Label

Jumaat, 23 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab33

REZAL HAIQAL semakin bertindak di luar batas kemanusiaan. Apa sahaja tindakannya kini bukan lagi dilandaskan kepada akal fikiran. Sarah Aqilah semakin tidak tahan apabila diasak demi asakan supaya segera mendapatkan wang daripada Datuk Zulkifli. Tindakan ganas suaminya itu semakin menakutkan dirinya. Selagi keperluannya itu belum tertunai, selagi itulah dirinya juga tidak selamat.

Sakit‐sakit di badannya masih terasa di sana sini. Bukan hanya anggota badannya didera malah perasaannya juga mula dihimpit mimpi ngeri. Jangan dia silap bercakap, pasti ada penampar yang singgah di pipinya. Kalau berdiam terlalu lama pun pasti ada pukulan yang singgah di badannya. Kelopak matanya turut membengkak sebab tidak lagi mampu menampung air mata yang mahu gugur. Tanpa ada belas ehsan, Rezal Haiqal menarik dengan kasar rambut ikal Sarah Aqilah. Riak muka yang terpancar menunjukkan wanita itu memang sedang kesakitan.

Rasa kesakitan yang amat!

“Berapa lama lagi aku nak tunggu? Berapa lama!”

“Sakit bang … sakit …,”

“Ohh … tahu pun sakit? Aku sakit kau buat tak kesah!”



Air mata terus mengalir di pipi Sarah Aqilah. Memang tidak tertanggung oleh badannya apabila diperlakukan seperti itu oleh lelaki yang sedang gila itu. Semakin lama hidup dengan lelaki itu, dirinya semakin tidak selamat. Hidup dengan lelaki itu kini bagaikan memasukkan diri di dalam bara api. Di pandangan orang nampak tidak apa‐apa yang berlaku, sebaliknya hari-hari terasa panas membahang. Setiap detik ada rasa kesakitan menjalar ke setiap inci kulit tubuhnya.

“Kau jangan ingat aku tak tahu! Kau berseronok dengan dia … aku kau tinggalkan macam sampah!”

“Qilah …Qilah dah cuba abang tapi … tapi Datuk minta Qilah bersabar sikit. Qilah nak buat macam mana?”

“Ahhh … itu aku tak peduli! Aku mahu duit! Duit! Duit! Itu saja yang aku mahu!”

“Abang tak pernah nak faham perasaan Qilah! Qilah dah cuba!”

“Pandai menjawab sekarang ni! Hah! Apa lagi?”

“Aduh! Sakitlah!”

“Ohh …sakit … kesiannya.”

Cengkaman tangan kasar Rezal Haiqal semakin berbisa. Tidak tertanggung rasa sakit di kepala Sarah Aqilah. Macam hendak tercabut rambutnya. Lelaki ini memang sudah melampau. Kudrat wanitanya memang tidak mampu melawan tenaga lelaki yang sedang dirasuk iblis itu. Apa yang boleh dilakukan hanya menahan segala kesakitan yang amat itu.

“Berapa kali aku dah pesan, buat kerja tu biar cepat‐cepat sikit. Macam mana kau rasa sakit macam itulah sakitnya hati aku ni! Lagi lama kau bertindak, makin sakit hati aku ni. Aku dah larat lagi hidup dalam buruan!”

“Abang tahu masalah abang saja. Abang tak fikir tentang pengorbanan Qilah!”

“Ohhh … nak mengungkit pulak!”

“Bukan mengungkit bang … memang kenyataan!”

“Aku ni laki kau tahu. Kalau tak engkau siapa lagi yang nak tolong!”

“Qilah … Qilah sakit bang.”

“Sakit! Ada aku kesah!”

Memang dasar lelaki yang tidak mengenang budi. Semakin bertambah sakit hati Sarah Aqilah apabila jawapan itu yang tersembur keluar daripada mulut Rezal Haiqal. Pengorbanannya selama ini semuanya sia‐sia. Semuanya ibarat mencurahkan air di daun keladi.

“Abang memang dah melampau! Memang melampau!”

“Apa kau nak kata … katalah! Memang aku tak kesah. Selagi kau tak dapat tunaikan apa yang aku minta, selagi itulah hidup kau begini. Malah akan lebih teruk lagi. Tentu kau tak mahu bukan?”

“Sampai hati abang. Qilah ni isteri abang tahu!”

“Sampai tak sampai hari kau fikir sendiri. Aku tak perlu nasihat daripada kau. Kau siapa dan tolong cerminkan diri sikit!”

Sarah Aqilah memang benar‐benar terpukul apabila dikatakan sebegitu oleh Rezal Haiqal. Dia benar‐benar tidak menyangka lelaki itu boleh berubah hati dengan sekelip mata. Semuanya angkara terdesak. Rezal Haiqal memang benar‐benar tedesak. Ke mana sahaja langkahnya pergi dia sentiasa diburu ketakutan. Ke mana sahaja dia berada dia memang tidak senang duduk. Matanya sentiasa melingas memandang sekitar kerana takutkan kuncu‐kuncu Ah Long. Hidupnya sentiasa dihantui oleh bayang‐bayang ketakutan.

Rezal Haiqal menolak dengan kasar Sarah Aqilah sehingga terduduk ke lantai. Bagaikan dirasuk makhluk halus, Sarah Aqilah berterusan disakiti oleh Rezal Haiqal. Hati lelaki itu masih belum cukup puas dengan kekasaran yang telah dilakukan sejak beberapa hari kepada isteri yang banyak berkorban untuknya itu. Dia memang benar‐benar buntu dan tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan sejumlah wang yang banyak bagi tujuan melunaskan segala hutang piutangnya itu.

“Sakitlah bang! Abang dah gila agaknya!”

“Kalau kau tak nak sakit tolong ikut cakap aku! Kau faham tak!”

“Memang abang dah gila!”

“Kau kata aku gila! Ermm … memang aku gila! Semuanya sebab kau jugak!”

Sarah Aqilah terus diasak ke dinding. Kesakitan yang dialami memang terasa amat sangat. Dia hanya mampu bertahan menahan pukulan demi pukulan daripada lelaki yang tidak berhati perut itu. Bagaikan satu kepuasan buat Rezal Haiqal apabila dapat memuaskan nafsu hatinya.

Selagi apa yang dihajatinya itu tidak tertunai, selagi itu Sarah Aqilah akan menanggung kesakitannya. Dia cuba untuk meronta namun cengkaman Rezal Haiqal memang cukup kuat. Dia semakin lemah dan memang tidak dapat bertahan. Dia hanya mampu berdoa moga ada ehsan dilepaskan daripada lelaki yang memang semakin gila itu.

“Lebih baik abang bunuh saja Qilah ni!”

“Ohhh … cakap kau apa tadi? Cuba ulang sekali lagi!”

“Bunuh saja Qilah bang! Qilah dah tak sanggup hidup macam ni.”

“Kau ingat aku bodoh! Dengar sini … selagi aku tak dapat duit tu … selagi itu kau masih boleh
bernafas. Aku tak akan lepaskan kau!”

Senyap. Air mata Sarah Aqilah semakin laju alirnya. Kesakitan di anggota badannya semakin parah terasa. Sakitnya mula mencucuk‐cucuk hingga ke seluruh urat saraf. Bukan hanya fizikal anggota badannya didera malah perasaannya turut terdera sama. Sebelum ini Rezal Haiqal tidaklah bertindak kasar sedemikian rupa. Sekadar menengking meninggi suara itu perkara biasa bagi Sarah Aqilah. Namun perubahan yang amat ketara sejak beberapa hari ini cukup menakutkan Sarah Aqilah untuk terus berlindung di bawah redha seorang lelaki yang dinamakan suami. Umpama hidup seorang hamba tebusan, setiap detik hidupnya juga diburu bayang ketakutan.

“Aku nak duit!”

“Mana ada duit pada Qilah lagi. Semua abang dah ambil!”

“Aku tak peduli! Itu bukan masalah aku! Kau yang kerja, kau mesti ada duit!”

“Abang ingat Qilah pergi kerja cap duit?”

“Jawab! Pandai menjawab! Kurang ajar!”

Satu tamparan singgah di pipi kanan Sarah Aqilah. Terasa gelap seketika pandangannya. Bisa tamparan itu menjalar ke setiap urat pipinya. Untuk melawan memang dia tidak mampu. Selagi mulutnya boleh berkata‐kata, selagi itulah dia akan mempertahankan dirinya. Rezal Haiqal meninggalkan Sarah Aqilah yang masih terjelepuk menyandar di dinding. Langkahnya menuju ke beg tangan Sarah Aqilah yang terletak tidak jauh dari situ. Diselongkar satu persatu apa yang ada di dalam beg tangan itu. Sarah Aqilah tidak mampu untuk menghalang perbuatan suaminya itu. Dari kejauhan dia hanya memandang dengan rasa yang penuh kehampaan.

Dia sudah tidak larat lagi untuk melarang mahu pun menegah Rezal Haiqal. Duit memang tidak ada di dalam beg tangan itu. Apa yang ada hanya sedikit alat solek miliknya serta alatan dandan diri yang lain seperti sikat, minyak wangi dan krim pelembab kulit. Biar dia puaskan hatinya. Namun ada rasa kehampaan di hati Rezal Haiqal. Dia menoleh ke arah Sarah Aqilah dengan pandangan yang cukup tajam. Habis semua barang yang ada di dalam beg tangan itu dikeluarkan. Rezal Haiqal tetap tidak berpuas hati. Langkahnya kembali ke arah Sarah Aqilah.

“Puas hati abangkan?”

“Aku tak akan puas selagi apa yang aku mahu masih tak dapat!”

“Abang … abang tolonglah. Jangan buat Qilah macam ni.”

“Kau memang sengaja nak cari nahas!”

“Tolong abang! Qilah merayu pada abang!”

Rezal Haiqal tersenyum sinis. Pandangannya tetap galak melihat Sarah Aqilah sedang merayu memohon simpati. Sambil mengurut‐urut anak misainya, mata Rezal Haiqal memandang tepat ke leher isterinya yang sedang ketakutan itu. Seutas rantai leher menjadi sararan pandangannya. Sarah Aqilah bagaikan memahami apa yang sedang difikirkan oleh lelaki durjana itu. Sepantas itu juga tangannya menutup rantai leher yang kemas melekat di dadanya.

“Jangan bang … ini saja yang tinggal buat Qilah.”

“Okey … mana duit? Aku nak duit sekarang jugak!”

“Abang memang tak faham bahasakan? Selama hari ini adakah Qilah tak bagi duit pada abang? Berapa banyak yang ada tak akan pernah cukup buat abang!”

“Sudah! Jangan nak membebel. Sakit telinga aku ni!”

Rezal Haiqal semakin hampir dengan Sarah Aqilah. Hasrat hatinya memang sudah tidak boleh ditahan‐tahankan lagi. Baginya, rantai itu amat berguna untuknya yang memang sedang terdesak. Tanpa duit dia tidak boleh hidup. Untuk beberapa hari ini, hanya rantai itu boleh menyelamatkan hidupnya daripada terus sengsara.

“Jangan abang! Tolonglah!”

Rayuan daripada Sarah Aqilah hanya tinggal rayuan. Tanpa belas ehsan, tangan kasar Rezal Haiqal terus meragut rantai yang ada di leher isterinya itu. Kini baru puas hatinya apa yang dihajati sudah berada di dalam genggaman. Sarah Aqilah yang tergolek kesakitan di lantai dibiarkan bersendirian. Langkah kaki Rezal Haiqal semakin jauh menuju ke pintu utama.

Akhirnya bayangan lelaki itu hilang bersama raungan kesakitan daripada Sarah Aqilah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan