Label

Isnin, 26 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab36

HARI ini merupakan hari pertama Sarah Aqilah masuk ke pejabat semula selepas enam hari tidak bekerja. Keadaan kesihatannya semakin bertambah baik. Dia masih tekun menghadap komputer ribanya. Jejarinya pantas menekan papan kekunci komputer sambil matanya tepat memandang ke skrin. Sejak bercuti panjang banyak sungguh kerjanya yang tertangguh.

Jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul sepuluh pagi. Sarah Aqilah mula dilanda rasa bosan. Duduknya nampak gelisah. Ada sesuatu yang sedang difikirkan. Matanya melilau melihat bilik Datuk Zulkifli. Dia jelas hampa apabila hanya pandangan kosong di hadapan mata. Wajah yang dicari tidak kelihatan. Dia bangun lalu menuju ke arah meja Siti Naquiyah.

“Datuk tak masuk pejabat hari ini?”

“Err … saya tak pasti Cik Aqilah.”

“Dia tak ada call?”

Siti Naquiyah hanya menggelengkan kepalanya. Nampak Sarah Aqilah berwajah culas sambil mengetap bibirnya.

“Datuk ada appointment di luar?” Sarah Aqilah bertanya lagi.

“Err … itu saya tak pasti. Seingat saya hari ini memang Datuk tak ada apa‐apa temujanji di luar.”

Sarah Aqilah terdiam seketika. Matanya tepat memandang Siti Naquiyah. Dari pandangan matanya macam ada sesuatu yang dimahukan.



“Ada apa‐apa lagi yang boleh saya bantu?”

“Ermm … mana fail kewangan syarikat untuk bulan ini? Ada pada kamu tak?”

“Ohh … fail tu ada pada Datuk.”

“Dalam bilik?”

“Nak saya ambil fail tu?”

“Err … tak apa saya tanya saja. Awak buatlah kerja awak.”

Hanya anggukan Siti Naquiyah mengiyakan pertanyaan Sarah Aqilah itu. Siti Naquiyah nampak pelik melihat gelagat Sarah Aqilah. Macam ada sesuatu yang tidak kena. Lain benar nampak gelagatnya. Sejak masuk pejabat pagi tadi dia pun perasan. Sarah Aqilah memang nampak tidak selesa. Bagaikan ada sesuatu yang ingin dicarinya. Wajahnya nampak hampa. Namun Siti Naquiyah buat tidak tahu sahaja.

“Letak di mana?”

“Dua hari lepas ada atas meja Datuk.”

“Ermm … okey terima kasih. Kamu tak pergi minumkah?”

“Kejap lagi nak pergi jugak. Nak siapkan sikit lagi kerja ni.”

“Ohhh … okey.”

“Cik Aqilah nak pergi sekali … jomlah!”

“Err … tak apa. Kamu pergi dulu.”

Pelik! Tiba‐tiba sahaja Sarah Aqilah begitu peramah dengan Siti Naquiyah. Selama hari ini jarang sekali dia ditegur oleh Sarah Aqilah. Memang dia perasan sangat dengan perubahan itu.

“Cik Aqilah tak nak kirim apa‐apakah? Saya nak pergi warung tepi jalan sana. Teringin pulak nak makan nasi lemak bungkus.”

“Warung? Err … tak apalah. Saya masih kenyang.”

“Okeylah … saya pergi dulu.”

Sarah Aqilah tidak menjawab. Dia hanya tersenyum namun nampak hambar. Siti Naquiyah sudah faham benar dengan citarasa Sarah Aqilah. Sejak berkawan rapat dengan Datuk Zulkifli lagaknya semakin mengada‐ngada. Kalau tidak kafe atau pun bistro memang dia tidak masuk. Semua orang yang bekerja di pejabat itu pun sudah faham benar. Dia melayan Sarah Aqilah bukan kerana suka malah kerana terpaksa.

“Baik‐baik jalan tu!”

“Iyelah … terima kasih.”

Mata Sarah Aqilah terus menghantar pergi Siti Naquiyah ke pintu utama pejabat. Hilang sahaja bayang Siti Naquiyah, dia terus bergegas ke mejanya semula. Laci meja ditarik dengan agak kasar. Tangannya meraba‐raba ke dalam perut laci. Ada sesuatu yang dicarinya. Wajahnya nampak lega apabila benda yang dicari tergenggam kemas di tangannya. Seutas kunci dikeluarkan. Dia tersenyum puas apabila melihat anak kunci itu. Sekali lagi matanya melilau pandang sekitar dalam pejabat yang nampak lengang itu. Boleh dikatakan pekerja‐pekerja yang ada telah keluar untuk minum pagi atau pun berjumpa pelanggan.

Sarah Aqilah mesti bertindak cepat. Pergerakannya mesti licik. Anak kunci yang tergenggam kemas di jarinya ditenung sekali lagi. Tanpa membuang masa, langkahnya pantas menuju ke bilik Datuk Zulkifli. Sampai di pintu, cepat‐cepat dia menyuakan anak kunci ke tombolnya. Hatinya lega apabila pintu bilik itu dapat dibuka. Dia segera mengatur langkah masuk ke dalam. Meja tempat Datuk Zulkifli bertugas menjadi sasarannya.

Satu‐persatu fail yang terdapat di atas meja Datuk Zulkifli diselak. Hampir lima belas minit berlalu namun apa yang dicarinya belum juga ditemui. Memang dia nampak hampa. Geram juga perasaannya ketika itu. Sebelum Siti Naquiyah balik ke pejabat, dia mesti mendapatkan fail itu.

“Hissh … mana pulak perginya fail ni? Kata ada atas meja!”

Sambil bersungut, Sarah Aqilah terus menarik laci‐laci meja pula. Semua fail yang ada digeledahnya. Setiap kali menyelak fail‐fail itu, matanya terus mencuri pandang ke arah pintu. Bimbang juga hatinya kalau‐kalau ada pekerja lain yang nampak apa yang sedang dilakukan. Memang dia mahu mencari nahas kalau perbuatannya itu diketahui oleh Datuk Zulkifli. Dia mahu mencari fail kewangan syarikat untuk bulan itu.

“Errmm … dekat sini pun tak ada.”

Dia tetap tidak berputus asa. Bersama dengan omelannya, Sarah Aqilah mengalihkan tumpuan pencariannya di kabinet berhampiran pula. Di situ terdapat juga banyak fail syarikat. Dia benar-benar
berharap fail yang diinginkan ada di situ. Satu‐persatu fail diselak. Masa terus berdetik, hatinya mula dipagut gelisah. Sesekali dia menoleh cemas ke arah pintu. Tiada apapun bayangan manusia yang kelihatan di situ. Dia kembali tenang dan menarik nafas lega.

“Mustahil fail tu disorok!”

Hampir dua puluh minit sudah berlalu. Fail yang dicari masih juga belum ditemui. Hasratnya untuk mengetahui keadaan semasa kewangan syarikat milik Datuk Zulkifli tidak kesampaian. Geram juga rasa hatinya. Dia hendak tahu tentang duit masuk dan keluar syarikat. Dia tidak sanggup untuk menunggu lama lagi. Saat ini dia amat memerlukan duit yang dijanjikan oleh Datuk Zulkifli kepadanya. Tiada orang lain lagi yang boleh membantunya kecuali Datuk Zulkifli.

Menanti janji Datuk Zulkifli untuk ditunaikan memang menyeksakan hidup Sarah Aqilah. Dia memang benar‐benar tersiksa!

Dia tidak sanggup untuk berhadapan dengan Rezal Haiqal sekali lagi. Sudah cukup penderaan fizikal yang dialami seminggu lalu. Mentalnya juga tersiksa. Sehingga saat itu, rasa sakit masih terasa. Dia seakan trauma bila teringatkan Rezal Haiqal. Ke mana sahaja dia pergi, bagaikan ada bayang lelaki itu mengekorinya. Hidupnya semakin tidak aman. Hidup berterusan dengan lelaki itu, dirinya semakin tidak selamat. Dia sepatutnya dilindungi, bukan untuk dikhianati.

Jaminan kebahagiaan telah lama berkecai. Hari‐hari yang dilalui kini penuh dengan duri. Hatinya sentiasa disakiti. Bayangan Rezal Haiqal kembali mengganggunya.

“Abang hanya pentingkan diri sendiri!”

“Cakaplah! Apa lagi yang kau nak cakap!”

“Perasaan Qilah langsung abang tak kesahpun!”

“Aku nak duit!”

“Duit! Duit! Itu saja yang abang tahu!”

“Selagi aku tak dapat duit tu, kau jangan ingat boleh tidur lena!”

Sarah Aqilah terkenangkan Rezal Haiqal. Rasa bencinya kepada lelaki itu semakin memuncak. Batinnya memang cukup tersiksa saat ini. Kalau dia boleh menceraikan Rezal Haiqal, sudah lama dia berbuat demikian. Namun apalah dayanya seorang perempuan. Hidupnya umpama sebiji mentimun. Rezal Haikal seperti sebiji durian. Apa juga yang dilakukan, tetap dirinya juga yang terluka.

“Qilah dah penat bang!”

“Aku tak peduli sama ada kau penat atau tidak!”

“Tak larat rasanya nak berlakon lagi!”

“Aku ni laki kau! Arahan aku kau kena ikut!”

“Selama hari ini ada Qilah bantah cakap abang?”

Terdiam Rezal Haiqal apabila soalan itu ditujukan Sarah Aqilah kepadanya. Marah benar hatinya apabila Sarah Aqilah enggan mendengar kata‐katanya. Tangannya pantas melepaskan satu tamparan ke pipi Sarah Aqilah. Tidak cukup dengan itu, rambut ikal Sarah Aqilah direntap kasar. Meluap‐luap api kemarahannya apabila wanita itu mahu mengajarnya.

“Sakitlah!”

“Tahu pun sakit. Hati aku yang sakit ni macam mana?”

“Lepaslah!”

“Okey … okey … sakit ehhh! Lain kali jangan kurang ajar. Jangan suka menjawab cakap aku! Faham tak!”

Untuk meredakan keadaan dan kesakitan, Sarah Aqilah terpaksa memilih untuk berdiam diri. Sakit sungguh anggota badannya diperlakukan secara kasar oleh lelaki yang mula dirasuk syaitan itu. Buat masa ini, biar dipendamkan sahaja penderitaannya itu. Dia amat berharap suatu hari nanti dendamnya terhadap lelaki itu akan berbalas. Dendamnya kepada Rezal Haiqal akan tetap tinggal dendam yang belum tertunai. Hanya masa yang akan menentukan. Saatnya pasti tiba!

“You buat apa dalam pejabat I ni?” terdengar satu suara yang menyapa.

Sarah Aqilah menoleh ke belakangnya. Sesusuk tubuh lelaki yang amat dikenali sedang memandang tepat kepadanya. Hampir terlepas sebuah fail yang ada digenggamannya. Melihat lelaki itu, bagaikan mahu luruh jantungnya. Dia memang benar‐benar terkejut. Apa alasan yang mesti diberikan? Tiba‐tiba sahaja Datuk Zulkifli muncul.

“Err … Da … Datuk. Ma … maafkan Qilah. Bila Datuk sampai?”

Tiada jawapan kepada soalan itu. Datuk Zulkifli merenung tajam ke arah Sarah Aqilah. Pandangannya bersulamkan bunga curiga. Di benaknya merasakan sesuatu yang tidak kena apabila melihat Sarah Aqilah berada di dalam bilik tanpa izinnya.

“You tak jawab lagi soalan I tadi.”

“Maafkan Qilah sebab masuk bilik ini tanpa izin Datuk. Qilah nak cari fail invois belian barangan dengan syarikat pembekal untuk bulan lepas. Qilah dah hampir seminggu tak masuk pejabat, sebab itulah Qilah nak kemas kinikan fail tu.”

“Ohh … fail tu I dah bagi pada Siti. Bukankah I bagi tahu you dalam perbualan telefon hari tu?”

“Errmm … Qilah terlupa pulak.”

“Are you okey?”

“Memang Qilah minta maaf Datuk. Qilah risau sebab banyak kerja yang tertangguh.”

“Sudahlah tu. I faham masalah you. Semua kerja tu dah beres.”

“Iya Datuk? Alhamdulillah …”

Lapang sedikit dada Sarah Aqilah apabila Datuk Zulkifli mula menerima alasan yang diberikan. Dia memang tidak menyangka kehadiran lelaki itu secara tiba‐tiba. Memang raut wajah Datuk Zulkifli tadi amat menakutkannya. Dia amat berharap tidak ada rasa curiga atas perbuatannya itu. Agendanya masih belum selesai selagi misinya belum tercapai. Buat seketika denyutan nadinya kembali normal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan