Label

Selasa, 20 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab19

MUSRYIF terus memeluk pinggang ibunya kuat‐kuat. Titisan jernih air mata lelakinya terasa hangat dan turun membasahi pipi. Dia enggan meleraikan pelukan meskipun tubuhnya cuba ditarik.

“Kenapa dengan Musyrif ni? Dah buang tabiat?” soal ibunya, Sarah. Dia mengelus rambut Musyrif. Belakang anaknya diusap‐usap, cuba mengalirkan ketenangan pada tubuh anaknya.

“Betul ke ni ibu? Musyrif tak bermimpi?” soal Musyrif. “Musyrif dulu tengok dengan mata kepala sendiri. Ibu dan ayah dah tak ada.”

“Ibu dan ayah tak pergi mana‐mana. Musyrif mimpi buruk agaknya. Selepas latihan taekwondo, Musyrif terus tertidur. Penat sangat. Sebab tu ibu biarkan dulu Musyrif berehat. Ni ibu masuk bilik nak kejutkan Musyrif untuk solat,” beritahu Sarah. Dia mengelus kedua‐dua belah bahu Musyrif. Wajah anak lelakinya dipandang penuh kasih.

Musyrif masih terpinga‐pinga. Tidak menyangka dia dapat menatap wajah manis itu. Wajah ibu yang melahirkan dan menjaga dia sedari kecil. Tidak pernah memberi resah melainkan bahagia dalam hidupnya. Musyrif amat bersyukur. Tangan ibunya diraih lalu dikucup berkali-kali.

“Dah... dah. Hero ibu ni kena kuat. Musyrif solat dulu. Lepas tu turun bawah. Mak masak istimewa malam ni. Kita makan malam sama‐sama, ya?” tutur Sarah. Dia kemudian bangun dari katil lalu keluar dari bilik.



Musyrif kini bersendirian di dalam kamarnya. Jam dinding yang tergantung dipandang. Sudah pukul 7 malam. Musyrif membersihkan diri dalam bilik air sebelum solat.

Air pancur yang menuruni tubuhnya terasa begitu segar. Pori‐pori pada kulitnya timbul kerana kedinginan. Sepertinya sudah agak lama dia tidak menikmati mandi yang selesa. Musyrif kemudian mengambil wudhuk. Terdengar sahaja azan Maghrib di surau taman perumahannya, dia mengangkat takbir lalu memulakan solat.

Selesai menyarungkan pakaian malam, Musyrif menuruni anak tangga. Dia terbau hidangan ibunya yang cukup enak. Kecur air liur membayangkan kuah lemak cili api ikan kembung kesukaannya semenjak dia kecil. Musyrif tersenyum melihat ayah dan ibu yang sudah duduk menunggu di meja makan.

Musyrif mengambil tempat duduk di hadapan Rafiqin. Meskipun lapar, namun perasaan rindu pada mereka berdua masih belum terubat. Ibu dan ayahnya yang duduk bersebelahan dipandang silih berganti.

“Kenapa ni, Musyrif? Asyik pandang ayah saja. Tak nak makan?” usik Rafiqin. Dia membantu
mencedokkan kuah lemak cili api dan ikan kembung lalu diletakkan dalam pinggan Musyrif.

Dia melihat Musyrif memenuhkan pinggannya dengan setiap jenis hidangan yang tersedia.

“Entahlah anak abang ni. Penat sangat berlatih taekwondo agaknya. Bangun tidur tadi terus dia peluk Sarah. Buang tebiat.” Sarah pula tergelak‐gelak.

“Malam ni, Musyrif tidur awal. Berehat dulu. Esok kan ada perlawanan taekwondo. Peringkat
daerah, kan?” Rafiqin bertanya.

“Esok?” Musyrif terpinga‐pinga.

“Esoklah. Jangan buat‐buat lupa pula. Cikgu pengiring dah telefon ibu. Pesan suruh Musyrif bawa borang pemeriksaan kesihatan untuk pendaftaran nanti. Jangan lupa pula,” beritahu Sarah. Walaupun anaknya itu sudah di tahun akhir persekolahan menengah, dia tetap selalu mengingatkan Musyrif. Terutamanya pada benda‐benda penting sebegini.

Musyrif mengangguk‐angguk. Selesai makan, dia membantu ibunya mengemaskan meja makan seperti biasa. Kemudian, dia naik ke biliknya untuk mengerjakan solat Isyak.

Selesai solat, Musyrif berbaring di atas katil bujang. Bumbung bilik ditenung lama. Seakan-akan
mencari sesuatu yang tertinggal dari masa silam. Telinganya masih terngiang akan kata-kata ibu dan ayahnya.

Kata mereka, pertandingan taekwondo akan dilangsungkan ada esok hari. Entah kenapa, dia rasa segala peristiwa yang berlaku pada malam ini sudah terjadi. Umpama dejavu.

Kemudian, bayangan Cempaka di hutan sebelum ini muncul di fikiran. Cempaka yang memberinya pilihan. Cempaka yang nampak manis menggayakan baju kurung kuning. Musyrif mentafsirkan pilihan itu sebagai satu‐satunya jalan penyelesaian. Kata Cempaka, semua yang berlaku padanya semasa malam rumahnya dipecah masuk kemungkinan tidak nyata. Ini bermakna, rakan‐rakannya juga tidak pernah muncul dalam hidupnya.

Dan dia juga tidak pernah terlibat dalam memerangi kejahatan.

Musyrif bertekad untuk melepaskan diri dari jerat khayalan. Jerat yang membawa dirinya jauh dari kehidupan asal di sini. Di tempat aman ini. Meskipun fikirannya berat meyakini bahawa semuanya adalah mimpi, namun segala rasa yang pernah hadir semenjak pembunuhan itu terasa berbekas.

Rasa hampa kerana gagal menyelamatkan keluarganya. Rasa cinta yang mula menumbuh kepada Lysandra. Rasa sayang yang begitu tinggi kepada Lewis dan Hervey. Semua rasa itu berkumpul pada benaknya sehingga dia rimas. Semua kebenaran dan ilusi sudah bercampur aduk. Dia keliru.

Musyrif menghela nafas dalam‐dalam. Mengeluarkannya perlahan dari bukaan mulut. Matanya
dipejam rapat. Dia melayani kantuk yang membawanya melayari alam mimpi.

MUSYRIF terasa janggal. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki di sekolah. Rakan‐rakan yang
berlegar di koridor sekolah diperhatikan. Dia dan beberapa orang pelajar lain yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan taekwondo dikumpulkan di gim sekolah. Mereka diangkut dengan van sekolah lalu berangkat ke SME Bandar Sentosa.

Pertandingan berlalu dengan begitu pantas. Sepanjang hari, Musyrif berasa tidak sedap hati. Setiap peristiwa berlaku begitu lancar. Sama seperti semasa kemalangan di rumahnya. Apa yang dia minum dan makan, di mana dia duduk berehat dan segala pergerakan orang lain di sekelilingnya memang serupa. Seolah‐olah dia sedang menonton sebuah rakaman peristiwa.

“Kepala, Musyrif! Tendang kepala dia!”

Sorakan rakan‐rakan mengejutkan lamunannya. Dia sekarang sedang bertanding secara sparring iaitu kalah mati. Perlawanan di peringkat akhir untuk menentukan siapa juara. Baru sahaja dia mahu kembali fokus, Musyrif telah disepak di perut. Walaupun body protector disarungkan pada dada, impaknya tetap terasa. Dia memegang perutnya sambil menunduk menahan senak.

Akibat terleka, kepalanya pula dijadikan sasaran. Dia ditendang mengenai pelindung kepala. Kepala merupakan bahagian yang apabila diserang memberi markah yang paling tinggi. Pengadil akhirnya memberi isyarat menandakan perlawanan tamat. Musyrif berjalan keluar dari gelanggang. Mengambil tempat di atas bangku panjang tempat kumpulan taekwondo sekolahnya berkumpul.

“Kamu buat apa tadi, Musyrif? Abang nampak kamu tak fokus di tengah gelanggang tadi. Cuba tengok, tadi dia dah nampak kelemahan kamu,” tegur Abang Latiff, pelatih taekwondonya.

“Saya minta maaf, abang. Memang salah saya tadi,” Musyrif mengaku. Dia mengambil tegukan dari botol air. Menghilangkan haus. Sambil kepalanya masih menerawang memikirkan benda lain yang mengganggu mindanya sedari tadi.

“Kalau kamu tak sihat, cikgu panggilkan tim Bulan Sabit Merah?”

“Tak payah, cikgu. Saya nak rehat dulu.”

Pengumuman keputusan perlawanan taekwondo dilakukan di dewan besar SME Bandar Sentosa. Musyrif dinobatkan mendapat tempat kedua kurang beberapa mata dari juara. Mereka kemudian dihantar pulang ke SME Impian Gemilang.

Selesai menyalin pakaian, Musyrif mahu mengambil beg galas yang disimpan di dalam lokernya. Ketika dia menguak pintu loker, dia terlihat gambar Emelda yang dilekatkan pada dinding loker besi. Gambar itu ditenung lama. Namun bukan wajah Emelda, gadis berbibir tipis yang dilihat. Tetapi, wajah cerah Lysandra pula yang sedang tersenyum padanya.

Musyrif menggelengkan kepala. Membuang bayangan yang menempel di minda. Gambar bersaiz kecil itu ditarik sehingga tertanggal lalu dikeronyokkan. Sebaik sahaja dia menutup pintu loker, wajah Danny tiba‐tiba terpacul di hadapannya.

“Danny!”

Berniat mahu mengejutkan orang, kini Danny pula yang terkejut. Tubuhnya dipeluk oleh Musyrif. Danny mengeras seketika sebelum menarik bahu Musyrif.

“Ish, kau ni kenapa? Tak pernah‐pernah nak sentimental. Lepaslah weh, dahlah busuk! Kalau orang lain tengok, jatuh saham aku, aku salahkan kau!” ugut Danny sambil mencerlungkan mata memandangnya.

“Aku dah lama tak jumpa kaulah!”

“Eiii, tak payah nak mengada. Macam perempuan! Baru sahaja tak nampak sehari takkan dah rindu?” Danny menjuihkan bibir sambil melontarkan pandangan ke arah lain. Dia buat muka meluat.

“Dah...dah. Jom balik. Penat tau aku tunggu kau sorang‐sorang kat kelas aku.”

“Kau tunggu aku balik dari taekwondo?”

“Kan aku dah cakap, aku nak tunggu kau balik dari perlawanan taekwondo. Kita pulang sama-sama
macam biasa. Apa‐apa pun, macam mana tadi? Menang?”

Musyrif terkedu. Dia masih ingat. Kata‐kata itulah yang dikeluarkan oleh Danny pada hari itu. Hari yang sudah merenggut dua kesayangannya.

“Eh, aku tanya ni. Menang ke? Pingatnya mana?” tanya Danny bertubi‐tubi.

“Nombor dua. Pingat aku simpan dalam beg,” balas Musyrif.

Mereka masuk ke dalam kawasan perumahan. Seorang pengawal keselamatan melambaikan tangan kepada Musyrif. Sebaris senyuman dihadiahkan, memaniskan roman wajahnya. Musyrif pula teragak‐agak membalas lambaian dan senyumannya. Segala topik perbualan mereka sepanjang perjalanan adalah sama seperti sebelum ini. Danny dibiarkan bercakap seorang diri sementara dia kekal membisu.

‘Ya Allah, adakah Kau bawa aku ke masa silam untuk aku halang semua yang tidak patut terjadi?’ desis hatinya. Dia mula sedar. Mungkin dia terpaksa melalui semua peristiwa pahit itu sekali lagi. Kali ini, dia harus berusaha untuk menyelamatkan kedua‐dua orang tuanya. Dia tidak boleh kalah.

“Kau ni kenapa? Diam sahaja. Aku dah macam cakap dengan tunggul kayu,” leternya. Danny menarik muka masam.

“Tak ada apa, Danny. Maaflah, aku pening kepala sikit hari ni.”

Leteran Danny kedengaran semakin perlahan.

Musyrif tika itu merasakan dirinya diperhatikan dari selekoh di sebelahnya. Dia pantas menoleh. Memandang ke arah selekoh yang terlihat kosong. Dia mengetap bibir, risau. Dia membayangkan Vasilias dan Damian yang sedang mengintip pergerakannya. Menanti untuk datang meragut nyawa keluarganya apabila rembulan menjengah nanti.

“Aku balik dulu. Hati aku rasa tak sedap. Nanti kita jumpa lagi, okey?” Musyrif terus memintas
percakapan. Lantas dia terus berlari meninggalkan Danny terpinga‐pinga.

Pintu rumah ditolak lalu dibuka. Tombol pintu ditekan agar terkunci dari dalam. Musyrif bergegas masuk mencari ibu dan ayahnya. Hari sudah jam 5 petang. Sepatutnya ibu dan ayahnya sudah pulang dari sekolah.

“Ibu... ayah!” panggil Musyrif. Dia memanggil mereka berkali‐kali. Sambil itu, kakinya bergerak
mencari mereka di dalam rumah itu.

“Kenapa ni, Musyrif? Tercungap‐cungap ni. Ada apa?” Wajah ibunya terpacul dari dapur.

Ibunya dilihat memakai apron. Mungkin sedang menyiapkan makan malam untuk mereka sekeluarga.

“Ayah mana?”

“Ayah balik lambat sikit. Ada mesyuarat guru. Sekejap lagi dia baliklah. Ni kenapa tergesa-gesa?”
tanya Sarah. Sarung tangan dapur ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja.

“Kunci semua pintu dan tingkap rumah, ibu. Ada orang nak pecah masuk rumah kita. Dia nak bunuh ayah. Nanti ibu pun akan terbunuh. Kita dalam bahaya, ibu. Tolonglah dengar cakap Musyrif ni.” Suara Musyrif begitu mendesak.

“Musyrif... benda ni jangan buat main.” Sarah bingung. Dia menjenguk ke luar tingkap.

Mencari‐cari sekiranya ada seseorang yang sedang memerhatikan rumah mereka. Namun, keadaan di luar tetap tenang.

“Demi Allah, ibu. Kali ni, tolonglah percaya. Lebih baik kita telefon polis. Suruh polis berkawal dekat rumah kita malam ni,” ujar Musyrif.

“Ibu tak pastilah. Kita tak boleh bertindak melulu.” Sarah berubah menjadi risau. Dia menutup semua pintu dan tingkap rumah. Kemudian, telefon bimbit yang terletak di tepi televisyen di ruang tamu segera dicapai. Sarah mendail nombor suaminya.

“Abang, balik awal sikit hari ni?”

Musyrif melihat ibunya bercakap di telefon, sesekali mengangguk.

“Macam mana?” Selesai menamatkan perbualan itu, Musyrif terus bertanya.

“Ayah cakap, balik nanti dia kena bincang dengan Musyrif dulu,” beritahu Sarah.

Musyrif mengeluh. Dia meminta untuk naik ke kamar. Sepanjang petang, dia tidak boleh duduk diam. Gelisah memikirkan kemungkinan yang akan berlaku malam ini.

Musyrif sedang duduk termenung di tepi tingkap. Menunggu sebarang perubahan di luar. Dia terlihat kereta ayahnya, Rafiqin yang baru memasuki garaj. Musyrif segera keluar dari bilik dan menuruni anak tangga. Bersalaman dengan ayah sebelum menunggu ayahnya duduk di atas sofa.

“Kenapa ni, Musyrif? Tiba‐tiba nak panggil polis berkawal. Kita mana boleh suka‐suka hati nak
buat begitu. Kalau nak buat aduan tentang gangguan pun, ada prosedurnya. Kita bukan saudara menteri,” ucap Rafiqin sambil melonggarkan tali lehernya. Beg kerja diletakkan di sebelah.

“Musyrif minta maaf, ayah. Musyrif dapat bayangan yang... rumah kita kena pecah masuk. Malam ni. Orang itu cari ayah. Nanti, ibu dan ayah akan terbunuh. Kita kena buat sesuatu, ayah. Kena halang mereka!”

“Sabar dulu. Apa Musyrif mengarut ni? Ibu dan ayah tak ada apa‐apalah. Ini mesti terbawa-bawa
dengan mimpi. Lagipun, Musyrif nampak penat. Baru habis taekwondo, kan?” Rafiqin masih bertegas. Baginya, dia tidak boleh terlalu ikutkan kehendak Musyrif. Tidak boleh sewenang‐wenangnya memanggil pihak berkuasa atas urusan tidak mustahak.

“Kita kena keluar dari rumah ni sebelum malam, ayah. Ataupun... kita ke Hutan Lindung Bulan. Di sana, ibu dan ayah akan selamat!”

“Musyrif!” Rafiqin meninggikan suara. Dia memandang Musyrif yang tertunduk. Kepalanya menggeleng‐geleng.

“Ayah letih ni. Baru balik dari mesyuarat. Kepala pun masih serabut lagi. Dah, pergi naik bilik. Berehat cukup‐cukup. Jangan layankan semua fikiran bukan‐bukan,” sambung Rafiqin. Dia bangun dari sofa lalu meninggalkan Musyrif sendirian.

MALAM kini tiba. Dia berbolak‐balik dari katil, ke depan dan belakang biliknya. Otaknya ligat
berfikir tentang cara untuk meyakinkan kedua‐dua orang tuanya agar keluar dari rumah ini. Daripada respons ayahnya siang tadi, nampaknya ayahnya langsung tidak mempercayainya. Dirinya dianggap sedang berhalusinasi.

Dia tetap yakin bahawa kehadiran Cempaka tempoh hari adalah bersebab. Dia dikembalikan ke masa silam. Apa lagi kalau bukan untuk menghalang pembunuhan dari berlaku?

Musyrif bertekad untuk memaksa mereka meninggalkan rumah ini. Apabila tangannya bersedia untuk memulas tombol pintu, pintu biliknya ditolak dari luar. Pintu terkuak menampakkan ibu dan ayahnya lalu mereka masuk ke dalam. Musyrif menarik nafas lega. Belum sempat dia membuka mulut, ayahnya bersuara.

“Musyrif, ibu dan ayah dah tak ada kat dunia ni,” ujar Rafiqin sambil memegang kedua‐dua belah lengan Musyrif. Wajah mereka tampak begitu tenang.

“Apa maksud ayah? Cepat, ayah. Sebelum Vasilias dan Damian datang. Musyrif masih boleh
selamatkan ayah dan ibu!” Musyrif cuba meronta‐ronta dari pegangan kemas Rafiqin. Namun tangan ayahnya masih kejap.

“Musyrif sayang... tengok mata ibu,” Sarah pula mendapatkannya. Dia mengelus pipi Musyrif
sambil merenung ke dalam anak mata hitam. Menyelusuri sampai ke dasarnya. “Kita tak boleh
ubah takdir Allah,” sambung Sarah lagi.
“Musyrif... Cuma ingat pesanan ayah. Ayah percaya kepada Musyrif dari dulu sampai bila‐bila.
Anak ayah yang sekarang sudah lain. Jauh lebih kuat. Kekuatan itu cuma tersembunyi dalam
diri. Kena terus yakin dan percaya!” ucap Rafiqin. Dia menoleh, memandang ke arah Sarah
sambil tersenyum.
“Ibu dan ayah sayangkan Musyrif...”
Satu bunyi dentuman kedengaran dari tingkat bawah. Jantung Musyrif berdegup kencang.
Musyrif jadi cemas. Dia memandang wajah ayah dan ibunya. Tidak sanggup dia kehilangan
mereka lagi untuk kali kedua.
Mereka perlahan‐lahan keluar dari kamar. Musyrif menginjak anak tangga dengan lembut.
Tidak mahu menghasilkan sebarang bunyi. Dia mengintai dari balik dinding. Melihat ke arah
ruang tamu yang kelihatan bersepah. Musyrif terkedu. Sukar mempercayai apa yang
terbentang di hadapan mata.
Pintu rumah ternganga luas. Vasilias dan Damian berdiri di tengah rumah. Vasilias sedang
mencekik kerongkong Rafiqin. Manakala Damian pula duduk mencengkam betis Sarah yang
sedang menjerit ketakutan. Rafiqin dan Sarah dilihat terhapus menjadi debu kuning.
Berserakan di udara sebelum menghilang.
Musyrif melihat dirinya yang sedang berlindung di sebalik meja. Vasilias mahu membunuhnya
sebelum Damian menyelamatkannya. Kemudian mereka terus lesap. Kepalanya sempat
menoleh ke arah ibu dan ayahnya di tangga. Dia menyaksikan bayangan mereka yang sedang
tersenyum perlahan‐lahan memudar sebelum menghilang.
Tidak lama kemudian, suasana di sekelilingnya diselubungi kegelapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan