Label

Khamis, 1 Disember 2016

NOVEL Di Sebalik Talian Bab12

“Mak cik Solmah, selamat tinggal.”

Saya berusaha untuk menahan rasa sebak di dada saya pada ketika ini, namun bila saya nampak senyuman mak cik itu yang penuh kasih sayang itu, saya tewas dengan tangisan saya. Saya memeluk dia dengan erat, rasa tidak mahu melepaskan dia sahaja. Mak cik Solmah berdekut pada saya, seakan‐akan saya ini seorang bayi yang merengek ditinggalkan mak. Bila difikirkan kembali, ya, memang saya anggap mak cik Solmah seperti mak saya, manakala dia pula anggap saya cucu dia.

“Udahlah tu, Annie sayang. Baguslah tu aku tukar wad,” katanya dengan nada riang, atau sekurang‐kurangnya cuba kedengaran riang demi saya.

“Tukar wad itu bukan berita baiklah mak cik!” Rengek saya lagi sambil memuncungkan mulut saya.

“Sekejap saja aku di situ. Itu doktor di sana bilang aku kena pergi scan badan dulu, kalau tiada apa‐apa aku boleh terus pulang rumah.” Mak cik Solmah mengeluh apabila perkataan “rumah” diujar.

Saya betul‐betul berharap memang tiada apa‐apa, mak cik! Saya mengeratkan lagi pelukan saya padanya, menyebabkan dia mengerang kesakitan.

“Waduh....Si anak ni, mahu patah tulang mak cik ni satu‐satu dibuat oleh kau!” Jeritnya tapi dengan nada yang bergurau sambil dengan lembutnya memukul lengan saya. Saya pun cepat-cepat melepaskan pelukan saya, risau pula kalau betul tulang dia patah, dahlah dia sedia kurus kering...

“Mak cik, mak cik janji tahu mak cik kena makan banyak‐banyak, kasih gemuk badan tu. Mak cik ni terlalu kuruslah!”



“Kalaulah aku boleh serap lemak kau kan bagus...” gurau mak cik itu, menyebabkan dia mendapat pukulan manja daripada saya.

“Tahulah saya gemuk, mak cik, tidak payahlah mak cik ingatkan saya,” saya memuncungkan mulut saya lagi. Saya kena mula bersenam mulai hari ini! Tekad saya dalam hati saya.

Suatu perpisahan itu memang sangat sukar bagi saya. Mak cik Solmahlah satu‐satunya yang melayan saya di wad sini, dan memang nasiblah dia juga yang dipilih untuk tukar wad. Selepas ini saya akan rasa keseorangan lagi. Saya mengeluh. Saya takut kalau saya tiada kawan bercakap, suara itu akan muncul kembali... Selepas dengan berat hatinya saya mengucapkan selamat tinggal kepada Mak cik Solmah dengan janji yang dia akan datang melawat saya sejurus selepas dia dibenarkan keluar daripada wad, saya pun dengan langkah lusuh kembali ke katil saya. Sekarang ini tinggal enam orang pesakit di sini. Lima orang yang lain lagi semuanya muda‐muda belaka. Semua pun baru sahaja dimasukkan ke sini. Bermacam‐macam perangai saya perhatikan. Ada yang diam sahaja, ada yang berada di posisi yang sama sahaja sepanjang hari, ada yang bercakap bersendirian...

Saya renung pada pesakit yang bercakap bersendirian itu. Dia nampak sangat bersemangat, sangat riang, sedang berbual dengan orang yang jelas bagi mata kasar kami tidak wujud itu. Begitukah orang lain nampak saya semasa saya kononnya dating dengan Ste itu? Saya menutup wajah saya dengan kedua‐dua belah tapak tangan. Rasa malu mula menyelubungi saya. Sepanjang enam bulan ini orang lain nampak saya berperangai gila di khalayak ramai... Patutlah bapa dengan Angie rasa meluat dengan saya.

Fikiran saya tertumpu pada Ste. Saya mengimbas kembali kejadian saya menyerang Ste di sini
beberapa hari yang lalu. Nampak sangat Ste betul‐betul tidak mengenali saya. Saya masih susah mahu menerima kenyataan itu. Apa yang saya alami semasa bersama dengan dia memang betul‐betul rasa benar. Bila saya sentuh dia, peluk dia...Saya masih boleh ingat kehangatan badannya itu, bau unik dia itu... Bila dia kucup saya di pipi saya, masih terasa gatal di bekas kucupan itu. Saya benar‐benar tidak dapat fahami kenapa sesuatu yang sangat benar itu adalah fantasi semata‐mata?

“Annie! Kamu ada pelawat!” Panggil si jururawat Celia di pintu wad itu.

Saya mengerutkan dahi saya. Siapa pula yang melawat saya pada hari Sabtu petang ini? Setahu saya, mak ada hal hari ini, esok baru dia akan datang melawat. Takkanlah Ste? Saya memukul pipi saya beberapa kali, berasa geram terhadap diri sendiri kerana walaupun Ste telah melukakan hati saya, sayaa masih menginginkan dia.

Lekas, Annie! Kau tanya diri sendiri pun tidak juga muncul jawapannya! Baik kau bergerak sekarang untuk jumpa pelawat misteri itu. Saya memarahi diri saya di dalam hati. Dengan langkah berhati‐hati, saya pun pergi ke ruang legar. Mata saya mengimbasi sekeliling ruang legar itu, tiada satu pun orang yang saya kenal. “Celia! Mana ada pelawat pun. Kamu tipu saya, ya?” Saya panggil Celia ke sini. Celia berdiri dari kaunter jururawat lalu berjalan ke sisi saya.

“Tu nah. Lelaki yang sedang tengok TV tu,” kata Celia sambil menunding jari telunjuk ke arah seorang lelaki yang duduk membelakangi kami dengan berpakaian T‐shirt berwarna kuning itu. Saya mengecilkan mata saya memandang lelaki itu...belakang kepala lelaki itu. Saya tidak ada rasa biasa dengan dia, namun di hati kecil saya mencuit‐cuit saya seakan‐akan ia cuba mahu memberitahu saya sesuatu.

“Terima kasih Celia,” kata saya dengan nada kecil, sambil itu saya melangkah ke tempat duduk
lelaki itu dengan langkah yang berhati‐hati. Saya berhenti betul‐betul di belakang lelaki itu, rasa gelisah pula mahu menegur dia dulu. Namun, seakan‐akan dia punyai mata di belakang kepalanya, dia terus berpaling ke arah saya dengan senyuman lebar.

Tidak mungkin! Ia tidak mungkin!

Mata saya terbeliak melihat wajah lelaki “misteri” itu.

Lelaki yang sedang tersenyum pada saya ialah tidak lain tidak bukan ialah Zero!

Saya tergamam. Mulut saya terbuka luas, mata saya terbeliak, badan saya rasa kaku melihat Zero di hadapan saya. Zero mengerutkan dahinya sambil melayangkan tangannya di hadapan muka saya.

“Hello. Ada orang di rumahkah? Knock, knock!” Kata Zero dengan rasa riang.

Saya terkebil‐kebil, lalu berdehem. “K‐K‐Kamu Z‐Z‐Ze‐e‐ro?” Kata saya, terketar‐ketar.

“Ya, sayalah ni.”

Saya pandang dia lagi dengan pandangan tajam.Mungkin dia ialah ilusi! Saya tidak boleh biarkan ilusi ini merosakkan saya lagi! Saya kena buat sesuatu!“CELIA!!!! MARI SINI CEPAT!!”

Teriak saya dengan rasa cemas. Zero kehairanan melihat kelakuan pelik saya itu.

“Ya, Annie, kenapa?” Kata Celia, agak tercungap‐cungap kerana dia bergegas lari ke tempat saya tatkala mendengar suara cemas saya itu.

“Celia, lelaki di depan saya ini, wujudkah? Tolong jujur, okey?” Tanya saya sambil memegang kedua‐dua bahunya.

Celia cuma tersenyum. “Annie, dia wujudlah. Kalau tidak, buat apa saya panggil kamu, kan?”

Celia cuba menyakinkan saya. Saya pandang balik pada Zero, lalu pandang Celia. Celia mengangguk lalu memusingkan badan saya berhadapan dengan Zero lagi. “Pergilah cerita dengan dia.” Sebelum Celia beredar, sempat dia bisik di telinga saya, “Handsomelah dia ni!”

Muka saya membara, rasa malu kerana saya telah berkelakuan pelik di hadapan Zero. Saya menundukkan kepala saya, tetapi Zero mencapai dagu saya dan mengangkat kepala saya, memaksa saya untuk tenung wajahnya. “Jangan malu‐malu sama sayalah Annie.” Dia ketawa kecil, lalu mempelawa saya untuk duduk. Dia juga duduk di hadapan saya.

“Sorry, Zero sebab tadi itu. Saya kena pastikan kau orang yang wujud, bukan ilusi,” gumam saya.

“Tidak apa, Annie. Saya faham.”

“Kamu tahu apa yang berlaku pada saya, Zero?” Tanya saya, masih lagi rasa tidak selamat.

“Marvin anak Gilbert.”

Saya terlalu fokus pada penerimaan Zero terhadap keadaan saya ini, sehingga saya terlepas dengar apa yang dia cakap itu. “Huh?”

“Nama saya Marvin anak Gilbert,” ulang dia lagi dengan senyuman penuh sabar.

Wow, cantiknya nama dia!“Ehm...Selamat berkenalan, sekali lagi, Marvin.”

Zero...Marvin...apa‐apa jalah... ketawa kecil pada saya. “Pelik pula kau panggil saya Marvin. Panggil saya Zero sahajalah.”

“Okey, Zero. By the way, kenapa kau punya nama chat ‘Zero’? Lama sudah saya mahu tanya ni.”

Zero ﴾ya, saya buat keputusan untuk teruskan panggilan itu padanya﴿ menggaru kepalanya.

“Ah...Yang itu... Tiada sebab tertentu. Saya cuma rasa Zero sounds cool. Yeah, sekurang-kurangnya
cool sebelum kawan‐kawan saya di sana ketawakan saya. Diorang cakap nama itu kebudak‐budakan.”

Saya ketawa mendengarnya. “Ya, memang pun kebudak‐budakan, tapi nasib baik saya suka tu nama.”

Kami senyum sesama sendiri. Saya rasa kekok pula, tidak tahu mahu cakap apa selepas ini. Bukan apa... Kan Zero lama sudah lama tidak contact saya sejak beberapa bulan ini, dan tempat kami pertama kali berjumpa bersemuka bukannya seperti yang saya selalu bayangkan. Saya hampir lupa yang kami sekarang berada di ruang legar HMBP. Tidak tahulah kenapa, dengan Zero saya sentiasa rasa selesa. Dia kan kawan baik saya. Saya rasa syukur kerana dia masih anggap saya sebagai kawan walaupun dia tahu dan nampak sendiri kelakuan pelik saya itu. Ah, soalan asal saya itu!

“Macam mana kau tahu pasal saya, Zero?”

“Mak kau yang kol saya.”

Saya terbeliak mata lagi. Mak saya tidak pernah tahu pasal Zero, jadi macam mana dia dapat kol Zero pula?

“Ah... Begini. Dia kata dia ternampak nombor telefon saya di buku nota kau masa dia tengah mengemas barang‐barang kau. Jadi, dia pun telefon saya, dia kira macam “menemubual” saya pula. Dia bilang dia takut saya ini tidak wujud juga, tapi saya menyakinkan dia yang saya memang wujud pun. Jadi, saya beritahu dia pasal persahabatan kita, dan selepas sejam barulah dia yakin yang dia boleh beritahu saya pasal kau. Lepas itu, saya terus book flight datang sini, dan here I am, ta‐da.”
Mak, kau tidak serik‐serik membuatkan saya gembira! Kau telah membawa Zero ke tempat saya! Saya akan ucapkan terima kasih pada mak esok bila dia datang melawat, saya berkata dalam hati.

“Saya sangat rindukan kau, Zero,” kata saya dengan penuh emosi.

“Saya pun... Sorry saya lama sudah tidak contact kau. Macam‐macam yang berlaku di sana... Nanti bila kau dibenarkan keluar wad, saya akan cerita lebih lagi. Buat masa sekarang, saya mahu kau sembuh di sini dan fokus lebih kepada diri kau.”

“Kau berapa lama di sini ni Zero? Di mana kau menginap?”

“Seminggu. Saya ada banyak baki cuti jadi bos bagi saya cuti sepanjang seminggu itu. Dan saya tinggal di rumah sepupu saya, kebetulan dia tinggal di area KK.”

Saya rasa seperti mahu melompat pula, mahu buat tarian gembira. Seminggu di sini! Bermakna saya akan dapat jumpa Zero selama seminggu! Tapi... Takkanlah dia mahu melawat saya seminggu berturut‐turut pula? “Kau pergilah jalan‐jalan di seluruh KK ini, pergi Kundasangkah, sementara kau di sini.”

Laju sahaja Zero menggeleng kepalanya. “Tidak mahu. Saya mahu tunggu kau keluar dari sini dulu baru kita sama‐sama buat trip.” Dia berkata ini dengan tegas, jelas yang dia tidak mahu sebarang hujah daripada saya. Sebetulnya, saya gembira mendengar yang dia mahu saya ikut serta dalam trip pertama dia di Sabah ini.

Saya pun mula menceritakan dia tentang hari‐hari saya di sini, termasuklah berkawan dengan mak cik Solmah dan juga perjumpaan saya dengan Ste. Muka dia nampak menahan marah tatkala dia dengar nama Ste itu. “Saya sumpah, kalau saya nampak si bangsat itu, perkara pertama yang saya mahu buat ialah tumbuk muka dia sampai dia perlu pembedahan plastik untuk kasih bagus balik tu muka dia. Punyalah sombong dan kejam dia tu!”

Saya tersenyum sedih. “Janganlah tumbuk dia, Zero. Biarkanlah dia itu. Bukan salah dia juga. Salah saya sebab terlalu taksub dengan dia.”

“Tapi ia tidak bermaksud dia boleh saman kau atau bagi kau perintah sekatan!”

Saya meletakkan tangan saya ke atas genggaman tangannya di atas meja di perantara kami.

“Sabarlah. Saya dah get over dia pun.” Konon saja, tapi tidak perlulah beritahu itu pada Zero.

Nanti meninggal pula Ste gara‐gara saya...

Zero mendengus dengan kuat. “Okey, demi kawan baik saya ini, saya akan bersabar. Tapi baik kau berdoa semoga saya tidak akan bersemuka dengan dia‐”

Uh‐oh!

Saya tiba‐tiba terkaku, lalu sumpah seranah di dalam hati saya. Nampaknya saya sudah terlambat untuk berdoa.

Di sudut jauh sana, kelihatan kelibat lelaki yang terakhir kami mahu bersemuka sedang berjalan ke arah wad kami. Dr. Stephen Marcus!

Dia nampak sedang tergesa‐gesa sahaja itu. Dia langsung tidak perasan saya duduk di sini. Pada masa yang sama juga, saya nampak Zero merenung dia dengan pandangan menyampah dan penuh dendam. Saya mencapai tangannya dan memegangnya dengan erat, tidak mahu melepaskannya, manalah tahu tiba‐tiba dia pergi serang Ste pula. Tidak lama kemudian, Ste keluar kembali daripada wad itu, kelihatan dia tengah dalam pertelingkahan yang panas dengan jururawat Celia.

“Kenapa tiada satu pun orang yang bagitahu yang pesakit itu sudah kena pindah, hah?” Tanya Ste dengan nada yang tinggi.

“Doktor, itu tanggungjawab staff nurse di sana untuk kasih inform doktor, bukan kami,” jawab Celia dengan tegas.

“Kau tahukah betapa jauhnya saya kena pandu dari HQE pergi ke sini? Sudahlah saya on‐call hari ini. Buang masa saya saja saya datang ini!”

Celia sudah mula hilang sabar dengan perangai si doktor ini yang kurang ajar. “Hei, doktor. Kami ini bukan PA ﴾personal assistant﴿ kau untuk kami inform segala‐galanya sama kamu. Kami pun banyak lagi kerja di sini, bukan kau saja yang sibuk, okey?”

Ste mengangkat kedua‐dua belah tangannya, nampak sangat dia kecewa dengan keadaan ini.

“Whateverlah! Buruk betul servis kamu di sini. Nanti lepas ini saya mahu complain sama pengarah kamu di sini!” Tanpa berlengah lagi, dia pun berpaling dan terus jalan ke pintu keluar, tetapi sebelum dia sempat melangkah keluar, satu suara memanggilnya.

“Hoi, Stephen Marcus!”

Saya menoleh ke arah Zero. Dia masih merenung Ste dengan pandangan yang sama. Kenyataannya, nampak sangat bahawa dia makin benci pada lelaki itu. Ste memalingkan badannya ke arah kami, dan apabila matanya singgah ke wajah saya, dia pun tersenyum sinis. Mungkin dia memang bad mood hari ini kerana keprofesionalismanya sudah jauh ke laut pada masa itu. “Encik, kalau saya adalah kau, saya akan jauhkan diri saya daripada perempuan itu. Dia itu gila, okey? Dia stalk saya, dan memfitnah orang lain yang kononnya saya dan dia adalah couple.” Dia ketawa sinis selepas menuturkan ayat terakhir itu. “Pleaselah. Saya kalau mahu couple, tentunya saya akan pilih doktor juga. Siapalah dia itu untuk‐”

Belum sempat dia menghabiskan kata‐katanya, tiba‐tiba dia dikejutkan oleh genggaman erat sekuriti di situ. Di sebelahnya berdirinya jururawat Celia sambil mengcekak pinggang. “Azlan,” ujarnya pada sekuriti itu, “boleh bawa doktor ini keluar? Dia menghina pesakit saya ni.”

Tanpa bertanya lebih, sekuriti yang bernama Azlan pun membawa Ste yang tengah berang itu keluar daripada wad itu. Saya cuma mampu terkebil‐kebil sahaja, masih terasa sangat dengan kata‐kata sinis Ste itu. Tetapi, saya rasa lega dan selamat kerana saya tahu Zero ada di sisi saya.

“Kurang asam betul doktor itu! Kalau ikut hati mahu saja saya pergi tampar kasih hilang itu senyuman beruk itu!” Kata Zero dengan geram. Dia menunjukkan ibu jarinya kepada jururawat
Celia, tanda good job kerana berjaya menghalau Ste daripada kawasan ini.

“Doktor itu patut kena kasih gantung lesen tu, betul‐betul kurang ajar tu,” setuju Celia. Dia
memberikan saya senyuman yang lembut sebelum dia kembali ke kaunter jururawat.

Zero kembali merenung saya dengan riak wajah yang risau. “Kau okeykah, Annie?”

Saya menarik nafas panjang, lalu menghembusnya dengan kuat. “Kalau bukan sebab kau ada di sini, mungkin dah lama saya break down.”

Saya mengangguk lemah. Kata‐kata Ste itu betul‐betul menusuk jiwa saya. Kalau kejadian itu tidak berjaya menyakinkan saya yang Ste yang saya cintai itu betul‐betul tidak wujud, entahlah apa lagi yang saya perlukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan