Label

Khamis, 22 Disember 2016

NOVEL Takdirku Hanyalah Untukmu Bab16

Tiga bulan berlalu bagaikan mimpi buat Irina. Peperiksaan SPM baru sahaja selesai dihadapi. Irina melangkah keluar daripada dewan peperiksaan dengan hati yang lega. Bersyukur kerana kertas terakhir yang didudukinya dijawabnya dengan baik. Irina memerhati sekeliling, mencari – cari kelibat Laila. Suasana yang agak riuh dengan suara pelajar – pelajar yang bersorak gembira kerana sudah tamat peperiksaan diikuti dengan keadaan yang agak sesak itu menyukarkan pencarian Irina yang tenggelam dalam lautan calon – calon yang menduduki peperiksaan SPM.

Secara tiba – tiba bahunya ditepuk seseorang. Lantas Irina berpaling. Aizat tersenyum memandang Irina yang kini berhadapan dengannya.

“Hai…” Aizat cuba menyapa Irina.

“Hai…”

Irina membalas ringkas. Matanya masih melilau mencari Laila. Sudah berjanji dengan rakannya itu mahu ke bandar meraikan berakhirnya peperiksaan SPM hari ini. Itupun setelah berkali –kali Laila memujuk. Ikutkan hati, Irina mahu terus pulang sahaja ke rumah. Memikirkan dia sudah menabur janji, terpaksalah dia menunaikannya.

“Cari siapa? Laila?” Aizat meneka kerana dari tadi dia melihat Irina resah seperti mencari seseorang.

“Aah. Aizat ada nampak Laila tak?”

“Owh… ada. Tu… kat hujung sana. Dengan Harris.” Aizat menunjuk ke arah Laila dan Harris berada. Barulah Irina ternampak Laila yang sedang melepak bersama Harris di pondok rehat.

Panas juga hatinya melihat Laila yang selamba sahaja tidak berusaha mencarinya. Dia pula yang terhegeh – hegeh mencari Laila di merata tempat.



“Laila yang suruh Aizat cari Irina. Dia cakap ada hal nak cakap dengan Harris.” seperti mengetahui apa yang bermain di fikiran Irina, Aizat cuba menerangkan keadaan sebenar. Irina dan Aizat beriringan ke pondok rehat di mana Laila dan Harris berada. Laila yang melihat Irina bersama – sama Aizat tersenyum, seperti merancang agenda tersendiri.

“Laila. Jom! Aku tak nak balik lewat. Bukan senang nak dapat bas kalau dah petang – petang nanti. Tak nak aku bersesak – sesak dengan orang kilang balik kerja.”

“Relax la Irina. Eh, korang berdua join kami eh? Boring la jalan – jalan berdua je.” Secara tidak langsung, Laila mengheret sekali Aizat dan Harris untuk sama – sama ke bandar. Bulat mata Irina mendengar ajakan Laila itu. Geram kerana tidak meminta pendapat dan izinnya terlebih dahulu.

Harris menjongket bahu. Padanya dia tidak kisah, kerana dia dapat menjangka agenda yang dirancang oleh Laila dalam diam – diam. Lagipun Laila telah memesan kepadanya awal – awal supaya mengajak Aizat bersama – sama menemaninya ke bandar hari ini.

“Okey.” Ringkas jawapan Aizat.

Laila bersorak kegirangan. Separuh daripada rancangannya sudah menjadi. Selebihnya terserah setelah berada di bandar. Irina tidak dapat membangkang walaupun dia tidak setuju dengan pelawaan Laila. Mahu atau tidak dia terpaksa menurut.

Bagi Laila, peluang seperti inilah yang ditunggu – tunggu. Bukan senang mahu mengajak Irina keluar secara suka – suka tanpa tujuan yang kukuh. Paling tidak pun, Irina akan mengikutnya ke bandar jika mahu mencari buku rujukan. Itu pun dengan bersyarat dia tidak mahu melencong ke tempat lain. Walaupun sikap Irina yang dirasakan agak kolot dan bukan jenis sosial itu bertentangan dengan sikapnya yang suka berseronok, hanya dengan Irinalah tiket untuk dia mendapat keizinan keluar ke bandar daripada orang tuanya.

Setibanya di bandar, mereka memilih restoran KFC sebagai tempat untuk meraikan tamatnya peperiksaan SPM yang baru mereka habis duduki. Aizat yang duduk bertentangan dengan Irina sempat mengerling ke arah Irina yang sedang khusyuk menjamah makanannya. Hatinya girang kerana inilah kali pertama dia duduk berlama – lama dengan Irina walaupun ditemani oleh Laila dan Harris. Aizat sudah berkira – kira untuk cuba mengenali Irina dengan lebih dekat.

Pada penglihatannya, Irina tidak seperti gadis remaja yang lain. Suka berfoya – foya dan bergosip dengan rakan – rakan yang lain. Dia melihat Irina seorang yang tegas walaupun dirinya seorang yang lemah lembut dan mempunyai wawasan tersendiri. Lagipun ibunya sering memuji Irina didepannya dan bercerita serba sedikit latar belakang keluarga Irina kepadanya. Barulah dia tahu yang ibunya mempunyai pertalian darah dengan bapa Irina walaupun hanya sekadar bau – bau bacang sahaja.

Irina yang sudah selesai makan meminta diri untuk mencuci tangan. Di kala itu, Laila menggunakan peluang yang ada untuk bergegas pergi bersama Harris.

“Aizat! Aku dengan Harris nak ke kedai cenderahati kejap. Nak beli untuk Irina. Bulan depan birthday dia. Kau tunggu sini ye…” Laila memberi isyarat kepada Harris untuk mengikutnya bila dilihat Harris bersikap seperti endah tidak endah. Belum sempat Aizat membalas, Laila sudah menarik Harris bangun.

“Laila!” Aizat memanggil Laila yang tidak memperdulikannya. Langkahnya laju meninggalkan
restoran itu. Hilang sahaja Laila dan Harris daripada pandangan, Aizat melihat Irina sedang menuju ke arahnya. Irina yang melihat Aizat yang tinggal keseorangan kehairanan. Tidak ada sebarang syak yang Laila sengaja meninggalkannya berdua bersama Aizat. Irina melabuhkan dirinya semula di atas kerusi. Dicapai tisu di atas meja untuk mengelap tangannya yang basah.

Otak Aizat pula ligat berputar untuk memikirkan alasan yang sesuai diberikan kepada Irina jika ditanya tentang Laila dan Harris yang tiada di situ. Irina memandang Aizat yang kelihatan sedikit gugup berhadapan dengan Irina sendirian.

“Mana Laila dengan Harris? Diorang ke tandas ke? Tak bertembung dengan diorang pun.” Irina menjengah kea rah tandas, mana lah tahu jikalau dia ternampak kelibat mereka berdua.

“Eh, tak… diorang berdua nak ke kedai kejap, Laila nak beli barang. Harris temankan sekali.”

Jawapan itu sahaja yang terlintas di fikirannya ketika itu. hentam saja lah! Irina mengangguk –angguk.

“Kenapa tak tunggu saya? Boleh pergi sekali. Laila, Laila… selalu macam ni.” Irina merungut.

Tidak selesa sebenarnya tinggal berdua sahaja dengan Aizat. Hatinya berdegup kencang. Sabar lah hati…

“Mungkin dia nak cepat barangkali. Hari pun dah petang, takut terlepas bas nanti.” Sekali lagi Aizat mencipta alasan. Minta – minta Laila dan Harris cepat balik… Aizat bermonolog dalam hati. Irina mengangguk – angguk, seolah – olah berpuas hati dengan alasan yang diberi. Irina merenung jam tangan yang dipakainya. Sudah pukul 3 petang… hemm, tak apalah. Masih sempat lagi nak kejar bas sebelum pukul 5… getus hati Irina. Pandangannya beralih ke luar dinding kaca, melihat – lihat orang yang lalu lalang di luar sana…

Harris memandang ke arah Laila yang sedang menyanyi kegirangan. Selepas satu, satu kedai yang dimasukinya tanpa arah tujuan. Masuk kali ini sudah lima buah kedai yang sudah mereka masuki namun barang yang dikatakan mahu dibeli tidak juga dijumpai. Harris melihat jam tangannya. Sudah pukul 4.30 petang. Bermakna mereka telah meninggalkan Aizat dan Irina selama satu setengah jam di restoran KFC tadi.

“Laila, dah jumpa ke belum barang yang nak dibeli tu? Dah pukul 4.30 petang ni…” Harris berpeluk tubuh melihat Laila yang sedang membelek – belek getah rambut. Laila langsung tidak mengendahkan apa yang dikatakan oleh Harris sebentar tadi.

“Kau memang dah planning semua ni kan?” Harris merengus. Laila tersenyum memandang Harris.

“Kau memang bijak la Harris…” Laila mengenyit mata.

“Aku dah agak…” Harris menghela nafasnya. Sikap Laila itu kadangkala menjengkelkannya.

“Apa salahnya aku buat macam tu. Bukan kau tak tau kan Aizat memang sukakan Irina. Dan aku rasa Irina pun sama cuma malu nak beritahu. Ini lah masanya nak rapatkan mereka. Irina tu aku sendiri tak faham, susah sangat nak dekatkan diri pada lelaki.” Laila mencebik. Ya, memang aku nak dekatkan mereka dan yang lebih penting aku nak kau jauhi Irina, Harris! Laila ketawa dalam hati.

“Aku tahu, tapi itu semua biar mereka tentukan sendiri. Kita muda lagi kan? Irina bukan macam kau Laila, dia ada cita – cita sendiri yang nak dicapai. Terlalu awal untuk bercinta.” Harris menerangkan kepada Laila yang masih tidak berganjak daripada tempat itu.

“Ke sebab kau pun ada hati dengan dia?” Laila memandang Harris, tajam.

Harris terkedu. Seboleh – boleh dia tidak mahu Laila dapat melihat kegugupannya.

“Jangan nak merepek Laila. Jom keluar dari sini. Kau pun tak ada apa nak beli sebenarnya kan?” Harris berkira mahu keluar daripada kedai itu tetapi cepat sahaja Laila menarik tangan Harris. Pegangannya tidak dilepaskan.

“Kenapa kau asyik nak mengelak je dari aku? Kau tahu kan aku sukakan kau.”

Laila berterus – terang. Sudah tidak guna mahu terus menyimpan isi hatinya pada Harris. Harris diam. Dia menarik tangannya daripada genggaman Laila.

“Dan kau tahu aku tak ada perasaan pada kau kan? Cukup lah Laila. Banyak lagi lelaki yang lagi baik dari aku kat luar sana. Tak guna kau terus menerus nak mengejar aku.” Harris keluar daripada kedai itu tanpa menunggu Laila. Dia tahu kata – katanya bakal mengecewakan hati Laila tetapi itulah yang terbaik. Lebih baik dia berterus – terang daripada terus membiarkan Laila hanyut dengan mainan perasaannya sendiri. Laila yang ditinggalkan Harris sendirian termanggu melihat Harris yang sudah melangkah jauh sebelum hilang daripada pandangan.

Laila mengetap bibir, geram. Aku tak akan putus asa Harris. Satu hari nanti kau pasti jadi milik aku!

Irina resah. Setiap lima minit matanya pasti tertancap pada jam di pergelangan tangannya. Mana Laila ni? Dah pukul lima petang! Irina menghela nafasnya, berat. Berdua – duaan bersama Aizat di meja itu semakin menambahkan tekanan buat Irina. Irina bukanlah seperti Laila yang pandai berbual dan bermesra dengan kaum bukan sejenisnya. Sepatah yang ditanya Aizat, sepatah yang dijawab. Akhirnya masing – masing melayan perasaan sendiri.

Aizat memerhati tingkah Irina yang tidak senang duduk. Tahulah dia yang gadis itu benar – benar resah. Laila dan Harris pula langsung tidak muncul – muncul. Sememangnya peluang begini begitu didambakan, memandangkan Irina sukar didekati. Tetapi pertemuan ini hanya terisi dengan suasana yang bisu. Akhirnya Aizat mengalah. Lebih baik mereka pulang daripada terus – menerus berada dalam keadaan begini.

“Irina, lebih baik kita pulang dulu. Hari pun sudah makin petang. Tak elok pula kalau dah maghrib baru sampai di rumah.” Aizat memberikan cadangannya kepada Irina. Irina mengangguk. Entah – entah mereka berdating sampai lupakan kitaorang kat sini! Atau dia sengaja nak tinggalkan aku berdua dengan Aizat? Laila memang dah melampau! Desis hati Irina.

Wajahnya sedikit memerah kerana menahan geram dikenakan begitu oleh kawan baiknya sendiri. Lantas mereka berdua bingkas bangun untuk beredar daripada restoran itu. Bimbang pula jika Tok menggesa Tok Wannya mencarinya di bandar nanti.

Ketika dia dan Aizat mahu melintas jalan, Irina terpandangkan seseorang di seberang jalan. Wajah itu seperti dikenalinya. Mirip seperti ibu kandungnya! Masakan ibunya berada di sini?

Jika tidak salah, bapanya mengatakan ibu kandungnya sudah tidak pernah kembali ke Malaysia setelah di bawa pergi oleh datuknya. Tanpa berfikir panjang, langkahnya dihayunkan melintasi jalan. Belum sempat dia melintas, tubuhnya ditarik oleh Aizat. Bunyi hon kereta membuatkan Irina tersedar. Dadanya yang berdebar sebentar tadi segera ditenangkan. Apabila dipandang sekali lagi, kelibat wanita itu sudah tiada. Mimpikah aku?

“Irina! Awak okay?” suara Aizat kedengaran cemas. Mujur dia pantas bertindak menarik tubuh Irina semula ke tepi jalan, jika tidak sudah tentu gadis itu sudah dilanggar kereta yang membunyikan hon tadi. Irina mengangguk – angguk. Wajahnya sedikit pucat kerana terkejut.

Melihat Irina yang bingung, Aizat memegang tangan Irina kejap. Irina tersentak. Darahnya mula menyerbu sehingga ke muka menahan malu. Irina memandang tepat wajah Aizat yang memimpinnya melintasi jalan. Seperti terdapat elektrik yang menyambar dirinya namun pegangan itu tidak pula cuba dirungkaikan. Irina hanya mengikut langkah Aizat tanpa bicara.

Melihat Aizat yang berwajah bersih itu mendebarkan hatinya. Terlupa akan wanita yang cuba diburunya tadi. Irina tersenyum sendirian. Tanpa dia sedari, benih – benih cinta mulai bercambah di dalam hatinya…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan