Label

Jumaat, 23 Disember 2016

NOVEL Kalau Aku Kaya Bab28

Wardah memerhati bandaraya Kuala Lumpur dari dalam LRT yang berlari menuju ke KL Sentral. Kak long dan Azwani yang menghantarnya ke stesen LRT Kelana Jaya awal pagi tadi. Dia sudah berjanji untuk bertemu dengan Benn di KL Sentral dan akan bertolak bersama‐sama ke KLIA menaiki ERL. Musafir mereka akan diiringi mahram bagi Benn, siapa lagi kalau bukan abah!

Perbincangan yang hangat di Rumah Kesayanganku kelmarin kembali berputar di kotak memorinya. Terpejam sepasang mata Wardah kerana sangat gembira dengan apa yang sedang berlaku dalam hidupnya. Impiannya bakal jadi nyata! Wajah‐wajah kesayangannya jelas terbayang di ruang mata. Abi, umi, kak long dan Azwani yang memang terkejut dengan perancangannya.

“Alhamdulillah abi, ini antara pelan yang sempat Arda lakarkan secara kasar. Oleh kerana ada hamba Allah nak beri sumbangan, Arda rasa kita ada peluang untuk tambah bangunan sebab setakat ni, duit yang ada pada Arda tu belum terusik. Kita rancang dulu. Tengok komen dia, ya abi?” Usul Wardah seraya membentangkan sekeping kertas bersaiz A4 di atas meja kopi di hadapan Abi Syuib semalam selepas semuanya selesai minum. Kak Long dan Azwani yang sudah melihat pelan rumah yang hendak dibina di tangan Wardah cemas menunggu respon abi. Mereka bersetuju dengan idea tak masuk akal Wardah yang beriya‐iya mahu membina dua buah bangunan lain di tanah itu untuk dijadikan kilang mee untuk abi, kilang pemprosesan makanan sejuk beku untuk Azwani, butik untuk Kak Long dan bakeri untuk umi beserta sebuah lagi bangunan kedai di bahagian hadapan lot tanah itu di tepi jalan untuk dijadikan kedai runcit. Bukan main besar cita‐cita Wardah. Apakah semua itu bakal menjejak bumi nyata?

“Wah, ini bukan pelan rumah lagi. Ini dah jadi kompleks! Yang kita janjikan cuma pelan rumah saja, Arda…” tukas abi yang jelas sangat terkejut dengan pelan yang dilukis cantik di atas kertas itu. Mereka bertiga saling berpandangan. Kertas pelan itu bertukar tangan daripada abi kepada umi.



“Abi, itulah taktiknya. Ini pelan rumah, pelan bangunan secara berasingan. Kita serahkan semua sekali kepada orang yang meminta pelan itu. Kita cuma merancang tapi perancangan Tuhan itu lebih baik. Kita dah ada budget untuk bangunan kilang. Tapi mana tahu kalau dia setuju untuk menolong kesemua sekali. Atau kalau bukan dia, mungkin orang lain. Yang penting kita usaha dan doa. Kalau dia setuju dengan kos pembinaan rumah saja pun, kita dah cukup bersyukur. Betul tak, abi?” Soal Wardah mengharapkan persetujuan abi seraya menunjukkan beberapa keping kertas A4 yang dicetak pelan bangunan‐bangunan itu secara berasingan.

“Lagi pun abi, kita tak perlu buat semuanya serentak. Kita buat berdikit‐dikit dulu. Yang penting sekali rumah dan kilang mee supaya abi dan adik‐adik lelaki lebih selesa di situ. Pak Man dan Makcik Masri pun mesti lebih selesa dapat duduk di rumah dengan adik‐adik daripada duduk di belakang kilang macam sekarang, kan abi?” Ujar Azwani pula. Kak Long seperti biasa, diam dan senyum. Penyeri suasana. Umi pula tergeleng‐geleng kepalanya melihat lakaran pelan‐pelan itu.

“Umi tak sangka Arda fikir sejauh ini. Umi ingatkan nak buat rumah saja. Umi ingat tanah yang luas tu, umi nak ajak adik‐adik kamu buat kebun saja untuk sara hidup,” usul umi pula.

“Sempatkah lagi awak nak berkebun? Sekarang pun sampai tak sempat nak tidur siapkan tempahan?” Tingkah abi pula buat semua orang tersenyum‐senyum bila melihat umi yang terkulat‐kulat buat muka pada abi.

“Umi, ini cuma cita‐cita Arda. Arda yakin dengan kemampuan Kak Long dan Wanie. Sekarang pun mereka makin sibuk sebab pelanggan bertambah. Itu baru berniaga kecil‐kecilan di rumah saja. Sebab tu, Arda rasa dah sampai masanya Kak Long dan Wanie juga umi berkembang dengan buka kedai dan ada pekerja sendiri. Perniagaan lebih kukuh. Tentang modal, kita sama‐sama akan usahakan. Kita sama‐sama doa ya. Mana duit yang terkumpul tu, kita satukan jadi modal. InsyaaAllah, Arda yakin Allah akan bantu. Arda selalu ingat pesan abi, sebaik‐baik modal adalah modal taqwa. Hasil usaha yang kita buat atas jalan taqwa dengan usahakan ibadah, sedekah dan berkasih sayang.” Wardah cuba sedaya upaya untuk menyakinkan umi tentang perancangannya.

Abi yang memandang mengangguk‐angguk kepala. Wardah memang seorang anak yang bercita‐cita tinggi sejak kecil lagi. Anak yang paling bersemangat bila diceritakan tentang kebangkitan Islam di tangan Rasulullah SAW dan para Sahabat. Keyakinannya sejak kecil tentang apa yang diajarkan kepadanya memang luar biasa. Dan sekarang, dia mempraktikkannya.

“Abi yakin, selagi kita mahu menegakkan syiar Islam, menyediakan perkhidmatan yang halal dan suci mengikut syariat Tuhan, Tuhan akan bantu kita dalam berniaga. Yang penting, seperti yang Arda katakan tadi. Kita usahakan taqwa selepas itu, bertawakkallah. Allah sebaik‐baik tempat pergantungan. Kita jangan ikut sistem kapitalis, guna jalan mudah buat pinjaman bank dan sebagainya sebagai modal untuk berniaga. Sedangkan Allah yang Maha Kaya. Kepada Allah kita rintihkan modal untuk berniaga. Tingkatkan lagi ibadah, sedekah dan berkasih sayang, insyaaAllah bak kata Arda, Allah pasti bantu…” Abi Syuib menambahkan lagi keyakinan mereka. Umi Siti mengangguk‐angguk. Akur dengan apa yang dikata.

“Umi dapat buat sedikit simpanan sejak akhir‐akhir ni. Umi rasa sikit lagi cukuplah untuk beli oven yang lebih besar. Kalau nak buat tempahan yang semakin banyak ni, dengan oven kecil tu tak terkejar dibuatnya.” Luah Umi pula. Wajah‐wajah di situ semakin cerah dan ceria.

“Abi, umi, minggu depan kita cari oven besar. Berapa yang tak cukup, Arda akan tambah. Lepas beli oven besar, kita tambah iklan kain rentang lagi!” Cadang Wardah dengan semangat meluap‐luap.

“Wah! Laju betullah budak ni!” Seru umi dengan nada cemas. Pecah ketawa mereka semua.

Wardah memang laju dalam berfikir dan bertindak.

“Ya Allah, sejak Arda tempahkan kain rentang iklankan produk kek cawan dan mee segar dari kilang tu, telefon umi dengan abi asyik berdering saja. Sampai tak menang tangan kami nak jawab telefon lagi, nak buat kerja lagi,” cerita umi lagi.

“Haaa… itu belum lagi Arda buat iklan terlajak laris di TV!” Sahut wardah membuatkan semua orang ketawa.

“Pandailah Arda, dia seronok buat iklan, umi dengan abi yang tak tidur malam!” Tukas umi pula dengan nada bergurau.

“Berniaga memang macam tu, umi. Kena berani. Kan banyak hasilnya. Allah pun datangkan bantuan, ada Kak Has pula sekarang. Percaturan Allah memang tepat, kan?” Tingkah Wardah sambil tersenyum meleret ke arah Hasnah, gelandangan bertuah yang baru saja diselamatkan dari dunia yang serba payah yang ikut bertimpuh duduk menyertai perbicangan mereka.

Kelihatan Hasnah tersenyum mengangguk‐angguk. Wardah tersentuh dengan sikapnya yang tak jemu mengucapkan terima kasih kerana memberikan peluang pekerjaan kepadanya, anaknya juga terbela dan dia dianugerahkan keluarga besar yang harmoni ini.

“Itulah umi dan abi tumpang berkat kamu semua dan adik‐adik. Kalau tak kerana pertolongan Allah, umi dan abi tak mampu nak buat semua ni,” suara umi tiba‐tiba berubah sayu.

“Bukan kami yang bawa berkat, umi. Tapi hati umi dan abi yang mulia yang memudahkan datangnya pertolongan Allah,” dalam lembut dan senyum manis, Kak Long bersuara penuh makna. Mereka terdiam menelan sebak dan terharu. Kasih sayang Allah tidak pernah berhenti mengalir di rumah yang berkat ini.

“Umi, abi, satu lagi, Arda nak mintak izin pergi bercuti dua hari ke Bandung. Bos Arda minta segerakan sebab lepas ni, Arda ada tugasan lagi. Arda nak pergi dengan Benn. Ayah saudara Benn ada sebagai mahram Benn sekaligus temankan kami. Cadangnya hujung minggu ni. Boleh tak?” Wardah cepat mengambil peluang itu untuk meminta kebenaran sebelum ada airmata yang tumpah dengan babak sedih itu. Dia juga bimbang kerana belum pernah keluar negara. Wajah abi dan umi ditatap silih berganti.

Abi Syuib tersenyum manis. Perlahan‐lahan dia mengangguk. Umi pula berkerut dahi memandang abi. Riak wajah umi sudah menampakkan tanda‐tanda risau.

“Pergilah, Arda. Dah sampai masanya Arda tengok bumi orang. Bermusafir itu sunnah. Berjalan
mencari keredhaan Allah. Asal dalam bersyariat, abi dan umi doakan Arda selamat pergi dan selamat kembali. Yang penting, jaga syariat dan jaga diri di tempat orang. Niat dalam hati, bermusafir kerana Allah dan banyak‐banyakkan berdoa. Doa orang bermusafir dekat dengan perhatian Allah. Moga‐moga makbul. Siapa tahu, Arda direzekikan dapat borong kain ela, pakaian, kasut, beg kulit dan macam‐macam lagi dari sana. Penuhlah butik kak long kita nanti. Ada macam‐macam yang istimewa di sana tu,” Abi Syuib merestui dengan pesanan‐pesanan penting yang melekat kuat di hati Wardah.

Wah… mendengarkan kain ela dan macam‐macam lagi itu, wajah‐wajah di hadapan abi berubah ceria. Terutama kak long. Bukan Wardah tak tahu, dah banyak lakaran‐lakaran rekabentuk pakaian yang sekian lama disimpan di laci kak long. Moga‐moga kali ini semua itu menjadi kenyataan.
Rupanya Abi pernah ke Bandung dan Jakarta. Banyak juga pengalaman yang abi kongsikan dengan mereka dan sebagai bekalan buat Wardah ke sana nanti. Tiba‐tiba Wardah jadi tidak sabar hendak ke Bandung!

Pengumuman yang bergema di dalam koc menyentak Wardah yang dibawa arus memori kelmarin. KL Sentral! Bingkas dia bangun mencapai beg bagasi beroda yang diletakkan di tepi dinding koc di sebelahnya. Setelah keluar dari stesen LRT, dia bergegas ke laluan ERL untuk mencari kelibat Benn dan abah.

“Assalamualaikum!”

“Opocot!” Wardah terlatah bila ditegur seseorang yang sudah berdiri terpacak di sebelahnya.

Harum tubuh jejaka itu membuatkan sepasang mata Wardah membulat.

“Adam!”

“Ha! Kan betul saya kata! Arda mesti suka kalau saya ikut sekali,” Jejaka segak itu membuka kacamata hitamnya seraya mengulum senyuman.

“Arda belum jawab salam saya…,” ujarnya mengingatkan. Terkelip‐kelip mata Wardah seperti masih tidak percaya. Salam lelaki itu dijawab juga tanpa suara.

“Arda!” Suara yang cukup dikenali menyentak Wardah sekali lagi. Laju dia berpusing.

“Benn!” Jerit Wardah sambil buat muka dan menunding jari ke belakang. Terbeliak mata gadis itu melihat siapa di belakang Wardah yang sudah siap dengan bagasi kecil di kakinya. Dia menelan liur sambil buat muka terpinga‐pinga. Laju dia melangkah mendapatkan Wardah.

“Hai Benn! Kau bawa siapa tu?” Adam sudah beralih kedudukan, berdiri di sebelah Wardah, mengadap Benn dan Amzar Mikail yang melangkah tenang mendapatkan mereka.

“Abah. Err… bapa saudara aku. Hmm… kenalkan, abah… ini Adam, kawan kami di tempat kerja.
Adam, Amzar Mikail,” Benn memperkenalkan mereka berselang seli dengan nada hambar.

Matanya tidak lepas dari memandang muka Wardah yang sudah seperti hendak menangis.

Punah!

“Macam mana dia tahu?” Bisik Wardah bila mukanya didekatkan dengan Benn. Mereka sengaja menjauhi Adam dan Amzar Mikail yang sedang bersalaman dan bertukar sapa.

“Entahlah… Encik Azam kot? Atau Chon? Tak ramai yang tahu kita ke Bandung tapi macam mana mamat ni tahu?” Benn bertanyakan soalan yang sama. Mereka memang rahsiakan kerana mahu mengelakkan Adam tetapi sayang, dia yang lebih awal muncul di situ.

“Tak seronoklah macam ni! Rasa nak balik saja…” luah Wardah, hampa. Rimas. Lemas.

“Eh, janganlah! Pedulikan dia! Macam kau tak biasa…” Pandai Benn memujuk. Tiba‐tiba muncul
seorang lagi lelaki berkaca mata yang kelihatan santai dengan gaya pengembara. Adam memperkenalkan dia sebagai sepupunya Anuar kepada Amzar Mikail dan juga dua kuntum bunga penyeri pagi mereka saat itu, Benn dan Wardah.

“Kalau semua dah bersedia, kita gerak sekarang,” usul Amzar Mikail yang paling tua di kalangan mereka sekali gus mengambil peranan mengetuai mereka.

Bagasi beroda Wardah dicapai Adam dan dia melangkah sambil mengenyitkan mata. Gelenyar!
Pandangan Wardah mencerun.

“Hei, fikir positif! Kau melancong siap ada pak supir, okey!” Pecah ketawa mereka berdua.

Amzar Mikail yang sempat mendengar celoteh anak saudaranya menggeleng‐gelengkan kepala dengan muka serius. Benn hanya menjeling ke arahnya. Poyo!

Sepanjang perjalanan di dalam tren, Adam cuba mengajak Wardah berbual. Tetapi Wardah pula mengajak Benn berpindah tempat duduk yang agak jauh dari mereka. Membiarkan saja beg bagasinya dijaga Adam. Lelaki itu mengeluh hampa. Umpan tak mengena.

Di KLIA2, mereka punya banyak masa selepas daftar masuk bagasi. Selepas bersarapan, mereka berjalan‐jalan di Kompleks Beli Belah Bersepadu yang luas dan meriah itu. Sekadar menjamu mata dan menghiburkan hati.

Tiba pada masa yang ditetapkan, mereka berangkat ke Bandung menaiki Malindo Air dan menikmati suasana di awan biru. Mujur Benn dan Wardah terpisah tempat duduk dengan Amzar Mikail serta dua orang jejaka penyibuk tadi. Mereka yang berada di belakang pesawat bebas beraksi dengan kamera masing‐masing dan berkenalan dengan pramugara dan pramugari yang ramah tamah sehingga perjalanan selama dua jam itu tidak terasa.

Lapangan Terbang Husein Sastranegara yang menyambut kedatangan mereka tersangat kecil
berbanding lapangan terbang di tanahair namun cukup memberi kemudahan kepada pelancong terutamanya untuk mendatangi Bandung, ibukota Jawa Barat yang menjadi syurga membeli‐belah di negara itu. Selesai pemeriksaan kastam, mereka keluar mendapatkan pak supir yang sudah ditempah oleh Benn dan abah.

Di situ, Adam dan Anuar kelihatan termanggu‐manggu. Amzar Mikail yang sudah mengagak yang mereka tidak buat persiapan lebih awal menawarkan tempat untuk mereka ikut dalam kenderaan MPV yang sudah sedia menunggu. Sekali lagi, Wardah dan Benn mengeluh hampa.

Lurus sungguh abah!

Selesai perbincangan dengan pak supir yang bernama Sigit yang baik hati dan ganteng lagi, mereka menaiki kenderaan sebelum lebih ramai penjual pelbagai barangan datang mendekat. Amzar Mikail sudah berpesan supaya tidak membeli apa‐apa yang di jual di situ kerana harganya agak mahal berbanding biasa.

Adam kelihatan sangat gembira dan berkali‐kali berterima kasih kepada Amzar Mikail kerana sudi mempelawa mereka melancong bersama.Wardah dan Benn sama‐sama kelu lidah hilang bicara.

“Panjang jodoh kita…,” sempat Adam berbisik bila berpeluang dekat dengan Wardah.

“Urghhh!” Tangis Wardah tapi cuma dalam hati. Waktu itu ada yang memerhati. Dan cemberut hati.

“Kita akan dibawa ke utara Bandung, ke Tangkuban Perahu di Cikole, Lembang ya. Untuk hari kita melancong dulu. Esok dan lusa baru kita shopping sebelum balik. Setuju tak?” Usul Amzar Mikail sambil memandang Wardah dan Adam silih berganti. Dia belum berkesempatan bercakap dengan Wardah tentang perancangan mereka di Bandung kerana gadis itu terlalu sibuk.

“Perfect!” Adam mengangkat ibu jari.

Wardah tersenyum manis, mengangguk. Ah! Terlebih gula… Amzar Mikail terpana seketika.

“Wardah letih?” Soal Amzar Mikail sepatah. Wardah geleng. Senyum lagi.

“Saya okey…,” lunak suaranya di pendengaran. Adam memandang mereka silih berganti. Ada risau bermukim di hati. Apakah dia bakal disaingi dalam merebut hati Wardah?

Sigit yang baru berusia dua puluh tiga tahun ramah berkenalan dengan mereka. Petah bicaranya menyampaikan maklumat tentang Gunung Tangkuban Perahu yang kali terakhir meletus pada tahun 2013. Berdebar juga dada mereka yang mendengar.

“Gak apa‐apa. Sekarang ia istirehat dengan aman,” gurau Sigit bila menyedari kebimbangan mereka mengembalikan senyuman yang hilang.

Cerita Sigit tentang asal‐usul terjadinya Gunung Tangkuban Perahu menjadi latar perjalanan mereka yang agak jauh itu. Kisah Dayang Sumbi, perempuan jelita yang hidup bahagia bersama anaknya Sangkuriang dan seekor anjing kesayangan, si Tumang yang sebenarnya adalah ayah kepada Sangkuriang. Suatu hari, Sangkuriang gagal memburu rusa tetapi tidak mahu mengecewakan ibunya lalu membunuh si Tumang dan membawa pulang dagingnya.

Setelah dimakan barulah Dayang Sumbi menyedari ketiadaan si Tumang dan akhirnya setelah didesak, Sangkuriang mengakui kesalahannya.

Dayang Sumbi meledak marah sehingga melemparkan batu ke kepala anaknya dan mengusir dia dari rumah mereka. Namun tindakannya dikesali dan dia berdoa agar dia kekal diusianya supaya dia dapat bertemu semula dengan anaknya. Sangkurian yang membawa diri membesar menjadi jejaka tampan, bertemu semula dengan Dayang Sumbi dan jatuh cinta. Namun parut di kepala Sangkuriang adalah tanda yang dia anaknya membuatkan Dayang Sumbi mencari jalan agar mereka tidak jadi menikah.

Dayang Sumbi meletakkan syarat jika Sangkuriang mahu mengahwininya, dia harus membuat danau dan perahu dalam masa semalaman untuk mereka bersama mengelilingi danau itu selepas berkahwin nanti. Menjelang Subuh, Sangkurian hampir selesai menyiapkan danau dan perahu membuatkan Dayang Sumbi resah lalu berdoa agar matahari cepat bersinar. Doanya dimakbulkan Tuhan, matahari terbit dan Sangkuriang belum sempat menyiapkan perahunya.

Kerana marah dan kecewa, Sangkuriang menendang perahu yang belum siap itu ke tengah danau hingga terbalik. Perahu itulah yang kemudiannya disebut sebagai Gunung Tangkuban Perahu.

“Itulah padahnya kalau tak berterus‐terang dari awal. Kalau berterus‐terang, tak jadilah gunung berapi ni. Jadi macam saya, berterus‐terang. Kan mudah? Betul tak, Arda?” Serius Adam bertanya. Namun berkerut dahinya bila melihat sepasang mata Wardah yang mencerun memandangnya.

Tersentuh dengan cerita itu, Wardah berkongsi cerita yang hampir sama tetapi berbeza dasarnya di mana di zaman Salafussoleh dahulu di mana para sahabat keluar berjuang dan berjihad di jalan Allah bertahun‐tahun lamanya. Pernah berlaku kisah seorang sahabat yang pulang selepas sekian lama berjuang terkejut melihat seorang teruna tinggal bersama isterinya. Kerana cemburu, teruna itu hampir dibunuhnya tetapi mujur si isteri sempat memberitahu bahawa itu adalah anak lelaki mereka yang mana dia mengandung sebaik saja suaminya keluar berjuang. Begitu sekali para sahabat mengorbankan diri dan keluarga demi berjuang untuk menyebarkan agama Allah ke serata dunia.

“Hebat wanita zaman dulu, sanggup ditinggalkan begitu lama demi Islam. Kalau zaman sekarang, cukup enam bulan pasti tuntut fasakh,” sempat Adam menempelak wanita zaman sekarang.

“Amboi, tengoklah dulu siapa suaminya! Kalau memang keluar untuk berdakwah, ramai je wanita sanggup tunggu. Tapi kalau dah keluar sebab nak pasang cawangan, membesarkan nafsu, memang layak difasakhkan saja,” tukas Benn pula, membela kaumnya. Adam mengulum senyum. Sedikit pun tidak terusik dengan sindiran Benn sebaliknya tenang menatap wajah Wardah yang duduk di belakang kenderaan itu.

“Betul tu. Tapi kalau Wardah, aku yakin sangat. Dia mesti sanggup tunggu. Kan, Arda?” Wardah telan liur. Angguk pun tidak. Geleng pun tidak. Hanya tarik senyum segarit.

“Kalau orang lain, dia mesti tunggu. Tapi kalau kau, berani potong kuku, dia cha alif but!”

Sempat Benn mengenakan Adam. Mengalah tidak sekali! Tersengih‐sengih Adam bila sepupunya, Anuar ketawa kuat. Amzar Mikail? Sepasang anak matanya berputar. Selepas dua puluh kilometer perjalanan dari bandar Bandung, mereka tiba ke Gunung Tangkupan Perahu yang berbentuk memanjang dan mirip seperti sebuah perahu terbalik. Ladang teh yang saujana mata memandang menghijau di lereng gunung itu menakjubkan. Damai menyejukkan.

Beberapa kawah terbentuk selepas terjadinya letusan gunung berapi di situ. Antara tiga kawah
yang terkenal adalah Kawah Ratu yang terbesar yang dapat dilihat dari dataran yang lebih
tinggi yang dibentengi pagar kayu. Permandangan yang luar biasa cantiknya hasil kejadian
asap putih yang mengepul dari kawah dan tanah sekitar kawah yang memutih dengan batu
kekuningan kerana mengandungi belerang. Lebih menarik bila ada pelancong yang menikmati
permandangan itu dengan berkuda di sekeliling kawah.
Benn dan Wardah mengambil kesempatan bergambar di pagar kayu dengan permandangan
yang sayup‐sayup memutih. Saat Wardah mahu mengambil gambar Benn bersama abahnya,
Amzar Mikail tiba‐tiba hilang gaya. Puas dipujuk Benn supaya dia beraksi. Namun senyum
tiba‐tiba muncul bila Benn mengajak Wardah bergambar bertiga. Tidak sampai seminit, Adam
dan Anuar muncul mahu bergambar bersama juga. Sigit dipanggil untuk mengambil gambar.
Mahu tidak mahu, Wardah menurut saja. Segannya bukan kepalang. Apa tidaknya, tiba‐tiba
dikelilingi cowok ganteng dari Malaysia!
Selepas membeli beberapa cenderahati, mereka merasai keenakan bandrek yang katanya
berbeza kerana di situ ditambah parutan kelapa atas saranan Sigit. Kemudian mereka
meneruskan perjalanan ke Kawah Upas pula yang terletak di sebelah Kawah Ratu yang tidak
begitu dikunjungi ramai pelancong kerana tanahnya yang berpasir menyukarkan pejalan kaki
ke sana. Mereka hanya melihat dari jauh dan terus menuju ke Kawah Domas yang berada di
dataran yang lebih rendah.
Perjalanan melewati hutan dan adakalanya denai yang curam ke Kawah Domas tidak terasa
meletihkan bila mereka menikmati keindahan alam yang tidak tercemar. Namun hamparan bongkah batu yang mengelilingi kawah itu perlu dilalui dengan hati‐hati. Tiga jejaka asyik
menoleh sepanjang perjalanan kerana Wardah bertegas untuk berjalan di belakang mereka
walaupun laluan agak sukar. Aroma asap belerang menyambut kedatangan mereka yang teruja
untuk merasai sendiri air panas yang bertakung di Kawah Domas. Kelihatan beberapa
pelancong merebus telur sebagai membuktikan panasnya air di kawah itu. Setelah puas
bergambar dan bermain dengan air panas, mereka beredar pulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan