Label

Ahad, 25 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab35

AKHIRNYA Sarah Aqilah berjaya juga menghubungi Datuk Zulkifli. Terkejut sungguh Datuk
Zulkifli apabila diberitahu kemalangan yang menimpa Sarah Aqilah. Tidak senang duduk dibuatnya apabila Sarah Aqilah telah menjadi mangsa ragut. Realitinya, begitu mudah seorang lelaki yang berpendirian teguh seperti Datuk Zulkifli ditipu hidup‐hidup oleh Sarah Aqilah. Lakonannya semakin cemerlang. Kata‐katanya terus menguntum bunga‐bunga bimbang di hati Datuk Zulkifli.

“Sayang macam mana? Are you okey?”


“Qilah okey cuma masih rasa sakit‐sakit badan lagi.”

“You di mana ni?”

“Di apartmen Datuk.”

“I datang.”

“Jangan Datuk!”

“Serius … I bimbang keselamatan dan kesihatan you!”

“Datuk jangan bimbang … Qilah okey.”



Mendengar sedikit penjelasan Sarah Aqilah di hujung talian, ada sedikit kelegaan di hati Datuk Zulkifli. Misteri kehilangan Sarah Aqilah sudahpun terjawab. Teka‐teki yang bermain dimindanya sudah menemukan jawapannya. Namun perasaan bimbang tetap bersarang di hatinya. Bagaimanakah dengan keadaan Sarah Aqilah sekarang?

“Betul ni yang you tak apa‐apa?”

“Qilah dah semakin beransur sihat sekarang. Cuma kalau Qilah bergerak kuat sikit, masih ada rasa sakit.”

“You dah pergi klinik?”

Senyap. Sarah Aqilah diam seketika. Mindanya sedang berfikir‐fikir. Memang dia tidak pergi ke klinik. Apa alasan yang mesti diberikan kepada soalan itu? Rezal Haiqal memang seorang suami yang tidak bertanggungjawab. Bukan sahaja semua wangnya dikikis habis malahan barang kemasnya juga termasuk rantai di leher turut menjadi mangsa. Mana mungkin dia mahu ke klinik untuk membayar segala kos rawatan kalau itu keadaannya sekarang. Sakit hatinya terhadap Rezal Haiqal memang tidak akan terpadam. Sarah Aqilah berjanji kepada diri sendiri, lelaki itu pasti menerima akibat daripada perbuatannya itu.

“Baik you cakap terus terang.”

Sekali lagi Sarah Aqilah hilang suara buat seketika. Fikirannya menerawang jauh.

“You tak pergikan?”

“Err … selepas kejadian hari tu Qilah dah pergi.”

“Betul ni?”

“Buat apa Qilah nak tipu? Lepas kejadian ragut tu ada orang hantar ke klinik.”

“Okeylah kalau macam itu. Lega sikit hati I. You buat laporan polis tak?”

Bengang betul Sarah Aqilah apabila Datuk Zulkifli bertanyakan macam‐macam kepadanya. Bosan juga dia nak melayan soalan‐soalan sebegitu. Namun apa boleh buat, dia terpaksa melayan karenah itu demi kebaikan dirinya juga. Jauh di sudut hatinya, dia amat memahami yang lelaki itu sangat mengambil berat akan masalahnya itu. Rasa sayangnya juga turut bersisa untuk lelaki itu walaupun hakikatnya dia terpaksa memendam rasa. Tidak mungkin apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Keadaan cukup memaksa dan mendera perasaannya juga.

“Err … Qilah dah buat laporannya sebab dokumen‐dokumen penting semuanya hilang. Itu yang Qilah sedih sangat sampai sekarang ini.”

“Berapa banyak duit yang ada masa tu?”

“Pasal duit tu Qilah tak fikirkan sangat. Adalah sikit tapi dalam beg tu ada banyak barang-barang lain yang lebih berharga seperti kad pengenalan, kad bank … lesen memandu. Sakit hati Qilah bila ingat semula kejadian tu!”

“Sabarlah … yang penting you selamat. Pasal dokumen itu boleh buat semula dan yang lain-lain tu serahkan pada I.”

“Terima kasihlah Datuk sebab ambil berat pasal Qilah. Banyak sangat jasa Datuk dan tak terbalas rasanya.”

“Berapa kali I dah pesan jangan panggil Datuk?”

Sarah Aqilah sempat tersenyum sendirian. Dalam keadaan rasa sakit yang masih berbaki di anggota tubuhnya, dia amat lega. Dari hari ke hari, perasaan sayang Datuk Zulkifli kepadanya semakin bertambah. Dari masa ke masa jiwanya pula dihimpit rasa bersalah. Lelaki itu memang mengharapkan sesuatu daripadanya sedangkan dia sekadar menerima di mulut tetapi tidak di hati. Apa yang dilakukan sekarang umpama meletakkan satu belati yang tajam di hatinya.

Sedikit kesilapan pasti belati itu akan melukakan dirinya sendiri.

“Err … maafkan Qilah. Tak salahkan?”

“Memanglah tak salah. Kalau di pejabat tak apalah kalau nak ikut protokol.”

“Itu tanda hormat Qilah pada Datuk.”

“Kalau tanda sayang macam mana pulak?”

Terdiam lagi Sarah Aqilah. Soalan itu bagaikan mahu memerangkap perasaannya. Semakin bercelaru jiwanya memikirkan ke manakah akhirnya perhubungan ini nanti? Halangan tetap ada. Bukan hanya dia memikirkan tentang Rezal Haiqal malah mindanya turut mengingatkan Manissa. Rezal Haiqal tetap suaminya yang sah. Manakala Manissa memang sangat menentang perhubungannya dengan ayahnya itu. Satu‐persatu wajah ini berlegar di mindanya. Lama juga ingatan itu bersilih ganti.

“Kenapa you diam?”

“Err … tak ada apa‐apalah Datuk. Qilah benar‐benar terharu.”

“Sebenarnya I dah rindu sangat nak jumpa you. Kalau boleh terbang … sekarang jugak I nak jumpa you!”

“Datuk buat Qilah senyum tau!”

“Serius … nak jumpa sangat dengan you!”

Memang Datuk Zulkifli sudah dirasuk oleh perasaan cinta. Sarah Aqilah rasa duduk di awang-awang. Sambil memejam mata, ingatannya melayang jauh. Memang indah hidup ini kalau diri terasa disayangi. Perasaan itu yang sedang dialami oleh Sarah Aqilah. Gila! Gila sungguh perasaan yang sedang dialaminya itu. Sesuatu yang mungkin Datuk Zulkifli tidak sedar bahawa dia sedang bermain dengan bayang‐bayang. Manakala Sarah Aqilah tetap dengan misinya bermain api.

“Datuk buat Qilah rasa serba salah pulak.”

“I faham … you masih tak sihatkan?”

“Qilah benar‐benar nak minta maaf sebab tak dapat tunaikan hasrat Datuk tu.”

“Tak apa … I sanggup tunggu. Tunggu berapa lamapun?”

“Semakin terharu Qilah dibuatnya.”

“I lagi terharu kerana you sudi menggembirakan hati I. Sudi menemankan hari‐hari sepi I.”

“Kalau Datuk terharu … Qilah lagi terharu. Tak tahu nak kata apa dah.”

“Terima kasih sayang.”

Kali ini giliran Sarah Aqilah pula terkesima apabila diberi pujian secara berlebihan oleh Datuk Zulkifli. Hatinya turut cair apabila dilayan sebegitu. Sangat berbeza dengan layanan yang diberikan oleh suaminya, Rezal Haiqal. Impian indah perkahwinannya bersama Rezal Haiqal telah lama musnah. Istana yang dibina menunggu masa dan ketika untuk roboh begitu sahaja.

Momen yang manis semuanya telah bertukar menjadi pahit.

“Bila you nak masuk kerja ni?”

“Err … badan Qilah memang ada rasa sakit‐sakit lagi ni. Rasanya masih tak larat nak pergi kerja.”

“Ohh! Kalau macam tu you rehat dulu.”

“Qilah kesiankan Datuk. Tentu banyak kerja yang terbengkalai disebabkan Qilah.”

“Jangan risau dan jangan bimbang I nak you betul‐betul sihat!”

“Maafkan Qilah…”

“You tak perlu minta maaf. Lagi pun bukan salah you. Kalau kita tahu kemalangan tu nak berlaku, tentu kita boleh elakkan? Kemalangan tak berbau!”

“Terima kasih Datuk sebab memahami…”

“Sudahlah jangan risau, buat masa ini I suruh Siti bantu siapkan kerja‐kerja you.”

“Cuma I rasa bosan bila outstation you tak ada.”

“Nanti Qilah dah masuk kerja … boleh ikut Datuk lagi.”

“Memang you kena ikut I.”

“Itu memang tugas Qilahkan?”

“Tugas dan tanggungjawab!”

Memang nampak tegas jawapan Datuk Zukkifli itu. Sarah Aqilah faham apa yang dimaksudkan itu. Sengaja dia tidak mahu melayan lebih‐lebih akan perasaannya. Dia pun bukan benar‐benar mengharap bulan jatuh ke riba. Apa yang dilakukan sekarang sekadar mahu memuaskan hati Datuk Zulkifli. Juga tanggungjawabnya terhadap Rezal Haiqal. Dia benar‐benar tersepit antara dua lelaki ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan