin kerana nada Abang Fikri yang agak tinggi itulah puncanya. Aku kian serba salah. Tidak tahu untuk meneruskan langkah yang dihalang atau sekadar membiarkan sahaja sahabatku itu sejuk sendiri hatinya.

“Dahlah Balkis. Tak payah dikejar Mashitah tu. Bukan setiap kali dia kalah, dia akan buat perkara yang sama ke? Merajuk, marah, lepas tu selamba je dia tegur kita bila dia dah okey.”

“Emm… Tapi, saya risaulah tengok Mashitah.”

“Nak risau apa?”

“Yelah, manalah tahukan kali ni dia betul‐betul terasa ke dengan kita.”

“Dia terasa dengan abang, bukan dengan Balkis.”

Otakku laju menilai kata‐kata itu. Tanpa sedar mataku sudah memandang tepat ke arah lelaki yang masih berdiri tetap di hadapanku ini. Tidak berganjak sedari tadi, biarpun Mashitah sudah
menghilangkan bayangnya.

“Kenapa pandang abang macam tu?”

Segeraku tundukkan wajahku sebelum mulut ini menuturkan kata‐kata.

“Kenapa abang ketawakan Mashitah tadi? Tak baik abang buat macam tu. Diakan adik kandung abang sendiri. Nanti kalau dia mengadu dengan Mak Cik Zawiyah macam mana?”

“Abang bukan sengaja. Lagipun kelakar betullah abang tengok dia jatuh tadi. Macam nangka busuk.”

“Tak baiklah abang cakap macam tu. Kalau Mashitah dengar nanti lagi, lagi susah kita nak pujuk dia.”

Sedikit tegas kali ini tuturanku.

“Okey sorry.”

“Bukan pada saya. Tapi pada Mashitah. Abang patut minta maaf dengan Mashitah. Lagipun saya tak nak Mak Cik Zawiyah salah faham pada saya.”

“Taklah. Mama takkan salah faham dengan Balkis. Mama kenal dengan anak perempuan dia tu.
Memang kaki mengadu. Sikit‐sikit mengadu. Mama pun kadang‐kadang dah bosan dengan mulut becok dia tu. Kadang‐kadang mama buat tak tahu je bila dia mengomel. Lagipun… Abang tahu yang mama takkan salah faham langsung dekat Balkis.”

“Kenapa pulak?”

Sekadar ingin tahu, aku menyuakan persoalan itu.

“Sebab… Mama dah anggap Baklis ni macam anak kandung dia sendiri. Mama pernah beritahu
macam tu pada abang dan Mashitah.”

Kali iniku angkat semula wajahku. Mencari kejujuran di wajah lelaki yang turut sama memandangku. Tidak terlihat langsung garisan penipuan di wajah Abang Fikri. Aku yakin dia meluahkan sebuah kebenaran. Kebenaran yang menyentuh hati remajaku.

“Balkis… Balkis okey ke?”

Fikri tahu gadis di hadapannya ini sedang berkocak jiwanya, andai tidak masakan genangan air mata terlihat di mata lembut itu.

“Saya okey.”

Ku tarik nafas dalam untuk menyeimbangkan emosiku.

“Abang, kalau tak ada apa‐apa lagi saya minta diri dulu.”

“Nanti… Nanti Balkis. Boleh tak kalau kita duduk dekat kerusi sana tu? Abang nak berbual dengan Balkis sekejap. Dah lama rasanya abang tak dapat bersembang dengan Balkis.”

Aku melihat ke arah kerusi kayu yang ditukang oleh walid wan. Kedudukannya betul‐betul
berhadapan dengan tangga hadapan rumah walid wan dan diredupi dengan pokok mangga yang rendang.
Rasa serba salah menyelinap ke dalam diri. Tidak betah untuk membuat keputusan.
“Balkis. Tolonglah… Balkis tak kesian ke dengan abang? Abang baru je sampai tadi. Rehat pun
tak lagi. Abang terus ke sini untuk tengok Balkis. Err… Maksud abang, nak tengok Balkis
dengan Mashitah.”
Fikri membetulkan ayatnya. Takut andai gadis di hadapannya ini mengetahui rahsia hatinya.
Dan selebihnya dia takut andai rasa cintanya terhadap Balkis menyebabkan gadis ini
menjarakkan dirinya terus dari bersua muka dengannya.
“Emm… Baiklah. Tapi, sekejap je ya.”
“Baiklah.”
Terukir senyuman lebar di wajah Fikri. Akhirnya apa yang diingini hatinya tercapai jua.
Bersemangat Fikri mengatur langkah.
Aku menjarakkan dudukku dengan Abang Fikri. Masih kurang selesa duduk berdua‐duaan
dengannya seperti waktu ini. Mujur sahaja lokasinya betul‐betul di halaman rumah walid wan.
Andai tidak pasti sahaja penolakan akan diterima oleh lelaki yang sedang memandang ke
arahku ini.
Masih belum puas Fikri memandang seraut wajah di sebelahnya ini. Setiap hari dia merindui
Balkis. Kerinduannya kian menebal saat mendapat tahu yang Balkis akan pulang ke rumah
walid wan. Cepat sahaja dia mengambil tiket bas dan terus pulang sesudah kelasnya yang
terakhir tengah hari tadi. Biarpun kepenatan, namun hatinya puas dapat menatap seraut wajah
yang kian ayu. Ingatannya berputar laju mengingati waktu dulu. Waktu pertama kali dia
bertemu dengan gadis yang pemalu ini. Waktu itu Balkis berkurung sekolah kebangsaan dan
baru berusia sebelas tahun. Pertama kali bertemu gadis ini hatinya sudah merasai sedikit
keanehan. Difikirkan mungkin kerana emosi dan perasaan remajanya yang waktu itu belum
benar‐benar mengenali apa itu rasa kasih serta cinta. Mungkin dirinya keliru untuk mentafsir
kedua‐dua perasaan itu dan mustahil untuknya jatuh cinta kepada budak yang belum lagi
baligh pada pengiraannya. Tetapi itu dahulu! Andai saat inilah ditanyakan apakah perasaan
sebenarnya yang sedang bergayut di tali hatinya terhadap gadis yang masih membisu ini, pasti
jawapannya adalah cinta! Ya. Dia menyintai Balkis!
“Abang nak sembang abang?”
Tersentak Fikri dari lamunan. Segera dilarikan wajahnya. Terasa debaran di dadanya saat
mendengar suara lembut itu.
“Abang… Abang nak tanya. Macam mana keadaan Balkis di sekolah? Dah tiga tahunkan Balkis
di sekolah tu. Okey ke?”
“Alhamdulillah. Okey. Tapi… Saya selalu rindukan Mashitah. Mujur sahaja walid wan sanggup
mengambil saya andai perlepasan diberikan oleh pihak sekolah.”
“Baguslah. Lagipun abang gembira bila tengok Balkis tersenyum macam ni. Abang tahu,
memang itulah impian Balkis. Untuk bersekolah di sekolah agama berasrama penuh.”
“Bukan setakat impian saya, tetapi lebih kepada impian walid wan dan umi tuk. Saya nak
mereka berasa gembira dan bangga.”
“Abang yakin sangat yang walid wan serta umi tuk gembira dan bangga sebab bercucukan
insan sesempurna Balkis.”
Ikhlas pujian itu. Namun entah mengapa keikhlasan itu menghadirkan suram di wajah Balkis.
“Kenapa ni Balkis. Abang ada tersalah cakap ke?”
“Tak… Cuma pujian itu tak layak untuk saya terima.”
Sayu kedengaran suaraku.
“Kenapa pulak? Memang Balkis sempurna di mata abang.”
Fikri menetapkan pendiriannya.
“Itu mungkin di mata abang. Tapi… Di mata orang kampung, saya ni tak ubah ibarat sampah
yang menyakitkan penglihatan dan menghadirkan rasa busuk di hati mereka.”
Entah mengapa mudah benar kali ini aku kalah dengan kata‐kataku sendiri. Air mata janganlah
kau tumpah! Aku tidak mahu terlihat lemah!
Fikri mengerti apa yang ingin disampaikan oleh insan yang sudah diwarnai dengan kesedihan
di wajahnya. Bila‐bila masa sahaja empangan mata Balkis akan pecah andai dirinya tidak
mampu untuk mengawal sisipan rasa di jiwanya.
“Balkis. Abang tak nak tengok Balkis sedih macam ni.”
“Mana ada saya sedih. Saya okey. Gembira.”
Aku berpura‐pura mengukirkan senyuman. Aku tahu senyuman itu begitu tawar untuk
dihadiahkan kepada insan di sebelahku ini.
Fikri tidak termampu untuk memikirkan bagaimanakah caranya untuk memujuk gadis
idamannya ini. Dia sedar Balkis bukanlah seperti gadis lain yang boleh dipegang dan dimanjai
sehingga kesedihannya terhenti. Balkis juga bukanlah gadis yang boleh dipermainkan dengan
kata‐kata indan dan pujukan. Rayuan lelaki jua tidak termakan oleh hatinya yang sudah
dipenuhi dengan keimanan.
“Dahlah abang. Tak payahlah kita cerita pasal saya.”
Aku harus mengubah topik perbualan agar dapat diusir kesedihan di hati.
“Habis tu, kita nak cerita pasal siapa?”
“Abang?”
Sepatah aku menjawab.
“Abang? Apa yang Balkis nak tahu pasal abang?”
“Emm… Saya dengar abang dah berhenti belajar di kolej dan sekarang memulakan semester
baru di IPTA betul ke?”
“Siapa beritahu Balkis? Mashitah?”
Aku sekadar tersenyum.
“Kenapa abang berhenti belajar di kolej tu? Abang tak rasa sayang ke? Dah hampir setahun
abang belajar di situ. Abang tak rasa buang masa ke memulakan sesuatu yang baru sedangkan
ilmu yang abang pelajari sebelum ini sudahpun hampir setengah jalan?”
Fikri mengakui gadis di sebelahnya ini tetap jua matang fikirannya berbanding usianya.
“Abang ada sebab abang sendiri.”
“Boleh saya tahu apa sebabnya?”
Abang Fikri terdiam sebentar. Salahkah pertanyaanku tadi? Tersinggungkah dirinya?
“Maaf. Kalau saya ni penyebuk sangat. Kalau abang tak nak kongsi dengan saya sebabnya, tak
apa. Saya faham.”
“Eh… Tak adalah Balkis. Abang tak pernah fikir macam tu. Abang gembira sebab Balkis sudi
untuk bertanyakan perihal abang. Sekurang‐kurangnya abang tahu yang Balkis ambil berat
tentang abang. Sebenarnya, abang berhenti dari kolej sebab abang dapat panggilan dari
sebuah universiti tempatan.”
“Sebab tu je?”
Aku menyoal.
“Bukan sebab universiti tu abang berhenti belajar dari kolej. Tapi, sebab kos yang ditawarkan
kepada abang tulah yang telah menarik perhatian abang. Jadi… Abang tak rasa menyesal
mahupun membazir masa sebab mengambil kos yang memang abang perlukan untuk
mencapai cita‐cita dan impian abang.”
“Apa cita‐cita abang?”
Rasa ingin tahu menghadirkan soalan itu.
“Abang… Nak jadi seorang akauntan.”
“Akauntan? Bagus tu. Kiranya hari‐harilah abang akan berhadapan dengan nombor dan
angka.”
Aku tersenyum. Abang Fikri membalas senyuman itu sebelum membuka mulut untuk
memulakan bicara.
“Seorang akuantan sering sahaja berhadapan dengan godaan ringgit yang mampu mengaburi
mata manusia. Tapi, abang yakin satu perkara!”
“Apa dia?”
Soalku laju.
“Biarpun kerja abang nanti taklah semulia Baklis, tetapi abang yakin yang abang mampu untuk
memuliakan insan yang berada di sisi abang.”
Senyuman penuh makna diukirkan oleh Abang Fikri seraya menuturkan kata‐kata itu. Biarpun
aku tidak mengerti akan makna senyuman itu, namun entah mengapa bagaikan ada satu rasa
aneh sedang menyelinap masuk ke dalam jiwaku. Apakah rasa itu sebenarnya?
“Salah tu. Ada tanda sabdu tu. Kalau tanda sabdu maknanya Mashitah kena buat apa?”
“Kena dengungkan bacaan wan.”
“Habis tu kenapa tak dengungkan nun bersabdu tu. Mashitah ingat lagi tak apa yang wan ajar
tentang hukum mim dan nun bersabdu?”
Mashitah terdiam. Terlihat kegelisahan di wajahnya. Walid wan sedikit pun tidak
menampakkan kemarahannya. Seperti biasa walid wan masih sabar mengajar Mashitah dalam
pembacaan kitab suci Allah ini.
“Apa hukum mim dan nun bersabdu ni?”
Walid wan masih ingin menduga sejauh mana Mashitah mengingati ajarannya.
“Mashitah tak ingat?”
Gelengan lemah diberikan oleh sahabatku itu.
“Baiklah, wan akan ulang sekali lagi dan wan nak Mashitah ingat apa yang Mashitah belajar
hari ni. Esok wan akan tanya lagi... Hukum bagi mim dan nun bersabdu juga dikenali sebagai
wajibal ghunnah yang bermaksud wajib didengungkan bacaannya. Hukum ini jatuh bagi setiap
huruf mim dan nun yang mempunyai tanda sabdu atau bertasydid. Faham?”
“Faham wan.”
“Kalau faham, baca lagi sekali. Wan nak dengar.”
Mashitah menuruti arahan walid wan dan nampaknya bacaan kali ini lebih baik dengungan
dan hukum tajwidnya. Walid wan tersenyum. Puas hatinya dapat memperbetulkan apa yang
salah. Hampir setengah jam barulah Mashitah dapat menamatkan bacaannya. Seperti biasa
salam dihulurkan kepada walid wan dan umi tuk sebelum Mashitah berlalu pergi. Langkah
Mashitah kian laju saat mendapati aku mengekori langkahnya dari belakang. Aku tahu
sahabatku ini masih bersisa marahnya terhadapku akibat peristiwa petang tadi.
“Mashitah. Tunggu.”
Berjaya juaku raih bahu Mashitah. Namun Mashitah masih enggan memandang wajahku.
“Awak masih marahkan saya?”
Diam. Tiada jawapanku terima.
“Mashitah. Kalau saya ada buat salah dekat awak… Saya minta maaf.”
“Tak… Awak tak ada salah apa‐apa dekat saya. Cuma, saya geramkan abang saya tu. Kalau
awak ada depan mata dia, saya pun sanggup digelakkannya. Apa punya abanglah!”
Tinggi sedikit nada suara Mashitah di akhir bicaranya.
“Betul? Awak tak marahkan saya lagi?”
“Taklah. Saya memang tak marahkan awak langsung. Petang tadi tu saya bukannya marahkan
awak. Saya marahkan abang saya. Alah… Saya tahu yang abang saya tu memang lebih
sayangkan awak daripada saya.”
“Tak baik awak cakap macam tu. Saya yakin Abang Fikri memang sayangkan awak sangat.
Awaklah satu‐satunya adik kesayangan dia.”
Aku masih cuba memujuk. Mashitah mencebik.
“Eleh… Yelah tu. Balkis, apa kata kalau kita sembang‐sembang sekejap dekat tangga depan nak
tak?”
Pening aku melayan sikap Mashitah. Sekejap marah. Sekejap merajuk sampai tak nak bertegur
sapa. Sekarang ni aku pula diajaknya bersembang di tangga. Mahu apa sebenarnya sahabatku
ini?
“Alah… Jomlah. Petang tadi, kita tak sempat nak sembang sebab si lanun tu ada.”
Hampir tertawa aku mendengar perkataan ‘si lanun’ digunakan oleh Mashitah sebagai
pengganti nama abang kandungnya sendiri.
“Yang awak senyum ni kenapa?”
“Tak… Tak ada apa‐apa.”
Aku kembali meneutralkan riakku.
“Jomlah Balkis. Kita sembang sekejap je. Jomlah…”
Rengek Mashitah persis kanak‐kanak kecil.
“Baiklah. Tapi sekejap je.”
“Okey Bos.”
Mashitah mengenyitkan matanya. Aku sudahpun tertawa lucu. Masih tidak berubah sikap
sahabatku ini walaupun sudah berganjak ke usia remaja.
Aku dan Mashitah melabuhkan punggung di atas tangga pintu hadapan rumah walid wanku.
Terhidang di hadapan kami keindahan kilauan cahaya. Kilauan cahaya yang terhasil daripada
pelita yang dipakukan pada buluh‐buluh dan disusun panjang di kiri dan kanan jalan
menjadikan kegelapan akibat hilangnya sang suria dapat diusir jauh. Terang! Ya! Itulah
perkataan pertama yang sering terpancul di bibirku setiap kali menemani walid wan
mengambil angin malam di sini. Walid wan gemarkan hembusan lembut angin yang menyapa
tubuh tuanya. Tetapi sering sahaja dibebeli oleh umi tuk. Kerisauan umi tuk akan kesihatan
suami dan cucu kesayangannya itulah punca mulut tuanya sering sahaja memarahi andai kami
mengendahkan larangannya. Aku tersenyum sendirian mengingati perangai kedua insan
kesayanganku itu. Namun, senyumanku itu bagaikan termati saat minda mengingati sesuatu.
“Letaklah sejuta pun pelita dekat depan rumah. Tapi, kalau rumah dah pernah buat maksiat
takkan terangnya sampai bila‐bila!”
Mengalir lagi air mata tua milik walid wan saat mendengar kata‐kata cacian daripada Mak Cik
Bedah. Aku sendiri sebenarnya sehingga ke saat ini masih tidak mengerti mengapa begitu
sekali Mak Cik Bedah dan suaminya membenci kami sekeluarga. Salah apakah kami kepada
mereka?
“Balkis. Awak rasa abang saya sayang tak dekat awak?”
Tersentak aku. Cepatku usir jauh kesedihan di hati.
“Sayang? Sayang macam mana?”
“Yelah… Abang saya tukan dah besar. Awak pun dah besar jugakkan. Takkan awak tak faham?”
“Saya dah besar? Bukan kita ni sebaya ke?”
“Alah awak ni… Suka sangat main‐mainkan saya. Saya serius ni.”
“Yelah. Saya pun seriuslah ni. Kenapa pulak awak tanya saya soalan macam tu?”
Mashitah terdiam sebentar. Pasti otaknya tengah ligat mengatur ayat.
“Emm… Awak perasan tak yang abang saya sanggup balik dari universiti bila dia tahu yang
awak sedang bercuti di kampung?”
“Bukan setiap bulan pun Abang Fikri akan balik ke?”
“Lain… Tak sama.”
Aku mengerutkan dahiku.
“Awak betul‐betul tak nampak ke yang Abang Fikri tu sayangkan awak?”
Kali ini Mashitah memaksa aku memandang wajahnya. Terlihat jelas kesungguhan di matanya.
Beria‐ia benar nampaknya sahabatku ini bercerita perihal abangnya. Pelik? Baru tadi kemarahannya pada Abang Fikri masih ada bayangnya. Kini bayang kemarahan itu telah
terbang entah ke mana.
“Balkis. Awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni?”
Ku anggukkan kepala.
“Habis tu awak macam mana?”
“Saya macam mana?”
Kali ini kerut di dahi kian bertambah. Aku makin tidak mengerti apa sebenarnya yang ingin
disampaikan oleh Mashitah.
“Yelah. Abang saya sayangkan awak. Awak sayangkan abang saya tak?”
“Kalau saya sayangkan abang awak. Awak cemburu tak?”
“Tak. Saya suka.”
Terukir senyuman di wajah Mashitah. Jari jemariku dicapainya. Kaget aku melihat tingkah
sahabatku malam ini.
“Awak tak kisah ke kalau status adik kesayangan awak tu diberikan pada saya?”
Aku masih mahu menduga hati sahabatku ini.
“Kenapa pulak? Abang saya tak anggap awak macam adik pun. Buat apa saya nak risau. Status
tu tetap akan dipegang oleh saya.”
“Habis tu… Abang Fikri anggap saya sebagai apa?”
Aku menggaru‐garukan kepalaku yangku lindungi dengan sehelai tudung.
“Balkis! Awak ni teruk tau.”
Aku kian bingung. Aku pula dikatakannya teruk?
“Saya teruk? Kenapa?”
“Awak sebenarnya tak faham ke apa yang saya cuba sampaikan pada awak ni?”
“Saya rasa. Saya faham.”
Jujurku.
“Apa yang awak faham?”
“Yelah. Awak kata yang Abang Fikri sayangkan saya. Saya pun sayangkan Abang Fikri macam
mana saya sayangkan awak. Saya tak ada adik beradik lain. Jadi tak salahkan kalau saya
anggap awak dan abang awak seperti ahli keluarga saya?”
“Salah!”
Tegas Mashitah. Membulat mataku. Tidakku sangka jawapan itu yang akanku dengari.
“Salah untuk awak anggap Abang Fikri macam tu.”
“Kenapa?”
Laju aku menyoal. Aku benar‐benar inginkan kepastian. Tidak sayangkah Abang Fikri
sepertimana aku menyayangi dirinya?
“Sebab saya tahu yang abang saya mempunyai rasa sayang yang lebih daripada apa yang
awak rasa. Dia tak boleh sayangkan awak sepertimana dia sayangkan saya. Saya dapat rasakan
yang abang saya sukakan awak!”
Renungan lembut Mashitah menghadirkan semula rasa aneh di jiwaku. Rasa sama yangku rasai
sewaktu Abang Fikri menghadiahkan aku sebuah senyuman penuh makna siang tadi. Rasa
aneh yang sehingga ke saat ini tidak mampu untukku tafsir akan maknanya. Tidak betah untuk
menerima renungan sahabatku itu, aku pantas memalingkan wajahku. Namun, kali ini
pandangan mataku tumpah pula pada kerusi kayu yangku duduki bersama Abang Fikri siang
tadi. Laju tabir mata menayangkan kembali peristiwa petang tadi. Akhirnya aku menjadi tidak
keruan menerima debaran di dada dan rasa aneh di jiwa kian menambahkan kegelisahan di
hatiku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan