Label

Khamis, 8 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab23

Ketika mereka sampai di rumah lelaki itu yang terletak di Kampung Pandan, Aira Syuhada melihat seorang wanita sebaya ibunya sedang duduk berjuntai kaki di atas pangkin, di bawah pohon cermai. Tiba‐tiba hatinya berdebar. Bimbang memikirkan penerimaan wanita itu terhadapnya. Fikirnya, tentulah Adham sering menceritakan tentang dia dan sikap kasarnya.

Tentang keburukan dirinya.

“Tak nak turun ke? Kau nak aku dukung kau dan turunkan kau depan mak?” soal Adham kasar.

Aira mencebik sambil mengajuk kata‐kata lelaki itu. Adham yang melihat bertambah geram.

“Aira!!”

Aira membalas pandangan itu.

“Orang nak turunlah ni! Bisinglah awak!” marahnya.

Walaupun hati marahkan Adham, kemarahan itu berjaya disembunyikan. Aira turun daripada kereta dengan senyuman. Dia menghayun langkah dengan santun ke arah Puan Mahani. Melihat senyuman di bibir wanita itu, gundah di hati terbang menjauh.



Sekali pandang sahaja, Aira sudah tahu bahawa wanita ini jauh berbeza sikapnya berbanding si
‘monster’ itu. Dan sekali pandang sahaja, dia tahu bahawa kehadirannya ke sini memang dinanti‐nanti oleh wanita ini. Renungan diberi sungguh tajam. Mungkinkah ingin meneroka dirinya dan mencari di bahagian manakah yang Adham Faiz tidak berkenan agaknya?

“Apa khabar, makcik? Nama saya Aira Syuhada. Makcik dan semua orang boleh panggil saya, Aira. Saya minta maaf sebab dah menyusahkan makcik ni. Saya sendiri pun tak tahu yang saya tak dapat ikut mak dengan ayah. Bila Am sampai di airport tadi, baru saya tahu yang saya kena datang dan tinggal di sini. Saya harap, saya tak menyusahkan makcik, ya?” jelas Aira panjang lebar sebaik sudah bersalam dengan wanita itu.

Mahani tersenyum. Sudah lama dia teringin melihat wajah gadis ini. Baru hari ini impiannya tercapai. Terpesona juga dia melihat keayuan Aira. Memang tepat gambaran yang Udin dan Akub berikan. Cantik, tinggi, dan paling menarik ialah belahan di dagu beserta lesung pipit yang terbentuk semasa Aira tersenyum. Begini sempurna ciptaan Allah, masakan Adham tidak sedikitpun terpikat? Bbetul ke tak terpikat? Soal hatinya.

“Sedapnya nama kamu. Cantik pulak tu! Makcik harap, kamu boleh menyesuaikan diri tinggal di sini, ya, Aira.” Kata Mahani. Anak lelaki yang menyandarkan tubuh di tepi kereta, direnung.

Begitu ralit si Adham memerhati Aira sehingga tidak menyedari ibu sendiri melihat dirinya.

‘Adham! Adham! Entah apalah yang sedang difikirkannya tu? Hisy! Kata tak ada apa‐apa perasaan, tapi bila merenung, macam nak telan.' gumam Mahani.

“Makcik, banyaknya buah cermai ni. Boleh tak kalau Aira nak sikit?” pinta Aira sambil memegang ranting halus yang dipenuhi buah masam itu.

Belum sempat Mahani menjawab, Adham sudah berdehem. “Tak boleh!” tegahnya.

Aira bercekak pinggang. Hatinya kembali panas. Tidakkah boleh, walau sekali si Adham Faiz Hanafi ini bercakap elok‐elok dengannya? Ini, di hadapan ibunya pun, dia masih hendak menjerkah. Tak ada budi bahasa langsung!

"Kenapa awak yang jawab? Saya bukan tanya awak pun!” balasnya, setelah hati habis membebel. Wajah tampan itu ditatap dengan penuh rasa geram.

“Saya kata tak boleh! Tak bolehlah!” Adham meninggikan suara. Wajah ibu yang terkedu melihat perlakuan mereka tidak disedarinya.

“Saya tak kira! Saya nak makan jugak buah cermai ni!” balas Aira, berdegil.

“Aira!!”

Tangan Aira yang cuba menarik dahan, ditepis. Gadis itu hampir menangis kerana terkejut dan
sakit.

“Adham?? Kamu ni!!”

Mahani lantas memegang tangan Aira. Merah jugalah sedikit tapi dia tahu, itu bukanlah penyebab air mata yang bertakung di kelopak. Selebihnya Aira geram kerana kehendaknya dihalang.

Menggelengkan kepalanya ke arah Adham, Mahani segera memujuk si gadis.

“Aira, Adham bukan tak bagi kamu ambil buah cermai tu. Dia cuma tak mahu kamu makan sekarang. Itu aje. Tadi, dia dah telefon makcik. Dia suruh makcik masak nasi untuk kita sama-sama makan tengah hari ni. Sebab, dia kata, kamu tak makan apa‐apa sejak pagi tadi lagi. Dia bukan apa tu, dia risau takut kamu sakit perut. Kata dia, kamu selalu sakit perut, kan?”

Aira mengangguk sambil menjelirkan lidahnya kepada Adham. Sedikit sebanyak hati terpujuk
mendengar kata‐kata Mahani yang menunjukkan sikap lelaki itu yang mengambil berat keadaan dirinya. Rasa bahagia datang menjenguk walaupun hanya sedikit sahaja. Alah, ini baru hari pertama, kan?

Adham hanya mampu memandang. Gusar dirinya memikirkan kerenah Aira. Sanggupkah dia
mengharungi 14 hari lagi? Menahan sikap 'bossy' Aira. Ouch, kenapa tiba‐tiba kepala rasa sakit ni?

"Kita makan nasi dulu. Petang nanti, kita suruh Gee kutip buah cermai ni dan kita tumbuk dengan garam, cili, belacan dan gula. Tumbuk sampai lumat. Lepas tu kita gaulkan dengan kicap. Insya‐Allah, kamu tentu suka makan yang begitu.” Pujuk Mahani lagi.

“Iya ke, makcik? Bukan makan cermai ni cicah dengan garam aje ke?” tanya Aira.

Mahani tersenyum lagi. “Boleh juga. Tapi tak berapa enak makan macam tu. Tak percaya, tunggulah kejap lagi.” jawabnya.

Adham akhirnya tersenyum melihat ibunya dan Aira berceloteh dengan isunya cuma ‘cermai’.

Aduhai, buah cermai pun boleh dijadikan perbualan yang panjang berjela, bisik hatinya. Senyuman semakin lebar apabila terkenang akan kejadian sebentar tadi. Memanglah! Aira bukan tahu hendak berlembut dengannya. Nasib baik ibunya ada. Kalau tidak? Mahu merajuk budak tu lagi! Silap perhitungan, disambarnya kunci kereta dan terus balik!

Nasib kaulah Adham! Siapa suruh menyanggupi tugas berat ni? Gumamnya. Rumah yang tadi sunyi, mula bertukar menjadi riuh rendah pada jam 3.30 petang. Waktu itu adik‐adik Adham sudah pulang dari sekolah. Ada yang tercengang, ada yang malu‐malu semasa melihat Aira Syuhada.

Aira kelihatan sedikit tergamam. Kekalutan dan kemesraan itu membuat dirinya kehilangan kata‐kata. Hanya pergerakan sepasang anak mata liar memerhati daripada seorang kepada yang lain.

“Ini keluarga besar saya. Adik‐adik saya yang ramai.” Beritahu Adham dengan bangga.

Senyuman bahagia yang menghiasi bibir lelaki itu, memukau pandangan.

“Saya tak tahupun yang awak ada ramai adik. Ingatkan ada Udin dengan Akub aje.” Aira berbisik.

Mereka sedang duduk di atas kepala tangga yang menghubungkan rumah ibu dengan ruang dapur. Rumah milik keluarga Adham ini tidaklah besar. Ada dua bilik tidur sahaja. Yang pasti bilik airnya cuma ada satu untuk dikongsi. Hati Aira tertanya‐tanya bagaimanakah agaknya mereka ini dapat hidup bersama‐sama. Berebut tandas, berebut bilik air. Semuanya perlu berebut. Pukul berapa mereka bangun pagi, ek? Hisy, risau betul! Kalau nanti, budak‐budak ni pakat ambil semua miliknya, macam mana? Ada ke nanti yang nak share berus gigi? Ops!

“Kenapa saya tengok muka awak tu nampak pucat aje? Takut kena buli dengan mereka ke?” usik Adham.

“Taklah! Orang terkejut aje,” balas Aira. Di dalam hati, dia sedang kalut memikirkan bagaimanakah cara untuk dia pastikan barang‐barangnya tidak diusik oleh adik‐beradik Adham. Dia tidak pernah berkongsi barang‐barang peribadinya jadi takkan hendak mulakan sekarang? Tetapi, kalau dia sembunyikan, rasa tak sedap hati pula. Nanti dia dianggap kedekut pula. Macam mana ni?

“Aira, awak nanti duduk di bilik depan, dengan Gee dan Yani.” Adham memberitahu.

“Tak apa ke?” soal Aira perlahan.

Adham menjungkitkan kening. “Sori, kalau awak nak satu bilik untuk awak sorang, memang tak
adalah. Belajarlah berkongsi, ya! Lagipun, memang itu aje bilik untuk awak. Bilik yang lagi satu tu, bilik emak. Bilik tu khas untuk emak saja. Di situlah kami yang lelaki gunakan untuk bersalin baju. Awak tak boleh masuk ke situ.” Ujarnya.

“Awak ni... tak boleh ke kalau tak cari gaduh dengan saya? Bila pulak saya cakap yang saya nak buat macam tu? Saya tahu yang saya ni menumpang, okey! Pandailah saya bawak diri.” Kata Aira sambil bangun untuk menjauhi lelaki itu namun Adham menariknya duduk kembali.

Hatinya kembali sakit. Lelaki ini memang pandai membuat dia geram. Bijak menaikkan suhu 
kemarahannya.

“Marah?”

“Geram!”

Adham ketawa. Ketawa yang menyebabkan adik‐adik melihatnya.

“Kenapa angah gelak?” tanya seorang.

Adham hanya menggelengkan kepala. Masih tersenyum, dia memanggil mereka mendekat.

“Korang, mari sini! Berkumpul! Cepat! Angah nak kenalkan dengan kakak ni!”

Bulat mata Aira tengok muka Adham. "Awak ni, kan.... kalau dah dasar suka memerintah, diktator... memang beginilah, ya? Kat mana‐manapun perangai tu macam bos besar!" sindirnya.

"Helo, siapa yang bossy, awak ke saya?" Adham menjongket kening.

"Eleh, kutuk saya pulak! Abang mekanik, awak tu memang...."

"Syy!! Awak ni suka melawan betullah!" Muka Adham memerah kerana waktu ini semua adik-adiknya sedang mengintai mereka berdua. Dan, mereka sedang ketawa‐ketawa.

Aira pegun. Diam tanpa kata sekejap. Memandang adik‐adik Adham yang sedikitpun tidak terganggu dengan tengkingan lelaki itu tadi, dia jadi kelu. Dia nampak perbezaan di antara dirinya dengan mereka.

'Alah... patutlah kami berdua tak ngam. Aku selalu melawan kehendak dia. Aku tak macam dia orang ni semua. Taat, patuh, ikut aje apa abang dia orang suruh! Patutlah pun dia asyik marah aku!’ hati Aira berdesis sendiri.

Air wajah mereka yang sedang berbaris di hadapannya, diperhati satu persatu.

“Aira, kenalkan adik‐adik saya.” kata Adham setelah dia dapat mengawal diri. Mujur Aira tidak
membalas tengkingannya tadi. Baik pulak dia, duduk sambil tersenyum memandang ke hadapan. Senyum manis kepada adik‐adiknya.

Adham kemudian menoleh ke arah adik‐adiknya semula. “Okey, kenalkan diri korang masing-masing
pada tuan puteri ni. Mula dengan Yani.” arahnya.

“Saya Yani, kak. Umur 8 tahun.” Anak kecil yang cute itu memperkenalkan dirinya. Malu‐malu
sahaja gayanya membalas senyuman Aira.

“Saya pulak Ahmad. Panggil Mad, tau!”

“Azizan nama saya. Kakak boleh panggil saya, Ojan aje. Umur 14 tahun dan belum berpunya....
Adui!”

Aira tergelak kecil melihat Ojan yang kesakitan bila telinganya dipulas oleh Adham Faiz.

“Nama saya Fauziah, kak. Panggil Gee. Nanti, akak tidur bilik Gee tau! Angah tak ada bi...”

“Gee!!!!” jerit Adham bagaikan halilintar. Aira tersentak. Kecut perutnya namun dia hairan melihat adik‐adik lelaki itu ketawa. Tidakkah mereka takut dijerkah seperti itu?

Seolah‐olah memahami apa yang sedang sarat dalam otak Aira, Gee memberitahu, “Jangan takut dengan angah, kak Aira. Macam garang tapi hati dia baik, tau!”

Adham menggeleng‐gelengkan kepalanya. “Dah, dah! Jangan nak bodek angah! Tak lut, okey!
Mengada‐ngada!” marahnya.

“Angah, Akub belum kenalkan diri lagilah!” Yaakub mencelah. Geram dibiarkan lama menunggu.

Aira ketawa. “Alah, Akub dengan Udin kan kakak dah kenal dah?” usiknya.

Udin segera mendekat. “Secara rasmi, belum lagi, kak.”

“Ya tak ya jugak, kan? Well...?”

“Cepatlah, Akub, Udin!” tegas Adham.

“Nama saya, Yaakub, tapi dia orang ni semua panggil Akub aje, kak. Akak pun boleh panggil Akub jugak.”

“Dan, sayalah Udin, si penjual burger.”

Seisi rumah ketawa mendengarnya. Termasuk Aira. Hari ini baharu dia tahu betapa meriah suasana di dalam sebuah rumah yang ramai penghuninya. Betapa bahagia mempunyai keluarga yang besar. Yang pasti, tidaklah kesunyian, seperti dirinya.

"Nanti, kalau saya kahwin, saya nak anak ramai. Seronok! Kan?" ucap Aira sambil kerdipkan mata kepada Adham di sebelahnya.

Adham ketawa. "Siapa nak kahwin dengan awak?" tanya Adham sambil tersengih.

Owhh, baru teringat yang mereka berdua masih dalam mode perang dingin. Bukankah Adham sudah memutuskan perhubungan mereka? Hisy, lupa pulak!

Aira bangun. Dia hendak menolong Mahani di dapur. Malas hendak melayan mamat dingin ni.

"Nak ke mana pulak tu?" tanya Adham.

Aira menarik sengih. "Nak ke dapur. Nak tolong mak cik Mahani masak. Mana tahu, kot‐kotlah nanti, dia berkenankan saya, mahu ambil saya jadi menantu dia. Betul tak?"

"Iya? Untuk anak lelaki dia yang mana tu?"

Aira ketap bibir. Geram kerana Adham pura‐pura tidak tahu. Menyampah betul tengok muka blur yang sengaja dibuat‐buat itu. "Alah, ada Udin, Akub... muda setahun dua aje daripada saya. Apa salahnya, kan? Sekarang ni ramai perempuan yang kahwin dengan lelaki yang lebih muda, tahu!" sengaja hendak menyakitkan hati lelaki itu.

Dan, Aira berjaya. Muka Adham sudah berubah. Masam mengalahkan asam kecut. Huh!

"Cakap macam ini lagi, saya cekik leher awak tu!"

"Kenapa pulak?"

Adham tidak menyahut. Sebaliknya dia menyambar topi keledar dan terus keluar rumah. Tidak lama selepas itu, bunyi motosikal menderum laju meninggalkan halaman.

Aira mencebik. "Eeii, asyik hangin satu badan dia aje! Grrr!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan