Label

Sabtu, 24 Disember 2016

NOVEL Kalau Aku Kaya Bab30

Bermalam di Amaris Hotel di Jalan Cihampelas cukup selesa ditambah kepenatan dengan aktiviti sepanjang hari membuatkan Wardah merasa susah hendak bangun dari lenanya. Dia hanya mampu membuka mata pada jam empat pagi untuk bertahajud dan seterusnya menunaikan fardhu Subuh yang sangat awal di Bandung. Empat setengah pagi! Usai solat Subuh, Wardah mengejutkan Benn yang masih terlena keletihan sebelum dia sendiri kembali menyambung tidurnya buat sekejap lagi sementara menunggu jam enam pagi untuk bersiap mengadap Amzar Mikail. Teringatkan lelaki itu, Wardah terlena dalam senyuman.

Loceng bilik mereka berbunyi. Kelam kabut Benn terpisat‐pisat bangun. Wardah yang sudah bersiap untuk turun menggelengkan kepala. Sudah beberapa kali dia mengejutkan Benn supaya bangun bersiap tapi gadis itu tertidur semula dengan berbagai gaya. Ada waktu dia tersembam muka ke tilam dan ada ketikanya duduk terbongkok dengan kaki yang sudah menjejak lantai. Namun dia terus kalah dengan kantuk yang menguasai.

“Urghhh… abah! Orang ngantuklah…” Benn merungut dengan mata terpejam dan suara serak gaya orang mamai. Wardah ketawa gelihati seraya mencampakkan tuala ke tubuh gadis itu.

“Cepatlah! Kita nak bincang fasal bisnes ni!” gesa Wardah sambil menapak ke pintu sebelum loceng di bilik itu berbunyi lagi.

“Arda… kau turun dulu ya. Cakap dengan abah, sepuluh minit lagi aku turun. Janji!”

Janji Benn hanya tinggal janji. Sudah sejam Wardah dan Amzar Mikail menunggu. Malah sarapan pun sudah lama tidak bersisa dan perbincangan mereka semakin rancak. Cuma Wardah semakin gelisah kerana tidak mahu lama berdua‐duaan dengan Amzar Mikail walaupun mereka duduk di meja yang terletak di tengah‐tengah restoran itu supaya Benn tak perlu tercari‐cari.



“Sekejap, abang call dia,” sudah beberapa kali Amzar Mikail mendail nombor telefon bimbit anak saudaranya namun hampa.

“Budak ni memang tidur mati agaknya!” Amzar Mikail mengeluh kesal. Tergelak Wardah mendengarnya.

“Macam mana Wardah tahan dengan Zanuril? Kerenah dia kadang‐kadang boleh pening kepala dibuatnya,” serius Amzar Mikail menghujam pandangannya ke wajah gadis itu. Dan seperti selalu, Wardah melarikan anak matanya, bimbang andai getar pada hati terserlah pada pandangan mata.

“Dia baik hati sebenarnya. Nampak saja macam tu. Dia sebenarnya penghibur bagi saya dan kawan‐kawan,” ujar Wardah, membela sahabat baiknya.

“Atau sebenarnya awak yang baik hati, sabar, bertolak ansur dengan tingkah laku dia,” tukas Amzar Mikail pula. Wardah tertunduk dan tersenyum. Perlahan‐lahan menggelengkan kepala.

“Saya suka…”

“Assalamualaikum! Amboi… sarapan berdua! Tak ajak kami pun!” Suara Adam mematahkan bicara Amzar Mikail serentak mengundang rona merah di wajah Wardah. Adam dan Anuar selamba saja mengambil tempat duduk di meja itu membuatkan Wardah semakin kekok di kelilingi lelaki. Bingkas dia minta diri dengan alasan mahu memastikan Benn siap dalam masa yang sepatutnya. Adam yang patah hati melihat pasangan itu jadi semakin hiba bila Wardah berlalu pergi.

Pasar Baru dibuka jam 9 pagi hingga 6 petang. Hari masih awal jadi jalan masih belum sesak. Kata Sugit, kalau lewat, jalan di hadapan Pasar Baru ini memang padat dengan kenderaan dan manusia. Wardah dan Benn tercegat berdiri mendongak ke arah bangunan yang tinggi itu membaca tulisan Pasar Baru Trade Center yang besar dan gah di hadapannya. Pasar sebesar dan setinggi itu bangunannya, boleh dibayangkan bagaimana keadaan di dalamnya. Sebuah kompleks bertingkat seperti pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, bezanya Pasar Baru ada lapan tingkat. Mujur ada lif dan eskalator!

Syurga kain! Itulah gambaran yang boleh dikatakan tentang Pasar Baru. Di bawah simbahan lampu beraneka rupa, Pasar Baru menghidangkan pelbagai jenis fabrik dan beraneka jenis pakaian serta keperluan lain untuk memenuhi selera pengguna yang datang dengan berbagai wajah.

Di tingkat paling bawah dan kedua bawah dipanggil Dasar satu dan dua dipenuhi dengan deretan kedai yang kebanyakannya menjual barang basah dan makanan ringan serta apa saja produk makanan keluaran Bandung. Tapi ruang di situ agak panas malah berbahang kata Sugit bila waktu merangkak ke tengahari hingga ke petang kerana tidak ada penyaman udara di situ.

Anuar mengajak Adam berpecah kerana dia agak kurang berminat untuk ikut membeli‐belah di bahagian kain‐kain. Adam serba‐salah. Dia juga tidak berminat tetapi tak mahu terlepas peluang bersama Wardah. Namun dia tak terkata bila lengannya disentak Anuar.

Wardah, Benn dan Amzar Mikail diiringi Sugit terus menjelajah ke lantai satu hingga lantai lima yang memang dikuasai oleh kedai‐kedai kain dan pakaian serta aksesori. Wardah paling ceria bila tiba ke lantai dua bila mereka masuk ke kedai Sona Textile yang menjual kain kapas yang berkualiti dengan corak yang terbaru. Dia meminta Benn dan Amzar Mikail memilih corak yang paling cantik untuk Makcik Mastura. Dia juga memilih kain untuk Benn dan untuk semua yang ada di Rumah Kesayanganku termasuk Kak Hasnah.

“Kau punya yang mana?” Soal Benn tiba‐tiba bila mereka hampir selesai memilih.

“Alamak! Dah tak tau nak pilihlah, Benn. Rambang mata!” Benn tepuk dahi. Untuk orang lain bukan main laju dia memilih.

“Banyak songeh betullah engkau ni! Pilih ajelah. Dah semua cantik, nak pilih salah satu pun susah?” Marah Benn bila melihat Wardah tergaru‐garu kepala yang berbalut tudung itu.

“Tak apa, untuk Wardah, biar abang yang pilih. Abang belanja ya.” Tiba‐tiba ada suara lelaki budiman mencelah. Wardah berpaling dan terlopong suka!

“Amboi! Nuril nak jugak!” Benn sudah menghentak kaki, tak puas hati.

“Tu, Wardah dah belikan untuk awak. Jangan tamak ya!” Tempelak si abah!

Dan warna serta corak pilihan Amzar Mikail memang sangat cantik. Kain kapas Jenpun yang eksklusif bercorak taburan bunga kecil di atas tanah rona merah jambu belacan dan kuning mustard memang menyerlah pada kulit Wardah yang cerah.

“Nak lagi?” Soal Amzar Mikail bila Wardah menyambut bungkusan kain yang sudah dibayar.

Mata Benn sudah menjuling ke siling bangunan itu.

“Eh… cukuplah!”

“Nanti kita pilih pakaian pula. Ambil jubah sehelai dua. Awak nampak ayu bila berjubah,”

Wardah terngadah. Intim sungguh nada Amzar Mikail dan pujiannya tertinggal membekas di hati Wardah walaupun dia sudah berlalu keluar dari kedai itu sambil membantu Sugit membawa sebahagian dari hasil meraih pagi itu. Sementara itu, mata Benn bertukar buntang.

Biar benar? Abah mengayat? Amboi!

Seterusnya kain‐kain untuk gadis si tukang jahit, kak long. Sugit membawa mereka ke beberapa kedai yang menjual pelbagai jenis kain tenunan, sulaman, sutera, crepe, organza, lycra, siffon sampailah kepada Giorgio Armani wool. Yang paling membuatkan Wardah teruja bila jumpa kain tepi yang ditenun atau lace border yang murah tetapi berkualiti. Sementara Benn pula seperti tidak percaya bila abah yang selama ini hanya tahu mengira tetapi begitu mengambil tahu tentang jenis fabrik dan jenis fesyen! Aneh sungguh…

Sekali lagi bertimbun hasil belian yang dikumpulkan sampai Sugit terpaksa menghantar sebahagian daripada bungkusan itu ke MPV yang mereka naiki. Sementara itu, mereka menyambung pencarian ke tingkat enam di mana banyak sekali beg tangan dan aksesori seangkatan yang berjenama tetapi dijual dengan harga yang membuatkan mata‐mata pengunjung semakin membulat. Wardah terpaksa membeli beg bagasi tambahan kerana barang yang dibelinya sudah melimpah‐ruah!

Akhir sekali mereka menjamu selera di medan selera di tingkat enam sambil melepaskan lelah. Sugit diajak makan bersama nasi ayam penyet yang menjadi antara menu yang paling popular di situ. Selesai makan, mereka turun dan singgah membeli makanan ringan hasil anak bumi Bandung untuk dibawa pulang esok. Wardah mencadangkan mereka pulang ke hotel dulu untuk berehat dan solat sebelum meneruskan agenda seterusnya pada petang nanti.

****

“Cik Wardah!”

Wardah yang sedang bergegas ke pintu utama hotel itu berpusing seratus lapan puluh darjah apabila namanya tiba‐tiba dipanggil di bumi asing ini dengan suara yang juga amat asing baginya.

Seorang lelaki segak bertubuh sasa berdiri santai di tengah‐tengah lobi hotel itu sambil membuka kaca mata hitam lalu tersenyum manis ke arahnya. Dia melangkah penuh yakin, selangkah demi selangkah mendekati Wardah yang terkelip‐kelip memandang. Masih tertanya‐tanya apakah benar namanya yang diseru tadi?

“Assalamualaikum, Cik Wardah,” sapanya sekali lagi. Matanya bagaikan tersenyum seperti bibirnya juga. Bersinar seperti seseorang yang menemui apa yang diimpikan. Berdepan dengan gadis itu pertama kali hampir membuatkan dia hampir hilang bicara.

Dalam terpinga‐pinga, salam itu dijawab juga. Wardah sempat memandang keliling, tercari-cari kalau lelaki ini datang bersama dengan sesiapa yang mungkin dikenalinya. Tiada. Dia kelihatan keseorangan.

“Saya Rayyan. Tengahari semalam saya ke kilang mee Suci di Selayang. Sempat berjumpa dengan Encik Syuib Soleh. Tak sangka berjumpa dengan Cik Wardah di sini pula,” selamba dia bercerita seolah‐olah mereka kenalan lama. Mendengar nama abi disebut, sepasang mata Wardah membulat.

“Err… untuk apa jumpa abi? Maksud saya, Encik Syuib? Macam mana Encik Rayyan kenal saya?”

Dalam senyum manis bercampur malu dan hairan, Wardah bertanya juga. Senyuman malu gadis itu membuatkan Rayyan tertegun sejenak. Namun cepat‐cepat tunduk supaya gadis itu tidak merasa kurang selesa.

“Saja. Nak tahu perkembangan tentang tapak untuk rumah anak yatim tu. Kebetulan saya lalu di situ, jadi saya singgah. Saya dah lama kenal Cik Wardah tapi Cik Wardah saja yang tak kenal saya,” Rayyan tersenyum sambil memandang kaca mata hitam di tangannya. Gadis itu pemalu.

Dia harus menjaga adab. Gadis pemalu tak suka dirinya ditenung. Lagi pun, ada debar yang luar biasa dalam dadanya. Suasana sekelilingnya tiba‐tiba berubah. Rayyan seperti di kelilingi pelangi.

“Maksud Encik Rayyan… Encik Borhan tu wakil dari encik ke?” Wardah bertanya lagi. Hatinya berdebar‐debar. Kalau benarlah ini orangnya… dermawan yang menghadiahkan sejumlah wang yang banyak itu…? Dia mahu berterima kasih!

“Tadi saya sampaikan sumbangan sikit untuk rumah Anak Kesayanganku. InsyaaAllah, saya akan bantu dalam pembinaan rumah tu sampai selesai. Saya harap Cik Wardah sudi beri peluang kepada saya untuk terus membantu,” wajah gadis itu ditatap lembut dengan hati yang penuh mengharap. Persoalannya dibiarkan berlalu. Biar ada ruang yang terbuka untuk mereka.

“Err… saya… saya tak tahu macam mana nak ucap terima kasih. Saya rasa…”

“Cik Wardah… tak perlu!” Tukas Rayyan dengan senyuman. Anak mata ditundukkan.

“Kalau boleh, saya tak mahu Cik Wardah tahu pun…” Wardah menekap tangan ke dada.

Baiknya dia! Lelaki itu mengangkat muka, memandangnya lagi dengan senyuman.

“Tapi entah macam mana… bila terjumpa Cik Wardah di sini, saya rasa teringin nak bertemu secara berdepan. Maaf kalau saya menganggu Cik Wardah. Mungkin Cik Wardah nak keluar shopping, saya tak mahu ambil masa Cik Wardah lebih lama lagi…” sambungnya lagi. Sisi budiman dalam diri Rayyan digunakan sehabis baik. Wajah terharu gadis itu semakin membuatkan hatinya berbunga dan keyakinan semakin mekar. Dia tidak perlu memaksa.

Biarkan semuanya terjadi secara bersahaja.

“Err… hurmm… kawan‐kawan saya dah tunggu di kereta. Tapi saya… kalau boleh… nak kenal dengan Encik Rayyan. Tak ramai orang macam Encik Rayyan. Berbudi dalam diam. Saya tak tahu nak balas macam mana tapi kalau saya berpeluang…”

“Saya tak pernah minta balasan. Macam ni lah, kebetulan saya juga menginap di hotel ni. Kalau ada masa terluang, mungkin kita boleh berbual lagi. Saya bagi kad, Cik Wardah boleh hubungi saya bila‐bila masa. Sekarang, lebih baik Cik Wardah pergi sebelum kawan‐kawan cari pula nanti.” Sekeping kad bertukar tangan. Dan bibir bertukar senyuman. Wardah tunduk mengangguk sambil berkali‐kali mengucapkan terima kasih. Sesekali mereka berbalas pandang, Rayyan semakin merasakan getar memenuhi ruang dadanya. Dengan senyuman masih di bibir, dia hanya memandang Wardah melangkah pergi sehingga hilang dari pandangan.

****

Rumah Mode Bandung, sebuah tempat jualan hasil keluaran kilang atau factory outlet menjadi
destinasi mereka seterusnya. Shopping lagi! Dari pintu saja, aura tradisional Bali sudah terasa.
Kedatangan mereka disambut dengan binaan bangunan rekabentuk artistik bertemakan tradisional Bali dengan susunan batu bata rona kelabu kehitaman yang kelihatan amat menarik ditambah pula dengan hiasan patung‐patung besar dan pokok‐pokok hiasan yang mencipta suasana redup dan sejuk. Terdapat ruang legar yang luas dengan hiasan dalaman dan luaran yang bernafaskan Bali dan tempat untuk menjamu selera selepas penat membeli‐belah yang dibina di dalam dan sekitar bangunan itu. Khidmat urut dan refleksologi juga ada disediakan! Maklum, pasti ramai pengunjung yang kepenatan selepas membeli‐belah.

Gaya membeli‐belah di butik! Begitulah yang mereka rasakan. Namun harga yang berpatutan membuatkan pengunjungnya semakin teruja. Dalam Rumah Mode yang indah disimbah cahaya itu, riak wajah Wardah berubah. Antara rasa teruja dan bersalah datang silih berganti.

“Kenapa dengan kau ni? Lain macam je…?” Bahu Wardah dipaut rapat dan muka gadis itu ditelek dekat. Segera pipi Benn ditolak menjauh sambil tawa kecil meletus di antara dua ulas bibir Wardah yang hanya dioles pelembab bibir. Namun rona bibirnya yang merah jambu menyerlah.

“Mana ada apa‐apa!” Tukas Wardah sambil cuba menjauhkan diri dari Benn tapi tak berjaya.

“Asyik buat muka cemberut macam tikus tak dapat keju tu! Tadi kau bukan main excited bila masuk sini,” dahi Benn berkerut dengan sepasang matanya menjeling ke kiri dan kanan. Apa agaknya yang menganggu Wardah? Adam dan Anuar sudah dihalaunya jauh‐jauh. Rimas!

“Aku takutlah… rasa cinta dunia dalam hati aku tengah berkobar‐kobar ni…”

Mulut dan mata Benn sama membulat. Wardah ketawa.

“Kau tengoklah, Benn… semuanya cantik‐cantik! Aku dah makin tak tahaaaan!” Tiba‐tiba Wardah seperti hendak menangis mengakui apa yang bersarang dalam hati dan fikirannya.

“Ceeehh! Aku ingatkan apa tadi! Kau kan banyak duit… apa yang kau nak risaukan sangat? Eh… kau bukannya selalu shopping pun! Untuk sekali ni, beli je lah apa yang kau suka!” Wardah tepuk dahi.

“Aku ingatkan bila bagitau kau, kau kuatkan aku tapi kau jadi batu api! Ni semua cinta dunia, kau tau tak!” Wardah meraup muka yang dibuat‐buat sedih. Benn ketawa sambil menampar-nampar bahu Wardah.

Tiba‐tiba telefon bimbit Benn menjerit‐jerit. Sebaik saja melihat nama yang tertera di skrin, Benn memberi isyarat kepada Wardah yang dia mahu menjawab panggilan itu lalu menapak agak jauh dari Wardah yang saat itu sudah tertegun melihat gaun labuh yang dipakaikan pada sebuah patung mannequin. Mudah rekaannya dengan sulaman batu‐batu kecil hanya pada hujung lengan yang panjang itu, kemudian batu‐batu yang lebih kecil disusun agak tebal di pinggang dan ditabur jarang‐jarang di seluruh kain yang kembang tetapi melurut jatuh cantik ke kaki patung itu. Rona merah hati yang benar‐benar memikat.

“Lama tengok baju tu, kenapa tak beli?” Suara Amzar Mikail mengejutkan Wardah yang tenggelam dalam keasyikan.

“Err… tak lah! Patung ni pakai, cantik! Tapi kalau saya pakai… tak tentu cantik.” Wardah tergelak
malu. Berangan nak berbaju kalah model… kan dah kena tangkap basah!

“Siapa kata tak cantik? Itu kan patung je. Wardah hidup dan lebih cantik. Cuma mungkin warnanya agak terlalu matang. Abang cuba minta warna lebih lembut…” Amzar Mikail sudah berpaling lalu memanggil jurujual yang setia menunggu. Wardah terkejut dan kelam kabut.

“Eh, tak payah! Abang… saya malu nak pakai baju cantik‐cantik macam tu!” Disebabkan panik,

Wardah berterus‐terang.

“Pakai untuk abang. Abang yang nak belikan…” Wardah terpaku berdiri, tergamam dengan kata‐kata itu. Pakai untuk abang? Sehelai gaun labuh dengan rekabentuk yang sama rona biru laut laut sudah diletakkan di dadanya oleh jurujual yang asyik tersenyum manis itu dan dia diminta ke bilik persalinan.

Dalam serba salah ditenung Amzar Mikail dengan pandangan penuh makna, Wardah mengalah dan masuk juga menukar baju. Amzar Mikail mengikuti dia sampai ke pintu bilik kecil yang dikelilingi cermin itu. Seketika kemudian, Wardah terdengar suara orang bercakap-cakap di luar. Macam suara Benn dan …

Wardah tergamam sebaik saja pintu bilik itu dibuka luas. Encik Azam dan … Encik Kuan!

Betullah tadi dia seakan mendengar suaranya. Tapi macam mana dia…

“Waah! Cantiknya kau, Ardha!” Suara Benn menyentak Wardah yang tidak menyedari dia keluar dengan gaun labuh yang sedang dicuba. Terus tertunduk malu, dia menarik lengan Benn sekuat hati, mengheret gadis itu ke bilik persalinan meninggalkan tiga orang lelaki yang tertegun dengan permandangan indah yang muncul hanya sekejap itu.

“Macam mana Encik Azam dengan Encik Kuan tu ada kat sini?” Bisik Wardah dengan nada perlahan tapi cukup cemas.

“Eh… kenapa dengan kau ni? Encik Azam kan tahu kita ke Bandung! Biasalah diaorang tu, orang kaya! Nak ke mana pun sekelip mata je. Apa kau kisah! Eh… ni aku nak bagitau, kita boleh shopping sakan kat sini sebab ada orang nak belanja. So, kau jangan nak pening‐pening kepala risau duit kau tu habis, okey!” Sisi kepala Wardah ditunjal dengan hujung jari. Benn memang melampau.

“Kau jangan nak merepek! Takkan kita nak ambik kesempatan. Tak nak lah aku! Ni… abah kau yang sorang tu merepek, suruh aku cuba baju ni! Memanglah cantik tapi mak aiii… kau tengoklah harga dia! Baik aku letak balik…” Wardah kalut membuka gaun itu semula dan dilurut turun dari tubuhnya. Jubah separas lututnya dipakai semula.

“Kau jangan! Cantik gila kau pakai baju tu, Arda. Ni peluanglah… ambik je! Jangan banyak songeh, boleh tak?”

“Hiii… tak mau aku terhutang budi. Nanti tergadai body!” Wardah sudah mencelah keluar dari
bilik kecil itu. Rimas dia dengan kata‐kata si Benn. Mujur tiga orang lelaki itu tidak ada di
hadapan pintu bilik persalinan itu lagi. Kalau tak, tak tahu ke mana hendak di halakan
mukanya. Jurujual kecil molek itu didekati dan baju itu diserah semula dengan berat hati tetapi
diiringi gelengan kecil dan senyuman. Dia hanya mengangguk tanda mengerti. Dan sebaik saja
Benn muncul di sebelahnya, Wardah terus menarik lengan Benn keluar dari butik itu. Dia dah
cukup malu!
Mereka masuk ke sebuah butik pakaian kanak‐kanak. Wajah Wardah berubah ceria. Benn yang
sedang tertinjau‐tinjau mencari ke mana gerangan abah dan Encik Azam serta kawannya tadi
ditarik masuk ke dalam butik itu secara paksa rela.
“Isyyhhh… aku belum ada anaklah! Adik‐adik aku dah besar anak gajah. Tak pakai dah bajubaju
ni semua!” Benn membentak seraya merentap lengannya dari terus diheret Wardah. Gadis
itu ketawa gelihati. Perut Benn dipulas geram.
“Aku nak beli untuk baju raya adik‐adik kat rumahlah!” Wardah menjeling pura‐pura marah
sambil memegang satu demi satu baju kanak‐kanak perempuan yang digantung di situ.
“Weh! Ramai tu! Bila nak beli baju untuk kau sorang, kau kedekut bukan main!” Benn memang
terkejut sakan. Matanya mula mengitari butik yang begitu cantik hiasan dalamannya. Macam
sesuai dengan jiwanya, penuh ceria dan warna‐warni.
“Aku dah cukup dah apa yang ada tu. Tapi adik‐adik tu tak pernah pakai baju dari butik mahal
macam ni. Apa salahnya sekali sekala…”
“Kau pernah ke?” Soal Benn semula sambil menjeling tajam.
“Eh! Aku bukan kanak‐kanak lagilah!” Tukas Wardah sambil ketawa.
“Saja kau buat tak faham ya! Aku keronyok kau karang! Aku tak kira, lepas ni… kita cari baju
untuk kita pulak. Aku pun teringin nak pakai baju dari butik kat sini,” Benn meninggalkan
Wardah memilih baju lalu menuju ke arah bahagian permainan kanak‐kanak yang dijual di
pojok kiri butik itu.
Lebih setengah jam kemudian, Wardah sudah siap memilih baju‐baju yang berkenan di hatinya
lalu menuju ke kaunter diiringi jurujual yang sejak tadi ramah membantunya memilih. Hendak
diharapkan Benn, entah ke mana dia menghilang. Namun kehadiran tiga lelaki tidak jauh di
kaunter itu sekali lagi mengejutkannya. Sambil melempar senyuman hanya sekilas, dia buruburu
ke kaunter untuk urusan pembayaran.
Setelah dibungkus dan dikira semuanya, Wardah mengeluarkan dompet dari beg galasnya
namun suara juruwang itu mengejutkannya.
“Sudah dijelasin, mbak. Dan ini katanya milik mbak yang tadi dibeli dari butik di sana. Terima
kasih karena sudah berbelanja di sini. Harap mbak datang ke sini lagi kalau ke Bandung ya!”
Sebuah beg kertas yang tadi diletakkan di atas kaunter dihulurkan kepada Wardah yang masih
berwajah terkejut. Perlahan‐lahan dia tunduk melihat kandungan dalam beg itu. Gaun tadi!
Dan ada dua helai lagi baju yang berbeza warna di dalam beg kertas itu serta tiga helai tudung
yang kelihatan seperti shawl yang sepadan dengan ketiga‐tiga baju. Jantung Wardah berdetak
hebat. Serentak itu dia mengangkat muka, memandang ke arah tiga orang lelaki tadi. Dan
pandangan Encik Kuan yang sedang merenung ke arahnya membuatkan dia terpaku. Lama.
Oh, Tuhan! Diakah…? Hati Wardah berbisik dalam debar jantung yang kalut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan