Label

Selasa, 6 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab17

“TAKguna! Menyusahkan orang saja! Kau tak akan terlepas dari aku!” bentak Albert Gan sambil menumbuk mejanya. Marah benar dia malam itu. Darahnya bagaikan mendidih apabila mendapat tahu Johnny Tan cuba berpaling tadah kepadanya. Suzy yang berada di hujung bilik itu terdiam membisu. Dia tidak berani bersuara. Dia faham benar dengan perangai Albert Gan.

Berdiam diri adalah lebih baik dari bersuara ketika lelaki itu sedang membara amarahnya.

“Jangan ingat kau boleh lari dari aku! Aku tak akan biarkan kau hidup lama dalam dunia ini!” tambah Albert Gan dengan api kemarahan yang masih belum mahu padam.

Albert Gan memberi isyarat supaya Suzy datang menghampirinya. Suzy akur lalu bangun dan
berjalan berhati‐hati mendekati Albert Gan. Di wajahnya terpancar kegelisahan yang amat sangat. Rasa gementar turut bersarang di dadanya ketika itu. Raut wajah Albert Gan yang bengis menambah lagi ketakutan di hatinya. Namun dia terpaksa melangkah juga.

“Kau tentu tahu mengapa aku panggil kau ke mari!” soal Albert Gan dengan nada yang bengis.

Suzy nampak gementar dan sedikit gerun. Sepanjang dia bekerja di situ, tidak pernah dia melihat Albert Gan marahnya begitu. Kecut juga perutnya apabila berhadapan dengan situasi sebegitu. Jantungnya seakan berdegup kencang, nadinya bagaikan mahu berhenti berdenyut.

Beberapa kali juga dia tertelan air liurnya.



“Kenapa diam? Kau nampak hantukah?” jerkah Albert Gan. “Cakap!”

“Err….Mr. Albert nak suruh saya cakap apa? Bos tak tanya?” Suzy mengatur kata menjawab kembali pertanyaan Albert Gan itu.

“Ada pun suara….ingat bisu tadi!” perli Albert Gan kepada Suzy.

Bengkak hati Suzy apabila dipermainkan sebegitu. Perasaan benci dan meluat mula tumbuh di
hatinya. Namun apakan daya, dia harus bertahan juga ketika berdepan dengan lelaki yang bernama Albert Gan itu.

“Kau tahu ke mana Cindy pergi?” pendek sahaja soal Albert Gan.

Suzy sudah dapat mengagak soalan itu yang akan ditanya oleh Albert Gan. Kali terakhir dia bersama Cindy tiga hari lepas. Selepas Johnny Tan membawa Cindy keluar dari pusat hiburan ini tempohari, mereka berdua terus tidak muncul lagi. Sehinggalah Albert Gan dapat tahu akan kehilangan mereka berdua. Albert Gan bertambah marah apabila kehilangan mereka membawa sekali hasil jualan eastacy bernilai hampir sejuta ringgit. Suzy masih berdiam diri.

Fikirannya turut memikirkan kata‐kata yang sepatutnya keluar tidak akan memerangkap dirinya sendiri. Kalau tidak, dia sendiri akan mendapat susah dan padah. Albert Gan masih lagi
menggenggam erat jari jemarinya. Bibirnya berketap cuba menahan sabar.

“Jangan ingat dia dapat lari dari aku….dia mungkin belum kenal siapa Albert Gan!”

Suzy tersentak apabila sekali lagi Albert Gan menumbuk meja berhadapan dengannya. Bagaikan mahu gugur jantungnya apabila dikejutkan sebegitu. Matanya terkebil‐kebil melayan amarah Albert Gan yang masih belum reda. Gara‐gara Johnny Tan dan Cindy dia turut mendapat susah. Geram juga hatinya apabila terperangkap dalam masalah yang bukan disebabkan olehnya. Namun akibat termakan pujuk rayu Johnny Tan, Cindy terbabit sama. Duit menjadikan Cindy gelap mata. Johnny Tan amat licik dan pandai dalam permainan jahatnya.

Akibatnya dia juga terseret sama kerana Cindy adalah sahabat baiknya.

“Ke mana dia nak lari? Nak pergi luar negara? Pergilah!” jerkahnya lagi. “Jangan ingat aku bodoh…. ini Albert Gan…. siapa tak kenal dengan Albert Gan?”

“Err….maafkan saya Mr. Albert….saya memang tak tahu menahu ke mana dia pergi. Sudah tiga
hari juga dia tak balik rumah,” jelas Suzy akan hal yang sebenarnya kepada Albert Gan.

“Betul kamu tak tahu?”

“Saya dah cakap tadi….sudah tiga hari Cindy tak balik rumah,”

“Kamu tahukan…..apa akibatnya kalau menipu!”

Sekali lagi Suzy terdiam. Apakah yang harus dijawab pertanyaan lelaki itu? Albert Gan menarik laci mejanya. Tiba‐tiba dia melemparkan sepucuk pistol ke atas meja. Suzy terkejut dan nampak pucat mukanya. Apa motif Albert Gan berbuat begitu? Memang kecut urat perutnya apabila melihat pistol itu dilemparkan sebegitu. Memang sudah gila lelaki ini, desis hatinya.

Albert Gan tergelak kecil apabila melihat Suzy yang nampak ketakutan. Sambil ketawa matanya
melirik tajam menusuk ke mata Suzy. Dia tahu perempuan yang ada di hadapan matanya itu dalam ketakutan. Wajahnya nampak pucat dan tidak berseri.

“Mr. Albert…sa..saya…memang tak tahu menahu tentang hal mereka….memang saya tak tahu!”

“Mustahil! Kamu rapat dengan mereka!”

“Kami rapat sebagai kawan….tak lebih dari itu. Rancangan dia dengan Johnny Tan memang saya tak tahu,”

“Boleh aku percaya?”

“Memang saya tak tahu!”

“Ermm….kamu boleh kata apa saja….orang sanggup menipu untuk nak lepaskan diri!”

Semakin bertambah sakit hati Suzy apabila mendengar kata‐kata Albert Gan itu. Ada sahaja dalihnya. Kata‐katanya tidak lebih daripada menyakitkan hati. Kata‐kata yang tidak ada budi bicara. Suzy terpaksa melayan sahaja apa kehendaknya. Albert Gan kembali merenung tajam ke arah Suzy.

“Ermm….satu lagi….mana Manissa? Hampir satu minggu saya tak nampak dia!”

Belum habis pasal Cindy, kini nama Manissa pula disebut oleh Albert Gan. Lepas satu, satu lagi
masalah yang menimpa Suzy. Dia memang rasa tertekan saat itu. Soal Cindy belum berjawab kita masalah Manissa pula datang menjelma. Manissa juga satu hal, pergi tanpa meninggalkan sebarang kesan. Tiba‐tiba sahaja menghilangkan diri. Telefon tidak diangkat, mesej pula tidak di balas. Saat itu kepala Suzy bagai hendak pecah dan amat pening sekali bila memikirkan tentang masalah Cindy dan juga misteri kehilangan Manissa.

“Dia ingat apa? Suka hati datang…suka hati tak datang!”

“Mungkin dia ada masalah Mr. Albert,”

“Aku tak mahu tahu masalah dia….apa yang penting dia dah bagi masalah pada aku!”

Terdiam sekali Suzy apabila Albert Gan melenting sekali lagi. Marahnya masih belum reda lagi.

Malam yang dingin itu terasa bahangnya.

“Aku mahu kau cari dia!”

“Tapi….”

“Aku tak mahu dengar sebarang alasan!”

Saat itu Suzy memilih untuk berdiam. Rasanya itu lebih baik dan pilihan yang tepat. Albert Gan mula mundar mandir ke depan dan belakang. Kemudian berhenti semula menghadap Suzy. Pandangan tepat ke arah sepucuk pistol yang terdampar di atas meja. Ekor mata Suzy turut memandang ke arah yang sama. Kemudian pandangan Albert Gan tertancap ke muka Suzy.

“Kamu nampak pistol itu!” tukas Albert Gan.

Pandangan Suzy beralih kepada pistol yang terdampar di atas meja itu. Suzy sekali lagi terkejut dan tertanya‐tanya. Untuk apa pistol itu? Seumur hidupnya tidak pernah dia melihat serapat ini atau memegang sepucuk pistol. Albert Gan sudah hilang akal agaknya, desis hatinya lagi.

Melihat sahaja pistol itu pun sudah menakutkan, apa lagi kalau mahu memegangnya. Albert Gan memang sudah gila! Jantung Suzy mula berdegup kencang. Getarnya memukul dada.

“Err….untuk apa pistol itu?”

“Habuan untuk sesiapa sahaja yang mengkhianati aku!”

Suzy nampak cemas. Hampir beberapa dia tertelan air liurnya sendiri. Kata‐kata Albert Gan bagaikan satu ugutan. Siapa yang menentangnya pasti maut akibatnya. Pistol itu adalah pengantaranya. Albert Gan sanggup buat apa sahaja. Dendamnya tidak pernah berkesudahan selagi pembalasan tidak tertunai. Amarahnya tetap berapi.

“Johnny Tan mesti cari kamu….kamu dalam bahaya!”

“Kenapa saya?”

Albert Gan tersenyum sinis. Dari dalam laci mejanya dikeluarkan satu passport antarabangsa, milik Johnny Tan. Suzy nampaknya kurang faham dengan keadaan itu. Apa kaitannya pistol, passport antarabangsa milik Johnny Tan dan dirinya sendiri? Buntu fikirannya berfikir. Kotak fikirnya tidak mampu berfikir lebih jauh lagi. Persoalan tertunda di mana‐mana tanpa dapat ditemukan jawapannya.

“Dia seorang yang licik dan pandai….dalam keadaan terdesak dia boleh buat apa saja. Nyawa 
baginya tak ada harganya. Dia sanggup membunuh untuk apa saja!”

“Saya memang tak faham!”

“Tanpa passport ini, dia tak boleh lari ke luar negara….pasport ini adalah nyawanya. Nyawa kamu pun dalam bahaya….hanya kamu yang boleh menolongnya untuk mendapatkan passport ini….aku yakin dia datang mesti cari kamu!”

Kini barulah Suzy memahami apa yang cuba disampaikan oleh Albert Gan. Dia pun tidak terfikir akan perkara itu. Cindy mesti pulang ke rumah untuk mengambil barang‐barang kepunyaannya. Cindy juga dalam bahaya kerana orang‐orang Albert Gan juga ada di merata tempat. Albert Gan juga bukan boleh dipercayai, tindakannya juga sering tidak terduga. Suzy mengeluh dalam diri. Dia benar‐benar tertekan. Dia bagaikan sudah tersepit dengan pilihan yang telah dibuat olehnya. Dia juga tidak sangka Cindy sanggup bersekongkol dengan Johnny Tan. Dia terperangkap antara diri dan sahabat. Terasa dirinya dikhianati oleh Cindy walaupun dia sendiri tidak pasti perkara yang sebenarnya. Mungkin juga Cindy telah diperangkap oleh Johnny Tan. Mungkin juga Cindy terpaksa menurut kehendak Johnny Tan lantaran kemewahan yang bakal diperolehi nanti. Hidupnya amat teruja dengan wang, harta dan kemewahan.

Sesiapa pun pasti teruja untuk hidup senang, dan jika benar serta berpeluang dia pun mungkin
terjebak sama.

“ Aku memang dah agak perkara ini akan berlaku….sebab itulah awal‐awal lagi pasport dia aku
simpan. Aku bukan bodoh!”

“Tapi macam mana kalau dia menyamar dan menggunakan pasport yang palsu?” Suzy memberanikan diri memberikan pendapat.

“Bukan semudah itu Suzy….bukan semudah itu! Pihak berkuasa juga bukan bodoh!”

Suzy sekali lagi diam membisu. Fikirannya masih bercelaru. Orang lain membuat masalah, dia pula terbabit sama. Dia mesti lebih berhati‐hati sekarang. Nyawanya juga dalam bahaya.

Musuh tidak pernah kenal erti kawan. Apa sahaja boleh berlaku. Hari ini mereka berkawan dan esok mungkin mereka berlawan, fikirnya sendirian.

“Apa lagi yang kamu fikirkan?”

“Err…tak ada apa‐apa Mr. Albert cuma ada rasa bimbang di hati ini….,”

“Mulai hari ini kamu kena lebih berhati‐hati…..buat apa yang aku suruh. Aku akan hantar orang 
untuk awasi kamu. Tapi ingat….kalau kamu mengkhianati aku…..pistol ini akan menamatkan
riwayat kamu!”

Kecut urat perut Suzy apabila diberikan amaran oleh Albert Gan. Nyawanya bagaikan berada di
hujung tanduk. Kalau tersilap langkah, bila‐bila nyawanya boleh melayang. Melihat sahaja pistol itu, hatinya sudah gerun. Inikan pula sekiranya picunya dilepaskan lalu mengenai sasarannya. Dia tidak mahu mati secara begitu. Dia masih muda, masih belum puas dengan kehidupannya. Banyak lagi perkara yang ingin dicapai. Impiannya banyak yang belum terlaksana. Dia seharusnya lebih berhati‐hati selepas ini. Setiap langkah pasti mengundang bahaya kalau silap perhitungannya.

“Apa lagi yang kamu fikirkan! Kamu boleh pergi sekarang!”

“Err…tak ada apa‐apa Mr. Albert…,”

“Ingat….apa yang aku katakan tadi! Dan ingat pistol itu juga!”

Bagaikan terlepas dari hukuman gantung apabila keluar dari bilik Albert Gan itu. Biarpun rasa
terkedu dengan ugutan Albert Gan namun Suzy terasa satu kelegaan yang amat sangat. Suzy
melangkah pantas meninggalkan Albert Gan yang masih memendam marah dan dendamnya.
Bermula pada malam ini, dia akan lebih barhati‐hati lagi. Setiap langkah dan setiap pergerakannya akan diawasi. Kebebasannya mula terkunci. Dia mula terpenjara di dalam dirinya sendiri. Kehangatan di lantai tari di Café Semarak itu sedikit pun tidak menggamit perasaannya. Segalanya terasa hambar. Semangatnya bagaikan hilang ditelan ugutan dari Albert Gan.

Saat itu Suzy teringatkan Cindy dan Manissa. Ke manakah perginya sahabat baiknya itu? Terasa
rindu dan simpati mula bermukim di dadanya. Kasihan Cindy kerana terperangkap antara cinta dan dendam Johnny Tan kepada Albert Gan. Manissa pula hilang kerana masalah keluarga yang kian mencengkam naluri dan perasaannya. Suzy sendirian melayan perasaan sehinggakan jiwanya turut melayang terbang jauh meninggalkan dunia fantasinya. Malam itu semua kenangan manisnya bertukar menjadi pahit, sepahit‐pahitnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan