Label

Khamis, 5 Januari 2017

NOVEL Penyamar Bab10

Majlis kenduri kesyukuran berjalan dengan lancar dan aku berjaya menjadi orang gaji yang tidak diundang dengan bantuan keluargaku. Alangkah sportingnya keluargaku. Nasib baiklah saudara mara terdekat hanya datang ke rumah pada malam hari. Memang ayah sengaja menjemput saudara mara datang bermalam di sini. Lagi pun tiada kerja berat yang harus dilakukan. Zaman sekarang ni, nak buat apa pun semua gunakan duit. Asalkan ada duit kudrat manusia pun boleh dibeli dengan senang.

Bila sebut pasal duit, aku rasa bukan saja tenaga manusia boleh dibeli tapi segalanya boleh dibeli kecuali perasaan cinta dan sayang serta keimanan kita pada Allah. Bila sebut pasal duit, kadang‐kadang buat aku terfikir, kenapa orang sanggup bergaduh kerana duit? Aku tahu duit itu penting, tapi mengapa harus jadi hamba duit hingga sanggup mengadaikan segalanya?

Apa yang paling menyedihkan bila sanggup menyisihkan keluarga kerana duit sedangkan ikatan persaudaraan itu ibarat air yang dicincang takkan putus. Kecualilah kalau tak bayar bil air. Opss..nak bayar bil tentu guna duitkan?

‘’Ayang, nak kerja tak? Kot‐kot Ayang nak buat kerja part time.’’ Along yang datang entah dari mana tiba‐tiba bertanyakan soalan itu. Sejak bila pula aku suka buat kerja part time ni? Eh, selama ni memang aku selalu buat kerja part time pun. Kenapa pula minda aku bercelaru sampai begini sekali. Tiba‐tiba saja jadi biul macam ni.



‘’Kerja apa Along?’’ aku tunjukkan juga minat aku. Manalah tahu, kerja tu nanti boleh memberi
ilham untuk aku menghasilkan novel aku yang seterusnya.

‘’Ayang ingat tak dengan kawan Along yang minta air dengan Ayang hari tu?’’ aku engecilkan mataku. Macam ingat saja. Ada rupa juga tu. Bolehlah tahan dan layak juga tu kalau nak dijadikan hero dalam filem.

‘’Macam ingat. Kenapa?’’ aku ajukan lagi soalan untuk Along yang sudah duduk di hadapan aku.

‘’Dia tu penerbit untuk rancangan realiti tv dan sekarang ni mereka nak buat satu show macam show Korea tu, cuma mereka ubah sikit konsep untuk menyesuaikan show tu dengan budaya di Malaysia ni.’’ Aku mendengar penjelasan Along dengan minda yang buntu. Apa kena mengenanya aku dalam hal ini? Takkan Along nak suruh aku join show tu pula?

‘’Habis tu, apa kena mengena Ayang dengan show tu? Takkan Along nak suruh Ayang jadi peserta untuk rancangan tu pula?’’ aku suarakan apa yang aku fikir.

‘’Ayang pernah tengokkan rancangan We Got Married?’’ aku mengangguk laju.

‘’Tengok gitu‐gitu saja. Bukan semua episod dan semua pasangan Ayang tengok. Ayang pilih-pilih
juga. Takkan kawan abang tu nak buat rancangan We Got Married Malaysia pula kot?’’ sambil menjawab soalan Along, aku menyoal Along kembali.

‘’Lebih kurang macam tu la, cuma dalam show yang kawan Along nak buat ni, dia akan pilih wanita‐wanita yang terdiri dari perbagai golongan dan kerjaya. Jadi, dia minta Along tanya Ayang, kalau Ayang berminat untuk turut serta. Rancangan tu akan disiarkan setiap malam ahad.’’aku mengangguk lagi walau sebenarnya aku belum faham dengan penjelasan Along.

‘’Kalau Ayang berminat, Ayang perlu buat apa? Perlu berlakon di depan kamera ke atau sekadar buat kerja di belakang tabir?’’ soalan demi soalan aku ajukan.

‘’Ayang berminat ke?’’ aku tersenyum mendengar pertanyaan Along.

‘’Ada syarat tak, kalau Ayang berminat? Kawan Along tu tahu ke Ayang ni siapa?’’ Along sudah
mengeleng sambil tersenyum. Aku kerutkan dahiku.

‘’Apa maksud tu?’’ aku tanya Along lagi dan memandang tepat ke wajah Along.

‘’Takkan Ayang dah lupa? Hari tu Ayang menyamar jadi orang gajikan? Kebetulan kawan abang ni memang nak cari orang gaji untuk peserta akhir. Mereka dah ada pelajar IPT, cikgu sekolah, setiausaha dan seorang arkitek. Seorang engineer dan seorang bisness woman dah tarik diri sebab terlalu sibuk dengan urusan kerja. Sekarang ni,mereka cuma nak minta persetujuan Ayang saja lagi. Kalau Ayang setuju, pengambaran akan dijalankan hari ahad ni. Ayang nak ke?’’ Along sudahi ayat‐ayatnya sambil menatap wajah aku. Aku pula sudah menarik nafas dan melepaskan nafas dengan berat. Macam berminat tapi..

‘’Ayang tak nak menipu, sebab Ayang bukan orang gaji pun. Lagi pun show tu tentu ramai orang yang akan menontonnya. Macam mana kalau, ramai yang kenal Ayang? Cuba Along fikir. Haru biru jadinya, kalau ada yang bongkarkan rahsia Ayang ni.’’ Along sudah menjatuhkan kepalanya berkali‐kali. Tentu dia setuju dengan apa yang aku cakapkan tu.

‘’Betul jugakan.’’ Along turut bersetuju dengan aku. Beberapa minit kemudian idea menjengah dalam mindaku. Bibirku pantas menguntun senyum.

AKU memerhatikan sekelilingku. Ramai kru‐kru pengambaran sedang menyiapkan peralatan masing‐masing. Lokasi pengambaran yang sangat sibuk ketika ini. Peserta‐peserta yang mengambil bahagian sudah sampai dan sedang disolekkan oleh jurusolek masing‐masing. Aku menolak untuk disolek berlebihan kerana aku membuat permintaan untuk memakai niqab. Biar mata aku saja yang dapat dilihat oleh penonton dan aku sudah membuat permintaan tambahan. Andai mereka nak aku menjadi peserta, kurangkan babak‐babak untuk aku.

Cukuplah sekadar beberapa shot saja dalam satu episod.

Semua permintaan aku akan ditunaikan dan sebelum pengambaran bermula, kami diminta untuk menandatangani kontrak. Mengikut kontrak itu, salah seorang yang terpilih pada episod akhir akan menurut apa saja kehendak penerbit. Pada awalnya, aku tidak menyetujui kontrak itu tapi kawan Along yang merupakan penerbit rancangan itu memberi jaminan aku adalah orang pertama yang akan tersingkir. Tanpa banyak soal, aku terus menurunkan tandatangan aku. Mudah‐mudahan aku akan tersingkir seperti apa yang dijanjikan. Tak mahulah aku menjadi pak turut nanti.

‘’Aishah, tugas awak adalah sebagai pembantu rumah. Bila peserta lain membuat kerja mereka, awak akan ditinggalkan di rumah dan melakukan tugas sebagai orang gaji. Awak dah biasakan buat semua kerja‐kerja rumah?’’ aku menelan liur bila tuan pengarah menyoal dan menjelaskan apa yang perlu aku lakukan. Perlahan‐lahan aku menjatuhkan kepalaku dalam terpaksa.

‘’Dalam rumah nanti, seorang jurukamera akan mengikut ke mana saja awak pergi. Semua kerja‐kerja yang awak lakukan, akan dirakam. Mana yang tak perlu, kami akan sunting semula. Awak buat kerja awak macam biasa, seolah awak hanya bersendirian.’’ Aku menjatuhkan kepala aku lagi. Jantung aku usah dicakap, macam nak gugur saja mendengar penerangan daripada tuan pengarah.

‘’Zafril!’’ tuan pengarah melaung nama seseorang. Aku turut menoleh ke arah yang sama dan seorang lelaki yang bergaya sudah melangkah ke arah kami. Aku dapat mengecam lelaki itu.

Dialah kawan Along yang memanggil aku bibik tempoh hari.

‘’Ini hero kita, yang akan memilih setiap peserta. Yang mana bakal tersingkir dan yang akan bertahan hingga episod akhir. Setiap peserta harus buat yang terbaik agar tidak tersingkir dan harus pandai mengambil hati watak utama show ini. Awak fahamkan maksud saya?’’ aku sudah menjatuhkan kepalaku lagi. Lidah aku dah kelu untuk berkata‐kata. Tidak semudah yang aku duga rupanya.

‘’Awak cantik. Kenapa nak sembunyikan kecantikan awak ni? Lagi pun, macam mana awak nak buat kerja mengemas dengan pakaian macam ni?’’ aku sudah mengecilkan mataku demi mendengar soalan penerbit rancangan ini. Dialah encik Zafril, rakan Along. Orang pakai niqab macam aku, ingat tak boleh buat kerja ke? Aku berdongkol di dalam hati.

‘’Kecantikan yang Allah anugerahkan ini hanya untuk tatapan suami saya sahaja. Bukan untuk tatapan umum. Lagi pun, saya akan buat kerja dengan tangan, bukan buat kerja dengan pakaian. Apa masalahnya pula, kalau saya pakai macam ni?’’ aku berkata perlahan tapi dalam nada tegas.

‘’Terharunya saya dengar. Siapalah yang paling bertuah tu? Kalau awak terpilih sebagai peserta akhir, sudi tak awak jadi isteri saya?’’ mata aku terbuntang tanpa sedar. Dia cakap, aku orang pertama yang akan tersingkir. Apa pula ni? Tak naklah aku jadi isteri orang‐orang famous macam dia. Hiesy..minta simpang.

‘’Kalau macam tu, saya nak tarik diri.’’ Aku berkata sambil mula nak melangkah.

‘’Zahratul Aishah, atau apa sajalah nama awak. Jangan lupa ya, awak dah sign kontrak dan kontrak tu berkuatkuasa mulai sekarang.’’ Aku terkaku berdiri mendengar kata‐katanya. Ah! Tipah tertipu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan