Label

Rabu, 30 November 2016

NOVEL Akhirnya Bab12

PETANG yang damai itu tiba‐tiba berubah menjadi bencana. Datuk Zulkifli sudah bertekad untuk bersemuka dengan Manissa. Segala keraguan yang bersarang di kepalanya mesti dirungkaikan. Apa pun keputusannya nanti, dia tetap membuat satu keputusan. Sudah agak lama juga dia tidak bertegur sapa dengan anak gadisnya itu lantaran perselisihan faham yang wujud antara mereka berdua. Namun hari ini segalanya bakal terjawab.

“Nissa atau dia! Ayah buat pilihan!”

“Nissa tak boleh buat keputusan melulu macam ni! Jangan buat ayah serba salah!”

“Keputusan Nissa muktamad……Nissa tetap akan keluar rumah ni kalau dia pilihan ayah!”

“Nissa tak ada hak untuk halang keputusan ayah!”

“Nissa tetap juga dengan keputusan Nissa!” bentak Manissa kepada Datuk Zulkifli apabila ayahnya menyuarakan hasrat hatinya untuk berkahwin dengan Sarah Aqilah.

Datuk Zulkifli serba salah. Keinginannya untuk memperisterikan Sarah Aqilah mendapat tentangan hebat daripada anaknya, Manissa. Marah benar anak gadisnya itu apabila mendengar nama Sarah Aqilah. Bencinya bukan kepalang.

“Cukuplah ayah dah lukakan hati ibu……sekarang hati Nissa pulak menjadi mangsa!”

“Ayah tak paksa ibu Nissa pergi…..dia pergi atas keputusannya sendiri. Mengapa ayah harus 
dipersalahkan? Ayah ada hak ayah sebagai seorang suami…..”



“Memang Nissa salahkan ayah…..ibu menderita atas perbuatan ayah……sanggup menidakkan kasih dan sayang ibu terhadap ayah. Perempuan tu memang perampas!”

Ahh! Lelaki semuanya sama, tidak cukup dengan seorang perempuan. Bila berharta sedikit mulalah berubah arah. Mulalah mencari jalan untuk mencari pucuk muda. Benci! Memang dia benci dengan lelaki seperti itu, termasuklah ayahnya sendiri.

“Sanggup ibu buang keluarga…..buang saudara demi sayangkan ayah. Sanggup merantau jauh
menyeberang benua dan lautan demi cintakan ayah……akhirnya ibu terpaksa pergi mencari kasihnya yang terbuang…….ayah sikitpun tak rasakan pedihnya hati ibu saat ini…..sakitnya perasaan ibu bila ayah khianati segala pengorbanannya…..,”

“Terpulanglah apa saja tanggapan Nissa pada ayah……ibu Nissa pergi sebelum sempat ayah jelaskan perkara yang sebenarnya…….bukan ayah tak sayang pada ibu tapi……,”

“Tapi apa lagi ayah…….kalau ayah sayang ibu…….tak akan berlaku perkara yang memalukan
keluarga kita ni…….Nissa malu dengan perangai ayah ni!”

Lelaki ini memang tinggi egonya. Tidak pernah hendak mengaku kesalahan dan kesilapan diri
sendiri. Ada sahaja kekurangan pada orang lain kalau hati sudah tidak suka. Ada sahaja perkara yang dilakukan tidak betul kalau jiwa sudah kata benci. Lelaki seperti ini memang tidak akan pernah faham hati seorang perempuan, hati seorang isteri.

“Ayah lebih dulu makan garam dari Nissa……tak usah nak ajar ayah…….Nissa sepatutnya dengar cakap ayah! Bukan membantah tanpa berfikir……hati ayah sepi ada Nissa ambil tahu?”

“Ermm……ayah juga patut ambil tahu……hati Nissa dah lama sepi dari kasih sayang seorang
ibu……sekarang ayah pula menambah lagi derita hati Nissa…….,”

“Apa lagi yang Nissa mahu? Duit……kereta……kemewahan…..kebebasan…….semuanya ayah dah
beri pada Nissa…..apa lagi?”

“Itu semua tak menjamin kebahagiaan ayah……harta benda boleh dicari….boleh dibeli tapi kasih sayang memang tak ternilai kalau nak banding dengan semuanya tu…..semuanya itu buatkan kita lupa….lupa pada diri lupa pada keluarga. Nissa dah tak sanggup untuk hilang semuanya itu….cukuplah ayah!”

Kata‐kata Manissa itu membuatkan Datuk Zulkifli berfikir banyak kali. Bantahan demi bantahan
dari Manissa menimbulkan banyak persoalan dibenaknya. Mengapa susah sangat anak gadisnya itu untuk menerima segala kemahuannya? Perlukah dia tunduk dengan amaran demi amaran itu? Apakah akan dijawab nanti kalau Sarah Aqilah tahu akan keputusan Manissa menolaknya dari menjadi ahli keluarga mereka? Persoalan demi persoalan terus berlegar.

“Ingat ayah……kalau perempuan itu melangkah masuk ke dalam rumah ini……Nissa tak akan
teragak‐agak untuk terus sama melangkah keluar dari rumah ini…….sekali kaki ini melangkah,
jangan harap untuk masuk kembali!” satu ingatan yang dilemparkan oleh Manissa kepada Datuk Zulkifli yang sedari tadi masih diam membisu.

Sekali lagi Datuk Zulkifli rasa terpukul dengan kata‐kata itu. Taringnya bagaikan hilang apabila
dengan mudah dia menerima kata dua dari Manissa. Sudah tiba masanya untuk dia membuat satu keputusan. Dia harus memilih sama ada anaknya, Manissa atau kekasih gelapnya, Sarah Aqilah. Seketika bayang kedua‐dua wanita itu silih berganti mengapung di ruang mata. Saat itu memang terlalu sukar untuknya membuat satu pilihan.

SUDAH tiga hari Suzy mencari Manissa. Ini bermakna sudah tiga hari juga Manissa tidak datang bekerja di Semarak Café. Puas Suzy mahu pun Cindy mencarinya namun jejak Manissa masih gagal ditemui. Telefon sudah berkali‐kali namun tiada jawapan. Mesej juga sudah berkali‐kali namun tiada berbalas. Ke mana pula perginya Manissa? Suzy tertanya‐tanya sendirian. Pergi ke rumahnya nampak pagar berkunci. Cindy juga kebingungan ke mana hilangnya Manissa secara tiba‐tiba. Kebiasaannya mereka tahu ke mana Manissa pergi kerana mereka sering bersama. Kali ini Manissa benar‐benar hilang.

Albert Gan mula berang. Suzy hanya tertunduk membisu apabila Albert Gan mula mengamuk. Tidak pernah Albert Gan marah‐marah begitu tetapi kali ini amarahnya berapi.

“Mana you punya kawan tu? Sudah berapa hari tak datang kerja?”

“Err…..tak tahulah Mr. Albert……,”

“Saya tak peduli……you kena cari sampai dapat!”

“Saya dah cuba cari tapi dia tak ada. Sudah telefon tak jawab…...sms tak balas…..pergi rumah pun tak ada…..,”

“Itu bukan masalah saya…..you cari sampai dapat!”

Suzy bertambah geram dan marah pada Manissa. Kerana kawannya itu, dia yang kena marah dengan Albert Gan. Mukanya turut masam mencuka menahan sabar.

“Baru kerja…..sudah bikin perangai. Saya susah macam ini……suka‐suka hati bila mahu datang
kerja!” bebel Albert Gan lagi. “Pelanggan pun sudah ramai marah sama saya……rugi ini macam!”

“Okey….Mr. Albert…….nanti saya cari dia lagi…,”

“Cari sampai dapat……dia tak boleh lari kalau tak mahu dapat susah!” kata Albert Gan berbaur
amaran kepada Suzy.

Cindy dan beberapa orang rakannya sedang sibuk melayani pelanggan masing‐masing. Sejak akhir‐akhir ini pelanggan yang datang ke pusat hiburan itu semakin bertambah. Kehadiran pelanggan yang meningkat sekali ganda menyebabkan Albert Gan berbuat sesuatu.

Gadis‐gadis GRO yang sedia ada tidak mencukupi berbanding dengan kehadiran pelanggan. Bagi menampung kekurangan itu maka Albert Gan telah membawa masuk gadis‐gadis warga negara asing bekerja di situ. Minggu lepas sahaja seramai 15 orang telah dibawa masuk bekerja di situ, antaranya 4 warga Thailand, 3 warga Mynmar, 5 orang dari China dan 3 orang dari Indonesia. Ke semuanya muda‐muda belaka, berusia di awal 20‐an. Atas faktor dan tarikan itulah ramai pelanggan yang berkunjung ke kelab malam itu.

Sejak daripada itu juga kawalan semakin ketat dilakukan di premis hiburan itu. Mereka mesti lebih berhati‐hati kerana pusat hiburan seperti itu sering menjadi sasaran pihak berkuasa.

Pihak imigresen dan polis selalu memantau kegiatan perniagaan seperti ini. Albert Gan telah
mengarahkan kuncu‐kuncunya berhati‐hati serta melaporkan segera apabila ada operasi mahu
dijalankan.

“Dia pergi mana…..hilang tanpa berita?” soal Suzy apabila Cindy datang menghampirinya.

“Aku pun hairan……sejak akhir‐akhir ini dia memang pelik!”

“Iyelah……tak nampak happy……nampak pendiam. Mungkin dia ada masalah dengan keluarga
macam yang pernah cerita dulu….tentu kau ingat lagi…,”

Cindy hanya menganggukkan kepalanya. Memang pernah Manissa bercerita kepada Suzy dan Cindy tentang masalah yang dihadapinya. Hidupnya semakin tertekan apabila ibu bapanya berpisah tanpa ada jalan penyelesaiannya. Belum pun selesai masalah itu, ayahnya pula timbul dengan masalah lain pula. Semuanya membuatkan Manissa bertambah tertekan.

“Mana kita nak cari dia?” soal Cindy masih lagi memikirkan ke mana hilangnya Manissa.

“Entah….aku pun buntu…..no idea!”

“Hiss….menyusahkan betullah!” bentak Cindy lagi.

“Tadi tak pasal‐pasal aku kena marah dengan boss……sakit juga telinga aku mendengarnya. Dia ingat kita 24 jam nak kawal Nissa……lainlah kalau Nissa duduk serumah dengan kita!”

“Nissa pun satu hal……nak pergi mana atau tak dapat kerja beritahulah kita……memang
menyusahkan!”

“Ermm……sudahlah tu…..jom kita ke sana. Nampaknya ada pelanggan baru datang….,” ajak Suzy kepada Cindy.

“Kau pergi dulu……nak pergi toilet kejap…,”

Cindy terus berlalu meninggalkan Suzy. Kehadiran gadis‐gadis GRO warga asing membuat Suzy rasa kurang selesa. Sejak kehadiran mereka di kelab malam itu, ramai pelanggan yang biasa berurusan dengannya mahu pun Cindy telah beralih arah. Mereka lebih suka kepada gadis‐gadis GRO warga asing ini. Selain muda‐muda, layanan mereka ada sedikit berbeza.

SUDAH hampir 3 jam dia berada di kelab malam Semarak Café itu. Penantiannya telah membawa kepada hampir jam 2 pagi. Terasa mengantuk matanya menunggu lama di situ. Air fresh orange sudah 3 gelas diteguknya namun bayang gadis berambut perang yang dicari itu belum muncul lagi. Luqman Adzlie sudah berkira‐kira untuk pulang.

“Seorang sajakah?” terdengar satu suara menegurnya.

Luqman Adzlie menoleh ke arah sebelah kirinya. Ternyata Suzy berdiri tegak di situ. Luqman seakan pernah melihat kelibat gadis di belakangnya itu. Dia baru teringatkan bahawa gadis itu adalah kawan gadis berambut perang yang dicari.

“Tunggu seseorangkah?”

“Err…..tak adalah……saja duduk sini,”

“Ohh…..boleh I temankan awak?”

Luqman Adzlie tidak berkata apa‐apa. Dia hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.

“Suzy…..you?” sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.

“Err….panggil saja Mike…..,”

“Nice to meet you….,”

“Err…me too….,”

Mereka berdua terus berbual tanpa henti. Luqman Adzlie terus mengumpul maklumat untuk tugasan yang sedang ditangani. Kehidupan gadis‐gadis GRO di pusat hiburan itu penuh warna warni. Di setiap sudut kelab malam itu, ada sahaja gelagat mereka dapat dilihat. Sambil minum‐minum mereka bergelak ketawa. Ada juga pelanggan yang cuba mengambil kesempatan mengusik dan membelai gadis‐gadis GRO itu.

“You cari apa tu? Nampak macam tak selesa saja…,” tegur Suzy apabila melihat Luqman Adzlie
seperti mencari sesuatu. “Ermm….I know….you cari Tasha bukan?”

Apabila nama Tasha disebut, serta merta pandangan Luqman Adzlie terarah semula kepada Suzy. Macam mana perempuan ini tahu apa yang sedang aku fikirkan? Atau dia tahu apa sebenarnya tujuan dia datang ke situ? Bahaya! Aku kena lebih berhati‐hati lagi. Lakonan aku mestilah mantap supaya tujuan utama aku ke sini tidak dapat dihidu oleh perempuan ini, desis hati kecil Luqman Adzlie lagi.

“Err…..Tasha? Siapa Tasha…..err….I tak perasanlah…,” kata Luqman Adzlie memberi dalih.

“Ohh….mungkin you lupa gadis yang you jumpa tempohari…,”

“Maksud you gadis yang berambut perang tu?”

Suzy hanya tersenyum nakal. Matanya terus melirik tepat memandang Luqman Adzlie bagaikan mahu menggoda.

“Ohh….baru saya ingat! Err….tapi I tak nampak dia pun…..,” Luqman Adzlie pura‐pura bertanya.

“Lagi pun I tak kenal sangat dia tu…..cuma baru saja bertegur sapa dan tak lebih dari itu….,”

“I pun tak kesah……dia tu kawan baik I tapi sudah beberapa hari ni dia tak datang kerja….bimbang juga hati I…..,”

“Dia cuti agaknya…..manalah tahu,” Luqman Adzlie memberi andaian jawapan.

“Kalau bercuti tak apa….masalahnya khabar beritanya pun tak ada. Puas I cari dia!”

Sebentar kemudian Cindy datang menghampiri Suzy yang leka berbual dengan Luqman Adzlie. Sampai sahaja di situ, dia terus membisikkan sesuatu ke telinga Suzy. Luqman Adzlie hanya memerhatikan sahaja gelagat dua orang gadis itu. Selepas berbisik kelihatan tangan Suzy menghulurkan satu paket bungkusan kecil kepada Cindy. Apabila bungkusan itu berpindah tangan, Cindy terus melangkah meninggalkan Suzy kembali bersama Luqman Adzlie.

Di kepala Luqman Adzlie sedang berfikir sesuatu. Bungkusan apakah itu? Dalam samar‐samar 
cahaya di kelab malam itu, jelas kelihatan sejumlah pil‐pil kecil yang berwarna kemerahan. Dia
sudah dapat mengagak bahawa itu adalah eastacy atau pil‐pil perangsang untuk diedarkan di pusat hiburan tersebut. Suzy nampak serba salah apabila perasan Luqman Adzlie memandang kepadanya.

“Err….kawan I…..tadi I pegang barang dia jadi I nak pulangkan semula…,”

“Ohh…never mine…it’s okey…,”

Telefon bimbit Suzy bergetar beberapa kali. Perbualannya dengan Luqman Adzlie terhenti seketika. Dia melihat mesej yang tertulis itu. Dahinya nampak berkerut macam ada masalah yang sedang dihadapinya. Dia terpaksa pergi meninggalkan Luqman Adzlie.

“Err….I have to go…..ada urusan. Okey……nanti kita jupa lagi,”

Luqman Adzlie kembali bersendirian. Sekurang‐kurangnya dia sudah dapat sedikit maklumat yang berguna tentang gadis‐gadis GRO yang bekerja di pusat hiburan itu. Gambaran kehidupan yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri itu akan memudahkan lagi kerjanya.

Namun apa yang sedang bermain di kepalanya saat itu ialah ke mana hilangnya Tasha, gadis
berambut perang itu. Kalau rakan baiknya sendiri tidak tahu ke mana dia pergi, tentu ada sesuatu sedang berlaku. Persoalan itu terus menujah kotak fikirannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan