Label

Rabu, 30 November 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab15

USAI membersihkan diri dan solat, dia mengambil kesempatan untuk berehat di atas katil. Yang terlintas di fikirannya, adakah dia melakukan hal yang betul terhadap Alexander Zulkarnaeen? Ketika peristiwa itu berlaku, Intan Nawrah hanya teringatkan jumlah kos pembedahan Naufal, tetapi tidak memaksudkannya melalui ucapan. Apa yang disebutnya pada Alexander Zulkarnaeen hanya dengan tujuan hendak membuat lelaki itu benci sahaja. Dan nyata, raut wajah lelaki itu memang berubah. Penyudahnya, Alexander Zulkarnaeen terus buat keputusan untuk pergi. Namun, anehnya diri ini, dia masih mengenang apa yang telah terjadi, masih terkenang‐kenang perbualan itu, seolah‐olah baharu sahaja berlaku seminit yang lalu.

Intan Nawrah terus diterpa rasa bersalah dan berasa tidak patut melayan lelaki itu begitu. Lega, sepatutnya dia rasa lega kerana kehadiran Alexander Zulkarnaeen tak pernah dialu-alukannya.
Puas, seharusnya dia rasa puas melihat lelaki itu berlalu darinya. Dia tidak lagi menjadi buruan, tetapi anehnya dia rasa menyesal tak sudah‐sudah. Kasihan Alexander Zulkarnaeen. Tentu dia fikir aku saja nak menganiaya dan mengambil kesempatan. Terjentik juga di hatinya nak meminta maaf kerana terlanjur kata, tetapi tidak tahu bagaimana. Nombor telefon Alexander Zulkarnaeen telah dipadam, malah nombornya juga telah diblok dek kerana tidak sukanya Intan Nawrah dengan Alexander Zulkarnaeen. Akhirnya, dia melepaskan sebuah keluhan sesal.

Deringan di telefon bimbit memecah suasana bening.

“Alexander Zulkarnaeen?” Soalnya terus duduk. Intan Nawrah menyambut panggilan itu dengan rasa tidak sabar.

“Assalammualaikum, Nawrah.” Hanya suara emaknya Siti Fatimah yang kedengaran di hujung
talian.



“Waalaikumussalam warahmatullah. Mak, sihat ke?”

“Sihat sangat. Nawrah buat apa tadi? Dah tidur ke?” Tanya emak, memang rutin soalannya begitu. Sebenarnya, ada perkara yang hendak disampaikan pada anak sulungnya itu. Pada dirinya, hal itu menggembirakan, tetapi ada hal lain yang ingin ditanyakan juga, terutamanya tentang anak muda bernama Zulkarnaeen.

“Belum, mak. Baru nak baring aje ni.”

“Zul ada jumpa Nawrah?”

“Ada. Tapi rasanya dia tak akan jumpa Nawrah dah lepas ni.”

“Eh, kenapa pulak?” Tanya Siti Fatimah, hairan.

Dia melihat kesungguhan Zulkarnaeen hendak beristerikan Intan Nawrah. Sebagai emak, dia suka sikap Zulkarnaeen yang mengutamakan orang tua di dalam hal ini. Rupanya lain pula yang jadi disebaliknya. Panas yang diharapkan hingga ke petang, hujan yang turun di tengah hari.

“Nawrah yang tak suka. Dia faham dan menarik diri.” Jelasnya seringkas mungkin.

Siti Fatimah di hujung talian tidak membalas. Dia hilang kata‐kata sekejap. Baginya Intan Nawrah membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Bukan itu sahaja, dia juga tidak melibatkan emak, bertanya pendapat mana yang patut dan tidak patut. Akhirnya, dia menolak seseorang yang sesuai memikul tanggungjawab suami.

“Mak...kenapa?” Tanya Intan Nawrah, hairan.

“Mak terkejut.”

“Pasal apa?”

“Mak tak sangka Nawrah tak sudi terima Zulkarnaeen. Mak tengok orangnya baik. Jujur dengan Nawrah, sampai datang berjumpa dengan keluarga. Itu tandanya dia bersungguh-sungguh nak beristerikan Nawrah. Tapi...mak tak faham, kenapa Nawrah tak suka Zul?”

“Nawrah tak kenal Zul.” Jawabnya, mudah.

Siti Fatimah memejam mata tanda kecewa. Tak sangka Intan Nawrah bertindak terburu‐buru. Berita baik yang sepatutnya disampaikan terlebih dahulu jatuh di tempat kedua pulak.

“Sebab itu aje?” Tanya Siti Fatimah, tidak percaya.

“Ye.”

“Nawrah nak kenal orang lelaki berapa lama baru setuju nak berkahwin dengannya?”

“Sekurang‐kurangnya Nawrah kenal hati budi orang, baru boleh buat keputusan nak kahwin atau tidak.”

Jawab Intan Nawrah, perlahan. Daripada soal jawab emak, dia dapat menyimpulkan yang emak tak setuju dengan keputusan yang dibuat terhadap lamaran Alexander Zulkarnaeen.

“Nawrah pun nak jadi macam orang lain? Bercinta bagai nak rak bertahun‐tahun tapi bila berkahwin, tahannya setahun dua aje. Nawrah nak begitu, ke?” Tanya Siti Fatimah, tidak tahan.

Intan Nawrah tidak menyahut. Jarangnya emak larut dalam emosi. selalunya, emak tidak masuk
campur soal kahwin. Ketika Nur Idayu menyatakan hasratnya hendak kahwin dua tahun lalu, emak tidak bercakap banyak pun.

“Mak...maafkan Nawrah. Tapi Nawrah tak boleh terima cara Zul. Mendesak dan tergesa‐gesa.”

“Hemmm...Tak tahulah mak nak cakap apa. Buat kering tekak mak aje. Nawrah baliklah esok. Ada tawaran kerja ni, dari syarikat penerbitan akhbar. Mereka mintak Nawrah lapor diri Isnin, minggu depan.”

“Ye ke, mak?” Tanya Intan Nawrah, teruja.

Matanya bersinar tanda gembira. Sebelum temuduga calon isteri di Alexander Zulkarnaeen Properties tempoh hari, dia ada menghadiri dua lagi temuduga dengan jawatan berbeza, cuma salah satunya dalam bidang penyiaran. Dia memohon jawatan wartawan. Tetapi seingatnya, ibu pejabat syarikat penerbitan akhbar itu letaknya tidak jauh dari Alexander Zulkarnaeen Porperties, berselang satu bangunan barangkali. Ah, lupakanlah kejahatan yang dah aku buat pada dia. Anggaplah segala‐galanya selesai.

“Emmm.”

“Ya ALLAH! Tak sia‐sia usaha Nawrah, isi macam‐macam borang demi nak cari kerja, sampai 
borang pertemuan jodoh pun‐” Intan Nawrah hampir terlepas cerita. Cepat‐cepat dia menekup mulut.

“Borang apa?”

“Esok Nawrah balik ye, mak. Nawrah nak beritahu Mak Su dulu.”

PAGI di Mount Kiara. Alexander Zulkarnaeen menghirup secawan kopi di tepi tingkap. Seperti mana hangatnya rasa air itu, begitu juga rasa hatinya yang masih hangat membara. Dia tidak dapat melelapkan mata walaupun peraduannya di atas tilam empuk. Mengejar Intan Nawrah adalah perbuatan sia‐sia yang dia pernah buat. Sampai sekarang dia masih menyesali tindakan terburu‐burunya hingga sanggup bertemu keluarga Intan Nawrah di kampung.

“Hah, menyesalnya aku!”

Tapi jauh di sudut hati, dia sukar mengusir nama Intan Nawrah jauh‐jauh. Raut wajahnya masih
terbayang‐bayang. Dia rasa Intan Nawrah belum mampu menggoncang hatinya, tetapi tak henti menakluk ingatannya saban masa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan