Label

Selasa, 6 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab14

Mataku masih terarah kepada seseorang. Gadis yang lengkap mengenakan pakaian sekolah menengah di hadapanku ini bagaikan ingin mendekati diriku. Riak wajah dan getaran bibirnya bagaikan ingin menceritakan sesuatu. Kadangkala bibirnya bergetar kecil dan kelopak matanya memerah bagaikan menahan tangisan daripada runtuh. Kesayuan wajahnya begitu jelas di pandangan mataku.

“Sekarang saya mempersilakan Tuan Haji Abdul Hamid, selaku pengetua sekolah ini untuk
menyampaikan sedikit sagu hati kepada kedua‐dua penceramah dari Positive Thinker Consultancy and Services iaitu Dr. Muhammad Adiib dan Dr. Balkis kerana sudi untuk meluangkan masa pada hari ini bagi memberikan ceramah serta bimbingan kepada para pelajar khususnya dan guru‐guru umumnya. Dipersilakan.”

Ucapan ‘dipersilakan’ itu menyebabkan aku terpaksa mematikan renunganku. Kini pandanganku tidak lagi terarah kepada gadis yang telah berjaya ‘menarik perhatianku’ itu.

Aku mengukirkan senyuman manis sewaktu berhadapan dengan lelaki yang sudah begitu sedikit helaian rambutnya. Sambil menerima sebuah hamper bersaiz sederhana mulutnya begitu lancar menuturkan kata terima kasih. Aku kembali berdiri di sebelah Dr. Adiib yang turut menerima sagu hati yang sama. Mataku meliar semula mencari kelibat gadis itu di celahan para pelajar yang sudah berdiri dan riuh rendah mulai memenuhi ruang dewan ini.

Apa yangku cari masih belumku temui, namun kehampaan cepat sahajaku seka dari menjalari hati ini. Aku yakin gadis yang telah berjaya menanam perasaan ingin tahu di hatiku ini masih berada di sekitar kawasan sekolah ini.

Setelah beramah mesra dengan guru‐guru yang sudi bertegur sapa, aku akhirnya meminta permisi.



“Dr. Balkis.”

Terhenti langkahku. Aku pantas memusingkan tubuhku menghadap rakan sekerjaku ini.

“Dr. Adiib. Awak dah nak balik ke?”

“Saya dah nak balik?”

Dr. Adiib mengerutkan dahinya sebelum menyambung semula bicara.

“Bukan Dr. ke yang tergesa‐gesa nak balik? Dr. ada appointmentke petang ni?”

“Tak. Saya… Saya ada hal sikit.”

“Baiklah. Kalau macam tu saya tunggu Dr.”

“Buat apa Dr. nak tunggu saya?”

Serta merta senyuman terukir di bibir Dr. Adiib. Senyuman itu menyempurnakan lagi kekacakan wajahnya.

“Kenapa Dr. senyum?”

Soalku polos.

“Dr. dah lupa?”

“Lupa?”

Soalanku putarkan semula.

“Dr. dah lupa ke yang pagi tadi saya tumpang kereta Dr. sebab saya tak berapa familiar dengan jalan sekitar kawasan ni.”

Ingatanku kembali kepada kejadian pagi tadi. Dr. Adiib begitu beria‐ia mahu aku menaiki keretanya. Alasan yang diberikan kerana dia tidak berapa familiar dengan jalan di sekitar kawasan ini, apatah lagi menurutnya dia tidak pernah menjejakkan kaki di sekolah menengah ini. Kesuntukan masa pada waktu itu menyebabkan aku akhirnya terpaksa mengalah dan bersetuju untuk menaiki sebuah kenderaan bersama‐samanya bagi menghadirkan diri tepat pada waktu yang telah dijadualkan untuk memberikan ceramah di sekolah ini pagi tadi. Tetapi sayaratku jelas! Dr. Adiib harus menaiki kenderaanku dan bukan sebaliknya. Walaupun apa yang dirancangkan oleh lelaki di hadapanku ini tidak mampu dijayakannya, namun senyuman kepuasan tetap sahaja terukir sewaktu dia melangkah ke pacuan empat roda milikku.

“Dah ingat?”

Aku sekadar tersenyum nipis. Otakku mula memikirkan jalan keluar.

“Dr. Adiib ada appointment ke petang ni?”

“Tak. Saya ingat Dr. yang ada appointment. Nampak tergesa‐gesa sangat tadi.”

“Sebenarnya saya ada hal sikit. Kalau Dr. Adiib tak ada apa‐apa hal, boleh tak Dr. tunggu saya
sekejap.”

“Dr. Balkis nak pergi mana?”

“Saya tak ke mana‐mana. Cuma ada perkara yang saya nak uruskan. Lepas semuanya selesai saya akan cari Dr. ataupun kalau Dr. nak balik dulu Dr. boleh guna kereta saya.”

Aku segera membuka zip handbagku bagi mendapatkan kunci kereta. Namun belum selesai aku menyelongkar isi di dalamnya…

“Tak. Tak payah. Takkan saya nak biarkan Dr. Balkis balik seorang‐seorang.”

“Tak apa. Saya dah biasa dengan kawasan sekitar sini. Lagipun berhadapan dengan sekolah ni ada sebuah bus stop. Saya boleh ambil bas ataupun teksi dari sana.”

Aku cuba meyakinkan Dr. Adiib.

“Tak payah. Saya akan tunggu Dr.”

“Betul ni? Macam mana kalau saya mengambil masa yang agak lama nak selesaikan urusan saya?”

“Tak apa. Saya boleh tunggu. Lagipun saya tak ada hal nak diuruskan petang ni. Saya free.”

Senyuman ikhlas daripada lelaki di hadapanku ini melegakan hatiku.

“Baiklah. Kalau macam tu saya cuba selesaikan urusan saya secepat yang mungkin. Kalau Dr. ubah fikiran, Dr. telefon saya.”

“Tak. Saya takkan ubah fikiran. Nanti kalau Dr. Balkis dah selesaikan semuanya, Dr. cari saya di
kantin ya. Saya ingat nak minum kopi dulu.”

Anggukanku berikan dan cepat sahaja langkahku atur untuk mendapatkan seseorang. Langkah yang laju mudah benar menghadirkan rasa penat. Hampir sahaja keseluruhan sekolah iniku jelajahi. Mujur juga aku sudah beberapa kali menghadirkan diri di sekolah ini. Andai tidak lebih sukar rasanya untuk aku meneruskan langkah melalui blok‐blok serta taman‐taman mini yang melengkapi serta mencantikkan lagi sekolah milik kerajaan ini.

Kepenatan yang sudah mencapai tingkat yang tinggi menyebabkan aku terpaksa melabuhkan
punggung di sebuah kerusi yang disusun cantik di dalam sebuah taman rekreasi. Mataku masih melilau‐lilau di sekitar taman yang terlihat bersih ini. Harapanku biarlah aku bertembung dengan gadis itu.

Saat aku melangkah masuk ke dalam dewan pagi tadi, dapatku rasakan setiap langkah pendekku bagaikan diperhatikan oleh seseorang. Perasaan yang kian kuat menyebabkan aku menoleh ke belakang dan pada tika itulah sepasang mataku bertembung pandang dengan sepasang mata kuyu milik seorang gadis yang terlihat lusuh pakaiannya. Lusuh di pakaian bukanlah penyebab utama mengapa aku mengingati seraut wajah milik gadis bawah umur itu. Tetapi bebanan perasaan yang ditonjolkan melalui kesayuan yang terukir jelas di wajahnya menyababkan aku benar‐benar ingin mendapatkan dirinya. Senyuman yang aku ukirkan pada pertembungan pagi tadi, langsung tidak dibalas apa. Dirinya bagaikan tidak lagi mengenali akan erti senyuman dan kebahagiaan.

“Siapa dia sebenarnya?”

Tanpa sedar aku menuturkan persoalan itu. Pandangan tetap jua terhala ke hadapan bagi
membolehkan setiap imbauan pagi tadi jelas melatari pandanganku saat ini. Andai para penghuni dewan tertawa lucu saat telinga mereka dijamahi dengan lawak jenaka yang sengajaku selang selikan dalam tuturan nasihatku bagi mengelakkan ada yang terlena, tetapi ternyata ianya tidak memberikan kesan apa kepada gadis itu. Wajahnya tetap jua sayu, langsung tiada senyuman apatah lagi tawa riang yang dihamburkan bagi mengubah emosi dukanya. Masihku ingat lagi sewaktu Dr. Adiib mengambil tempatku dalam menyampaikan ceramahnya. Pada waktu itu semua mata tertumpu kepada rakan sekerjaku itu, namun tidak sepasang mata sayu itu. Gadis itu tetap jua merenungku. Renungannya bagaikan ingin menceritakan sesuatu. Sesuatu yang terlihat begitu berat untuk dipikul oleh seorang gadis kerdil sepertinya.

“Apakah sebenarnya yang telah berlaku pada budak perempuan tu?”

Kali kedua persoalanku tuturkan dan kali ini ianya tetap berkisar mengenai insan yang sama. Aku mengerling jam di pergelangan tanganku. Waktu sudah menghampiri 2.00 petang.

“Agaknya budak tu dah balik.”

Detik hatiku.

Biarpun hati sudah memberikan pendapatnya, tetapi kerana harapan yang masih bergunung
menyebabkan aku melengah‐lengahkan masa untuk beredar. Namun setelah hampir sepuluh minit melilau‐lilaukan pandanganku dan merasakan apa yangku harapkan tidak mungkinku temui, lantas aku bangkit dan mengatur langkah.

“Kakak Balkis.”

Aku pantas menghentikan langkahku. Aku yakin si pemanggil menyebut namaku. Tetapi siapakah gerangannya yang bersuara lembut itu? Gelaran di hadapan namaku jua sudah berubah. Andai ramai yang memanggilku dengan gelaran ‘Dr.’, kini gelaran itu sudah bertukar kepada ‘kakak’. Tetapi aku langsung tidak kisah apakah awalan nama yang hendak diletakkan di hadapan namaku. Apa yangku kisahkan kini, aku mahu tahu siapakah yang memanggil namaku. Aku memusing‐musingkan tubuhku dan mataku masih melilau‐lilau mencari kelibat sesiapa bagi mengesahkan siapakah gerangan si pemanggil.

“Kakak Balkis.”

Kali ini si pemanggil sudah berani menampakkan bayangnya. Dari satu sudut bangunan yang
menyembunyikan tubuh kurus itu, gadis itu melangkah menghampiri diriku. Kini tepat di hadapan mataku berdiri seorang gadis yang begitu sayu pandangan matanya. Kesayuan itulah yang menjadikan aku mengingati seraut wajah milik gadis yang sememangnyaku nanti-nantikan
kehadirannya.

“Adik panggil akak?”

Lembut aku menuturkan persoalan seraya menggamit dirinya dan membawanya duduk kembali di kerusi yang telah menanggung beban tubuhku sebentar tadi.

“Siapa nama adik?”

Entah mengapa terasa diri ini rapat benar dengan insan di sebelahku ini.

“Dalila.”

“Sedap nama tu. Dalila… Dalila tak balik lagi?”

Sengaja aku memancing gadis ini untuk melanjutkan bicaranya bagi membolehkan aku mengesan sesuatu yang cuba disembunyikan oleh dirinya. Saat aku benar‐benar meneliti seraut wajah di sebelahku ini, terlihat jelas penderitaan dan kesengsaraan menguasai wajah pucat ini. Tersentuh hatiku.

“Dalila fikir apa?”

“Tak. Saya tak fikir apa‐apa.”

“Kalau Dalila tak fikir apa‐apa kenapa Dalila tak jawab soalan akak?”

Senyap kembali. Tiada jawapanku terima. Dalila menundukkan wajahnya. Terlihat memerah
kelopak matanya, bagai menahan butiran permata dari gugur mencemari wajah sayunya.

“Dalila… Dalila sihat?”

Kepala yang masih tertunduk, diangguk‐anggukkan.

“Kalau Dalila sihat. Kenapa muka Dalila pucat?”

Masih membisu. Namun perasaanku kuat menyatakan pasti Dalila sedang berperang dengan
perasaannya sendiri. Perasaan yang diterajui dengan kesedihan sudah pastinya tepat. Andai tidak mengapa mesti permata yang cuba ditahan gugur jua menyerahi dirinya?

Aku kian merapatkan diriku. Ku amati wajah yang sedang terlindung sedikit di sebalik tudung putih yang menyarungi kepalanya. Benar! Air mata gadis malang ini kian laju membasahi pipinya. Simpatiku kian bertubi‐tubi mendatangi diriku.

“Dalila menangis?”

Tangisan yang tidak bersuara sebelumnya sudah mula berbunyi. Aku memberanikan diriku
memegang lembut jari jemari runcing ini. Terasa sejuk. Sakitkah dia?

“Kenapa ni Dalila? Dalila sakit ke? Tak sihat?”

“Tak. Dalila tak sakit.”

Terdengar serak suara gadis malang ini.

“Kalau Dalila tak sakit. Kenapa Dalila menangis?”

Wajah yang tertunduk diangkat menatapi wajahku. Merah benar sepasang mata sayu itu. Kesayuan yang menggambarkan sejuta penderitaan itu benar‐benar meruntun hatiku. Pantas aku membawa gadis yang sedang menghamburkan tangisannya ke dalam pelukanku. Tiada penolakan daripadanya. Ternyata memang itulah yang diharapkan oleh Dalila. Dia mengharapkan seseorang dapat memeluk dan mandakap dirinya. Seseorang yang boleh mendengar luahan perasaannya dan seseorang yang mampu menyatakan kepadanya segala kesengsaraan yang sedang menakluki dirinya saat ini pasti akan menyerahkan dirinya

“Kenapa… Akak Balkis… Lambat sangat datang?”

Terputus‐putus pertanyaan itu diutarakan akibat sendu yang sudah mulai kedengaran. Terpinga aku dalam menelah maksud yang ingin disampaikan.

“Lambat sangat datang? Maksud Dalila?”

Pelukanku lepaskan.

“Tahun lepas… Dalila nampak akak Balkis dengan seorang lelaki bersongkok datang memberikan ceramah dekat sekolah ni. Tapi… Waktu tu Dalila baru tingkatan empat. Jadi, Dalila tak boleh sertai ceramah tu.”

“Ooo… Lelaki tu, namanya Ustaz Zhuhair. Dalila nak jumpat Ustaz Zhuhair ke?”

“Tak.”

Seiring jawapan itu, gelengan laju diberikan.

“Dalila nak jumpa akak. Sebab tu Dalila sanggup hadiri ceramah hari ni. Dalila sanggup naik bas.”

“Dalila naik bas?”

“Haah. Ayah kerja. Sebenarnya ayah tak bagi Dalila sertai apa‐apa aktiviti di sekolah pada hari
Sabtu ataupun Ahad. Ayah cakap semuanya mengarut. Buang masa.”
Saat ungkapan ‘ayah’ disebut, terlihat kebencian terukir hebat di wajah yang masih dibasahi
dengan air mata ini.
“Habis tu macam mana Dalila nak balik nanti?”
“Ayah suruh Dalila tunggu. Nanti dalam pukul 2 lebih baru ayah datang ambil Dalila.”
Aku sedar memberikan anggukan kecil tanda faham.
“Dalila… Dalila cakap yang Dalila sanggup datang hari ni sebab nak berjumpa dengan akak.
Malahan dari tahun lepas lagi Dalila perhatikan akak. Kenapa? Maksud akak… Ada apa‐apa ke
yang Dalila nak kongsikan dengan akak?”
Lembut dan begitu berhati‐hati aku menuturkan tiap patah kata. Agar cair hati si pendengar
untuk berkongsi kisah dukanya denganku.
“Entahlah… Dalila pun tak tahu. Kenapa dalam banyak‐banyak orang yang Dalila pernah jumpa,
Dalila percayakan akak. Dalila dapat rasakan akak adalah orang yang paling tepat untuk
Dalila…”
Kata‐katanya tersangkut di situ. Tangisannya menjelma semula.
“Dalila… Kalau Dalila rasakan yang Dalila masih belum bersedia, tak apa. Kita masih ada masa
lagi.”
“Tak! Dalila dah tak ada masa. Kejap lagi setan tu datang! Kalau Dalila tak ceritakan sekarang.
Mungkin… Dalila takkan ada peluang lagi nak ceritakan pada akak ataupun pada sesiapa. Dalila
perlukan akak…”
Setan? Ganti nama itu ditujukan kepada siapakah sebenarnya? Mungkinkah bapa kandungnya
sendiri?
“Dalila… Pertama kali akak bertemu dengan Dalila, hati akak sudah tersentuh. Akak sendiri tak
tahu kenapa. Tapi… Saat melihat wajah sayu Dalila, akak yakin Dalila perlukan seseorang.
Seseorang yang boleh dipercayai untuk menjadi pendengar dan mungkin juga penyelesai
terhadap masalah dan kemelut yang sedang Dalila hadapi. Akak tak tahu, musibah apakah
yang telah menimpa Dalila. Apa yang akak tahu, akak akan sedaya upaya membantu Dalila.
Walau apa pun yang berlaku. Akak takkan tinggalkan Dalila keseorangan. Percayalah.”
Kepercayaan cubaku tanam ke hati insan malang ini. Ternyata bait‐bait kataku itu mula
menampakkan hasilnya. Dalila mengesat linangan air mata yang masih tegar mencemari
wajahnya. Nafas cuba ditarik dalam dan dihembuskan perlahan. Sendu juga sudah berjaya
dibisukan. Gayanya seperti sedang menyediakan dirinya untuk meluahkan sesuatu. Sesuatu
yang terkandung sejuta penyeksaan dan penderitaan sehingga menghumban insan malang ini
ke dalam kegelapan.
Aku menantikan ungkapan pertama yang bakal keluar dari mulut insan yang terlihat sedang
menggerakkan bibirnya ini dengan penuh sabar. Kesabaran itulah penunjang utama yang
perluku pertahankan bagi menjayakan misiku kali ini.
“Akak. Akak ada ayah?”
Tersentak aku! Ayah? Berayahkah aku? Seingatku sudah lama aku tidak menerima kunjungan
persoalan seperti itu dan sudah lama jugalah nama Abdullah yang berbintikan ku tidak
menjadi penghinaan ramai.
“Ada. Kenapa?”
Agak bergetar suaraku. Namun cepatku kawal. Aku tidak seharusnya kalah dengan emosiku
sendiri. Pada tika ini, bukan apa yang terkandung di hatiku menjadi keutamaan. Tetapi apakah
sebenarnya yang sedang disembunyikan oleh insan di sebelahku inilah yang harusku cungkil.
“Ayah akak baik?”
Sekali lagi bergetar dadaku. Getaran yang diusik oleh emosi kesedihan.
“Baik.”
Jawabku sepatah.
“Akak bertuah sebab Allah sayangkan akak. Dia kurniakan akak seorang ayah yang baik. Tapi…
Allah tak sayangkan Dalila!”
“Astaghfirullahal azhim. Tak baik Dalila cakap macam tu. Mengucap Dalila. Ingat Allah. Allah
S.W.T tak pernah menganiaya hambaNya. Allah sayangkan setiap ciptaanNya.”
“Kalau Allah sayangkan Dalila! Kenapa Allah bagi Dalila ayah yang macam tu! Kenapa?!!!”
Jeritan yang ditabiri dengan tangisan yang menjelma semula begitu meyakinkan aku tekanan
perasaan yang ditanggung oleh insan muda ini begitu mendalam. Andai tidak masakan begitu
tinggi sekali tengkingannya tadi.
“Sabar Dalila. Akak faham apa yang Dalila sedang lalui saat ini.”
“Tak! Akak tak faham. Tak ada sesiapa yang akan faham. Sebab semua orang berayahkan
seorang lelaki yang baik. Tapi…”
Aku menggenggam jari jemari Dalila. Erat dan kuat. Terpejam seketika kelopak mata gadis ini.
Mungkin dirinya tersentuh dengan tindakanku. Bagi seseorang yang sedang menghadapi
tekanan dan kesedihan genggaman seperti itu membawa maksud yang dirinya tidak
keseorangan. Ya! Memang itulah yang cubaku sampaikan kepada Dalila. Aku mahu Dalila tahu
yang aku ada di sisinya untuk sama berbahagi rasa sedih dan kecewa itu.
“Akak… Kenapa mesti Allah duga Dalila macam ni? Allah tak sayangkan Dalila ke?”
“Setiap ujian yang Allah kirimkan kepada hambaNya bersebab.”
“Sebab apa? Sebab Allah nak tengok Dalila sengsara? Menderita? Macam tu?”
“Bukan. Tapi, sebab Allah sayangkan sangat Dalila. Allah takkan kirimkan ujianNya andai Dia
tahu yang hambaNya tidak mampu untuk mengharungi dugaan itu. Allah tahu yang Dalila
seorang insan yang sangat kuat sebab tulah Dalila yang terpilih untuk mengharungi semua
itu.”
“Tak kak. Dalila tak kuat. Dalila dah tak tahan.”
Kali ini Dalila yang membawa dirinya ke dalam dakapanku. Aku menggosok‐gosok perlahan
belakang tubuhnya. Gugur jua air mata yang cubaku tahan. Besar benarkan dugaan yang Allah
S.W.T kirimkan sehingga begini sekali kesengsaraan yang terlihat di mataku?
“Sabar Dalila. Sabar.”
“Akak… Kenapa ayah sanggup buat Dalila macam ni? Kenapa ayah sanggup…”
“Sanggup apa Dalila?”
Lembut aku bertanya. Persoalan itu tidak terus dijawabnya. Pelukan sekejap dileraikan.
“Dalila. Apa sebenarnya yang ayah Dalila dah lakukan pada Dalila?”
Masih membisu. Mungkinkah gadis ini memerlukan kekuatan berganda untuk membuka rahsia
yang selama ini hanya dipendamnya seorang diri?
“Dalila…”
Kian lembut nama ituku panggil.
“Ayah… Ayah Dalila…”
Aku masih menantikan butiran penyambung kata yang tergantung. Biarpun hati sudah
memberontak mahukan kepastian tapi iman di dada menjadi penyabar utama.
“Ayah rogol Dalila.”
Biarpun bicara Dalila begitu perlahan, tetapi telingaku ini masih mampu merakamnya.
Tersentak aku. Hampir sahaja lidahku ini kelu untuk berkata‐kata. Tidakku sangka penderitaan
seumpama ini yang terpaksa dilalui oleh gadis sementah dirinya.
“Astaghfirullahal azhim….”
Kalimah itu terkeluar setelah hampir seminit aku terkaku. Dalila sekali lagiku bawa ke dalam
dakapanku. Kali ini eratnya pelukanku bagaikan tidak mahuku lepaskan gadis ini.
“Betul ke apa yang Dalila beritahu akak ni?”
“Betul kak. Setiap hari… Dalila kena ‘layan’ setan tu. Dalila dah tak sanggup kak. Tolonglah…
Tolonglah Dalila…”
Tangisanku kali ini tidak mampuku tahan lagi. Biarlah ianya mengalir.
“Kenapa Dalila tak beritahu kepada guru kaunseling?”
“Dalila takut. Takut untuk mempercayai orang. Tapi… Pertama kali Dalila terserempak dengan
akak tahun lepas. Dalila terus ada keyakinan untuk ceritakan semua ni pada akak. Dalila tak
tahu kenapa. Tapi… Dalila yakin yang Dalila tak tersalah menilai orang. Dalila tahu yang akak
akan bantu Dalila. Betulkan kak?”
“Betul. Akak akan bantu Dalila. Akak janji yang akak akan bawa Dalila keluar dari masalah ni.”
Eratnya pelukan kami kian bertambah.
“Dalila!”
Kedua kami tersentak. Berdiri di belakang Dalila seorang lelaki yang sedang merenungku
tajam. Lelaki botak itu, buncit perutnya. Tiada langsung sinar iman menyinari wajah gelapnya.
Matanya pula merah persis sang Singa yang mahu membaham mangsanya.
Kelam kabut Dalila melepaskan pelukan kami.
“Dalila. Nanti dulu.”
Segera aku mencapai tas tangan dan mengambil sesuatu. Lajuku masukkan ke dalam beg
sekolah gadis yang sudah terukir di wajahnya seribu ketakutan. Dalila pergi meninggalkan aku
dengan langkah yang laju. Langsung tidak ditolehnya wajahku dan sebelum beredar sempat
lagi lelaki yangku yakini ayah Dalila itu merenungku tajam. Terselit peringatan dan ugutan di
dalam renungannya.
Semenjak menghidupkan enjin sehinggalah sudah separuh perjalan, wanita di sebelahnya ini
masih membisukan dirinya. Biarpun rakannya ini dikenali sebagai seorang yang tidak riuh
mulutnya, tetapi tidaklah sehingga begini sangat pendiamnya. Adiib yakin pasti ada sesuatu
yang telah dilalui oleh wanita ini di sekolah tadi sehingga begini sekali perubahan sikap yang
telah ditonjolkan oleh wanita yang sedang termenung tika ini.
“Jauh menung?”
Aku sekadar tersenyum nipis. Tiada mood untuk aku berbicara dengan Adiib. Tumpuanku
masih kepada kejadian di sekolah tadi. Masih tertumpu utuh kepada gadis malang itu.
“Dr. okey ke?”
“Okey.”
Ujarku sepatah.
“Tapi, saya nampak Dr. macam tak okey je.”
Aku terus membisukan diriku. Malas untuk melanjutkan bicara. Tetapi tidak berniat langsung
untuk bersikap kurang sopan. Lantas senyuman tetap juaku hulurkan.
“Dr. dah makan?”
Persoalan diutarakan semula kepadaku. Simpati pula dengan usaha rakanku ini yang hendak
menghentikan suasana bisu antara kamai.
“Belum. Dr.?”
“Saya pun belum makan. Apa kata kalau kita singgah dekat mana‐mana restoran dulu.”
“Tak apalah Dr. Saya ada urusan petang ni. Saya ingat nak terus balik je.”
“Emm… Baiklah.”
Aku tahu Dr. Adiib hampa. Tetapi bagiku biarlah aku menggunakan alasan itu daripada
melayannya menikmati makanan sedangkan perut ini langsung tidak berteriak kelaparan. Apa
yang sedang berteriak pada saat ini adalah hatiku. Hatiku berteriak kuat. Teriakan yang
membawa sejuta kebencian kepada lelaki botak dan buncit itu. Lelaki yang sanggup
‘memakan’ anaknya sendiri. Jenis bapa apakah lelaki itu?!
Kini hatiku telah tertanam suatu keazaman yang baru. Azamku biar apa pun yang terjadi
akanku bawa gadis malang itu keluar dari kegelapan dunia ciptaan ayahnya sendiri. Aku akan
pastikan Dalila ‘terlepas’ dari kekejaman ayahnya dan lelaki hina itu akanku ‘ikat’ dengan dosa
zinanya sendiri!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan