Label

Jumaat, 30 Disember 2016

NOVEL Terbaik Untukmu Bab39

Seperti biasa ramai pelanggan yang datang ke gerai pada waktu tengahari. Juita dan Kak Jah tidak menang tangan untuk melayan kehendak pelanggan. Cuaca pula panas terik. Berpeluh-peluh mereka berdua beranak. Pelanggan yang datang tidak putus‐putus. Kesibukan yang melanda membuatkan Juita tidak perasan dengan kehadiran Kebeng. Mereka tidak sempat bertegur sapa, apatah lagi hendak berbual mesra. Kebeng tidak boleh berlama‐lama. Selesai saja makan dia terpaksa menyambung semula kerjanya. Juita hanya mampu memandang kelibat lelaki itu pergi dengan mata terkebil‐kebil.

‘Tak apalah, malam nanti kita boleh bersembang melalui telefon,’ bisik Juita.

Kira‐kira jam dua setengah petang, suasana gerai kembali reda. Pelanggan‐pelanggan yang datang boleh dibilang dengan jari. Maka bolehlah Kak Jah dan Juita duduk berehat, menghilangkan lenguh kaki. Baru saja Juita mahu menghirup minuman, telefon bimbitnya berbunyi.

“Helo Milah, assalamualaikum.” Juita menjawab sambil menekap telefon di telinga sebelah kiri.

“Waalaikumsalam. Sibukke?” tanya Milah di hujung talian.

“Dah tak sibuk dah sekarang ni. Kenapa, kau nak datang sinike?” Juita tersenyum‐senyum.

Gembira sungguh dia dapat mendengar suara Milah.



“Aku kat pejabatlah sekarang ni. Itulah, aku ingat nak jumpa kau.”

“Bila?”

“Petang ni boleh?”

“Amboi! Lain macam aje. Ada perkara pentingke sampai tak sempat nak tunggu esok‐esok?”

“Adalah.. Bolehke tak?”

“Demi kau, ke lautan api pun aku sanggup redah.”

Milah ketawa. “Okey, aku tunggu kau kat tempat biasa pukul 6 petang ni.”

“Okey.”

“Jangan lambat tau. Assalamualaikum.”

Juita menjawab salam sebelum mematikan talian. Senyuman masih melekat di bibir sambil fikiran memikirkan tentang Milah dan perkara yang ingin disampaikan. Mungkin Milah mahu mengadu tentang Wan tapi tidak mungkin kerana tona suaranya sebentar tadi kedengaran teruja. Atau barangkali Milah mahu berkongsi cerita gembira. Mungkin dia dan Wan telah merancang untuk mengikat tali pertunangan. Kalau benar begitu, Juita menumpang gembira.

Juita juga ingin bercerita tentang si buah hatinya dan perancangan mereka untuk menikah kepada Milah. Disamping itu, bolehlah dia meminta nasihat dan pandangan Milah berkenaan masalah yang dia hadapi. Tidak sabar mahu bertemu Milah. Rindunya.

Juita berjalan kaki ke padang yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya. Dari jauh sudah kedengaran suara kanak‐kanak bergelak ketawa. Mereka kelihatan riang berlari‐lari di tengah padang bermain kejar‐kejaran. Juita duduk di bangku di bawah pokok ketapang. Angin petang bertiup sepoi‐sepoi bahasa. Beberapa helai daun dari pokok ketapang berguguran ke tanah.

Suasana di tempat itu tidak pernah berubah. Pemandangan dan aromanya masih sama. Sejak dahulu hingga kini tetap serupa.

Yang berubah adalah manusia seperti dirinya. Jika dahulu sewaktu dia di bangku sekolah sering ke tempat itu bersama kawan‐kawan. Tetapi kini tidak lagi. Hampir semua kawan‐kawan sepermainan sudah tidak lagi tinggal di kampung. Masing‐masing membawa haluan sendiri, meniti hidup yang lebih mencabar lagi. Namun dia tetap setia di sini, masih menyimpan segala kenangan silam suatu waktu dahulu. Adakalanya kehadiran kenangan itu mengusik jiwa sehingga mampu mengalirkan air mata.

“Jauhnya mengelamun,” sapa Milah. Tanpa mendengar derap kaki alih‐alih sudah berada di sebelah Juita.

Juita pantas mendongak, mencari wajah pemilik suara. “Milah!” Juita separuh menjerit sambil mengusap dadanya sendiri. “Terkejut aku. Bukannya nak bagi salam.” Juita segera berdiri.

Milah menyengih. Mereka saling berpelukan seperti lama benar tidak berjumpa. Padahal baru seminggu lalu mereka terserempak di kedai runcit.

“Saja aku tak nak ganggu kau bernostalgia,” usik Milah. Pelukan sudah pun dileraikan. Mereka duduk menghadap padang permainan.

“Tak ada apa yang nak dinostalgiakan. Benda dah berlalu, buat apa nak dikenang‐kenang?” jawab Juita dengan yakin. Pandangan mata tidak lepas dari memandang kanak‐kanak yang bermain di tengah padang. Seronok melihat mereka bermain dan ketawa. Tidak ada masalah yang membelenggu mereka. Bila difikirkan dengan masalah hidup, mahu saja dia kembali ke zaman kanak‐kanak. Tidak pening kepala, celik mata saja hanya ingat main.

“Manalah tau, ingatkan kekasih lamake.” Milah mengekek ketawa. Teringat dia akan peristiwa lama, ketika Juita hangat bercinta dengan Tajul. Ketika itu ada yang iri hati dengan perhubungan mereka. Mereka sangat serasi bersama, tapi akhirnya perhubungan itu terputus di tengah jalan. “Entah di manalah Tajul sekarang?” Tiba‐tiba nama itu meniti di bibir Milah.

“Eh eh.. tiba‐tiba aje kau sebut nama dia, kau ni dah kenapa?” Juita terkedu. Sudah lama lelaki itu hilang dari ingatannya. Di saat Milah menyebut nama itu, secara tidak sengaja kenangan ketika bersamanya menjelma dalam bayangan.

“Entahlah.” Milah menjongket bahu. “Tiba‐tiba aje aku teringat kat dia. Apalah khabar dia agaknya kan? Masih belajar lagike, dah bekerja ke?” Wajah Milah berkerut‐kerut.

“Entah‐entah dah beranak pinak,” kata Juita dalam ketawa.

Milah merenung wajah Juita. “Ha ah kan. Tak mustahil.” Memang tidak mustahil kerana ada beberapa teman sekolah yang sudah pun berkahwin dan mempunyai anak. Maka tidak hairan barangkali Tajul juga begitu. Berkahwin dan menjadi bapa dalam usia muda. “Kau tak rindu kat dia?” Selamba Milah bertanya.

“Asal kapas jadi benang, dari benang dibuat kain, orang lepas jangan kenang, sudah jadi orang lain, mengapa dikenang..” Juita bernyanyi. Sesekali apabila dia menyanyi, merdu juga suaranya.

“Pandai kau nyanyi lagu lama tu. Lagu zaman mak‐mak kita tu.” Milah ketawa. Bahu Juita ditampar lembut. “Yalahkan. Betul tu. Orang yang dah lepas buat apa nak dikenang. Anggaplah dia tu cinta monyet, kan?”

“Dahlah, tak maulah cerita pasal dia. Tersedak‐sedak dia kau sebut‐sebut nama dia.” Walaupun kenangan itu sudah lama berlalu namun jauh di sudut hati Juita, lelaki itu masih tetap diingatan. Mana mungkin dia melupakan lelaki itu. Dia cinta pertamanya.

Milah mengeluarkan sekeping coklat dari dalam beg tangan lalu dihulurkan kepada Juita.

“Nah! Ini untuk kau.”

“Coklat bila punya ni?” Sengaja Juita berseloroh.

“Baru beli tadilah,” jawab Milah sambil mengerling manja.

“Manalah tau, kau nak dajalkan aku. Entah minggu lepas punya kau bagi aku,” sambung Juita lagi.

“Ish.. tak baiklah kau ni, tuduh aku macam tu. Takkanlah aku nak bagi kau makan coklat yang dah luput tarikh. Aku sayang kaulah.” Milah melentokkan kepalanya ke bahu Juita sebentar.

Mereka sama‐sama ketawa.

“Ada apa hal kau nak jumpa aku ni sebenarnya?” Juita bertanya sambil membuka plastik pembalut coklat. Jam di pergelangan tangan dikerling. Cepat sungguh masa berlalu. Jarum jam sudah menunjukkan ke pukul 6.30 petang. Sebentar lagi suasana akan bertukar kelam. Senja bakal menjelang. Juita harus pulang ke rumah sebelum masuk waktu maghrib. Itu sudah menjadi satu kebiasaan baginya.

“Aku nak bagitau kau yang aku nak bertunang dua minggu lagi.” Bibir Milah tidak lekang dari senyuman. “Aku nak kau orang pertama antara kawan‐kawan aku yang tau pasal berita ni.”

Anak mata Milah bersinar‐sinar. Terserlah kegembiraan di wajahnya.

Coklat yang dikunyah hampir tersembur. Serta merta tangan Juita menggapai tangan Milah. Tangan mereka berpaut mesra. Juita amat terharu mendengar berita itu. Dia menumpang gembira. Kebahagiaan Milah adalah kebahagiaannya juga.

“Tahniah Milah. Seronoknya aku dengar berita ni. Tak ada angin tak ada ribut, tiba‐tiba nak bertunang?” kata Juita. Coklat penuh di dalam mulutnya. Tangan Juita mengusap manja ke pipi Milah. “Dengan Wan?” Juita cuba meneka.

“Bukan.” Milah menggeleng. Mulutnya mencebik.

“Bukan? Habis tu dengan siapa?” Juita terkejut. Dahinya berkerut‐kerut. Selama ini yang dia tahu hanya Wan lelaki yang menjadi dambaan Milah. Alih‐alih dia diberitahu yang bakal tunangan Milah bukan Wan. Milah sudah beralih arah? Milah tidak pernah bercerita tentang teman lelaki selain dari Wan. Kalau bukan lelaki itu, siapa agaknya? Juita tidak sabar ingin tahu.

“Abang sepupu aku,” luah Milah tenang namun senyuman tetap terukir di bibirnya.

“Kau tak pernah cerita pun tentang abang sepupu kau tu pada aku? Sampai hati kau!” Wajah Juita cemberut.

“Aku pun tak sangka abang sepupu aku syok kat aku.”

“Aik! Takkan tiba‐tiba dia kata nak bertunang dengan kau?”

“Sebenarnya abang sepupu aku tu baru balik dari Brisbane. Lama dia duduk sana. Belajar dan terus kerja kat sana. Lapan tahun. Sampai aku pun dah tak ingat rupa dia macam mana. Pak cik dengan mak cik aku bawak dia datang ke rumah bulan lepas. Katanya dia dah dapat kerja kat sini. Alih‐alih dua minggu lepas, mak cik aku bagitau mak aku yang anak dia berkenan kat aku dan nak masuk meminang. Aku pun tak fikir panjang, terus terima.” Milah tunduk merenung rumput‐rumput hijau. Di dalam senyuman yang dipamirkan ada terselit duka di wajahnya.

“Macam mana dengan Wan?” Juita bertanya.

“Kami dah putus.” Riak kegembiaraan di wajah Milah semakin pudar.

“Kau tak cerita kat aku pun.” Pantas Juita mencelah. Dia menatap wajah Milah yang mula berubah warna.

“Malas nak panjangkan cerita.” Milah berhenti seketika sebelum menyambung bicaranya. “Aku pernah suruh Wan supaya sambung belajar atau cari kerja. Tapi dia tak pernah ambil serius cakap aku.” Milah menarik nafas dan menghembusnya deras. “Sampai bila dia nak ikut aje buntut si Faiz tu, buat kerja yang tak berfaedah? Umur aku dah semakin meningkat. Aku kena fikir pasal masa depan aku. Aku tak boleh tunggu dia.” Ada air mata yang bergenang di kelopak mata Milah.

“Aku percaya yang kau buat keputusan yang tepat. Aku akan selalu doakan kau. Tahniah sebab tak lama lagi kau akan jadi isteri orang. Harap‐harap kau tak lupakan aku nanti.” Juita mengelap air matanya yang menitis ke pipi dengan hujung jari.

“Terima kasih. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Aku jugak doakan supaya kau cepat bertemu jodoh.” Wajah Milah kembali ceria. Namun air mata yang berlinangan tidak dapat dibendung lagi.

Mereka berdakapan erat sebelum pulang ke rumah masing‐masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan