Label

Sabtu, 3 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab18

SUARA Intan Nawrah masih terngiang‐ngiang di telinganya, seolah‐olah mereka masih berada di dalam restoran, dan sedang menjamu selera. Hakikatnya, dia sedang berbaring di atas peraduan empuk, masih mengenang pertemuan lewat petang semalam.Di matanya, Intan Nawrah nampak ayu dalam persalinan kurung berwarna zamrud.

“Aku terjebak.”

“Dah tak boleh buang lagi namanya. Melekat dalam hati.” tuturnya perlahan.

Baginya, berat juga tugasan yang diberi. Bagaimana dia hendak memikat hati Intan Nawrah, tanpa menghubungi mahupun mendekati? Lama dia berfikir, mencari jalan yang sesuai.

“Orang dulu‐dulu pun bercinta jugak, ke jinjang pelamin jugak. Tak perlu jumpa atau berhubung pun, jiwa tetap setia.”

“Tapi orang dulu‐dulu guna surat untuk berhubung. Tambah bedak lagi kat atas surat, wangian cinta agaknya.” ulas Alexander Zulkarnaeen tersengih.

Penat berbaring, dia mengiring ke kanan pula. Teringat kisah cinta emak dan abah dulu, katanya mereka berutus surat, menyulam cinta di dalam warkah wangi. Dan warkah wangi itu membawa mereka ke alam perkahwinan, bertahan hingga ke hari ni. Kalau Abang Long berusia tiga puluh lapan tahun, usia perkahwinan emak dan abah tentu lebih kurang itu juga.

“Tak salah mencuba.”



Katanya sebelum menutup mata tetapi mata masih berdegil juga. Padanlah emak bising sangat, minta dia cepat cari calon isteri, rupa‐rupanya hidup kosong tanpa keluarga.

Kosongnya tambah dirasai selepas dia mengenali Intan Nawrah. Tengok dinding, terasa kosong, tengok syiling, terasa kosong jugak. Mulalah terbayang‐bayang Intan Nawrah disebelah, menggantikan bantal golek yang terkulai layu.

Penangan Intan Nawrah! Menyengat hingga ke dasar. Padahal ketika bersua mata pertama kali, dia tak bersungguh pun melihat Intan Nawrah. Waktu itu dia lebih sibuk melihat hartanah yang dilelong. Tetapi, baik dia mahupun Adam, mereka sama‐sama ingat Intan Nawrah kerana lagaknya yang bersahaja masuk untuk ditemuduga, sedangkan dia nak menemuduga sebagai calon isteri, bukan mencari calon pekerja.

LENGGANG Kak Natrah diperhatikan Intan Nawrah penuh minat. Dari lenggangnya Intan Nawrah tahu yang Kak Natrah sedang mendekatinya. Intan Nawrah senyum terlebih dahulu. Semenjak bertugas di Unit Sukan hampir dua minggu, Kak Natrah paling suka mendekatinya. Kak Natrah juga yang paling suka memberi tunjuk ajar. Kak Natrahlah orang yang bertanggungjawab mendekatkan dirinya dengan staf lain di Unit Sukan.

“Nah, surat untuk Nawrah.”

“Eh, surat saya?”

Tanya Intan Nawrah, berkerut kening. Namun dia menyambut juga surat bersampul biru itu. Dia membaca nama dan alamat yang tertera pada sampul itu, tetapi rasa aneh pula. Siapa yang tahu dia kerja di situ selain emak dan sanak saudara?

“Bukan ke? Emm...mungkin bukan kot. Akak rasa dia nak tulis nama Natrah, tapi terrrrtulis nama Nawrah. Bukan untuk Nawrah kot.”

Sakat kak Natrah, cuba mengambil semula sampul surat itu dari tangannya tetapi Intan Nawrah memegangnya kejap. Dia tergelak dengan usikan Kak Natrah.

“Amboi dua beradik ni. Bahagia sepanjang masa, dengki aku. Dengan aku, dia tak mesra macam tu pulak.”

Sengat Kudin yang baru duduk di sebelah Intan Nawrah. Memang tempatnya di situ, di sebelah Intan Nawrah. Usikan Kudin tak dibalas Nawrah. Dia tersenyum sahaja.

“Maklumlah suami orang.” Tembak Kak Natrah sedas.

Itu ayat pemati buat Kudin. Dia selalu kalah bila dibidas tentang status dirinya yang bersuami orang. Dalam ramai‐ramai staf di Unit Sukan, Intan Nawrah seorang belum berpunya, sebab itu dia selalu menjadi bahan usikan teman‐teman. Ada juga seorang lagi staf yang sudah dua tahun bertunang, tetapi masih belum mendirikan rumah tangga. Namanya Shirin. Shirin lebih pendiam dan kurang mesra, rata‐rata teman lain di Unit Sukan sudah maklum tentangnya dan tidak berani mengusik, Intan Nawrah yang baru, apatah lagi. Dibiarkan saja Shirin tanpa bersapa, walaupun hati teringin.

“Dah habis baca nanti, kita sembang ye. Akak nak tulis artikel kejap.” Kata kak Natrah, menepuk mesra bahunya. Kudin disebelahnya sibuk menghadap komputer. Apabila memastikan suasana tenang, Intan Nawrah membuka pelekat surat di belakang surat.

Sekeping surat ditarik keluar dari sampulnya. Intan Nawrah yang tidak menyangka ada ‘isi’ lain di dalam surat itu, menumpahkan bedak tanpa sengaja hingga Kudin mengalih tumpuan ke arahnya.

“Macam bau baby. Kau pakai bedak baby ye, Nawrah?” Tegurnya sebelum terbersin. Intan Nawrah ketawa. Dia tidak jadi membaca isi surat itu, malah, cepat‐cepat melipatnya kembali.

Surat itu dimasukkan terus ke dalam beg tangannya.

“Mana ada. Tak pakai bedak pun.”

“Boleh percaya ke? Habis tu, mana datang bau wangi tiba‐tiba ni? Bau baby pulak tu. Takkan ada pontianak pulak siang‐siang ni.”

Balasnya, mendongak ke atas. Intan Nawrah ikut mendongak juga, kemudian sedar yang dia
dipermainkan.Terus Kudin ketawa lepas. Hisy! Intan Nawrah mula bercekak pinggang.

“Ingat Kak Natrah aje yang boleh gelak besar. Ini Abang Kudin tau.”

“Abang Kudin, jejaka paling kacak di Malaysia.”katanya lagi.

“Yelah, akak setuju. Abang Kudin memang paling kacak di Malaysia. Tuu...pontianak kat atas tu pun minat kat dia, terlalunya kacak.” Sahut Kak Natrah dari jauh. Intan Nawrah tidak dapat
menyembunyikan tawanya ketika Kudin menjuihkan bibir.

“Dengar aje orang tua tu, ye? Dia pasang kamera ke kat sini?”

Tanya Kudin, buat‐buat mencari barang yang hilang di mejanya. Habis semua diselak, sampaikan bakul sampah di meja Intan Nawrah pun dikelebeknya.

“Kalau Kudin bersembang, satu unit boleh dengar. Usahkan akak, pontianak dari Unit Hiburan pun datang jenguk.”

Kak Natrah galak menambah rencah, menambah warna pada Unit Sukan yang sunyi. Ketawa yang reda bersambung lagi. Intan Nawrah tak boleh bayangkan kalau Kudin dan Kak Nawrah tak ada, tentu sunyi.

“Salah seorang pontianak tu nama Natrah. Aha ha ha.” Kudin menyahut. Tidak lama kemudian, 
datang Kak Natrah bercekak pinggang. Dia mengambil akhbar di meja Intan Nawrah. Akhbar itu digulung dengan rasa geram sebelum membelasah belakang Kudin.

“Mak ai! Bengisnya. Sakit Kak Nat.”

“Kalau begitu, lain kali...jangan panggil akak pontianak.”

“Ha ha ha.Okay! sorry, okay!”

“Habislah berbirat belakang badan aku.” Sungut Kudin sambil menggosok belakang badannya
dengan susah payah. Kak Natrah dan Intan Nawrah menyambung gelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan