Label

Selasa, 6 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab11a

THYSIA mundar‐mandir di kamarnya. Dagunya diurut lembut gaya berfikir. Otaknya mengingati kembali peristiwa ketika sahabatnya, Armen menceritakan tentang Rancangan Syahadat ketika kali terakhir mereka bersemuka.

Thysia sebenarnya adalah dari golongan perisik, sama seperti Armen. Mereka menyamar seolah‐olah terkena sihir Vasilias pada satu masa dahulu. Menyebabkan kini mereka menjadi tidak berperasaan. Meletakkan kesetiaan hanya untuk Vasilias dan Damian. Padahal sebenarnya, sihir yang menempel telah lama dineutralkan oleh Igetis semenjak mereka diculik ke Kem Epizon.

Thysia telah diberi kepercayaan oleh Vasilias untuk mengawal keadaan di Penjara Agonia. Sementara Armen pula ditugaskan sebagai pelapor keadaan di Kota Iremia. Kebanyakan masa Armen adalah di Pantheon, tempat Vasilias bersemayam. Sehingga kini, penyamaran mereka sungguh meyakinkan sehingga tidak dapat dihidu.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi ketukan dari luar pintu. Thysia segera menghilangkan
garisan yang terbentuk pada wajahnya. Dia berlagak biasa. Setelah diberi arahan, pintu itu dikuak.
Terlihatlah Musyrif, Lysandra, Lewis dan Hervey yang dibelenggu dengan rantai besi. Tangan Thysia diangkat lalu menepis udara.

“Keluar dari bilik ni. Aku nak bersendirian dengan mereka,” perintahnya.



Minotaur‐minotaur yang mengiringi patuh pada arahannya. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, riak wajah Thysia terus berubah seperti asal.

“Kau rakan Armen?” tanya Hervey.

“Betul.” Thysia menghela nafas. “Maaflah sebab kau semua dilayan teruk seperti ini,” ucapnya lagi.

Thysia menyeluk sisipan pada seluar. Segugus besar kunci berlabel nombor sel penjara dikeluarkan. Dia membantu melepaskan mereka satu‐persatu daripada belenggu rantai besi. Mereka meramas pergelangan tangan yang terasa sakit. Menunggu percakapan seterusnya daripada Thysia.

“Nama aku Thysia. Aku penjaga di penjara ni. Armen ada memberitahu aku tentang kedatangan kau semua. Maaf sekali lagi kalau aku terlambat,” tutur Thysia. Dia berjabat tangan dengan semua dan senyum kepada Lysandra sebagai tanda persahabatan.

“Tak apa, Thysia. Kami faham,” ucap Lewis sambil tersenyum.

“Begini. Armen sudah beritahu aku. Biar aku berterus terang sahaja langkah seterusnya,” ucap Thysia separuh berbisik. Dia bergerak ke hadapan meja di dalam biliknya.

Segugus kunci pendua yang disimpan diserahkan kepada Musyrif.

“Sebaik sahaja keluar dari bilik ini, aku akan cuba lengahkan Leviath. Minotaur‐minotaur akan 
diperintahkan untuk berkawal di hadapan Penjara Agonia. Ketika itu, kau dan yang lain akan pergi bebaskan semua Asfalis. Kau kena buat sampai satu penjara ini kecoh. Selepas tu, kau tahu nak bawa mereka ke mana. Ingat, jangan sampai gagal. Ini mungkin peluang terakhir kau untuk menyelamatkan mereka.”

Thysia meletakkan jari telunjuk pada dada Musyrif. Tangan Musyrif digenggam dengan penuh
bertenaga.

“Terima kasih sebab tolong kami,” lafaz Lysandra. Dia menghadiahkan senyuman manis sejurus
melangkah satu tapak ke hadapannya.

“Itu sudah tanggungjawab aku. Aku juga terlibat dalam mempertahankan Nicanor,” balas Thysia penuh sopan.

Sebelum mereka kembali ke sel penjara, Hervey, Lewis dan Musyrif berpelukan dengan Thysia.
Belakang mereka ditepuk‐tepuk mesra. Kemudian, tangan mereka segera dirantai kembali.

“Minotaur!” panggil Thysia.

Sebelum pintunya dibuka, Musyrif dipandangnya dengan serius.

“Aku minta maaf. Sebelum aku terlupa...”

“Apa?” soal Musyrif terpinga‐pinga.

Tepat ketika ketua Minotaur terpacul di muka pintu, satu tumbukan dilayangkan tepat pada perut Musyrif.

Terbongkok‐bongkok Musyrif kerana berusaha untuk menahan senak yang menyerang perutnya. Pipinya kembung dan terasa hangat.

“Bawa mereka pergi. Aku tak nak tengok muka mereka semua di tapak pembinaan lagi.

Menyusahkan!” tempik Thysia. Mereka semua terus diheret keluar dari bilik Thymia. Seolah-olah
perbincangan tadi tidak pernah berlaku.

Kemudian, Thysia terus melangkah keluar dari biliknya. Langkah diayun sehingga keluar dari
Penjara Agonia. Dia membelok, melalui jalan yang membawanya ke kediaman Leviath. Thysia sudah tidak sabar lagi untuk menggerakkan rencananya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan