Label

Sabtu, 24 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab12

BILIK tidur yang terang, di tutup lampunya. Ridduan sengaja bergelap. Cahaya dari luar cukup
untuknya. Sekujur tubuh rebah di atas katil. Terasa sengal di seluruh badan. Dari pagi ditolak Hana hinggalah ke malam menguruskan hal Razak. Akhirnya, segala urusan pengangkutan hingga penginapan Razak telah selesai. Dia telah meminta pertolongan dari seorang kawannya dari Filipina. Razak akan bertolak awal pagi esok menaiki bot.

Malam ini terasa sedih. Setiap kali ada tugasan dari Razak, dia akan sedih dan menyesal dengan kehidupannya. Menyesal, pernah menyelamatkan Razak. Kenangan lalu menerjah otak. Ceritanya pada usia sepuluh tahun, dikenang lagi.

Dia masih ingat, dahulu dia pernah hidup dalam sebuah keluarga bahagia bersama ayah dan ibunya di sebuah banglo yang besar. Cuma dia telah lupa, bagaimana rupa mereka dan di mana rumahnya. Suatu ketika, mereka sekeluarga bercuti di sebuah pulau. Di mana pulau itu, juga dia tidak ingat. Ketika itu, dia baru berumur sepuluh tahun. Beberapa hari di sana, dia merasakan sangat gembira bila melihat senyuman ayah dan ibunya hingga ibunya mendapat panggilan dari neneknya. Itulah kali terakhir dia melihat senyuman mereka.

“Assalamualaikum ibu.”

“Walaikumsalam. Rifqah, kamu masih bercuti ke?”

“Ya... kenapa ibu?”

“Kamu balik bila?



“Minggu depan. Saya dah janji dengan anak saya nak luangkan masa lebih sikit bersama dia.”

“Kamu kena balik sekarang juga. Ada masalah di hotel kita di Indonesia. Semua pemegang saham telah berkumpul. Ibu nak pergi, badan tak sihat. Kamu wakilkan ibu ke sana.”

“Tapi saya kan...”

“Kamu balik sekejap, uruskan masalah kita di sana dulu. Semua dah selesai, kamu sambunglah bercuti. Paling lama pun dua hari saja.”

“Emmm... baiklah ibu.”

Atas desakan nenek, ibu terpaksa pergi. Ayah ingin kami pulang bersama. Tapi ibu bertegas mahu pulang seorang diri. Ibu berjanji selepas semuanya selesai, dia akan terbang terus ke tempat percutian kami.

Hampir dua hari ibu tidak menghubungi kami. Ayah mula tidak sedap hati dan gelisah segera
menghubungi nenek. Ayah tiba‐tiba terduduk dan air matanya mengalir. Tidak pernah dia melihat ayah menangis begitu. Itu kali pertama... Ridduan memegang tangan ayahnya.

Ayahnya teresak‐esak menangis memeluknya.

“Ibu kamu... ibu kamu dah meninggal dunia. Dia pergi meninggalkan kita untuk selamanya.” gagap dalam sedu.

‘Ibu...’ Ridduan ketakutan. Tubuhnya menggigil bila mengenangkan dia tidak akan berjumpa ibu lagi. Tidak dapat melihat senyuman ibu dan tidak dapat bermanja dengan ibu. Dia turut menangis teresak‐esak dalam pelukan ayah.

Mereka segera pulang. Pagi itu mereka ke kubur. Ayah duduk termangu. Ridduan menangis menyembah bumi. Meraung‐raung ingin ibunya hidup semula.

“Ibu... jangan tinggalkan Rid. Rid nak jumpa ibu... Rid nak ibu!” Ridduan meraung. Tangannya
mengais‐ngais tanah di pusara ibunya.

Ibu kemalangan ketika perjalanan pulang ke rumah nenek untuk mengambil dokumen penting. Kereta yang dipandu pemandu terbabas merempuh sebuah lori. Ibu meninggal ketika diberi rawatan kecemasan. Nenek yang tidak dapat menghubungi mereka, terpaksa mengebumikan ibu tanpa memberi peluang kepada mereka melihat wajah ibu untuk kali terakhir. Itu alasan nenek.

Ayah yang tidak dapat menahan kemarahan, lantas memarahi nenek. Tanpa belas kasihan, nenek menghalau mereka dari rumah itu. Beberapa hari mereka duduk di kubur. Berpanas dan bermalam di situ. Ayah hanya menangis sepanjang hari hingga matanya bengkak. Ridduan tidak berair mata lagi. Telah puas menangis hingga hilang rasa sedih. Perutnya lapar tidak diisi dan badannya melekit tidak mandi beberapa hari. Ridduan mengambil duit dari poket ayahnya lalu membeli makanan. Ketika dia suapkan ayahnya makan barulah ayahnya sedar mereka perlu meneruskan hidup.

Butang di ATM ditekan‐tekan ayah, duit tetap tidak dapat dikeluarkan. Kad kredit digesel beberapa kali oleh receptionist hotel juga tidak diterima. Nenek telah membekukan semua akaun simpanan dan kad kredit atas nama ayah. Berbekalkan duit yang ada dalam poket, hanya mampu membeli makanan untuk beberapa hari. Tidak mampu menyewa mana‐mana hotel bajet mahupun kediaman.

Ayah berbangsa cina memeluk agama Islam telah dibuang keluarga akibat bertukar agama. Ayah hidup sebatang‐kara dan bekerja di sebuah hotel sebagai reception telah berkahwin dengan ibu yang merupakan anak kepada pemilik hotel itu. Nenek pada mulanya tidak menerima ayah tetapi menerima juga selepas kelahiran Ridduan sebagai pewaris. Itu yang di cerita ibu padanya.

Mereka terpaksa tidur di kaki lima bersama gelandangan lain dan mandi di tandas awam. Bila duit yang ada hampir habis, ayah mula mencari kerja. Ayah pulang ke rumah ibu semula untuk mengambil sijil‐sijilnya tapi rumah dikunci sepenuhnya. Ayah cuba menyelinap masuk melalui tingkap yang kuncinya telah rosak. Bila ayah keluar, tidak menemui apa‐apa. Semua barang milik mereka telah tiada. Rumah itu kosong.

Ayah bertemu nenek untuk menuntut barang‐barang peribadinya.

“Assalamualaikum... ibu!” laung ayah di depan pagar besi besar.

“Ha kau! Nak apa lagi?” Sahut nenek tanpa menjawab salam yang diberi.

“Ibu... tadi saya pergi ke rumah untuk mengambil barang‐barang peribadi saya tapi semuanya dah tiada. Ibu ada simpan fail sijil saya?

“Ooo... sijil kau. Hah... tunggu kejap ye.”

Dalam suasana yang panas terik, nenek langsung tidak pelawa mereka masuk berteduh ke rumah. Apakan lagi memberi segelas air. Malah pintu pagar juga tidak dibuka.

“Kau nak ni ya....” nenek menunjukkan fail ayah.

Belum sempat sampai ke tangan ayah, nenek membakar fail itu di depan ayah dan membaling ke luar rumah. Betapa kejamnya nenek pada mereka. Ayah tidak berdaya memarahi nenek. Barulah ayah sedar, nenek selama ini tidak pernah menerimanya sebagai menantu serta keturunan darinya.

Ayah bekerja di sebuah kedai cuci kereta. Tapi, duit yang dapat hanya cukup untuk menampung makan. Ayah bekerja lebih kuat tanpa rehat, mencari duit untuk menyewa bilik dan menghantarnya ke sekolah. Pagi ayah menghantar surat khabar. Tengah hari hingga ke petang ayah cuci kereta. Bila malam, ayah mencari kotak‐kotak dan tin‐tin kosong untuk dijual.

Ayah tidak cukup rehat dan tidak cukup tidur. Makan juga tidak menentu dan tidak cukup khasiat.

Suatu malam ayah jatuh sakit. Badannya menggigil. Demam panas mendadak menyebabkan ayah meninggal di kaki lima. Ridduan yang tidak tahu buat apa‐apa hanya menangis dan meminta ayahnya bangun beberapa kali. Digoncang tubuh ayah sekuat hati tetap tidak bergerak dan terkejur kaku. Ketika itu, seorang hamba Allah berjubah putih lalu di situ. Dia berhenti bila melihat Ridduan menangis teresak‐esak. Dialah membantu menguruskan jenazah ayah di surau berdekatan.

Akhirnya Ridduan ditinggalkan sendirian. Dalam ketakutan, kegelapan dan kesunyian. Beberapa hari dia duduk di tepi kedai, tidur di kaki lima beralaskan kotak dan berselimutkan surat khabar. Tiada seorang manusia mengendahkan kehadirannya di situ. Malah dihalau oleh gelandangan lain. Semakin hari dia semakin tabah. Cuba berusaha hidup sendiri. Dia mula bekerja dengan membasuh pinggan di gerai. Duit yang dapat, dibeli makanan mengalas perut setiap hari. Dia juga mula bekerja di kedai cuci kereta menggantikan tempat ayahnya.

Hampir setahun dia hidup di gelandangan hingga suatu malam, ketika mencari tin‐tin kosong di lorong, dia ternampak seorang lelaki memegang kayu. Kayu yang menunggu masa untuk melibas seorang lagi lelaki sedang melutut merayu‐rayu.

Ketika itu dia ternampak sebatang kayu di celah‐celah sampah lalu diambil. Senyap‐senyap dia pergi ke belakang lelaki itu lalu melibas dengan kuat. Terkena tepat pada bahu lalu rebah. Kayu segera dilempar. Tubuhnya menggigil ketakutan. Belum pernah dia memukul orang. Lelaki yang melutut tadi memeriksa lelaki yang dipukul.

“Dia belum mati lagi,” cuba tenangkan Ridduan yang menggigil. “Terima kasih membantu pakcik. Nama pakcik Razak. Siapa nama adik?” Razak mendekati Ridduan “Rid... Ridduan...” gagap dalam ketakutan.

“Ridduan... Ridduan jangan takut. Ridduan duduk di mana?”

Ridduan mendiamkan diri. Matanya masih berpusat pada lelaki yang rebah ke bumi.

“Ridduan... jangan takut. Pakcik ada. Pakcik tolong Ridduan ya. Tapi Ridduan perlu bagi tahu pakcik, di mana Ridduan tinggal?”

Ridduan menggeleng sebelum menjawab. “Saya tak ada rumah. Saya duduk di kaki lima...”

“Ooo... jadi tiada sesiapa yang jaga Ridduan?”

Ridduan geleng sekali lagi.

“Emmm... macam ni lah, apa kata Ridduan ikut pakcik. Sebagai membalas jasa Ridduan, duduk di rumah pakcik. Pakcik jaga Ridduan. Lagi pun pakcik tak ada anak.”

Ridduan ikut Razak pulang ke rumah di kawasan terpencil. Rumah banglo dua tingkat seperti tiada penghuni. Bila pintu terbuka, seorang budak perempuan meluru arah Razak dan memeluknya.

“Ini Aleece anak angkat pakcik juga.”

Ridduan memandang Aleece yang memberi senyuman manis. ‘Comel...’ wajah Aleece ketika itu
sangat comel. Razak memberi sebuah bilik bersebelahan bilik Aleece. Tempat pertama yang dituju ialah katil. Dia melompat, rebah ke atas katil. Badan menelentang sambil kaki dan tangan menggosok lembut cadar. Matanya memandang siling berwarna putih. Bersih dan tenang. Tubuhnya sangat selesa... dipejamkan mata seketika. Merasakan saat indah dalam hidupnya ketika itu. Akhirnya ada juga orang baik yang sudi membelanya sebagai anak angkat.

Setelah sekian lama, dapat juga dia tidur beralaskan tilam empuk. Malam itu dia tidur dengan
nyenyak.

Keesokan harinya Ridduan melihat sekeliling rumah. Di tingkat bawah terdapat sebuah bilik dan pintunya juga tidak tertutup rapat. Kelihatan Razak bersama dua orang lelaki yang bertubuh besar menghadapnya. Ridduan mendengar perbualan mereka.

“Semalam aku hampir dibunuh Ishak. Dia menembak dua orang kita. Disebabkan pelurunya habis, dia tidak dapat menembak aku dan dia ingin memukul aku dengan kayu. Nasib budak lelaki tu memukul dia dulu. Tapi, dia hanya pengsan. Aku nak kau orang berdua cari dia hingga dapat. Minta duit aku. Barang dah habis terjual tapi duit tak bagi. Kemudian bunuh dia. Faham! Jangan sampai terlepas lagi kali ini.”

“Baik bos,” serentak jawab mereka.

Tubuh Ridduan menggigil lagi. Mendengar perkataan bunuh cukup menakutkan. Bayangan wajah lelaki yang di pukul semalam muncul. Rupanya dia telah membantu orang yang salah. Razak ialah orang jahat. Yang dipukul hingga pengsan ialah mangsa. Ridduan rasa bersalah dan takut. Kini dia terperangkap duduk bersama orang jahat.

Tangannya ditarik Aleece. Mereka laju melangkah bersama, masuk ke dalam bilik Aleece. Jeda... dia terpukau. Bilik Aleece yang nampak bersih dihias cantik serba putih dan pink. Di situ dia mula sukakan warna putih. Aleece menariknya lagi duduk di kerusi kecil yang tersedia di depan tingkap.

“Abang takut?” Aleece bersuara. Suaranya sungguh halus dan lembut.

Ridduan tidak bersuara. Dia memandang Aleece. Pakaian Aleece yang bersih serta cantik bergaun pink, rambut Aleece yang lurus tersisir rapi, senyuman yang comel dan suara yang sungguh merdu memukau Ridduan. Hilang rasa takut tadi.

“Abang tak tahu siapa daddy?” Aleece bertanya lagi.

Ridduan menggeleng kepala.

“Daddy jual dadah. Tapi Aleece tak tahu apa itu dadah. Abang tahu?”

Ridduan masih menggelengkan kepalanya. Ketika itu dia terlalu kecil untuk mengetahui apa itu dadah. Ridduan memandang mata bulat Aleece yang terkebil‐kebil memandangnya. Mata Aleece seperti mata kucing yang minta dimanja.

“Aleece beberapa tahun?”

“7 Tahun.”

“Ooo... dah lama duduk dengan daddy?”

“Aleece pun tak ingat. Aleece hanya ada daddy saja. Tapi daddy selalu sibuk. Tak pernah teman Aleece bermain.” Wajahnya sedih. “Sekarang Aleece dah ada abang. Abang teman Aleece main ya... ya... ” Wajah yang sedih bertukar gembira lantas memeluk Ridduan.

Sejak Ridduan duduk bersama Razak, hanya Aleece menjadi teman bicara sehingga dia meningkat remaja. Ketika di sekolah menengah dia dipaksa menjual dadah. Telah beberapa kali dia cuba melarikan diri tetap juga ditangkap oleh pengikut Razak. Dia dibelasah teruk hingga pengsan. Setiap kali itu juga Aleece merawat lukanya hingga sembuh.

Razak mengembangkan cabang kegiatan haramnya. Razak membawa masuk perempuan-perempuan
dari Filipina, Indonesia dan China untuk dijadikan pelayan di kelab malam eksklusif miliknya yang pertama. Ridduan dipaksa menguruskan perniagaan itu pula. Bila dia membantah, dia dibelasah teruk lagi tanpa henti hingga lembik. Dia tidak mampu berdiri, melutut di depan Razak. Rambutnya ditarik kuat memandang tepat wajah Razak.

“Kau nak terima atau tidak?”

“Tidak!” terketar‐ketar suaranya.

Razak menolak kepala Ridduan hingga tersungkur mencium lantai.

“Kalau itu keputusan kau, lebih baik kau mati.” Pistol di acuh pada Ridduan.

“Baik aku mati daripada jadi hampa abdi kepada kau.” Ridduan tidak megalah walaupun dalam kesakitan yang amat sangat.

Razak merapatkan corong pistol ke kepala Ridduan. Belum sempat picu dipetik, Aleece meluru masuk memeluk Ridduan.

“Jangan daddy... Aleece merayu pada daddy jangan bunuh abang.”

“Dia yang tak nak hidup. Dia yang nak aku tamatkan nyawa dia. Bukan aku yang nak. Aku minta dia uruskan kelab tu saja. Bukan suruh dia pergi berperang pun.”

“Baik... Aleece janji, Aleece akan pujuk abang. Aleece akan pastikan abang setuju mengikut kehendak daddy.”

“Tidak. Aku tidak akan gadaikan maruah perempuan untuk kesenangan dia!” Ridduan masih bertegas dengan pendiriannya.

“Baik... kau masih berkeras. Nampaknya kau betul‐betul tak nak hidup. Tapi jangan ingat, aku akan biarkan kau mati semudah ini. Aku akan seksa kau dulu. Aku nak kau menderita melihat orang yang sayangkan kau, selalu teman kau, tolong kau dan sentiasa bersama kau mati dulu. Aku akan tembak Aleece dan kemudian baru aku tembak kau pula.” Pistol Razak beralih arah.

Kini menghala Aleece. Corong pistol betul‐betul di atas kepala Aleece. Jarinya telah bersedia
memetik picu. Bila‐bila masa akan kedengaran bunyi yang kuat.

Ridduan memandang wajah Aleece. Kelihatan air mata Aleece mengalir di pipi yang gebu. Tangannya digenggam Aleece. Kuat... mata Aleece telah terpejam. Kemudian Aleece memeluk tubuhnya. Terasa getaran dari tubuh itu. Menggigil...

“Biarlah Aleece mati dalam dakapan abang...” Aleece berbisik di tepi telinga Ridduan.

Sayu hatinya bila Aleece akan meninggalkannya. Dia tidak sanggup kehilangan Aleece. Tidak mungkin... tidak!

“Aku terima,” perlahan suaranya. Dia terpaksa akur. Akur dengan permintaan Razak yang memaksanya.

“Apa dia? Tak dengar...”

“Aku terima!” Bergema suara Ridduan melaung dengan kuat. Wajahnya ditampar sekali lagi.

Dia tidak sanggup membiarkan Aleece mati kerana dia, terutama di depan matanya. Aleece banyak menemaninya dalam susah senang selama ini. Tidak mungkin dia biarkan Aleece mati begitu saja. Aleece, satu‐satunya ahli keluarga yang dia ada. Jika Aleece mati, tiada guna dia hidup sendirian. Kali ini dia kalah. Razak menyimpan pistolnya.

“Jimat peluru aku. Jika tak, berkecai kepala kau orang berdua. Susah sangat kau nak setujukan. Kau sepatutnya ikut apa saja yang aku suruh. Halal haram kau tak payah fikir. Kau apa kisah. Aku ambil kau daripada gelandangan bukan kerana kau dah selamatkan aku. Tapi keberanian kau, wajah kau yang kacak yang boleh aku gunakan pada masa sekarang. Untuk menarik perhatian gadis‐gadis mengikut kau supaya senang kau uruskan mereka. Ingat kalau hancur perniagaan, aku hancur kepala kau. Faham.” Dia tersenyum puas. Aleece juga salah satu kelemahan Ridduan yang dia boleh peralatkan.

Ketika dia menguruskan kelab malam dan pelayan‐pelayan itu, kebanyakan mereka cuba menggoda dia. Bukan saja pelayan malah gadis‐gadis yang mengunjungi kelab malam itu hingga timbul perasaan cemburu pada Aleece. Setiap malam Aleece datang ke kelab untuk menemani Ridduan. Dia akan berkepit dengan Ridduan sepanjang masa. Dia akan melepaskan Ridduan untuk ke tandas saja, sekembalinya Ridduan semula, dia akan berkepit lagi. Bila ada perempuan yang cuba menarik perhatian Ridduan, Aleece akan memeluk Ridduan. Gaya Aleece melayan Ridduan sama seperti kekasihnya. Sebab itu, ramai gadis yang cemburu pada Aleece. Ridduan juga tidak kisah perbuatan Aleece itu. Sekurang‐kurangnya, dia dapat mengelak diri daripada gadis‐gadis penggoda. Rimas rasanya... Suatu hari, Ridduan bertemu Razak dan seorang perempuan di dalam bilik VIP tingkat dua..

“Ini aku kenalkan Lin. Bakal rakan kongsi aku. Kami akan membuka satu lagi kelab malam di
sekitar Kuala Lumpur. Tempat masih belum ditetapkan. Konsep kelab, sama seperti kelab malam ini. Jadi malam ini kita perlu entertain dia.”

Lin dari tadi senyum sendiri memandang Ridduan dari atas hingga ke bawah. Dia membisikkan
sesuatu pada Razak dan kelihatan Razak tersenyum lebar sambil mengangguk‐anggukkan kepalanya.

“Aku nak kau layan dia. Jangan sesekali menolak apa yang dia buat pada kau.” Kata Razak dan
kemudian bisik di telinga Ridduan. “Baik kau ikut saja apa yang dia nak. Jika kau buat aku gagal, aku tidak akan lepaskan Aleece. Ingat lagi kejadian dulu. Kejadian di mana aku nyaris-nyaris menembak kepala Aleece. Tapi kali ini aku tidak teragak‐agak menekan picu pistol aku.”

Razak menepuk‐nepuk bahu Ridduan. “Mana gadis‐gadis cantik. Come to papa...” laung Razak.

Beberapa orang gadis datang mendekati Razak. Kemudian mereka keluar bersama Razak meninggalkan Ridduan bersama Lin .

Lin duduk di sebelah Ridduan. Dia menyentuh di seluruh wajah Ridduan yang kaku. Ditarik tubuh Ridduan merapatinya. Tapi tidak bergerak. Ridduan keraskan diri. Dia mara merapati Ridduan. Butang baju dibuka satu persatu. Ketika itu pintu terbuka luas.

“Abang!” Aleece menolak Lin hingga jatuh ke tepi sofa. Aleece menarik tangan Ridduan keluar dari bilik itu. Tapi belum sempat keluar, Ridduan menepis tangan Aleece.

“Aleece keluar... ini urusan abang.” Ridduan memandang Aleece yang tergamam.

“Tapi... takkan abang nak berasmaradana dengan perempuan yang hampir seusia daddy.”

“Abang cakap keluar, keluar!” Ridduan semakin tertekan dengan keadaan sekeliling. Dengan jeritan Aleece, desakan Razak, rayuan Lin dan muzik yang membingitkan telinga serta lampu spotlight berwarna‐warni. Kepalanya cukup serabut.

“No...” jerit Aleece...

“Aleece... tolonglah. Keluar...” Ridduan berlembut kembali. Cuba memujuk Aleece.

Aleece menangis dan berlari keluar dari bilik.

“Kenapa kau tolak dia dan memilih aku?”

“Kerana terpaksa dan kerana dia. Jika saya menolak layanan Cik Lin, daddy akan bunuh dia. Saya tidak sanggup lihat dia mati.”

“Jadi kau sayangkan dia? kau cintakan dia?”

Ridduan hanya mendiamkan diri. ‘Tidak... aku hanya sayangkan dia seperti adikku sendiri’ kata dalam hatinya.

“Jadi kau terpaksa layan aku?” Pertanyaan Lin dijawab dengan anggukkan Ridduan. “Walaupun tiada cinta, sekurang‐kurangnya biarlah rela. Aku tidak suka tidur dengan lelaki yang terpaksa macam kau. Kau boleh keluar.”

Ridduan mengangkat muka dan memandang Lin semula. Ridduan segera keluar. Dia menarik nafas lega. Ketika itu juga dia tergamam bila Aleece meneguk satu persatu gelas minuman keras hingga mabuk. Ridduan cuba menghalang, Aleece menjerit‐jerit seperti orang tidak siuman hingga pengsan. Ridduan membawa Aleece pulang ke rumah.

Malam itu Aleece masuk ke bilik Ridduan ketika dia sedang tidur. Tangannya melingkar di tubuh Ridduan yang tidak berbaju. Ridduan terkejut lalu melompat dari katil segera membuka lampu. Dalam cahaya yang terang, terlihat Aleece hanya memakai lingeriemerah hati sedang baring di atas katil.

“Aleece… buat apa kat bilik abang malam‐malam ni. Kenapa berpakaian macam ni.” Ridduan mengeluh. Hatinya sudah cukup kecewa bila Aleece meneguk air setan itu. Selama ini dia berusaha supaya Aleece tidak meneguk air kotor itu. Akhirnya dia kalah... Aleece kalah.... “Aleece masih mabuk. Jom abang hantar Aleece bilik ke Aleece.”

“Cantik tak Aleece... Aleece beli khas untuk abang. Aleece nak pakai di depan abang.”

Ridduan mengeluh lagi. Matanya tidak memandang Aleece sebaliknya selimut diambil lalu
menutup tubuh badan Aleece yang terdedah. Dia duduk di bibir katil memandang Aleece.
Selema ini dia tahu yang Aleece mempunyai perasaan terhadapnya. Tapi, dia biarkan saja.
Tidak sangka Aleece boleh bertindak sejauh ini.
“Aleece… abang tahu Aleece sayangkan abang. Abang juga sayangkan Aleece. Tapi sebagai
seorang adik.”
“Kenapa adik. Aleece tak layak jadi kekasih abang ke? Aleece tak cukup cantik untuk abang
ke?”
“Bukan macam tu. Aleece cantik sangat. Abang tidak pernah jumpa mana‐mana perempuan
secantik Aleece dan tiada perempuan secantik Aleece.”
“Jadi Aleece boleh jadi kekasih abang.” Aleece membuka selimut yang di sarung Ridduan
semula. Dia menyentuh tubuh Ridduan.
“Aleece… Aleece!.. cukup Aleece! Cukup!”
“Abang lebih sukakan pelacur‐pelacur tu dari Aleece?” Aleece pula meninggikan suaranya.
“Kenapa cakap macam tu? Aleece pun tahu abang macam mana. Aleece lebih mengenali
abang daripada mereka.”
“Tapi kenapa abang boleh bersama perempuan tadi, tidak dengan Aleece sekarang? Apa
kurangnya Aleece dengan perempuan tua tadi? Aleece tak sanggup tengok abang dengan
perempuan lain. Abang milik Aleece dan Aleece milik abang. Abang bersamalah dengan
Aleece...” suaranya kembali perlahan. Dia ingin menyerahkan segala‐galanya pada Ridduan
malam ini. Inilah masanya yang ditunggu selama ini.
Ridduan menolak Aleece lembut dan memegang tubuh Aleece supaya tidak mara lagi
mendekati tubuhnya. “Maafkan abang. Abang hanya boleh anggap Aleece sebagai adik saja
dan abang memang tak ada perasaan pada mana‐mana perempuan. Hati abang kosong.”
“Tidak... Aleece tahu abang juga sukakan Aleece, sayangkan Aleece. Cuma abang tak nak
mengaku atau abang saja buat‐buat tak tahu. Abang ego... abang takut tersungkur dengan
perasaan sendiri. Abang takut dengan bayang‐bayang abang yang sebenarnya. Bayang abang
ialah Aleece.” Aleece masih bertegas. Dia tidak boleh terima Ridduan anggapnya seperti adik
kerana selama ini Ridduan tidak pernah menolak layanan dia seperti kekasih.
“Aleece cubalah faham abang. Hubungan kita tidak akan pergi jauh hanya setakat ini saja.”
“Baik... Aleece anggap abang cuma masih belum bersedia terima Aleece dan tak nak mengaku
yang abang sayangkan Aleece lebih dari adik. Aleece tahu dan Aleece percaya pasti abang
akan mengaku satu hari nanti. Aleece pasti!” Aleece turun dari katil dan keluar dari bilik itu.
Sakit hatinya mendengar ayat itu. Tapi, dia tidak akan mengalah, dia terus berusaha memikat
hati dan menyedarkan Ridduan walaupun berulang kali ditolak hingga hari itu muncul. Hatinya
masih sama tidak berganjak menyayangi Ridduan.
Cecah usia 20 tahun, Ridduan memulakan perniagaan mengeksport barang dari negara China,
Indonesia, Filipina. Dia juga membuka beberapa buah kedai kereta mewah secand hand.
Kejayaannya dibantu oleh Emeriz. Dari seorang pengunjung di kelab malam hingga menjadi
kawan rapat. Emeriz anak kacukan Inggeris yang baru menetap di bumi Melayu, banyak
membantu dan mengajar dalam soal perniagaan. Dia juga menjadi pelabur dalam perniagaan
Ridduan.
Razak menentang perniagaan Ridduan. Bertambah marah, bila Ridduan tidak mahu
menguruskan lagi kelab malam lagi. Tapi, dia mengalah akhirnya bila diburu polis. Ridduan
membantunya mencari tempat perlindungan dengan bantuan kenalan niaga Ridduan di luar
negara. Razak, ketua pengeluar dadah terbesar telah beberapa kali terlepas daripada intipan
polis. Dia sembunyi di sebalik Ridduan.
Sejak Ridduan bergiat aktif dalam perniagaan, Aleece menggantikan tempatnya menguruskan
pelacur‐pelacur itu. Dia sebenarnya tidak mahu Aleece terlibat dalam aktiviti haram Razak. Jika
satu hari nanti Razak ditangkap, Aleece juga turut ditangkap. Dia akan mencari jalan supaya
Aleece tidak menghabiskan kehidupannya di dalam penjara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan