Label

Selasa, 20 Disember 2016

NOVEL Kalau Aku Kaya Bab26

“Ya Allah! Betul ke abi? Siapa orang tu, abi?” Wardah terjerit di telefon bimbitnya sehingga hampir semua kepala teman‐teman sekerjanya berpaling ke arahnya. Tersedar akan hal itu, segera dia menutup mulut dan tertunduk‐tunduk menahan tawa gembira.

“Abi tak tahu sebab yang datang kelmarin tu wakilnya, Encik Burhan. Katanya, majikannya lebih
suka buat amal dalam diam saja. Tak mahu bising‐bising. Murni sungguh hati dia. Abi pun tak terkata dibuatnya. Syukur sungguh ke hadrat Illahi. Tapi itulah, dia minta pelan rumah yang nak dibina. Kita belum bincang secara detail lagi. Jadi abi rasa elok Wardah balik sekejap kalau dapat. Mungkin hari Khamis ni. Boleh tahlil sekali. Lepas tu, kita selesaikan pelan rumah tu,” cadang Abi Syuib pula. Saat itu sepasang anak mata Wardah ligat bergerak ke kiri dan ke kanan, tanda dia sedang berfikir. Bibirnya sudah tersenyum‐senyum penuh makna.

“InsyaaAllah, abi. Nanti Arda balik. Kereta pun mungkin siap hari ni, abi. Bos Arda bising, suruh
mekanik dia periksa keseluruhan kereta. Dia marah Arda beli kereta terpakai. Bimbang asyik rosak saja nanti. Kalau kereta dah siap, esok Arda balik dengan kak long dan Wani sekali. Nanti kita jumpa ya,” ujar Wardah menutup perbualan. Selepas menjawab salam abi, Wardah meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja kemudian meraup muka penuh rasa syukur dan terharu.

“Eh, kau kenapa? Ada orang masuk meminang?” Benn yang memandang sejak dari tadi tidak sabar untuk mengetahui apa yang menggembirakan Wardah sampai begitu sekali dia teruja.

“Fasal tanah untuk rumah anak yatim tu!” Jawab Wardah tanpa menyedari banyak anak mata yang sedang memandangnya.



“Rumah anak yatim?” Suara Chon yang kedengaran dekat di telinga membuatkan Wardah tersentak. Dia sudah berdiri di sebelahnya. Alamak!

“Err… tak ada apa‐apa, Chon. Ni fasal abi nak buat rumah anak yatim. Rumah tu dah makin sempit sekarang,” mahu tak mahu Wardah terpaksa membuka cerita. Bimbang Chon berkecil hati kalau dia terus menutup mulut. Namun dia harus berhati‐hati.

“Ye ke? Bagusnya. Ada orang sponsor ke, Wardah?”

“Itulah yang abi bagitau tadi. Ada hamba Allah yang datang nak selesaikan harga tanah yang abi baru bercadang nak beli. Lepas tu, dia tu nak taja kos nak buat rumah sekali. Itu yang terkejut sangat tu!”

“Itulah, kerja mulia. Allah dah bantu, kan? Berkat doa anak‐anak yatim kat rumah tu,” sahut Benn dengan wajah sama teruja.

“Kat mana nak buat rumah tu, Arda? Akak pun nak sumbanglah. Bekalan untuk hari Akhirat nanti. Eh, Arda tak nak iklankan dalam akhbar kita ke? Pembaca akhbar kita memang berkemampuan sangat nak membantu…”

“Hmm… abi tak macam tu, Chon. Dia tak suka meminta‐minta. Sejak dari dulu lagi, abi besarkan kami dengan hasil titik peluh dia dan umi. Tapi kalau ada orang yang datang sendiri untuk menyumbang, abi terima. Tapi bagi dia, meminta‐minta tak sekali. Abi tak mahu nanti timbul fitnah yang dia usahakan rumah anak yatim untuk meminta‐minta. Lagi pun, abi didik kami supaya berdikari dan bergantung sungguh‐sungguh dengan Allah. Umi pun macam tu wataknya. Itu yang Arda tak berani nak masukkan dalam akhbar atau nak minta‐minta sumbangan,” jelas Wardah dengan panjang lebar.

“Mulia sifat abi kau, Arda. Sekarang ni memang macam‐macam hal. Ada yang buka rumah anak yatim untuk hidup senang, mengambil kesempatan dengan sifat pemurah rakyat Malaysia. Mereka tu segelintir saja tapi habis rosak nama rumah anak yatim yang lain. Didikan tak meminta‐minta tu memang betul. Sebab hujungnya nanti, anak‐anak itu lebih berdikari dan tak bergantung pada nasib saja,” tambah Benn lagi.

“Berapa orang dah sekarang, Arda? Bertambah lagi ke?” Soal Raymond yang sejak tadi mendengar penuh minat dari petak kerjanya.

“Ada seorang lagi masuk bulan lepas. Sekarang ada dua puluh tiga orang semuanya tapi berbeza umurlah. Lima orang anak‐anak lelaki yang bersekolah menengah terpaksa tinggal di belakang kilang mee bersama abi sebab tak boleh nak duduk serumah. Jadi lapan belas orang masih tinggal di rumah yang sama.”

“Ramainya?” Seru si Raymond. Chon dan Benn tergeleng‐geleng kepala.

“Itu yang kami perlu sangat nak cari rumah lain.” Sudah lama Wardah tidak bercerita tentang Rumah Kesayanganku kerana kesibukan bekerja. Kini rumah itu menjadi bahan perbincangan akibat dia terjerit kegembiraan sebentar tadi. Serba salah pula Wardah dibuatnya.

Masing‐masing memberi sokongan malah menawarkan diri untuk membantu. Wardah jadi semakin terharu. Tidak lama kemudian, masing‐masing kembali menumpukan perhatian kepada kerja yang menanti. Hari Rabu adalah hari yang sibuk bagi tim grafik dan editorial kerana sebahagian daripada akhbar utama mesti siap dan bersedia untuk dicetak.

Selepas waktu makan, Wardah dipanggil ke bilik Encik Azam. Bergegas dia berlalu pergi sambil
sempat saling berbalas pandang dengan Benn. Kenapa? Keduanya mengangkat bahu hampir serentak. Sejak peristiwa kereta rosak hari Isnin lepas, Wardah memang mengelakkan Encik Azam. Entah kenapa dia jadi terlalu malu. Apa tidaknya, Encik Azam jadi penyelamat bila lelaki cina itu membawanya sampai ke Taman Tun Dr Ismail kerana dia belum bersarapan.

“Apa yang saya nak bincang ni agak peribadi, tak melibatkan soal kerja,” bicara awal Encik Azam sebaik saja Wardah melabuhkan punggung di kerusi mengocak hatinya. Fasal kereta lagikah?

“Macam mana perkembangan tanah yang nak dibeli untuk dibuat rumah anak yatim tu?” Soal Encik Azam, tenang seperti biasa. Wardah sudah beralih punggung. Encik Azam tahu dari mana? Cepatnya berita tersebar. Wajah Chon, Raymond dan Benn mengacah di ruang mata.

Siapa yang bertanggungjawab ni? Err… Encik Azamkah gerangan si hamba Allah yang pemurah itu?

“Err… macam mana Encik Azam tahu?” Wardah bertanya juga. Pelik dan mencemaskan kalau semua perkara pun sampai ke pengetahuan Encik Azam!

“Allah! Benda baik. Apa salahnya saya tahu. Siapa tahu celah‐celah mana saya boleh bantu, betul tak?” Wardah tersengih. Hmm… jawapan yang tak memuaskan hati.

“Jadi?”

“Hah?”

“Fasal tanah tu?”

“Ohh… err… Abi Syuib ada beritahu yang ada seorang Hamba Allah hantar wakil untuk memberi sumbangan sebanyak harga tanah yang dah dipersetujui. Alhamdulillah…” ucap Wardah seikhlas hati.

“Alhamdulillah…” Sambut Encik Azam sambil terangguk‐angguk.

“Jadi nak buat rumah pulalah ya?” Soal Encik Azam lagi. Eh! Macam tahu‐tahu saja Encik Azam…

“Err… ya. Hamba Allah tu nak taja kos untuk pembinaan rumah tu sekali. Kami pun tak sangka 
sampai macam tu sekali dia nak membantu. Syukur sangat‐sangat!” Luah Wardah terus‐terang.

“Eloklah tu. Saya doakan moga semuanya berjalan lancar.” Encik Azam terangguk‐angguk lagi.

Wardah mengelus jemari sendiri di riba. Hilang bicara.

“Macam mana dengan perancangan Wardah?”

“Err… maksud Encik Azam?” Wardah semakin terperanjat.

“Ye lah… saya pun risau juga. Kalau Wardah nak berhenti kerja dan sambung belajar ke atau macam mana sebab sekarang Wardah mampu…” Encik Azam seperti sedang membawa maksud sesuatu. Hati Wardah berkata‐kata.

“Hmm… saya belajar macam biasa, Encik Azam. Kalau tak ada aral melintang, sampai hujung tahun ni saya tamatkan pelajaran di peringkat diploma. Tentang sambung belajar selepas tu, saya tak pasti lagi…”

“Wardah tak minat nak melabur?”

“Melabur? Err… maksud Encik Azam?”

“Melabur… dengan amanah saham ke? Atau apa‐apa bentuk pelaburan. Kalau Wardah perlukan bantuan, insyaaAllah saya boleh bantu,” beritahu Encik Azam lagi. Dahi Wardah sudah berkerut seribu.

“Hmm… saya memang niat nak melabur, Encik Azam tapi… bukan dengan pelaburan yang macam tu.” Susah pula hendak diterangkan.

“Eh, pelaburan apa tu? Hati‐hati, Wardah. Sekarang ni banyak skim tipu. Lebih baik pilih yang
selamat.”

“Yang saya nak melabur ni memang yang selamat, Encik Azam. Selamat dan menyelamatkan sampai ke Akhirat nanti. Pelaburan yang kekal abadi,” Wardah tersengih panjang. Giliran dahi Encik Azam pula yang berkerut.

“Pelaburan yang macam mana tu?”

“Saya nak berniaga, Encik Azam. Nak buka perniagaan untuk nafkah sara hidup anak‐anak yatim.”

“Apa?” Encik Azam terlonjak di kerusi. Eh, dah kenapa dengan Encik Azam? Hati Wardah berdesis kehairanan.

“Jadi… jadi awak nak berhenti kerja? Macam tu?” Soal Encik Azam, kalut. Boleh kalut pula Encik
Azam ini ya!

“Eh, bukan! Saya ada orang‐orang yang nak jalankan perniagaan tu. Kan saya kata tadi, saya nak melabur saja,” Terang Wardah dengan suara yang paling tenang. Cuba menenangkan Encik Azam. Entah mengapalah aku berkongsi dengan Encik Azam pula… kan susah jadinya!

Bisik hati Wardah lagi.

“Awak jangan sebarangan melabur, Wardah. Nanti habis terkubur. Kena kaji betul‐betul jenis
perniagaan apa yang awak nak laburkan tu. Kena pastikan orangnya betul‐betul usahawan.”

Pesan Encik Azam bertalu‐talu.

“Sebenarnya begini, Encik Azam. Saya nak bantu umi dan abi besarkan perniagaan. Selama ni
memang kilang mee dan bakeri yang diusahakan abi dan umi itulah yang jadi punca pendapatan kami di Rumah Kesayanganku. Oleh kerana ahli rumah bertambah ramai, perniagaan tu harus diperluaskan lagi supaya dapat menampung keperluan seisi rumah. Lagi pun, adik‐adik yang dah besar boleh bantu abi dan umi, belajar sambil bekerja. Jadi saya bercadang nak menambah modal sebagai pelaburan saham Akhirat saya. Juga untuk menyambung sedekah dari Tan Sri, semoga mengalir pahala untuk dia juga yang menghadiahkan saya duit sebanyak itu. Encik Azam jangan risau. Abi dan umi dah lama dalam berniaga. Cara mereka sangat telus sebab tu mereka dapat bertahan dan berkembang. Jadi
pelaburan saya juga insyaaAllah akan selamat dan berkembang.” Hampir tak cukup nafas untuk Wardah perjelaskan dengan panjang lebar supaya Encik Azam tidak susah hati dengan cara dia menggunakan wang tersebut.

Terkelip‐kelip mata Encik Azam seakan tidak percaya. Nampaknya semua wang itu tetap akan
digunakan untuk anak‐anak yatim. Bagaimana dengan Wardah sendiri?

“Err… Wardah dah pergi shopping?” Tiba‐tiba soalan itu terpacul dari bibirnya. Giliran Wardah pula terkelip‐kelip matanya.

“Shopping? Nak beli apa, Encik Azam?”

Nak beli apa? Oh! Sukar sekali nak dengar soalan ini dari mana‐mana gadis di zaman ini? Selalunya perkataan ‘shopping’ sangat sinonim dengan diri mereka. Ternyata tidak dengan gadis ini.

“Err… baju ke, kasut, beg tangan, apa‐apa sajalah keperluan untuk Wardah…”

“Saya dah ada lebih dari cukup, Encik Azam!” Tukas Wardah, gelihati mendengar saranan Encik
Azam.

“Lagi pun, saya tak suka banyak sangat pakaian, kasut dan beg tangan tu semua, Encik Azam.
Apalagi kalau dibeli tapi tak dipakai. Encik Azam pun tahu kan, kalau kita ada lebih dari yang kita perlukan, nanti di Padang Mahsyar kita akan dihisab. Ditanya oleh malaikat, kenapa kita beli banyak baju lebih dari keperluan sedangkan ramai orang susah yang lebih memerlukan pakaian, kasut dan macam‐macam lagi. Apa saya nak jawab? Tak sanggup saya, Encik Azam. Biarlah saya ada secukupnya saja, tak berlebih‐lebih. Sedangkan ramai lagi yang tak berkemampuan nak beli pakaian dan keperluan. Pada merekalah kita patut salurkan. Betul tak, Encik Azam?” Sambung Wardah lagi sambil meminta pandangan Encik Azam pula.

Wajah Encik Azam seperti terkulat‐kulat mengangguk. Wardah senyum, puas hati. Entah apa-apalah
Encik Azam ini, tiba‐tiba ambil tahu hal peribadinya sampai sejauh itu.

“Hmmm… kalau tak ada apa‐apa lagi, saya minta diri dulu, Encik Azam. Ada kerja sikit yang saya nak siapkan sebelum balik,” Wardah serba salah bila melihat Encik Azam terus terdiam seperti termenung.

“Err… okey. Silakan. Terima kasih… sebab… err… berkongsi cerita dengan saya,” Encik Azam
kelihatan serba‐salah. Tergelak Wardah dengan telatah Encik Azam.

“Sama‐sama, Encik Azam. Terima kasih kerana mengambil berat. Saya hargai perhatian Encik
Azam,” luhur bicara Wardah lalu memberi salam dan menghayun langkah keluar dari bilik itu
meninggalkan Encik Azam dengan hati yang berbunga‐bunga dek kata‐katanya. 

“Memang awak selalu dalam perhatian saya, Wardah…” desis hati lelaki itu dengan senyuman yang mekar di bibir. Gadis berhati murni. Satu dalam seribu di zaman ini.

Dia mengeluh kerana gagal memujuk Wardah supaya keluar shopping. Shopping…

“Wardah! Bila nak ke Bandung?” Tiba‐tiba terpacul soalan itu dari bibirnya sehingga menghentikan langkah Wardah yang sudah membuka pintu.

“Bandung?” Wardah berpaling dan tertanya‐tanya.

“Tiket percuma yang awak menang tempohari!” Encik Azam mengingatkan Wardah yang memang bertuah kerana tidak teruja sedikit pun dengan tiket percutian. Kalau orang lain, tentu dah tak sabar‐sabar.

“Oh! Bandung! Ya… macam mana saya boleh lupa. Saya ada merancang dengan Benn tapi tak tahu bila…”

Tangan Encik Azam laju mencapai kalendar di mejanya.

“Awal bulan depan ada cuti pada hari Isnin. Eloklah awak dan Benn ke sana. Sempat balik berehat sebelum kerja. Eh, kata nak bawa saya?” Encik Azam memancing. Tergelak kuat si Wardah.

“Tak jadilah nak bawa Encik Azam. Takut gossip!”

****

“Dia fikir dia siapa, hah?” Sergahan Zakuan mengejutkan Azam yang baru selesai menyampaikan laporan tidak rasmi tentang Wardah. Terpelongo seketika dibuatnya. Dah apa kena dengan si Zakuan? Kenapa tiba‐tiba naik angin? Azam kehilangan bicara.

“Dia sedar ke apa yang dia nak buat tu? Eh, anak‐anak yatim tu bukan tanggungjawab dialah! Mereka ada penjaga, bukan?” Tempelak Zakuan lagi, sarat dengan rasa tidak puas hati.

“Eh, yang kau marah‐marah ni kenapa? Wardah tak fikir tentang diri dialah. Dia lebih memikirkan keperluan orang lain. Keperluan anak yatim. Dia rasa cukup dengan apa yang dia ada. Itulah pengorbanan namanya. Kenapa kau nak marah dengan gadis yang semulia itu hatinya? Aku tak fahamlah dengan engkau ni!” Azam lantang meningkah, melepaskan apa yang dia rasa. Sejak awal lagi dia keliru dengan tindakan Zakuan. Asyik ada saja yang tak kena dengan Wardah. Sedangkan dia kenal pun tidak dengan si gadis manis itu. Entah apalah silapnya Wardah menjadi mangsa permainan Zakuan kali ini.

Zakuan sudah tersandar. Gadis itu benar‐benar mengotakan kata‐katanya. Apa lagi yang kau mahu buktikan, Zakuan? Hatinya menyindir sinis.

“Aku… aku tak sangka dia akan pergi sejauh itu…” Butir bicara itu seakan‐akan keluhan melewati bibir jejaka yang semakin lewat usia itu. Kepalanya terdongak memandang syiling.

Wajah Wardah bermain di situ. Penampilan gadis itu yang sangat biasa‐biasa dengan beg lusuh yang kerap disandangnya dan kasut yang sama acap kali bertemu menyentuh hati kecilnya. Dia terlalu sederhana dan merendah diri. Untuk apa? Kenapa tidak mahu berubah bila dia mampu?

Dia nampak lembut dan naif tapi bila bersuara, degil orangnya. Zakuan tidak boleh lupa kejadian kereta rosak tempohari. Memang lurus, tegas dengan prinsipnya dan tak mudah hendak diatur. Nak suruh makan pun susah!

“Jadi, dia tak nak pergi shopping?” Akhirnya Zakuan bertanya juga. Seolah‐olah bertanya kepada siling putih itu. Azam tergelak sinis mendengarnya. Entah macam mana dia hendak menjelaskan apa yang dikatakan Wardah tengahari tadi.

“Dia takut dihisab di Padang Mahsyar nanti kalau dia ada banyak pakaian dan kelengkapan lain lebih dari sepatutnya. Sebab kau pun tahu, kita sepatutnya ada cukup setakat yang perlu. Ada orang lain yang tak ada tu semua. Jadi bila kita ada lebih, itu bermakna Tuhan memberi tanggungjawab kepada kita untuk memberi kepada yang lebih memerlukan. Berbalik kepada cara hidup Islam yang syumul.” Azam berterus‐terang. Lebih mudah.

Zakuan keras di kerusi. Aku ada satu bilik penuh dengan pakaian! Kereta saja empat buah. Rumah juga tiga buah. Hisab? Apa yang akan ditanya nanti? Apakah aku sanggup? Dia terkebil‐kebil memandang Azam yang terangguk‐angguk memandangnya kerana lelaki itu tahu apa yang dia fikirkan.

“Itulah Wardah, Kuan. Aku pun tak kenal dia sejauh itu. Jiwanya, pemikirannya, kehidupannya
sangat luar biasa walau pun dia cuma nampak biasa‐biasa saja.” Bagaikan mengerti maksud keluhan Zakuan, Azam juga merasakan yang sama malah dia yang sudah yakin bertambah yakin tentang siapa Wardah sebenarnya.

Zakuan tunduk. Ada debar luar biasa di hatinya namun dia simpan dalam‐dalam. Ada bahagian
hatinya yang terusik namun ditelan segala rasa. Sekarang bukan waktunya. Wajah Azam dipandang semula.

“Make her go shopping! She needs it, badly. Aku tak tahu macam mana tapi…”

“Aku rasa aku tahu!” Tukas Azam tiba‐tiba.

“How?”

“Bandung. Dia menang tiket ke Bandung.”

“Bagus tu. Kau arahkan dia segera ke Bandung. Bagi je alasan apa pun. Aku harap dia shopping di sana. Err… dia nak pergi dengan siapa?” Sempat Zakuan bertanya. Kening Azam bertemu.

Memandang dengan rasa aneh. Senyumnya senget. Zakuan mengangkat bahu, buat tak tahu.
Ingatannya masih pada gadis yang setakat ini begitu menganggu emosinya. Wajah Wardah yang suka berangan itu mengacah di ruang mata. Kata‐kata gadis itu di Taman Lembah Bayu satu waktu dulu menerjah ingatannya.

‘Kalau aku jumpa orang kaya yang sanggup bagi aku jalankan bisnes dia, aku nak ubah kepada cara perniagaan Rasulullah. Aku banyak belajar dari abi, kau tau tak. Abi tak ikut sistem kapitalis tu. Nanti kalau aku berjaya, lagi untung orang kaya tu. Tapi ada syaratnya. Keuntungan dia mesti dibelanjakan ke jalan Islam. Barulah Islam jadi syumul.’

Apa maksudnya menuturkan kata‐kata itu? Minda Zakuan ligat berputar mencari jawapan.

“Islam yang syumul? Apa yang kau faham tentang syumul?” Terpacul soalan itu dari bibir Zakuan mengejutkan Azam yang masih memikirkan Wardah. Apa pula kaitannya?

“Syumul? Dari perkataannya bermaksud keseluruhan. Kalau disebut Islam yang syumul, itu
membawa maksud agama yang menyeluruh, mencakupi semua bidang kehidupan. Dalam apa juga yang berlaku dalam hidup kita, samada makan minum, berkeluarga, memimpin, mendidik, bekerja, berniaga, berteknologi atau apa saja mesti dilakukan mengikut cara Islam. Kerana Islam itu selamat dan menyelamatkan. Jadi apa pun yang kita buat mengikut cara Islam akan selamat, menyelamatkan dan menguntungkan diri kita, masyarakat dan Islam itu sendiri. Itulah serba sikit yang dapat aku jelaskan tentang Islam yang syumul.” Azam menjawab juga dengan panjang lebar.

“Kalau kau nak kaitkan tentang perancangan Wardah, tindakannya itu memang ke arah kesyumulan Islam itu sendiri. Bila dia ada duit, dia laburkan untuk membantu orang lain supaya orang lain juga boleh bangkit dari kesusahan hidup dengan menjalankan perniagaan. Keuntungan dari duit yang dia miliki menguntungkan diri dia dan orang lain sekali gus masyarakat Islam sekeliling itu sendiri juga akan turut terbangun. Berbeza dengan kita yang akan melabur untuk keuntungan dan kepentingan diri dan keluarga sahaja. Membantu juga dari sudut memberi peluang pekerjaan kepada orang lain tetapi samada kita usahakan ke arah Islam yang syumul, itu bergantung kepada jenis dan hala tuju perniagaan kita. Apakah menjurus untuk kepentingan masyarakat dan agama atau seperti yang aku katakan tadi, untuk diri dan keluarga semata‐mata?” Kata‐kata Azam membuatkan Zakuan semakin terdiam dan jauh berfikir.

“Sekarang kau nak melabur juga?” Soal Azam selepas lama membiarkan Zakuan hanyut dengan pemikirannya. Zakuan menghela nafas. Gadis yang disangka gadis biasa itu rupanya luar biasa. Gadis yang disangka naif dan suka berangan itu rupanya lebih jauh ke hadapan dari dirinya. Tiba‐tiba Zakuan merasa rendah diri dan tercabar. Apakah dia benar‐benar tahu bagaimana hendak berniaga?

“Boleh ke dia berniaga?” Soalan itu terbit tanpa dia fikirkan. Azam terkelip‐kelip memandang.

Ternyata soalannya tadi tidak langsung singgah ke fikiran Zakuan.

“Aku tak pasti. Yang aku tahu dia dibesarkan dengan hasil perniagaan abi dan umi dia yang buka kilang mee dan bakeri. Jadi mungkin dia sudah biasa dengan dunia perusahaan kecil macam tu. Tapi ada sesuatu yang menarik tentang Wardah. Dia tahu banyak mengenai sejarah Rasulullah dan kaedah Rasulullah berniaga. Banyak idea yang dia tumpahkan dalam perbincangan kami baru‐baru ini. Dia tidak hanya berada dalam dunia seni grafik tapi minat dan pengetahuannya lebih mencapah dari itu. Aku tak pasti dari mana dia belajar. Mungkin hasil didikan abi dan uminya yang sangat melagangkan cara hidup Islam pada anak‐anak. Itu hasil dari pemerhatian dangkal aku masa aku ke sana dan daripada peribadi Wardah sendiri. Selebih tu, aku tak pasti.” Azam bersuara kagum dan bangga. Ah! Sememangnya apa pun tentang Wardah membanggakannya, tukas hati kecil Zakuan.

Dia tidak percaya tentang kemampuan gadis itu dalam berniaga. Gadis itu tidak kelihatan
seperti seseorang yang berpendidikan tinggi. Biasa‐biasa saja. Tentang sejarah Rasulullah SAW,
ramai yang arif mengenainya tetapi itu tidak mengubah apa‐apa keadaan. Tidak ramai pun
yang dapat bangkit sebagai usahawan yang berjaya. Mengapa?
Namun gadis biasa ini mampu menimbulkan begitu banyak persoalan. Malah dia menjadi
begitu berani bila memiliki sejumlah wang yang banyak. Bagaimana jika dia benar‐benar
mengahwini lelaki kaya? Apakah benar dia juga berani melibatkan diri dalam perniagaan yang
lebih serius? Kalau benar, dia bakal menjadi isteri yang menguntungkan...
Zakuan! Dia tersedak sendiri. Baru dia tersedar Azam sedang merenung ke arahnya. Terpisatpisat
dia membetulkan duduknya.
“Apa yang kau fikirkan? Kau nak ambil alih pelaburannya juga?’ Soal Azam sekali lagi.
Daripada aku cuma melabur, lebih baik aku ambil alih hak milik diri dia terus, getus hati
Zakuan. Dan sekali lagi dia hampir tersedak. Dah apa kena dengan aku?
Dahi Azam berkerut kerana hatinya berkocak bimbang. Kenapa Zakuan seperti terlalu
memikirkan Wardah? Apakah dia sudah...
“Aku rasa sebagai orang yang lebih berpengalaman, dia perlu dibantu. Melabur bukan perkara
yang mudah kalau kita tak mahu hilang wang pelaburan. Aku tak percaya gadis senaif itu tahu
selok‐belok berniaga. Dia mungkin hanya seorang yang berjiwa besar tapi belum tentu
seorang yang praktikal...”
“Dia perlu dibantu? Oleh siapa?” Soalan Azam hilang dalam bilik berhawa dingin itu. Zakuan
tidak mahu menjawab kerana dia perlu ada sebab yang lebih kukuh kalau ingin membantu
sejauh itu.
“Bercakap fasal dibantu, kau ingat tak gambar Wardah dengan gelandangan hari tu?
Nampaknya Wardah ada pembantu. Aku dah tanya Benn, lelaki itu abahnya. Bapa saudara
yang dipanggil abah. Baru balik dari UK. Seorang akauntan. Jadi, rasanya kita tak perlu risau
tentang pembabitan Wardah dalam berniaga kerana dia ada seorang akauntan yang …”
“Oh! Shut up!” Mulut Azam ternganga tanpa suara. Eh! Kenapa Zakuan tiba‐tiba marah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan