Label

Khamis, 15 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab25

CUACA di puncak tanah tinggi Cameron Highland tetap dingin. Biar siang menerbitkan cahaya
matahari, bahang kepanasan bagaikan tidak terasa. Sudah tiga hari Sarah Aqilah menjeruk rasa di puncak perbukitan itu. Sejak dari kelmarin lagi fikirannya mula bercelaru. Datuk Zulkifli masih lagi memandang sepi akan permintaannya itu. Ada sahaja alasan yang diberikan.

Mungkin dia masih berfikir banyak kali sebelum dapat memberikannya sejumlah wang yang banyak itu.

“Agaknya orang tua ni tahu aku cuba nak menipunya?” Soal Sarah Aqilah kepada dirinya.

Dari kejauhan, nampak kebun teh luas memadang. Kehijauannya menyejukkan pandangan. Sarah Aqilah berpeluk tubuh sambil memandang sepi ke arah itu. Wajahnya nampak sebal. Perasaan geram dan marah masih bertunda‐tunda di dadanya. Macam sia‐sia sahaja pengorbanannya apabila Datuk Zulkifli masih lagi belum dapat menunaikan janjinya. Apa sahaja yang dimahukan, dia lakukan. Ke mana sahaja pergi telah diturutkan. Terasa penat juga melakukan kerja‐kerjanya itu. Terdetik di hatinya Datuk Zulkifli mahu mengambil kesempatan ke atasnya.

Datuk Zulkifli mendatangi Sarah Aqilah dari arah belakang. Semakin lama semakin rapat ke sisi
wanita itu. Di balik punggungnya jelas sejambak mawar merah ketat digenggaman.

“Termenung jauh nampak?”



Tiada apa‐apa jawapan daripada pertanyaan itu. Sarah Aqilah tetap diam membatu. Datuk Zulkifli cuba memegang tangan Sarah Aqilah namun wanita cuba mengelak. Datuk Zulkifli nampak bengang.

“Kenapa dengan Qilah ni? I ke punca Qilah jadi macam ni?”

Datuk Zulkifli masih tertanya‐tanya. Tidak faham benar baginya untuk memahami jiwa wanita itu. Sekejap ceria sekejap macam berduka. Kadang‐kadang terasa penat dia mahu melayan gelagat wanita sebegitu. Dia bukannya muda lagi untuk terlalu mencurahkan perasaan yang ada. Dia lebih suka berkata terus, bukan bernada berbunga‐bunga. Baginya, semuanya itu telah lama berlalu. Bercinta bagi orang muda dengan orang yang seusianya memang jauh berbeza. Sukar baginya untuk mengungkapkan kata‐kata indah. Sejambak bunga sudah cukup untuk menghuraikan segala‐galanya.

“Suka tak?”

Sejambak mawar merah disuakan kepada Sarah Aqilah. Seketika pandangan mereka bersatu. Sarah Aqilah menyambut pemberian bunga itu antara suka dengan tidak. Semangatnya bagaikan sudah hilang. Sedikitpun tidak teruja gelagatnya, tidak seperti sebelum ini.

Lakonannya semakin mantap. Aura sedihnya mengundang rasa bersalah di hati Datuk Zulkifli. Penat juga perasaannya melayan karenah wanita itu. Kesabaran sangat menguji jiwanya saat itu.

Sejak kenal dan rapat dengan Sarah Aqilah, macam‐macam telah diberikan kepada wanita itu. Bukan sahaja wang ringgit, pakaian berjenama, barang kemas malah sanggup memberikan apartmennya, semuanya demi Sarah Aqilah. Dia sanggup buat apa sahaja bagi memenangi hati wanita itu. Bukan itu sahaja, malah ada lagi yang lebih hebat sanggup dilakukan. Manissa semakin jauh dari hatinya walaupun sepatutnya anak gadis itu lebih berhak untuk menikmati apa‐apa sahaja kemewahan berbanding Sarah Aqilah.

Sudah hampir seminggu Manissa hilang dari pandangan matanya. Sudah hampir seminggu jugalah tidak terdetik pun perasaan untuk mencari ke mana hilangnya anak gadis tunggalnya itu. Pernah juga Sarah Aqilah menyuarakan rasa bimbangnya. Dia mahu Datuk Zulkifli terus percaya kepadanya walaupun kehilangan Manissa memang sangat diharapkan. Dia tidak mahu Manissa menjadi punca kegagalan rancangan jahatnya itu. Tanpa adanya Manissa, segalanya akan berjalan dengan lancar.

“Qilah bimbang juga tau….walau dia pernah kurang ajar dengan Qilah tapi Qilah tak sampai hati melihatkan keadaannya,”

“Terima kasih sayang … kerana memahami. Jangan beratkan fikiran Qilah kerana dia,”

“Bolehkah dia terima Qilah?”

Datuk Zulkifli agak terkedu untuk menjawab soalan itu. Dia terdiam seketika. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Sarah Aqila. Pastinya, Manissa sangat memusuhi dan mendendami Sarah Aqilah. Bukan mudah untuknya memujuk hati Manissa. Alasan apakah kali ini harus disediakan. Buntu juga mindanya ketika itu.

“Dia dah besar panjang … biarlah dia buat keputusannya sendiri. I yakin dia akan berubah.”

“Memang dia akan beubah tapi bila? Dalam masa terdekat ni Qilah rasa memang tak mungkin
… dia bukan anak‐anak lagi.”

“I faham … Qilah kena banyak‐banyak sabar … satu hari nanti dia akan berubah dan boleh menerima hakikat ini…,”

“Tapi….,”

“Sudah … tak payah nak fikir‐fikirkan tentang dia … yang penting Qilah! I akan selalu ada di
samping Qilah!”

Bercakap memanglah mudah, getus hati Sarah Aqilah. Datuk Zulkifli sudah benar‐benar mabuk
kepayang. Perasaannya sudah tidak terbendung lagi. Semakin lama semakin galau rasa hatinya
terhadap wanita itu. Sarah Aqilah semakin tertekan. Semakin kacau jiwanya untuk terus melayan karenah Datuk Zulkifli.

“Qilah jangan susah hati … tahulah apa yang I nak buat nanti. Dia anak I … tahulah I nak buat
macam mana … Qilah jangan fikir yang bukan‐bukan,”

Penat berdiri, Sarah Aqilah duduk di kerusi taman berhampiran. Sejuk udara pagi masih mencengkam hingga ke tulang. Sejambak mawar merah pemberian Datuk Zulkifli diletakkan hampir di sisinya. Perasaan gundahnya masih berlarutan. Gelisahnya bagai tiada kesudahan.

Datuk Zulkifli turut mengambil tempat sebelum rapat ke sisinya.

“Apa lagi yang Qilah fikirkan ni? Qilah kena percayakan I tau…,”

Sarah Aqilah memaksakan sebuah senyuman di bibirnya. Namun kelihatan hambar dan kaku. Mainan perasaannya semakin menjadi. Sepi di perbukitan yang di kelilingi pokok‐pokok teh yang hijau memadang turut pengap buat seketika.

“Bila lagi kita nak balik Datuk?”

“Mengapa ni? Sabarlah….kata nak enjoy bila datang sini … kenapa ni? Ada yang tak kena ke?”

“Mensyuaratkan dah habis … bosanlah!”

“Bosan? Errmm …. Jomlah I hiburkan hati you!”

Sarah Aqilah mengetap bibir. Dalam hatinya terpaksa banyak bersabar dengan kerena orang tua itu. Semakin lama kalau dilayan, semakin menjadi‐jadi gatalnya.

“Qilah tak ada mood!”

“Janganlah macam tu … tak kesiankan I ke? I memang sayangkan Qilah.”

Jujurkah pengakuan itu? Geli rasa hatinya apabila mendengar pengakuan Datuk Zulkifli itu. Lelaki tua yang hampir sebaya dengan arwah bapanya itu mula mengeluarkan aura miang keladinya.

“Percayalah … I sanggup buat apa saja … demi Qilah!”

“Errmm…iyelah tu…,”

“Tak percaya tak apa!”

Suara miang Datuk Zulkifli mati di situ. Lenggok nadanya bagaikan orang sedang merajuk. Lemah urat nadi Sarah Aqilah apabila Datuk Zulkifli bergelagat sedemikian. Romantiknya mengalahkan orang muda sedang bercinta.

“Tak payahlah nak merajuk Datuk … buruk benar nampaknya!”

“I dah tak ada siapa‐siapa … melainkan kamu Qilah…,”

Sarah Aqilah bagaikan terpukul dengan luahan kata‐kata itu. Terasa panas darah mengalir di urat nadinya. Sarah Aqilah agak tergamam dengan pengakuan itu. Dia tidak mahu terperangkap dengan mainan perasaan yang melampau. Degup jantungnya mula berdenyut kencang. Dia kena berhati‐hati. Jika silap perhitungan, dia sendiri yang akan terperangkap nanti. Demi misinya dan Rezal Haiqal, segalanya terpaksa dilakukan. Rela walaupun dalam terpaksa.

Sejak sampai tiga hari yang ke kawasan tanah tinggi yang dingin itu, perasaan Sarah Aqilah memang tidak menentu. Segalanya bercampur baur antara suka dan sebaliknya. Dalam diam dia memang ada menaruh hati kepada Datuk Zulkifli. Layanannya sangat istimewa. Segalanya menyenangkan. Semuanya nampak indah. Belum pernah lagi dia merasakan perkara yang sama sejak bersuamikan Rezal Haiqal. Bahagia hanya di musim awal perkahwinan. Bahtera perkahwinan mereka sentiasa dilanda rentetan masalah yang tidak pernah sudah.

“Qilah okey tak ni? Asyik menung … buat I tak sedap rasa saja.”

“Err… tak ada apa‐apalah Datuk. Tiba‐tiba Qilah teringat kampung … teringat emak dan abah…,”

Sarah Aqilah mula mengumpan kata. Mungkin masa ini akan digunakan oleh mengingatkan sekali lagi kepada Datuk Zulkifli akan janjinya dahulu. Sarah Aqilah memang sangat memerlukan wang RM 100,000.00 itu. Semuanya untuk keselamatan suaminya, Rezal Haiqal.

Harapannya kali ini akan ada jawapan yang positif daripada Datuk Zulkifli. Perlahan‐lahan perasaan Datuk Zulkifli akan disentap melalui kata‐katanya.

“Pasal duit yang Qilah mahu itu….nanti I akan uruskan bila balik Kuala Lumpur nanti. Qilah jangan bimbang … nanti I suruh bahagian akaun uruskan … semuanya okey dan I nak Qilah enjoy saja sekarang ni … senyumlah sikit,”

Itulah jawapan yang sangat Sarah Aqilah nantikan. Kata‐kata itu bagaikan satu suntikan semangat untuk dia dan Rezal Haiqal terus hidup. Kata‐kata yang memberi jaminan agar tidak ada lagi masalah atau gangguan lagi selepas ini. Puas hatinya. Dia ingin menjerit kegembiraan namun perasaan itu harus ditahan. Rezal Haiqal mesti gembira kalau mendengar perkhabaran ini. Akan berakhir derita mereka tidak lama lagi. Namun selagi wang RM 100,00.00 itu belum bertukar tangan, saat kegembiraan harus dipendam dahulu. Dia perlu bersabar menantikan saat itu.

“Maaflah Datuk kalau selama ini Qilah banyak menyusahkan….tak ada niat untuk Qilah berbuat
demikian…,”

“Qilah cakap apa ni? I tak rasa pun macam tu. Semua I buat ikhlas untuk Qilah … percayalah …
semuanya kerana I sayangkan Qilah.”

“Benarkah Datuk? Janganlah buat perkara yang boleh melukakan hati orang yang Datuk sayang. Siapalah Qilah ni….bagai melukut di tepi gantang.”

Datuk Zulkifli memaut perlahan bahu Sarah Aqilah lalu rapat ke dadanya. Sambil memejamkan mata, Sarah Aqilah mula hanyut dalam dakapan lelaki itu. Hanya debaran yang kencang terasa di jiwa. Debarannya menunda‐nunda memukul dada. Dingin di perbukitan itu bagaikan bara menghangatkan seluruh maya. Sarah Aqilah beku dalam pelukan Datuk Zulkifli. Di dadanya sudah ada harapan kembali berbunga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan