Label

Selasa, 6 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab22

“Yang kamu terpisat‐pisat, mengapa? Betullah tu! Adham yang kamu nampak. Bukan hantu!”

Tan Sri mengusik sambil tersengih. Dia tahu, dia sudah membuat satu kejutan kepada anaknya. Puteri kesayangannya masih lagi terpinga‐pinga. Entah apalah yang sedang sarat dalam kepala yang memang sudah sedia berserabut itu agaknya? 

“Buat apa datang sini?”

Soalan ditanya tanpa Aira merenung wajah Adham Faiz. Dalam hati tercuit rasa geram terhadap ayah dan ibunya. Dia tahu kedua‐duanya sudah sepakat untuk mengenakannya pada hari ini. Patutlah, ayah yang memandu, bukan Pak Saad. Patutlah, bawa kereta dia, bukan kereta ayahnya. Rupa‐rupanya ibu dan ayahnya ada agenda mereka. Geram betul!

Apa pula rancangan mereka berdua sekali ini? Takkan nak tinggalkan aku, kut? Tanya hati.

“Aira!!!” tegas kedengaran suara Puan Sri menyergah anaknya.

Aira segera berdiri. Dia rimas apabila lelaki ini ada hampir dengannya. Dia ingin menjauh. Dia risau nanti hatinya menjadi lembut. Tambahan pula setelah menyedari bahawa Adham asyik
memandangnya sedari tadi.



“Tak apa, Puan Sri. Saya dah biasa kena jerkah dengan dia. Dah tak kisah dah!”

Aira berputar sembilan puluh darjah melihat Adham. Dalam hati, persoalan‐persoalan ini muncul.

Betulkah Adham yang baru saja mengadu itu? Dia melawakkah tadi? Dan.....siapa yang menjerkah siapa di antara mereka? Amboi, sekarang ni, bukan main lembut bercakap? Sengaja nak buat muka kasihan tu depan mak? Depan ayah?

Angin pus‐pus naik ke kepala. Dia yang tadi ingin pergi menjauh sudah merah wajahnya. Memang jelas kemarahannya. Memang nyata kegarangannya. Memang ketara dia geram, sakit hati, kesal...
Semua perasaan itu membengkak kini.

“Kalau awak dah tak suka dengan saya yang garang ni, awak datang sini buat apa? Kalau tak suka tengok muka saya, dah benci sangat dengan perempuan garang ni, pergilah cari yang lembut, yang comel, yang manja yang ada bersepah‐sepah di merata‐rata. Pergilah!”

Ditolaknya tubuh Adham. Mata sudah berair. Hendak disambung bercakap pun sudah tidak mampu lagi. Silap‐silap mahu menangis lagi ni.

“Aira, sini! Mak nak cakap sikit. Adham, kamu duduk di situ.” Puan Sri memberi arahan sambil menarik tubuh anaknya supaya duduk di sisinya. Kalau dibiarkan si Aira, takut nanti tak sempat pula untuk memberitahu.

Adham serius menunggu Puan Sri bersuara. Walaupun dia sudah diberitahu, hati teringin benar melihat apa reaksi Aira Syuhada nanti. Dia menyedari bahawa gadis itu masih sakit hati dengannya. Masih marah. Masih benci! Apakah nanti kemarahan itu akan semakin menjadi-jadi?

“Aira, mak dengan ayah minta maaf sebab kami tak nak bawak kamu ke Jepun. Bukan apa, sana sekarang ni musim sejuk. Kamu tu bukan tahan benar, nanti kamu demam pulak. Mak tak sanggup tengok keadaan kamu kalau kena selsema.”

Lama Aira merenung wajah ayah dan ibunya. Dia tahu mereka prihatin dan tidak ada sekelumit rasa marah kerana ditinggalkan. Tapi, apa pula kaitan dengan mamat yang wajah tidak ada riak itu?

Bagai mengerti apa yang sedang Aira fikirkan, si ibu segera menyambung dengan selamba....

“Mak nak tinggalkan kamu dengan Adham dan keluarganya.” Lebih mudah menggunakan ayat yang pendek, fikir Puan Sri Idayu. Cepat dicerakin oleh Aira nanti.

Memang benar. Buntang mata Aira Syuhada kini. Dia benar‐benar tidak dapat mempercayai. Namun, dia tahu ibunya tidak membuat jenaka kerana ibunya, Dr Idayu tidak pernah bertanding dalam Raja Lawak. Keseriusan wajah itu membuat hati dan fikiran Aira penuh dengan pertanyaan.

“Orang kena tinggal dengan dia ni?”

Adham tersenyum sinis kepada Aira. Seolah‐olah mengetahui apa yang sedang Aira fikirkan. Seolah‐olah mencabar Aira untuk menolak. Seolah‐olah dia tahu bahawa Aira tidak akan mahu ditinggalkan oleh ibu bapanya kalau terpaksa bertamu ke pondok buruk keluarganya.

Mana mungkin gadis itu mahu hidup dalam rumah murah kos rendah yang berusia tiga puluh tahun? Tak akan dia mahu! Tak mungkin!

..................

Aira Syuhada mematungkan diri di dalam kereta. Duduk diam di samping lelaki yang begitu tenang memandu, di sebelahnya. Wajah masih lagi masam mencuka. Dan suara tentu sahaja masih mahal untuk berbual.

“Sayang, jangan marahkan Am. Dia pun tak tahu apa‐apa sehingga semalam. Mak dengan ayah buat ni semua sebab kami tahu yang kamu pun bukannya seronok nak ikut kami ke Jepun tu. Betul tak?”

Puan Sri Idayu memberitahu tadi. Argh, geram. Ikut suka suki emak dengan ayah mengatur hidup dia. Dia tak mahu! Dia tak suka!

Kalau emak dengan ayah tidak mahu dia ikut ke Jepun, mengapa tidak berterus terang? Kenapa perlu minta tolong pada Adham untuk menjaga dirinya? Kenapa perlu memesan agar dia dibawa tinggal di rumah lelaki itu? Dia sudah memberitahu bahawa hubungan cinta mereka sudah berakhir, mengapa melakukan ini kepadanya? Menyeksa perasaan? Menyeksa hati? Tidakkah kasihan kepada dirinya ini?

Aira melantunkan kekesalan dalam satu keluhan maha berat yang dilepaskan.

“Tak baik mengeluh!”

Teguran keras itu menyebabkan Aira menoleh memandang wajah Adham. Diteliti seketika muka bengis itu sebelum dia kembali menoleh ke arah luar. Memandang seraut wajah itu mengembalikan kelukaan. Hati tetiba menjadi sebak. Air mata dirasakan bagai hendak luruh menitis.

Lemahnya diri ketika berdepan dengan lelaki ini. Rasa semangat yang tadi terkumpul, hilang begitu sahaja. Sukar sungguh menasihati hati agar tidak berharap terutama setelah si dia sanggup menerima tanggungjawab yang ibu dan ayah amanahkan.

Tiba‐tiba, Adham memasuki kawasan rehat dan rawat, Dengkil. Elok juga, fikir Aira. Dia pun sudah merasa dahaga. Baguslah...

Boleh... Kita minum dulu...

Ketika dia ingin turun daripada kereta, Adham lekas sahaja mengunci pintu. Aira terkaku sebentar sebelum menoleh dengan wajah yang geram.

“Bukalah! Orang nak pergi beli air. Dahaga!” pintanya keras.

Adham menggelengkan kepala. “Saya tak nak minum. Saya nak berbual dengan awak,” sahutnya perlahan.

“Tapi, saya tak mahu bercakap dengan awak. Tak ada apa‐apa yang nak dibualkan pun. Kan hari tu kita dah cakap semuanya?” balas Aira tegas.

“Hari tu, awak yang cakap banyak, bukan saya. Hari itu, awak yang memutuskan hubungan kita, bukan saya. Hari itu, awak yang buang mesej saya dari fon awak, saya tidak. Hari tu, awak yang...”

Bulat kedua‐dua biji mata Aira. Adham memulangkan semua kesalahan kepadanya. Dia yang cakap banyak. Dia yang putuskan hubungan mereka. Dia yang buang semua mesej lelaki itu malah membuang nombor telefonnya. Semua silap dia! Alahai....

“Semuanya salah saya, kan, awak, kan? Tak apalah, abang mekanik! Saya tak kisah dah. Tapi,
sekarang ni, saya tak faham kenapa awak bersusah payah hendak ikut kehendak mak dengan ayah? Kenapa tak cakap ‘tidak’ aje? Kan senang?” Aira meninggikan suara. Hanya dengan kemarahan, kekecewaan ini akan terubat, fikirnya.

“Saya tak tahu hendak menolak bila orang meminta tolong pada saya terutama bila orang tu ialah Tan Sri Fahmi yang banyak berbudi dengan saya, Aira!” Bisik Adham perlahan.

Tersentap sekali lagi. Hiba sungguh rasa di dalam hati. Semakin terluka mendengar Adham 
menyambung...

“Saya tahu awak tak suka nak duduk di rumah saya yang buruk. Tapi, itu saja cara untuk saya
jalankan amanah Tan Sri untuk saya. Saya harap, awak sanggup bersabar tinggal dengan saya, emak dan adik‐adik saya yang ramai. Tahanlah, okey! Bukan lamapun, dua minggu aje! Lepas tu, kita msing‐masing boleh bawa haluan hidup kita semula. Saya tak akan ganggu awak dan awak tak akan kacau hidup saya dah. Cuma, saya mintak sangat‐sangat pada awak supaya awak jaga nada suara awak terutama bila bercakap dengan emak saya. Tolong hormat dia! Jangan tengking dia macam awak tengking saya. Faham?”

Aira tidak menyahut. Dia segera berpaling ke luar.

Adham tidak boleh melihat dia menangis, itu mahunya! Dia juga tidak mahu dianggap lemah. Dia tidak mahu tumpas pada kesedihan ini. Kalau Adham menganggap dirinya hanya satu beban selama dua minggu akan datang, dia akan buktikan yang dirinya tidak begitu!

Dirinya adalah permata yang bersinar, walau ke mana dicampakkan. Dia akan pastikan, Adham
menyesal membuang permata ini!

"Tanggungjawab?" bulat matanya memandang Adham.

Adham mengangguk.

"Lupakan! Saya tak perlu rasa tanggungjawab awak tu!" bentak Aira.

"Tak boleh! Awak amanah saya!" balas Adham. Keras!

Lama Aira memandang wajah Adham. Dia kemudian mula tersenyum. Senyuman yang manis bak madu. "Tak takut saya goda awak nanti?"

Wajah Adham semakin beku. Risau pula jadinya melihat senyuman menggoda itu.

"Saya ni, Aira, tahu?"

Adham semakin tidak memahami.

"Saya dah ikut kehendak awak, Adham. Saya dah jauhkan diri saya dari awak. Saya dah lupakan
awak. Tapi, awak? Awak patut tolak permintaan ayah dengan emak saya untuk jauhi saya! Awak tak patut tolong mereka,"

"Habis, awak nak tinggal sorang‐sorang kat dalam rumah besar awak tu? Siapa nak jaga makan
minum awak? Kalau awak demam, siapa nak tengok‐tengokkan?" balas Adham keras.

"Kenapa nak sibuk? Diri saya, tahulah saya nak jaga!"

"Saya tahu awak boleh jaga diri awak tapi saya takut nanti saya yang tak boleh tidur malam sebab risaukan awak,"

Ternganga mulut Aira mendengar ayat terakhir itu. Tidak menyangka ia boleh meniti keluar daripada bibir Adham Faiz.

Hmm, nampaknya lelaki ini masih mengambil berat tentang dirinya. Kata tak suka? Kata menyampah dengan anak orang kaya? Kata dah benci dengan gelagatnya? Tapi, nampaknya cakap dah tak serupa bikin ni!

Aira tersenyum. Wajah Adham ditatap dalam‐dalam. "Tak takut saya goda awak lagi? Tak takut saya kacau awak? Tak takut saya tackle awak lagi?" soalnya lembut sambil mata sengaja dikerdip‐kerdipkan.

Adham sembunyikan resahnya dalam tawa yang dibuat‐buat. "Depan emak dan adik‐adik saya? Takkan kut?"

Sengihan Aira semakin lebar. "Takkan? Oh no! Awak tengoklah nanti! Saya ni kan gatal sikit? Saya bukan peduli, kalau hati saya dah suka, depan emak awak ke, depan adik‐adik awak ke, awak tetap saya mengurat nanti,"

"Aira!"

Aira tidak peduli. Wajah tegang itu dilatarinya. "Orang cakap, peluang tidak datang berkali‐kali, Am. Jadi, peluang untuk tinggal dengan awak sekeluarga nanti akan saya gunakan sebaik mungkin. Jangan menyesal, okey!" ujarnya penuh ketegasan.

Ya, itulah tekadnya. Dia akan pastikan hati dan perasaan lelaki itu porak poranda selama dua minggu nanti. Biar berkecamuk hidupnya! Biar resah dan gundah jiwanya.

‘Huh, amanah konon! Tanggungjawab? Tidak, abang mekanikku! Kau menyanggupi permintaan ayah dengan emak sebab ada taman dalam hati engkau tu! Taman yang penuh bunga cinta untuk aku tapi kau tak sedar lagi. Atau, kau tak mahu mengaku. Tak apa! Aku akan sedarkan kau. Aku akan buat kau yakin yang aku sesuai untuk kau. Aku akan buat kau tahu, yang aku ni pilihanmu yang terbaik. Dan, paling penting, aku akan buat kau menyesal menolak cinta aku, abang mekanik! Percayalah! Kau akan menyesal!’ Aira menggumam di dalam hati, penuh dendam!

Adham memerhati riak wajah di sisinya. Kenapa hatinya sendiri rasa risau semacam ni?

Salahkah apa yang dilakukan ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan