Label

Sabtu, 24 Disember 2016

NOVEL Kalau Aku Kaya Bab29

Wardah dan Benn tergelak‐gelak melihat tiga jejaka yang sedang diurut kaki mereka dengan pagutan‐pagutan kecil ikan‐ikan yang begitu mesra alam! Hilang penat membeli‐belah tadi.

Bila diajak untuk di’urut’ sama, cepat Wardah menggeleng. Hendak dedahkan kaki di dalam air itu di hadapan mereka? Aurat!

Restoran Wilujeng Sumping yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Sunda itu sangat
istimewa. Selain dari dilengkapi surau dan tandas, suasananya nyaman sekali dengan pondok-pondok
yang dibina di atas air. Dan ikan‐ikan si pengurut kaki yang berenang riang di keliling mereka.

Wardah dan Benn duduk bersimpuh anggun di atas lantai buluh menikmati hidangan Sunda sebagai santapan makan malam di meja yang dibina rendah kerana saat itu mereka dikelilingi jejaka. Namun Benn yang paling menderita. Siksa dia duduk bertimpuh berlama‐lama!

Akhirnya Benn bangun mengambil gambar. Sugit yang diajak makan bersama ikut membantu
mengambil gambar mereka. Benn yang teruja melihat gambar‐gambar yang begitu cantik mula sibuk memuatnaik gambar‐gambar itu di muka bukunya. Dan dia sudah berlunjur kaki.

Lupa sudah dengan sopan santun gadis melayunya. Hebat sekali pengaruh muka buku yang menarik pengguna hilang ke dalam alamnya.Tiba‐tiba orang di sekeliling juga tenggelam entah ke mana.

Wardah hanya mampu menggeleng. Dia memang malu sebenarnya untuk makan semeja dengan lelaki yang ramai begini. Tak pernah dibuat seumur hidupnya. Tapi demi meraikan permintaan mereka untuk makan bersama‐sama, dia ikutkan juga dengan hati yang berat.


Mujur ada si abah Amzar Mikail. Sebab jelingannya selalu mematikan gelenyar si Adam! Syukur
sangat‐sangat.

“Wardah makan banyak sikit. Esok perlu tenaga lebih. Banyak nak shopping, kan?” Pesan Amzar 
Mikail bila melihat Wardah tunduk sopan menjamah makanan. Benn tak perlu dipelawa. Dia tak payah disuruh bila masuk bab makan!

Wardah angkat muka sesaat. Senyum dan angguk. Manis. Sangat manis. Membuatkan Amzar Mikail merasa perjalanan ke Bandung amat berbaloi.

Hampir dua jam mereka di Cihampelas tadi sejak selepas solat Mahgrib. Pusat membeli‐belah itu begitu meriah pada malam hari. Bangunan biru kuning dengan rekabentuk menarik itu jelas menjadi tumpuan pelancong seperti mereka. Pelbagai jenis pakaian dan fesyen ada dijual di situ yang dahulunya dikuasai oleh jenis pakaian dari kain denim. Malah beg tangan, kasut dan pelbagai aksesori juga banyak dijual sehingga rambang mata untuk memilih.

“Wardah shopping banyak‐banyak ni, nak berniaga ke?” Soal Adam kerana sejak tadi dia tertanya‐tanya. Bukan main banyak yang dibeli Wardah. Tak mungkin gadis manis itu mahu membulinya. Memang dia yang sanggup membawa sebanyak mana pun barang yang dibeli Wardah asalkan dia dapat berjalan dekat dengan gadis itu. Tapi yang buat hatinya panas, cik Abang Amzar Mikail sentiasa dekat untuk membantu Wardah membuat pilihan sambil ditemani Benn yang tak pernah letih berceloteh. Akhirnya dia memang kelihatan seperti sedang dibuli. Hanya sesekali senyuman manis dilemparkan Wardah sebagai hadiah.

Selebihnya dia cuma menjadi habuan tawa sinis Anuar yang sedang memahami apa yang berlaku di depan mata.

“Ada juga untuk berniaga. Ada juga untuk hadiah.” Jawab Wardah dengan lembut. Bukan dia tidak terasa terhutang budi dengan bantuan Adam. Tetapi itu bukan tiket untuk dia melayan gelenyar lelaki itu. Kalau Adam benar‐benar melayannya sebagai kawan, itu lebih baik bagi Wardah. Dia rimas kalau didekati dengan tujuan yang lain.

“Minat juga Wardah berniaga? Saya ingat Wardah dengan dunia design saja.” Ada nada kagum yang terselit di situ.

“Berniaga kan sunnah? Nabi berniaga di usia muda dan ramai di kalangan para Sahabat memang terlibat dalam perniagaan. Sebab tu, saya minat nak berniaga. Bekerja makan gaji tak sama dengan berniaga. Kebetulan ada modal sikit, saya cubalah,” terang Wardah dengan panjang lebar. Amzar Mikail mengangguk‐angguk. Orangnya kecil tapi jiwanya besar, desis hatinya dalam diam.

“Memanglah, Arda. Kalau berniaga boleh untung lebih. Makan gaji macam kita ni, kerja keras
macam mana pun, gaji sama juga,” keluh Adam sambil menelah.

“Sebenarnya saya berniaga bukan sebab nak cari untung lebih, Adam. Tapi macam yang Nabi
ajarkan, dengan berniaga kita hidup bermasyarakat. Sebab kita akan kenal ramai orang, kita
bersilaturrahim, bersedekah dan berkasih sayang sesama manusia. Lagi satu, berniaga tu juga
khidmat. Kita sediakan keperluan orang dengan sebaik‐baiknya. Itulah khidmat. Berkhidmat sesama manusia ni Allah suka. Modal, untung dan rugi dalam berniaga pulak buatkan kita kuat bergantung dengan Tuhan. Kesimpulannya, bagi saya, dengan berniaga kita dapat habluminnallah dan habluminannas. Membina hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.” Penjelasan Wardah yang spontan itu membuatkan Adam, Anuar dan Amzar Mikail memandangnya tidak berkelip. Kecuali Benn yang masih hanyut dalam alam muka bukunya.

“Err… saya… saya tak pernah terfikir macam tu. Maksudnya, bila berniaga, banyak sungguh yang kita untung ya,” Adam lurus bersuara. Wardah tersenyum tanda bersetuju lalu tunduk menikmati ikan bakar yang baru sedikit terusik di pinggannya.

“Wardah nak bergabung dengan abi dan umi ke?” Soal Amzar Mikail perlahan. Dia tidak mahu
perbincangan itu terputus di situ. Dia sangat ingin tahu apa lagi yang ada dalam minda gadis yang kelihatan naif dan berwajah polos itu. Wardah tidak selalu ramah bicaranya tapi bila dia bersuara, butir perbualannya jarang ada yang sia‐sia. Rasa kagum terhadap gadis itu semakin kuat dalam dirinya.

“Cadangnya, saya nak besarkan perniagaan yang sedia ada. Bukan sebab produk abi dan umi ada potensi saja tapi produk makanan yang suci dan halal memang wajib kita ketengahkan sebagai syiar. Saya rasa bersalah bila fikirkan masih ramai orang Islam yang makan mee dan kuey teow yang tak pasti status halal dan sucinya. Macam tu juga kek dan produk roti yang umi keluarkan. Bukan senang nak bersaing dengan produk keluaran yang bukan Islam. Saya rasa itu satu tanggungjawab. Bila ada peluang saya nak bantu, saya nak cuba. Tapi saya pun baru nak belajar. Secara teknikalnya, banyak lagi yang saya tak tahu.” Wardah tersenyum di hujung kata. Seronok juga kalau dapat berbincang dan mendengar pandangan orang yang berpengalaman mengendalikan akaun syarikat‐syarikat besar seperti Encik Abah Amzar Mikail!

Di hadapan Wardah, Adam sudah mengerling tajam ke arah saingannya. Habislah, dia memang tidak pasti bagaimana hendak mencelah. Walaupun dia dalam bidang pemasaran tetapi mendengar hujah Wardah sebentar tadi membuatkan dia kehilangan kata. Gadis itu jauh dari apa yang dia sangkakan.

“Jadi barang‐barang yang Wardah beli tu nak diniagakan semula?” Amzar Mikail merasakan 
pertanyaannya belum terjawab.

“Oh!” Wardah tertawa kecil. Dia terbawa‐bawa. Lain ditanya lain pula dijawabnya. Sememangnya berdepan dengan ramai lelaki begini membuatkan dia tak boleh berfikir lurus.

“Barang‐barang tu untuk butik kak long. Saya bercadang nak buka butik untuk kak long sebab
sekarang ni, kak long beroperasi di rumah saja.” Wardah tersenyum panjang berkongsikan
anganannya.

“Kak long?” Wajah Amzar Mikail terpinga‐pinga. Siapa pula?

“Saya tinggal serumah dengan kak long dan Azwani. Rumah kami dah macam butik di tingkat bawah tu sebab kak long memang dah ramai pelanggan tetap.” Lelaki itu mengangguk-angguk tanpa persoalan lagi.

“Secara teknikalnya, asas perakuanan memang penting. Sebab daripada akaun, kita dapat kaji semula di mana keuntungan dan kenal pasti kerugian. Kita dapat tengok dari sudut mana yang boleh diperbaiki, perbelanjaan mana yang perlu ditambah atau dikurangkan dan macam-macam lagi. Syarikat boleh rancang belanjawan dan kawal aliran tunai. Semua tu penting kalau nak pastikan syarikat dapat bertahan lama. Rekod akaun sebenarnya jadi tanda aras kejayaan syarikat. Nak belajar tu tak lah susah mana. Cuma kena banyak sabar dan teliti. Wardah jangan bimbang soal tu. Saya akan bantu abi dan umi. Bagi peluang pada saya. Saya pun nak berkhidmat juga dengan sesama manusia.” Amzar Mikail menyambung perbincangan. Tak mungkin dia mahu melepaskan peluang keemasan itu. Melihat Wardah cukup berani mencuba demi untuk membantu anak‐anak yatim, hati lelakinya turut terusik dan tercabar. Dalam diam, Amzar Mikail mula merancang untuk menabur khidmat dalam bidangnya di mana‐mana saja jika diperlukan oleh badan‐badan kebajikan yang memerlukan. Wardah membuka mindanya untuk tidak hanya memikirkan diri dan masa depan diri dan keluarga sahaja.

Wardah memandang lelaki itu dengan rasa terharu. Terasa beban di bahunya menjadi ringan tiba‐tiba. Dia faham kegusaran abi dan umi. Mereka sudah bertungkus‐lumus bekerja. Mana mungkin mereka dapat menumpukan perhatian kepada pemasaran dan perakaunan serentak. Tarbiah dan pendidikan anak‐anak di Rumah Kesayanganku juga tidak boleh dikompromi. Sebab itu, Wardah memang mahu menggalas tugas membesarkan perniagaan itu sendiri walaupun payah. Dan bila Allah datangkan Encik Abah Amzar Mikail begini, seluruh hati dan mindanya ditadahkan untuk lelaki itu.

“Syukur sangat‐sangat. Saya bersedia nak belajar bila‐bila masa saja. Abb… errr… awak cakap saja apa yang perlu saya buat. Saya akan belajar sungguh‐sungguh,” Wardah tak dapat menutup keterujaannya. Namun gelaran apa yang harus dipanggil lelaki ini? Menyebut abang menjadi sangat sukar baginya… tapi kalau abah…

“Mula‐mula sekali, ABANG nak Wardah simpan semua resit pembayaran setiap barang‐barang yang dibeli. Nanti diasingkan yang mana untuk berniaga dan yang mana untuk hadiah. Buat yang itu dulu. Balik nanti kita rekodkan,” sengaja dia menekankan perkataan ‘abang’ bila menyedari susah sungguh gadis itu mahu menyebutnya.

“Ya! Okey aaa…abang!” Tersekat nafas Wardah di situ. Langsung dia tunduk menguis makanan
dengan wajah kemerahan. Amzar Mikail tersenyum menang. Dan Adam pula seperti baru disimbah cuka. Tak sempat dia hendak mencelah. Jalannya seolah‐olah dipancung terus! Tapi dia tak mahu mengalah. Bukan Adam namanya kalau dia menyerah kalah sebegitu mudah.

“Arda, kalau nak berniaga, pemasaran sangat penting. Kalau tak ada yang buat pemasaran, produk tak boleh dijual. Ha, bab tu, saya akan bantu Arda. Takkan saya nak sia‐siakan pengalaman saya yang dah sepuluh tahun dalam bidang ni, betul tak?” Adam tersengih masuk bakul sendiri. Wardah mengangguk‐angguk.

“Betul. Pemasaran penting sangat. Tapi bab tu, saya tak risau. Abi dan umi ada kaedah pemasaran yang sangat berkesan. Setakat ni pun, mereka dah tak menang tangan. Lagi pun, cara abi dan umi pegang prinsip yang digariskan dalam surah An‐Nisa’ ayat 29, iaitu hendaklah kamu mengambil harta lain melalui perniagaan dalam keadaan suka sama suka dan bukan melalui jalan yang batil. Abi suka ulang‐ulang ayat ni sampai saya jadi hafal,” cerita wardah sambil tertawa kecil.

“Bagus tu, Arda. Memang kalau berjual beli, kita tak paksa orang. Tapi ada cara kita boleh
mempengaruhi orang. Itu perlukan teknik yang baik,” Adam turut tersenyum bangga kerana dia pasti Wardah akan terkejut dengan kebolehannya dalam menguasai pemikiran pembeli.

Pengalamannya yang mahal itu bakal dikongsi percuma saja demi gadis pujaan hati.

“Itulah yang dimaksudkan dalam ayat tadi. Bukan melalui jalan yang batil. Kalau ikut cara Barat,
menguasai pemikiran pembeli tu memang satu perkara yang hebat. Tapi tak begitu dalam Islam. Mempengaruhi dengan cara memperdayakan orang untuk membeli produk kita itu termasuk dalam perkara batil. Begitu juga kalau guna strategi berniaga secara tak jujur.” Amzar Mikail yang arif dengan rentak tari cara perniagaan Barat sepanjang pengalamannya di luar negara amat faham apa yang dimaksudkan Adam.

“Abi dan umi tak susah‐susah macam tu. Berakhlak, jujur dan amanah, tu rahsia abi dan umi dalam berniaga. Pelanggan tetap abi dan umi bukan di kalangan orang Islam saja tau.”

Tersenyum bangga Wardah bercerita tentang umi dan abi kesayangannya.

“Macam Rasulullah. Tak ada pengalaman, tak belajar pun tentang selok‐belok berniaga tapi dia
berjaya bawa balik keuntungan yang besar dari jualan barang‐barang dagangan Siti Khadijah.
Akhlak, fatonah, jujur dan amanah jadi faktor utama Rasulullah berjaya. Putar belit mungkin bawa keuntungan tapi tak tahan lama. Lepas tu samada kita rugi atau kita terpaksa terus bekerja dengan cara yang tak sihat untuk berjaya. Ilmu dan teknik memang penting, Adam. Tapi pastikan semua tu selari dengan sunnah. InsyaaAllah pernigaan kita kekal selamat,”

Ammar Mikail cepat membuat kesimpulan supaya Adam tidak tersinggung. Lelaki itu sejak tadi
sudah tersenyum kelat.

Anuar yang sedang menikmati juadah mengangguk‐angguk. Dia mengikuti perbincangan itu sejak tadi. Dia yang sama bidang kerja dengan Adam tetapi lebih kepada jual‐beli hartanah amat tersentuh dengan apa yang diperkatakan Wardah dan Amzar Mikail. Selama ini, dia sibuk mengkaji segala selok‐belok perniagaan cara Barat. Beratus falsafah Barat dalam kepalanya.

Tetapi tidak pernah pula mengkaji cara perniagaan Islam. Sedikit terhentak jiwanya dengan
kenyataan itu.

Adam tersengih mengangguk. Dia tak mampu untuk menyambung bicara tentang sesuatu yang dia tak arif mengenainya.

“InsyaaAllah. But if you need a hand, count me in, okay,” Adam bersungguh‐sungguh berpesan.

Wardah menyambutnya dengan senyum senang.

“Eh, ada apa? Korang plan nak ke mana‐mana ke?” Benn yang tiba‐tiba keluar dari dunia muka
bukunya terus menyampuk.

“Orang dah nak ke bulan! Tinggallah awak sorang‐sorang…” tempelak Amzar Mikail. Geram dengan telatah anak saudaranya itu. Kalau dapat mengadap muka buku, lupa dunia!

Benn buat muka dengan abahnya. Wardah mula dihimpit supaya buka cerita.

“Apa yang kau sibuk sangat tadi tu?” Soal Wardah, malas hendak menjawab panjang lebar.

“Promosi Bandung!” Jawab Benn penuh bangga.

Mereka pulang ke hotel setelah menjamu selera. Badan masing‐masing sudah teramat letih. Kelopak mata pun semakin berat.

Amzar Mikail membiarkan Adam dan Anuar masuk ke bilik dahulu. Dia mahu memastikan Benn dan Wardah selamat masuk ke bilik mereka. Barang‐barang yang dibeli sudah dibawa masuk ke bilik dengan dibantu oleh Sugit. Bagus sungguh perkhidmatannya.

“Wardah, esok kita sarapan awal ya. Ajak Zanuril sekali. Boleh kita bincang serba sikit tentang
rancangan Wardah nak buka butik tu. Nanti boleh buat anggaran apa yang perlu dibeli dan jumlah yang nak dibelanjakan. Kena mula dari sekarang.” Amzar Mikail sempat berbincang dengan Wardah sebelum gadis itu menghilang di balik pintu bilik hotelnya. Bersinar matanya yang keletihan bila mendengar cadangan lelaki itu.

“Eh, bagus sangat macam tu. Tapi, abah… err… abang… tak letih ke?” Wardah gugup lagi.

Langsung dia buang pandang ke lain. Muka dah terasa hangat. Kenapa dia malu sangat nak sebut abang?

“Allah… abang dah biasa kerja siang malam, Wardah. Apalah sangat kalau setakat bercuti dan
shopping macam ni. Bukan apa, abang risau kalau terlebih budget atau beli barang yang tak perlu. Elok fokus daripada mula.”

“Betul tu. Saya setuju sangat. Esok, kita sarapan awal. Harap‐harap Benn setuju. Terima kasih banyak ya, abang,” Wardah paksa diri sambil ketap bibir tahan malu. Senyuman yang mekar di bibir lelaki itu menambah sesak di dadanya.

“Tak perlu ucap terima kasih. Abang berbesar hati kalau dapat bantu Wardah, bantu rumah anak yatim tu. Apa yang Wardah nak buat, bukan ramai yang sanggup buat. Abang akan bantu dari segi apa pun. Yang penting, apa yang Wardah rancangkan tu berjaya. Sekarang, pergi rehat betul‐betul. Esok banyak nak buat, banyak nak fikir. Assalamualaikum,” tutur Amzar Mikail, tegas bicaranya. Wardah menghela nafas. Terasa sungguh diri tak keseorangan sekarang. Berkelip‐kelip matanya memandang Amzar Mikail dengan senyuman yang tak dapat hendak ditutup lagi.

“Saya bersyukur. Dan saya tetap nak ucap terima kasih pada abang. Wa’alaikummussalam.”

Wardah cepat berpaling dari situ dan melangkah masuk ke bilik. Dia bimbang kalau Amzar Mikail dapat mendengar hatinya yang tiba‐tiba berlagu riang!

****

“Bandung!” Bibir lelaki itu mengorak senyum. Senyum yang berlapis maknanya.

Sejak pagi tadi, berjam‐jam lamanya dia melayari muka buku. Puas dijejaki akaun muka buku milik gadis itu namun hampa. Mujur dia sempat mengekori kereta yang dipandu Azam sampai ke Phileo Damansara. Tidak syak lagi, Kaustik! Azam yang memang dikenalinya masih menerajui Kaustik. Dan akhbar itulah yang membantunya mendapatkan apa yang dia mahu.

Dunia teknologi hari ini sangat memudahkan untuk seseorang itu dijejaki. Dari muka buku Kaustik, dia jejaki setiap nama yang kerap ditag. Gadis itu menggunakan nama samaran menyukarkan kerjanya. Namun bila melihat nama‐nama yang sama selalu ditag, dia akhirnya berjaya menjejaki sebuah akaun muka buku milik salah seorang staf di Kaustik. Benn Zanuril.

Nama Zanuril ada tersenarai dalam bahagian kredit dalam akhbar itu. Dari akaun itu, dia melihat banyak gambar yang ada wajah gadis yang diburunya. Langsung dia menyemak nama‐nama yang ditag dari gambar‐gambar yang dimuatnaik dan disemak satu persatu.

‘Solo Soul’ nama akaun muka buku gadis itu mengundang tandatanya. Tidak banyak wajahnya yang terpamer di dinding muka bukunya sendiri. Namun banyak sekali promosi produk keluaran sebuah syarikat, Suci Enterprise yang mengeluarkan mee dan kuey teow serta produk bakeri. Gambar pemilik Suci Enterprise, Syuib Soleh dan nombor telefon bimbitnya tertera di situ. Selain itu, rumah anak yatim Kesayanganku juga banyak dipaparkan di dinding muka bukunya. Dan antara yang terbaru adalah gambar Syuib Soleh di kawasan tanah yang dikatakan bakal menjadi tapak rumah anak yatim yang baru.

Gadis itu begitu menarik perhatiannya. Apa sebenarnya kaitan di antara Rumah Kesayanganku dan Suci Enterprise dengan gadis itu? Persoalan itu membawanya ke Selayang di mana kilang mee Suci Enterprise bertapak untuk bertemu dengan pemiliknya, Syuib Soleh.

“Wardah tidak bekerja di sini?” Dia cuba mengorek rahsia. Bahagian dalam kilang itu dikitari dengan pandangan mata. Sepasang suami isteri sedang bertungkus‐lumus bekerja. Namun masih sempat tersenyum ramah ke arahnya.

“Eh, tak! Dia bekerja di syarikat suratkhabar, Kaustik. Tapi dia banyak bantu kami di belakang tabir. Iklan dan promosi selalunya.”

“Macam mana dengan tapak rumah anak yatim tu? Agak‐agak bila nak mulakan pembinaan?”

Riak wajah Syuib Soleh berubah terkejut.

“Eh… macam mana encik tahu? Wardah dah ceritakan pada encik ke?”

“Wardah tak kenal saya…,” tukasnya laju.

“Jadi… encik ni… yang hadiahkan duit sebanyak tu pada Wardah? Encik Borhan yang datang tu
wakil dari pihak encik ke?” Soalan‐soalan yang membuka ruang untuk dia mengambil bahagian. Dia tersenyum. Akalnya cekap memproses maklumat yang baru dia terima. Dia berdehem untuk mengaburi mata andai tingkahnya yang pincang dapat dihidu.

“Jangan bimbang. Saya akan bantu jayakan rumah anak yatim tu.” Keyakinan memang boleh dibeli dengan suara. Entah kenapa, naluri hatinya berkata, Zakuan ikut terlibat dalam hal ini.

“MasyaAllah. Jadi betullah encik orangnya! Kami rasa terhutang budi dengan encik. Siapa nama encik tadi?” Lelaki yang berusia lebih dari separuh abad itu memegang dada, menunjukkan antara rasa hormat dan terharu.

“Rayyan.” Dia menghulurkan senyuman. Duit lebih mudah membina hubungan dan kepercayaan.

“Encik Rayyan! Wardah mesti tak sabar nak kenal dengan Encik Rayyan.” Kata‐kata itu mengundang tawa dalam dadanya.

“Ini cek, sumbangan saya untuk rumah anak yatim. Saya atau wakil saya akan datang lagi berkaitan dengan pembinaan rumah tu,” Dia menyampaikan hajat, membeli hati dan merebut peluang. Kemudian dia meninggalkan perkarangan kilang itu dengan rasa puas. Dia dapat lebih dari apa yang dia mahukan.

Malam itu, dia kembali menjengah dinding muka buku Benn Zanuril tadi. Mungkin ada lagi tentang gadis itu yang dia terlepas pandang. Lagi pun Benn Zanuril lebih banyak bercerita di dindingnya berbanding Solo Soul. Dan… benar bagai di sangka. Dinding muka bukunya baru dikemas kini. Bandung! Mereka sedang bercuti di Bandung. Dia tersandar lega.

Wajah gadis yang menguasai perasaannya saat itu ada hampir dalam setiap gambar yang dimuatnaik. Hatinya tergamit untuk ke Bandung. Sudah lama dia tidak bercuti. Untuk menjejaki gadis itu di Bandung juga teramat mudah! Dan segala tentang mereka di Bandung jelas tertera di depan mata. Di mana penginapan, setiap aktiviti malah perancangan hari esok sudah dikongsi di dinding itu. Sifat sukakan perhatian membuatkan manusia selalu terdedah kepada bahaya. Apa salahnya kalau muatnaik apa pun aktiviti selepas pulang dari bercuti? Namun keterujaan manusia dengan media sosial membuatkan mereka tidak terfikir betapa terdedahnya mereka sebagai mangsa.

Dia tersenyum. Seketika kemudian senyumnya bertukar tawa. Tawa yang sangat panjang. Kerana sudah hampir lima tahun dia tidak ketawa sepenuh hati. Dan wajah gadis istimewa itu melekat kuat dalam fikirannya. Lebih indah bila ada bayangan seorang lelaki mengacah. Lelaki yang tidak akan tersenyum lagi selepas ini. Zakuan!

****

“So? Dia dah start shopping?” Soal Zakuan sambil menikmati makan malam. Puas dia memujuk
Azam supaya keluar makan bersamanya malam itu. Bukan apa, dia mahu dengar khabar dari 
seberang.

Azam membelek telefon bimbitnya, memberi respon kepada Benn yang sudi menghantar berita. Pertanyaan Zakuan dibiarkan saja. Membuatkan lelaki itu semakin gelisah di kerusinya “Hmmm… Benn kata diaorang sempat ke Tangkuban Perahu petang tadi. Baru selesai shopping dan sekarang sedang makan malam.” Azam menyampaikan terus pesanan yang baru diterima dari Benn.

“Ha! Banyak dia shopping?” Perlahan Azam menggelengkan kepala sambil matanya terus
terkunci di skrin telefon.
“Setakat ni kata Benn, semua yang dibeli adalah keperluan adik‐adiknya di rumah anak yatim.
Untuk umi abinya, kak long dan Azwani. Mereka tu tinggal serumah dengan dia. Belum ada
apa‐apa yang dibeli untuk dirinya. Belum ada yang berkenan agaknya,” sambung Azam lagi
sambil membuat kesimpulan.
Zakuan mendengus. Payah kira dengan gadis yang seorang ini. Tiba‐tiba telefon bimbit Azam
diacah di depan matanya.
“Nak tengok suasana Bandung?” Pelawa Azam sambil tersenyum sumbing. Bukan dia tidak
tahu, Zakuan memang pernah ke sana. Zakuan mencapai telefon bimbit itu dan buat muka
acuh tak acuh. Dia bersandar santai sambil mengerakkan skrin dengan ibu jari, menatap
gambar‐gambar yang dipaparkan. Dan perlahan‐lahan tubuhnya kembali tegak. Dan
pergerakan ibu jarinya terhenti.
Bukan seorang! Tapi dikelilingi tiga orang jejaka! Ini melampau namanya. Zakuan meraup
muka yang terasa hangat. Azam tersenyum‐senyum sambil menikmati daging panggang. Riak
wajah Zakuan mencuit hatinya. Makin lama dia semakin yakin, Zakuan sangat memberi
perhatian kepada Wardah Sakinah. Dia lelaki. Dia tahu apa yang ada di hati lelaki seperti
Zakuan. Melihat gambar‐gambar yang baru saja dikirim oleh Benn, hati lelaki mana yang tak
terusik. Siapa yang tidak bangga kalau dapat menghabiskan percutian dengan gadis semanis
itu? Dan siapa yang tidak cemburu kalau hanya melihat dia dari jauh bersama orang lain?
“Dua orang lagi tu, siapa?” Soal Zakuan tiba‐tiba. Telefon bimbit diletak kasar di hadapan
Azam. Pandangannya berlari tanpa tujuan, mengelak dari tenungan Azam.
“Kau tak ingat? Adam… budak tu memang pandai ambil kesempatan. Kata Benn, seorang lagi
tu sepupu Adam. Benn pun hairan macam mana Adam boleh ke sana pada tarikh yang sama.
Mereka sebenarnya tak merancang pun untuk bercuti sekali. Kebetulan!”
Zakuan tak percaya. Dan dia juga sudah tak senang duduk.
“Zam! Esok kita ke Bandung!”
“Wha….” Kata‐kata Azam terputus di situ. Wajah Zakuan tiba‐tiba bertukar naga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan