Label

Jumaat, 23 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab21a

LYSANDRA menyelam di sebalik batu besar. Terlindung untuk menjaga auratnya. Ophelos meminta Hervey dan Musyrif turut merendamkan badan. Sementara Permata Berdarah diserahkan untuk dijaga oleh Ophelos buat sementara. Sebaik sahaja tangan Ophelos memegang kain yang meliliti permata, permata itu meronta‐ronta. Seperti manusia yang diseksa.

Kata Ophelos, mereka semua perlu membersihkan diri daripada sebarang sisa sihir. Hanya orang yang betul‐betul suci dapat menghapuskan Permata Berdarah. Jikalau permata itu direndam tanpa membersihkan diri, dikhuatiri Permata Berdarah akan memantulkan kuasa dan memberi kerosakan yang hebat pada badan.

Ophelos mengajak mereka berempat untuk singgah di pondoknya. Masing‐masing diberi kain untuk memanaskan badan. Lysandra berbungkus dengan kain berasingan. Mereka bertiga yang lain berkongsi sehelai kain yang agak besar.

Mereka duduk di hadapan Ophelos. Melihat Ophelos mengangkat Permata Berdarah yang sedang meronta‐ronta. Permata itu dimasukkan ke dalam sebuah bekas kayu yang dikeluarkan dari pelapik kepala. Permata Berdarah kedengaran mengetuk bahagian dalam bekas sebelum ia berjeda.

“Terima kasih sebab bantu kami, Ophelos,” ucap Musyrif mewakili mereka berempat. Ucapan itu baru berpeluang diungkapkan.

“Sama‐sama. Bagaimana Igetis sekarang, ya? Kali terakhir dia datang ke sini untuk berubat dengan Air Terjun Agios selepas serangan Vasilias dan Damian. Sekarang, Igetis sudah sembuh?” tanya Ophelos.



“Alhamdulillah, Igetis masih kuat tapi taklah sembuh sepenuhnya. Sudah tak boleh berlawan macam dulu. Sekarang, Igetis sedang sibuk menguruskan Stratos dan urusan di Kem Epizon,” jawab Lewis.

Lysandra dan Lewis mengangguk‐angguk. Cuma Musyrif seorang yang terpinga‐pinga. Ada sesuatu yang dia tidak tahu.

“Sebelum ni Igetis sakit?” soal Musyrif, pendek.

“Dulu Igetis pernah menyelamatkan saya. Dia dibawa berubat di sini untuk membuang bisa sihir dalam Air Terjun Agios. Sakit itu mampu melumpuhkan. Alhamdulillah, sekarang sudah membaik. Kalau dulu, Igetis mengepalai kumpulan Stratos. Sekarang cuma memantau sahaja.”

Panjang lebar Lysandra menerangkan.

Musyrif melihat ke arah luar. Memerhatikan kehijauan kawasan Air Terjun Agios yang memberi
sensasi tenang. Dia menghayati bunyi binatang kecil yang bercampur dengan bunyi aliran air terjun. Seekor binatang menyerupai tupai dengan ekor biru dan hijau dilihat melompat riang ke pokok sebelahnya. Pemandangan yang amat indah.

Musyrif berdehem. “Maaf. Ophelos memang tinggal seorang sahaja di sini?” Persoalan itu dilontarkan dengan nada beradab.

“Di sini dulunya tempat orang alim berkumpul dan beribadat. Air Terjun Agios mengalir dengan diiringi alunan zikir. Aku dan lima orang yang lain tinggal di sini. Tugas kami menjaga tempat ini daripada dicemari. Ketika serangan Vasilias dan Damian, mereka bertekad untuk membantu orang‐orang di bandar. Semuanya tidak pulang... terkorban. Lalu, akulah satu-satunya orang untuk mempertahankan tempat ini,” cerita Ophelos panjang lebar.

“Sudahlah. Lebih baik kau semua tidur. Badan pun masih penat. Untuk menghapuskan Permata Berdarah, akan menghabiskan banyak tenaga. Malam ni, dapatkan rehat yang cukup,” ucap Ophelos.

Malam itu, pondok itu menjadi tempat tidur Lysandra. Tempat tidurnya diasingkan dengan kaum Adam yang lain. Sementara mereka berempat menghamparkan kain alas lalu tidur di luar pondok. Sebelum tidur, Ophelos terlihat Lysandra berdiri di tepi tangga seperti sedang melayan lamunan. Lysandra dilihat sedang memerhatikan kumpulan rakan‐rakannya dari jauh. Ophelos muncul melepasi pokok lalu menghampiri Lysandra. Melihatkan Ophelos yang sudah berdiri di sebelahnya, Lysandra menunduk hormat.

“Kau nampak baik‐baik sahaja,” ucap Ophelos setelah berdehem.

“Alhamdulillah...”

“Tak sangka akhirnya kita dapat bersemuka juga. Semasa Igetis datang dulu, aku masih ingat betapa kerap dia memuji kau. Katanya, dia tak sangka bahawa kau mampu menangkis sihir Damian. Kejadian selepas serangan mereka.... tidakkah itu mengganggu hidup kau?” Ophelos bertanya sambil merenung mata Lysandra. Wajahnya terlihat muram. Berbalam‐balam sambil dibantu oleh cahaya daripada unggun api yang didirikan.

“Tidak mungkin aku terlupa, Ophelos. Aku masih mimpi didatangi mereka saban malam. Kekejaman mereka masih menghantui. Hidup aku yang dulu sudah lama mati. Tetapi aku tidak mungkin menyalahkan takdir,” beritahu Lysandra. Matanya sudah mulai berkaca.

“Kau sudah beritahu dia?” kata Ophelos. Dia melihat ke arah Musyrif yang sedang memeluk bahu Lewis. Musyrif kelihatan gembira.

“Musyrif? Belum, aku tidak boleh beritahu dia, Ophelos. Aku tidak sanggup. Aku sudah berjanji
untuk menjaga amanah keluargaku. Dan aku tak akan sesekali mensia‐siakan kematian. Aku rela nyawaku sendiri melayang daripada janjiku tidak dipenuhi.”

Kini mereka sama‐sama memandang ke arah Musyrif. Mendengar sayup‐sayup perbualan kelompok lelaki itu yang tidak begitu jelas.

“Kau memang gadis yang sangat kuat, Lysandra. Igetis tak salah menilai kau,” Ophelos tersenyum pendek.

“Segala puji‐pujian hanya untuk Allah...”

Ophelos kemudian meminta diri. Lysandra menapak anak tangga lalu naik ke atas pondok. Di situ, dia duduk berdirian dengan suluhan cahaya api. Tubuh yang kedinginan diselimuti dengan kain yang disediakan oleh Ophelos. Lysandra merebahkan badan lalu berbaring di atas lantai pondok dengan kain tebal yang mengalas kepala.

Cubaan pertamanya untuk tidur gagal. Mata yang dipejam dibuka pantas. Bayangan peristiwa silam menghantui mindanya lagi. Lalu dia duduk bersandar. Mengetuk kepalanya pada dinding perlahan‐lahan. Kain ditarik kuat agar kejap membungkus tubuh. Namun Lysandra hampa.

Bayangan itu masih menyeksa jiwanya. Membangkitkan rasa bersalah yang cuba diselindungi selama ini.

Lysandra rasa berdosa... Dia tetap tidak dapat memutarkan masa.

MEREKA bertiga duduk mengelilingi unggun api. Lewis duduk di tengah‐tengah, di antara Musyrif dan Hervey. Mereka sama‐sama menikmati bahang daripada unggun api. Api yang meliuk lentok diperhatikan dengan asyik. Kedua‐dua belah tangan dihalakan pada api. Lalu, disapu pada bahu sehingga ke lengan yang dingin. Mereka duduk tidak jauh dari hamparan yang menjadi tempat mereka tidur.

“Musyrif, aku ada sesuatu nak cakap dengan kau.” Lewis menyoal, memecahkan kesunyian mereka.

“Apa dia?” Musyrif memanggung kepala. Melihat Lewis yang kelihatan teragak‐agak.

Hervey juga turut mengalihkan badan. Perhatian mereka kini tertumpu kepada apa yang bakal diperkatakan oleh Lewis.

“Aku tak tahu sama ada kau akan maafkan aku atau tak. Tetapi aku tetap bersalah. Aku pentingkan diri, Musyrif. Aku terlalu mencintai Lysandra sehinggakan... aku desak dia untuk terima aku. Sedangkan aku tahu, hati dia sudah jadi milik kau,” tutur Lewis perlahan.

“Apa maksud kau?” Musyrif tidak mengerti.

“Aku tak mahu Lysandra jatuh ke tangan kau. Cara dia pandang kau. Dia tak pernah pandang aku macam tu. Demi Allah, aku cemburu. Jadi aku melamar Lysandra untuk jadi suri hidup aku sebelum kau dapat dia. Lysandra dah beri amaran tetapi aku masih berdegil. Berkali‐kali aku pujuk dia tetapi hasilnya?

Dia semakin menjauhkan diri dari aku. Hari‐hari aku cuba buat dia terima aku tanpa pedulikan
perasaan kau terhadap dia. Tengok apa jadi sekarang? Aku disihir sehingga dia semakin menyisihkan aku. Semuanya berpunca sebab aku khianati kau. Kawan aku sendiri,” luah Lewis sambil menatap wajah Musyrif.

Musyrif menatap anak mata Lewis yang mula berkaca bening.

Ketika Lewis mengebilkan mata, setitis air jernih turun dari kelopak matanya.

“Maafkan aku, Musyrif,” ucap Lewis.

Musyrif membiarkan Lewis meraih bahunya. Dia melihat Hervey di sebelahnya yang tersenyum
simpul. Helaan nafasnya perlahan‐lahan mengelus keluar.

“Kau tak perlu minta maaf, Lewis. Aku tak ambil hati. Kau tetap sahabat aku. Yang tolong tenangkan aku semasa aku bersedih. Bantu aku sesuaikan diri di Kem Epizon. Beri tunjuk ajar dan semangat untuk bertarung di gelanggang tempur. Dan, selalu ada bersama‐sama aku tak kira waktu sedih atau senang. Aku dah anggap kau macam keluarga aku, Lewis. Aku tak akan bunuh persahabatan kita disebabkan seorang perempuan,” tutur Musyrif di tepi telinga Lewis.

Walaupun suara Musyrif perlahan, namun Hervey yang memasang telinga turut terdengar bicaranya.

“Lewis memang selalu baik dengan kau. Aku sahajalah yang selalu sakitkan hati kau, kan?”

Hervey mencebik bibir.

“Kau pun kawan aku juga. Dari dulu aku cuba nak kawan dengan kau, tau? Kau yang jual mahal!” gurau Musyrif. Pelukannya dileraikan.

“Alah, kau yang tak berani! Sebab hari‐hari kena kecam.”

Celoteh Hervey membuatkan mereka bertiga tergelak kuat sehingga bersaing dengan bunyi air terjun. Kemudian, mereka terdiam. Tersenyum‐senyum mengenangkan peristiwa dulu. Tak sangka Rancangan Syahadat ini telah berjaya menyatukan mereka. Mereka mengharungi banyak liku‐liku yang mengubah perilaku. Seringkali emosi diuji, namun itulah yang membina kekuatan mereka.

“Esok adalah hari yang sangat penting. Kita perlu bersiap sedia... fizikal dan mental,” pesan Musyrif.

“Selepas ini kita akan pulang ke Kem Epizon. Dan gerakan tempur besar‐besaran untuk menentang Vasilias dan Damian akan berlaku. Selepas itu, mungkin kita akan pulang ke rumah. Di Kota Perickles. Kita akan rampas rumah dan kehidupan kita yang dulu,” balas Hervey pula.

Masa depan itu bagaikan satu janji yang pasti. Bagaikan mimpi menjadi realiti.

UPACARA menghapuskan Permata Berdarah sudah bermula. Ophelos berjalan melepasi Musyrif, Lewis, Hervey dan Lysandra lalu berjalan ke gigi air. Ophelos memanjat batu besar dan berdiri di atasnya. Tubuhnya menghadap ke arah Air Terjun Agios sambil bibirnya terkumat-kamit membaca kalimat zikir dan ayat suci Al‐Qur’an.

Bekas kayu yang dipegang oleh Musyrif terasa bergoncang. Perlahan‐lahan, Musyrif mengangkat sedikit penutup bekas. Tangannya menyeluk melalui bukaan kecil lalu meraba-raba mencari kain pengikat Permata Berdarah. Setelah berjaya dicapai, Musyrif menarik Permata Berdarah keluar dari bekas tersebut.

Rontaan Permata Berdarah semakin ganas. Seiring dengan alunan puji‐pujian kepada Illahi yang semakin kuat dan rancak diperdengarkan. Sekaligus, ketenangan aliran Air Terjun Agios menghilang. Digantikan dengan kocakan setiap kali air menghempas batu besar. Bunyinya bergemuruh namun masih belum dapat mengatasi lontaran suara Ophelos.

Ophelos meletakkan tangan kanannya berlapik dengan tangan kiri melintang pada tulang rusuk. Kedudukan qiam seperti menunaikan solat. Kemudian telapak tangan kanannya dihalakan ke hadapan. Ditarik perlahan dan menyapu udara di sebelah kanannya.

“Demi kebesaran Allah Yang Maha Berkuasa. Allah... Hanya Engkaulah tempat kami sembah dan hanya kepada Engkaulah tempat kami memohon pertolongan. Aku memohon dengan kuasa‐Mu, Ya Allah. Kikis dan hapuskanlah sihir yang menyaluti permata ini. Sirnakanlah ia dari sebarang kejahatan... Dari syaitan yang direjam!”

Angin tiba‐tiba bertiup begitu kencang. Dedaun bergesel dengan udara sehingga menghasilkan bunyi bising. Mereka berempat melangut memerhatikan awan hitam yang bergulung di atas kepala. Menutupi sinar mentari pagi yang tadinya menyuluh kawasan itu.

Guruh bergegak gempita diiringi dengan kilat yang sabung‐menyabung.

Namun, gangguan itu tidak langsung membuat mereka berundur. Ophelos membuat isyarat tangan. Memanggil Musyrif agar menjalankan tugasnya.

Lalu, Musyrif berjalan ke hadapan. Membawa Permata Berdarah dalam genggaman. Musyrif berhenti dalam jarak sedepa dari tempat Ophelos berdiri. Perlahan‐lahan, dia duduk membengkok lutut. Mencangkung di gigi air. Musyrif cuba melawan rontaan Permata Berdarah yang mahu lepas dari pegangan. Melawan daya dan merendamkan permata itu mengenai Air Terjun Agios.

Ketika jarak Permata Berdarah sejengkal dari permukaan air, satu pusaran hitam muncul di belakang mereka. Dua pasang kaki melangkah keluar dan menginjak tanah keras. Sekaligus pusaran hitam itu melesap dengan satu pukulan angin.

“Vasilias...” gumam Musyrif. Dia tergamam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan