Label

Sabtu, 24 Disember 2016

NOVEL Terbaik Untukmu Bab37

Bukan mudah untuk Juita mengiakan cadangan Kebeng untuk mengajaknya keluar. Waktunya banyak dihabiskan di gerai. Kebiasaannya orang bercuti pada setiap hujung minggu tapi berlainan dengan dia. Pada hujung minggulah hari yang paling sibuk sekali buatnya. Kerana itulah dia sukar dan tidak ada waktu untuk keluar berlibur pada hujung minggu. Bagi Juita, itu bukan masalah besar. Lagi pula dia telah berjanji pada dirinya sendiri untuk membantu Kak Jah di gerai kerana hanya dia harapan wanita itu.

“Saya ada hal penting nak cakap dengan awak. Bolehlah ya? Saya tunggu awak di hujung jalan ke rumah awak tu.” Kebeng tidak berputus asa untuk terus memujuk. Dia sudah tidak sanggup lagi mahu memendam perasaan. Segalanya perlu diluahkan kepada yang empunya diri.

Lama Juita berdiam. Sedang berfikir barangkali. Setelah beberapa minit menyepi, Kebeng pun bersuara.

“Maafkan saya kalau terlalu mendesak awak. Tak apalah. Kalau awak tak mahu, saya tak boleh nak paksa. Tapi.. kalau awak rasa awak bersetuju nak jumpa saya, awak bagitau ajelah.” Kebeng rasa bersalah. Mungkin dia tidak sepatutnya mendesak Juita untuk menerima pelawaannya.

Dia tidak berhak untuk berbuat demikian. Juita bukan tunangannya apatah lagi isterinya.

“Cakap ajelah apa yang awak nak cakap, saya dengar ni.” Juita mengharapkan yang Kebeng akan meluahkan isi hatinya.

“Saya tak boleh cakap dalam telefon.”

“Kenapa?”



“Susah. Saya nak bersemuka. Nak bercakap berdepan dengan awak.”

“Tak ada bezanya. Cakap dalam telefon pun tak apa.”

“Awak tak fahamlah. Hal penting ni. Boleh tak? Kalau tak boleh, tak apalah.” Kebeng merajuk.

Dia seakan sudah mengalah. Barangkali hasratnya untuk meluahkan segala isi hati belum tiba masanya.

“Macam nilah, awak tunggu saya di restoran ABC esok. Kita jumpa kat sana, ya?”

“Betul?”

Juita mengangguk laju seolah‐olah lelaki di dalam talian itu boleh melihatnya. Hatinya berbunga‐bunga.

“Betulke?” soal Kebeng sekali lagi. Nada suaranya ceria.

“Ya. Betul.” Juita tersenyum lebar. Jauh di sudut hatinya dia tertanya‐tanya tentang perkara yang mahu dikhabarkan kepadanya. Kebeng mahu memberitahunya yang dia mahu pulang ke kampungnyakah? Atau dia mahu meluahkan perasaan hatinyakah? Ahhh.. pelbagai persoalan yang menujah fikirannya. Yang pasti dia tidak tahu apa berita sebenarnya yang mahu disampaikan. Hatinya kian gelisah. Semakin difikirkan semakin tidak tenteram jiwanya. Duduk salah berdiri pun salah. Adoiii..

“Okey. Saya tunggu awak kat sana pukul 3 petang esok,” kata Kebeng sebelum mengakhiri perbualan.

Jalanraya menuju ke bandar Kuantan sangat sibuk walaupun hari itu adalah hari bekerja. Kebetulan gerai Kak Jah ditutup maka sebab itulah Juita memilih hari itu untuk berjumpa dengan Kebeng. Sebelum keluar dari rumah tadi, Juita sudah siap mengemas rumah. Pakaian yang dijemur sudah diambil dari ampaian. Dia bercadang akan melipatnya nanti malam.

Sementelah gerai bercuti, biarlah Kak Jah duduk berehat saja. Hidangan tengahari tadi pun Juita yang sediakan. Hasrul makan bertambah nasi. Adik bongsunya itu memuji kesedapan masakannya. Kembang hati Juita dibuatnya. Bukan mudah untuk mendapat pujian dari Hasrul yang cerewet itu. Adakalanya masakan Kak Jah pun dikompelinnya.

Juita sudah selamat sampai walaupun van buruknya bergerak dengan tersengguk‐sengguk. Panas sungguh cuaca petang itu, meleleh peluhnya membasahi ketiak baju. Mujur kesan basah tidak ketara. Untuk mendapat tapak pakir di waktu‐waktu begitu memang menguji kesabaran. Puas dia berpusing beberapa kali namun hampa, tidak ada kenderaan pun yang mahu keluar. Juita terpaksa berhenti di tepi sementara memerhati kalau‐kalau ada kereta yang mahu beredar. Akhirnya berkat kesabaran, kelihatan kelibat seorang gadis melangkah menuju ke keretanya. Sebaik saja kereta itu hilang, Juita pun memakirkan keretanya di situ.

Jam tangan ditoleh beberapa kali. “Dah pukul 3.30?” Lantas Juita tergesa‐gesa keluar dari perut van lalu mencapai tas tangan. Pintu dihempas kuat, maklumlah kereta tua. Juita perlu berlari.

Dia sudah terlambat. Bimbang kalau‐kalau Kebeng beredar tanpa menunggunya. Hampir-hampir saja kaki Juita terseliuh ketika melangkah longkang besar yang memisahkan jalan raya dengan deretan kedai.

Dari jauh kelibat Kebeng sudah kelihatan. Semakin Juita menghampiri kelibat lelaki itu semakin jantungnya berdetup detap sehingga terasa mahu luruh jantungnya. Setapak demi setapak hayunan kakinya melangkah. Baju kurung warna merah yang dipakainya ketika itu adalah baju yang dipakai di pagi raya beberapa bulan lalu. Baju itu merupakan salah satu pakaian yang digemari. Setiap kali menyarungkan baju itu, dia berasa sungguh anggun. Dan dia mahu dipertemuan itu dia akan sentiasa kelihatan anggun di mata Kebeng. Perasan tidak sudah-sudah anak gadis Bakri dan Kak Jah seorang ini.

Senyuman Kebeng melebar apabila melihat gadis si jantung hati sudah muncul. Setengah jam menunggu bagaikan tidak terasa. Lewat sedikit tidak mengapa. Yang penting si gadis tidak memungkiri janji. Kebeng setia menunggu walaupun kopi secawan sudah habis diminum. Melihat lenggang lengguk si gadisyang semakin hampir ke arahnya, semakin berdebar‐debar pula rasanya. Cair hati melihat Juita dalam pakaian warna merah. Kecantikan Juita sangat menyerlah dengan warna garang itu.

“Assalamualaikum.” Juita mengucap salam sebaik dia berdiri hampir dengan Kebeng.

Kebeng sudah berdiri. “Waalaikumsalam.” Kebeng mempersilakan Juita duduk dengan menarik
kerusi untuk si buah hati.

Juita melemparkan senyuman manis sebagai tanda terima kasih. Perlahan‐lahan dan dengan penuh sopan dia duduk di bangku kayu. Sepasang matanya meliar memandang sekeliling, manalah tahu ada yang sedang memerhati gerak gerinya. Dan yang paling bimbang kalau-kalau Faiz atau konco‐konconya mengekori jejaknya.

“Awak nak minum apa?” tanya Kebeng. Menatap wajah Juita menghadirkan seribu rasa yang beraduk di dalam jiwa lelakinya.

“Emm.. panas‐panas ni elok jugak makan ABC,” ujar Juita manja.

“Tak takutke?” usik Kebeng. Lelaki itu ketawa kecil.

“Alah awak ni, hari tu saya gugup sebab itulah jadi macam itu,” luah Juita malu‐malu. Siapa yang tidak gugup tatkala duduk bertentangan mata buat pertama kali dengan lelaki yang baru dikenali?

Reaksi manja dan malu‐malu kucing Juita menambahkan rasa kasihnya terhadap gadis itu. Tidak mungkin akan dilepaskan gadis itu ke tangan orang lain. Biar apa pun rintangan dan halangan yang datang demi untuk mendapatkan gadis itu, pasti akan dihadapi. Andainya terpaksa dia beradu tenaga dengan Faiz untuk merebut kasih gadis itu, tetap akan dilakukan.

Dia tidak peduli. Kali ini dia tidak akan mengalah. Biarlah apa pun yang akan terjadi. Seorang pelayan datang ke meja untuk mengambil pesanan. Menu yang dibawanya dihulurkan satu kepada Kebeng dan satu lagi kepada Juita. Beberapa saat kemudian, pelayan itu berlalu sebaik saja pesanan diambil dari pasangan yang tampak sepadan itu. Suasana menjadi sepi.

Masing‐masing seperti melayan perasaan sendiri. Namun mata liar memandang orang yang lalu lalang di luar restoran.

“Emak awak tau awak keluar?” Kebeng membuka bicara.

“Mestilah tau. Saya mana boleh keluar kalau tak mintak izin dari mak saya,” jawab Juita.

“Awak bagitau yang awak nak jumpa saya?” tanya Kebeng lagi.

Juita menggeleng. “Mana boleh saya cakap macam tu. Matilah saya kalau bagitau nak jumpa awak.”

Memang Juita menyembunyikan tujuan sebenarnya ke bandar dari Kak Jah. Mana mungkin dia berterus terang tentang Kebeng. Kalau Kak Jah tahu tujuan sebenarnya ke bandar sudah pasti emaknya itu tidak akan membenarkan. Maka dia hanya memberitahu yang dia mahu berjumpa seorang kawan. Kak Jah percaya dan tidak pernah curiga terhadap anak‐anaknya apatah lagi Juita yang amat dikenali hati budinya. Kak Jah memberi sepenuh kebebasan kepada anak-anaknya untuk berbuat apa saja asalkan tidak terbabit dengan perkara‐perkara yang negatif.

“Mak awak marahke kalau dapat tau yang awak jumpa saya?”

“Tak taulah marah ke tak, tapi mestilah dia terkejut kalau dapat tau. Tak ada ribut, tak ada angin, tetiba saja nak jumpa awak.”

“Maknanya mak dan keluarga awak langsung tak tau yang kita berkawan?”

Juita mencebik. “Berkawan taulah. Tapi tak adalah sampai tau yang saya keluar berdua dengan awak macam ni.”

Kebeng mengangguk faham. Pelayan tadi datang semula membawa minuman dan makanan yang dipesan. Perbualan mereka terhenti.

“Rezeki dah di depan mata. Kita makan dulu, ya.” Kebeng menyorong pinggan yang berisi mi goreng kepada Juita.

Juita hanya mengangguk tanpa berkata apa‐apa. Benar kata Kebeng, rezeki sudah berada di depan mata, apa yang perlu ditunggu lagi. Cerita yang mahu diperkatakan boleh di bincang kemudian walaupun hati meronta‐ronta, tidak sabar mahu tahu.

“Hal apa yang awak nak cakap dengan saya, Kebeng?” tanya Juita setelah selesai makan.

Pinggan yang sudah kosong disorong ke tengah meja.

“Bunyi kasarlah awak panggil nama saya.” Kebeng merenung tajam ke dalam mata Juita.

“Boleh tak awak panggil saya, abang?” Berat pada mulanya untuk dia memberi cadangan itu.

Bimbang kalau‐kalau Juita tidak senang dengan panggilan itu.

“Ha?” Berkerut dahi Juita. Terbuntang matanya. “Panggil awak apa? Abang?” Terperanjat Juita.

Geli geleman dia mahu menyebut perkataan itu.

“Ya. Abang. Kenapa?”

“Taknaklah.” Juita menggeleng beberapa kali.

“Memang saya lebih tua daripada awak, kan? Jadi apa salahnya awak panggil saya abang?”

“Eee…” Juita mencebik.

“Tak ada salahnya. Itu tanda hormat kepada orang yang lebih tua.”

“Saya tau. Tapi saya tak biasa.” Juita tunjuk wajah cemberut. “Semalam kata ada benda nak cakap. Cakap ajelah apa yang awak nak cakapkan tu. Hari dah petang dah ni. Kalau lambat cakap kang, lambat pulak balik. Saya tak boleh balik lambat.” Sengaja Juita menukar topik perbualan. Lagi pun dia mahu segera tahu apa berita yang mahu disampaikan kepadanya sehinggakan tidak boleh bercakap melalui telefon.

Kebeng melepaskan keluhan panjang. Lama dia terdiam. Tatkala berdepan kelu pula lidah mahu berkata‐kata. Sejak dari malam tadi dia sudah menyusun ayat tapi apabila bertentangan mata, semua hilang bersepai entah ke mana. Kebeng mula ragu‐ragu, dia tidak tahu mahu mula di mana. Bimbang juga kalau‐kalau Juita tidak dapat menerima lalu menjauhkan diri darinya. Kalau itulah yang berlaku, alangkah malang dirinya.

“Cepatlah cakap. Kalau awak rasa macam tak nak cakap, saya nak baliklah,” ugut Juita. Beg tangan yang diletak di bangku sebelah sudah dicapai.

“Tunggulah sekejap.” Kebeng cuba memujuk.

Juita meletakkan semula beg tangannya di bangku sebelah. Dia berpeluk tubuh. Hanya menunggu butir‐butir bicara lahir dari bibir lelaki yang mahu dipanggil abang itu. Juita membatukan diri. Dia memberi peluang kepada Kebeng untuk menyusun ayat. Setelah beberapa saat berlalu namun Kebeng masih tidak bersuara. Juita merenung dalam ke wajah Kebeng. Oh! Baru Juita perasan bola mata lelaki itu berwarna coklat. Redup saja pandangan matanya tatkala mata bertentang mata. Lantas hati gadisnya menjadi cair. Terasa dia jatuh cinta pandang kedua dengan lelaki itu.

“Cepatlah cakap,” desak Juita.
“Sebenarnya.. sebenarnya..” Kebeng gugup.
“Sebenarnya apa?” celah Juita tidak sabar.
“Sebenarnya saya mahu awak menjadi milik saya.” Sebutannya lancar dan jelas. Tidak gagap
dan gugup seperti mula‐mula tadi.
Wajah Juita merona merah. Entah kenapa, tiba‐tiba dia berasa sangat malu. Andai mampu,
mahu saja dia menyembunyikan wajahnya di bawah meja. Tapi mana mungkin dia berbuat
demikian. Dia memaksa diri untuk berlagak tenang. Sungguh dia tidak menyangka yang
Kebeng akan meluahkan perasaannya tika itu. Kalau begitulah kisahnya, bermakna dia tidak
bertepuk sebelah tangan. Di dalam diam, mereka sama‐sama menyembunyi dan memendam
perasaan rupanya. Dia hanya menundukkan muka sambil tersipu malu. Mulutnya terkunci.
Lidahnya terasa kelu untuk berbalas kata.
Sepasang mata Kebeng terkebil‐kebil melihat reaksi Juita. Dari raut wajah polos itu dia pasti
yang gadis itu bersetuju untuk menjadi miliknya. Benarkah begitu? Bagaimana pula jika gadis
itu berperasaan sebaliknya?
“Juita, sudikah awak menerima cinta saya?” soal Kebeng tanpa berselindung. Dia sudah tidak
segan silu lagi untuk meluahkan isi hatinya. Sudah sampai masanya untuk dia berterus terang.
Tidak berdaya lagi dia menyimpan dan menjeruk rasa. Terpulanglah kepada Juita untuk
menimbangkannya.
Tanpa melihat wajah Kebeng, Juita mengangguk. Sengihan di bibirnya kian melebar.
“Awak setuju?” Kebeng teruja.
Juita mengangguk laju. “Ya, saya setuju,” jawabnya tenang.
Kebeng seolah ingin melompat tinggi. Dia seperti mahu berteriak kuat, biar semua orang
mendengar, biar semua orang tahu yang dia sedang bahagia. Perasaan cintanya yang
terpendam sejak sekian lama telah diterima oleh si gadis. Kini dia benar‐benar dilamun cinta.
Cintanya sudah berbalas. Jauh di sudut hati dia mengucap syukur ke hadrat Illahi dan berdoa
agar ada jodoh antara mereka. Bukan mudah untuk dia meluahkan perasaan. Dia mahu
mencari reda ALLAH. Bernikah itu adalah jalan sebaiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan