Label

Isnin, 26 Disember 2016

NOVEL Penyamar Bab2

AKU mengeliat malas di atas tempat tidurku. Hanya berlapikkan toto dan sebiji bantal. Di sebelah aku ditemani dua orang anak perempuan Mak Esah, Hafizah dan Rafidah. Kami berkongsi bilik utama memandangkan aku ni tetamu, jadi aku diutamakan. Dua orang anak lelaki Mak Esah pula tidur di bilik hujung sedangkan Mak Esah dan suaminya Pak Mail tidur di bilik sebelah. Semua tidur beralaskan toto. Langsung tiada katil atau pun tilam empuk. Suasana pagi di kampung memang sangat sejuk hingga terasa ke tulang hitam. Itu ayat sesetengah oranglah.

''Ijah, Idah, bangun dik. Dah lewat ni. Nak solat subuh, nanti nak siap gi sekolah lagi,'' aku kejutkan Hafizah dan Rafidah bila jam loceng yang aku letak di hujung kepala sudah menunjukkan angka 6.20 pagi. Aku pandang keduanya dengan rasa simpati. Alangkah bertuahnya diriku, celik saja mata sudah sedia ada dalam rumah yang ada segalanya.

''Dah pukul berapa kak Shah?'' Hafizah bertanya walau matanya masih terpejam. Aku gelengkan kepala melihat telatahnya. Sejak aku berada di sini memang tugas aku untuk mengejutkan mereka berdua. Semalam aku menulis hingga pukul tiga pagi, jadi pagi ni aku terbabas sikit. Selalunya seawal enam pagi aku dah bangun dari tidur.

''Dah 6.20…'' sebaik aku habis berkata‐kata, mata Hafizah terus terbuka luas. Spontan dia terus
melompat bangun dan memandang aku. Cemas pula wajahnya itu.

''Alaa,.kenapa kak Shah kejut lewat sangat? Orang ada perhimpunan hari ini. Habislah, kalau lewat sampai tentu pengawas gila kuasa tu akan ambil nama orang,'' sambil melompat bangun dari tempat tidur Hafizah membebel kepadaku.

''Erkk?..'' aku dah hilang suara untuk berkata‐kata. Aku alihkan pula pandangan pada Rafidah yang masih berselimut.



''Idah, cepat bangun. Dah lewat ni...'' sambil bersuara aku tepuk badan Rafidah perlahan.

Rafidah mengeliat perlahan, langsung tiada tanda dia akan membuka mata.

''Idah! Bangunlah, kan lewat nanti nak ke sekolah.'' bila dah beberapa kali aku cuba mengejutkannya tidak berhasil, aku cuba pula cara lain. Perlahan aku halakan tanganku ke pinggangnya dan aku geleteknya di situ. Mengekek dia ketawa dengan tindakanku itu. Pantas tangannya menepis tanganku.

''Yalah, yalah, orang bangun la ni. Kak Shah ni orang tengah syok mimpi jumpa dengan putera idaman ni, kacau ja la!'' haih, macam‐macam kerenah betul budak‐budak sekarang ni. Baru ja tingkatan tiga kot dah berangan jumpa putera idaman? Hafizah pula baru tingkatan lima.

Selepas Rafidah bangun aku pun terus mengemas tempat tidur dan keluar dari bilik menuju bilik air. Nampaknya terpaksalah beratur pula untuk menunggu giliran, kerana bilik air hanya ada satu saja di rumah ini.

Memandangkan bilik air dengan ruang tamu dan dapur hanya berdekatan di antara satu sama lain, jadi sementara menunggu giliran aku sampai, aku menjengah di dapur untuk melihat apa menu sarapan pagi ini. Apa yang aku perhatikan ada ubi kayu yang sedang direbus di atas dapur dan Mak Esah sedang menumbuk bawang dan cili padi di dalam lesung batu.

''Mak nak masak apa tu?'' ramah aku bertanya kerana sememangnya aku memang peramah.

Hmm,.percayalah!!!

''Nak goreng nasik semalam. Banyak lagi tu, sayang pulak kalau nak dibuang,'' aku bangga dengan orang macam Mak Esah ni. Amalan inilah yang disukai dan dituntut dalam agama.

Jangan membazir. Aku ada juga mengenali beberapa orang yang takkan makan nasi semalam walau sudah digoreng. Ada yang memilih sangat untuk makan ni. Ada yang hanya akan makan makanan yang masih panas saja. Yang masih fresh.

Bagi aku pula aku tak memilih sangat, janji masih boleh dimakan aku makan saja. Dalam hidup ini kita jangan banyak sangat permintaan. Kalau dah itu saja rezeki kita. Makan saja apa yang ada. Kita kena ingat sama dengan fakir miskin yang sangat daif yang hanya makan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dalam asyik menyoal sampai jugak giliran aku. Aku sengaja biarkan anak‐anak Mak Esah gunakan bilik air terlebih dahulu, kerana mereka perlu bersiap ke sekolah, sedangkan aku hari-hari hanya menemani Mak Esah di rumah. Cuma hari minggu saja aku akan pulang ke rumah aku atau pun kadang‐kadang aku akan keluar ke pekan sehari, menemani Mak Esah berniaga hasil kebun mereka.

SEDAR tak sedar sudah tiga minggu aku di sini. Hari ini merupakan hari terakhir aku di sini. Semalam aku sudah telefon Ucu supaya mengambil aku di sini. Sebetulnya setiap kali aku balik ke rumah, aku akan menceritakan tentang kedaifan keluarga Mak Esah kepada keluargaku. Keluargaku cukup bersimpati dengan keluarga Mak Esah. Setiap kali aku datang kembali ke sini ayah aku akan hulurkan derma dalam bentuk makanan dan wang dan aku selalu memberitahu Mak Esah itu adalah bantuan dari beberapa pihak yang bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga. Baju‐baju lama yang masih boleh dipakai kami dermakan sekali. Ada juga baju‐baju baru yang aku beli dengan duit aku sendiri untuk mereka. Bagi mereka sedikit bantuan dari orang yang prihatin dengan nasib mereka sudah amat berharga dan tak ternilai.

''Pukul berapa kawan Shah tu nak datang ambil Shah ni?'' aku menoleh pada Mak Esah. Ada riak kesedihan di wajahnya. Jangan kata Mak Esah, aku sendiri pun terasa sayu untuk meninggalkan keluarga ini.

''Petang sikit kot mak, kenapa mak tanya? Mak nak ikut sama ke? Jomlah!'' aku cuba berseloroh untuk menghilangkan rasa gundahku.

''Kalau mak dah ikut, siapa pulak nak masak dalam rumah ni Shah? Tu kebun tu, siapa pulak yang nak tolong ayah uruskan? Kalau ayah tak sihat, siapa pulak yang nak berniaga dan jual semua hasil‐hasil kebun tu?'' aku hanya tersengeh mendengar soalan‐soalan yang diajukan untukku. Anak‐anak Mak Esah masih kecil lagi. Yang paling tua, Hafizah tujuh belas tahun, diikuti Rafidah lima belas tahun, manakala Hazwan yang ke tiga baru dua belas tahun dan Shahrul Aizat baru sepuluh tahun.

Menurut Mak Esah ketika mereka kahwin umurnya dah lanjut. Umur Mak Esah dah tiga puluh lima tahun ketika melahirkan anak sulungnya. Tapi rezeki mereka cukup murah. Walau kahwin dalam usia yang dah memasuki 30‐an mereka masih dikurniakan dengan empat orang zuriat.

Begitulah kehendaknya takdir. Ada setengah orang walaupun berduit, puas berubat untuk mendapatkan zuriat tapi langsung tiada rezeki sampai ke tua. Kadang‐kadang Allah hanya menguji ketabahan dan kesabaran hamba‐hambanya.

''Assalamualaikum,'' aku dan Mak Esah serentak menoleh bila mendengar suara orang memberi salam di muka pintu.

''Waalaikummusalam, awal abang balik hari ini? Dah habis berjual ke ni?'' sebaik melihat wajah Pak Mail terjengul di muka pintu Mak Esah terus menyoal. Seketika kemudian aku terus ukirkan senyuman bila ternampak Ucu di belakang Pak Mail.

''Ni ha, kawan Shah datang tegur abang masa di pasar tadi, minta tunjukkan jalan. Kebetulan sayur pun dah nak habis abang baliklah sekali,'' aku terus bangun dan menuju ke pintu dan aku turut tersentak bila yang datang bukan Ucu seorang, tapi mak dan ayah aku pun turut ada sekali.

''Kata nak datang petang? Pehal Encik Mohd Taufik ni datang ambil Princess Ecah ni awal sangat?'' macam biasa, aku kalau jumpa Ucu mesti ada ayat berbaur gurauan ni. Dengan adik bongsu kesayangan aku ni ayat‐ayat serius kita orang memang tak main.

''Ni ha, bonda kesayangan Princess Ecah ni yang tak menyabar.'' Ucu bersuara perlahan.

Sempat aku meletakkan jari telunjukku di bibir agar Ucu tak tersasul. Dalam rumah ni mana ada aku beritahu sesiapa tentang diri aku yang sebenarnya. Aku hanya beritahu, aku dihantar oleh kebajikan masyarakat untuk membuat bancian tentang tahap kemiskinan mereka untuk diusulkan ke pihak atasan.

Kadang‐kadang aku risau jugak, kerana apa yang aku buat ni akan melibatkan banyak hati yang akan tertipu dengan aku. Walaupun penipuan aku bukan berniat untuk menyusahkan sesiapa. Nasib baiklah sepanjang aku di sini tiada siapa yang mempersoalkan tentang kehadiran aku. Mak Esah pula selalu memperkenalkan aku pada orang kampung sebagai saudara terdekatnya yang datang bercuti di rumah mereka.

Aku segera mendapatkan emakku dan menyalaminya. Pada ayahku aku hanya kenyitkan mata. Ayah aku ni pun bijak jugak berlakon. Boleh pula dia berwajah serius bila memandang aku. Kalau di rumah, ayah aku ni merupakan orang yang paling kuat menyakat. Terutama akulah orangnya, yang selalu disakat.

Aku amat bertuah kerana memiliki keluarga yang bergitu sporting dan sangat memahami diriku. Bila setiap kali aku ingin menghasilkan karya baru dan inginkan lokasi untuk aku memulakan penyamaran, mereka akan membantu aku. Tak ada seorang pun yang akan menghalang niatku atau memperlekehkan impianku.

''Jemputlah duduk puan, tuan, encik,'' Mak Esah mempelawa ketiga orang tetamunya duduk.

Aku pun ikut sekali duduk bersama yang lain. Suasana menyepi tiba‐tiba. Masing‐masing memandang di antara satu sama lain. Aku jongketkan kening pada Ucu. Aku pandang pula pada ayah dan emakku.

''Ada hajat ke datang ramai‐ramai ni?'' bila dah semua membisu terpaksa jugak aku yang mulakan perbualan.

''Sebenarnya hajat kami datang ni nak sunting bunga yang sedang mekar di taman,'' ayah aku yang bersuara bagi menjawab pertanyaanku. Selamba pulak wajahnya aku tengok. Emakku dah tampar bahu ayahku sambil tergelak perlahan. Aku dan Ucu masing‐masing sudah menunduk menahan tawa.

''Maksud tuan?'' Pak Mail bertanya hairan. Mak Esah jugak nampaknya sedikit terkejut dengan jawapan ayahku tadi. Ayah aku ni memanglah. Saat‐saat macam ni pun masih nak bergurau.

Hiesyy, ayah siapalah ni?

''Tak adalah, suami saya bergurau ja tadi tu. Kami datang untuk ambil Aishah ni ha, terima kasihlah kerana sudi terima dia di rumah ni, dan jaga dia dengan elok. Harap dia tak menyusahkanlah sepanjang dia di rumah ini,'' emak pula bersuara bila melihat wajah kalut Pak Mail dan Mak Esah akibat gurauan ayah.

''Sebaliknya puan, Shahlah yang paling banyak membantu sepanjang dia ada di sini,'' kembang hati aku seketika mendengar pujian Mak Esah terhadapku. Ucu mencebik ke arahku. Aku dengan selambanya tayang penumbuk pada Ucu, tapi sempat dilihat oleh emakku dan kami berdua mendapat jelingan tajam daripada emak. Aku tayang wajah selamba dan kembali fokus pada yang lain.

''Alang‐alang dah sampai awal ni kita makan tengahari di sinilah ya?'' Mak Esah bersuara lagi dan aku memandang emak, ayah dan Ucu sambil menganggukkan kepala agar mereka bersetuju dengan permintaan Mak Esah.

''Tak menyusahkan ke?'' emakku pula menyoal.

''Nak susah apanya? Cuma makan masakan kampung sajalah yang kami mampu pun,'' Mak Esah merendah diri.

''Orang bandar pun masih makan masakan kampung lagi. Masakan kampung lagi sedap rasanya dari masakan hotel,'' ayah pula mencelah. Ayahku asal orang Sabak Bernam. Seleranya memang selera orang kampung, tapi lebih banyak dengan masakan yang berasaskan tempe.

''Kalau macam tu, jomlah Shah kita mula masak. Cepat memasak nanti cepat jugak kita makan,'' Mak Esah sudah mula bangun dari tempat duduk. Aku dan emak turut bangun sekali.

Bila kami dah bangun ayah dan Ucu pun bangun sekali.

''Eh, semua pakat bangun, nak ke mana?'' Pak Mail yang diam sejak tadi mula menyoal.

''Dah orang perempuannya nak masak, orang lelakinya kenalah beredar. Dekat luar tu rasanya macam ada pangkin tadi. Mohlah, duduk di luar sambil berbual‐bual,'' ayah aku membuat cadangan. Ucu awal‐awal lagi dah hilang dan menuju ke kereta. Aku yang nak turut serta ke dapur tadi terus membatalkan niat bila melihat Ucu membuka bonet kereta, lantas mengekori Ucu ke kereta.

''Bagus sangatlah kak Yang datang sini. Tolong Ucu ni angkut bawa masuk barang ni ke dalam rumah. Jangan nak tengok saja!'' Encik Mohd Taufik sudah keluarkan arahan. Aku menjengok ke dalam bonet kereta. Ada ayam, daging, beras dan barang‐barang dapur. Tanpa berlengah aku terus menolong Ucu mengangkut semua barang masuk ke dalam rumah. Tak salah kita membahagiakan orang lain dengan apa yang kita ada.

Allah memang dah atur rezeki masing‐masing. Jangan ingat harta kita hak kita, tapi ingatlah tak semestinya harta yang kita cari dengan usaha kita sendiri itu milik kita seorang. Kadang-kadang Allah memang telah tetapkan ianya adalah rezeki orang lain. Jangan sesekali kedekut untuk memberi sumbangan kepada orang lain kerana rezeki yang kita dapat hari ini pun kerana Allah yang bermurah hati memberi pada kita. Jangan pula kita keliru, sebab itulah dalam Islam digalakkan untuk membayar zakat.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tidak ada seorang pun yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan lambung, dahi dan belakangnya.

Setiap kali ia sejuk, dipanaskan semula pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba‐Nya.” Riwayat Muslim Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada‐pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan